TANAMAN DOKONG (Lansium Domesticum Corr. ) kini ia merupakan sejenis tanaman buah-buahan tropika daripada keluarga Meliaceae yang semakin popular. Buah Dokong merupakan satu daripada beberapa jeni buah menyamai buah duku iaitu dari genus Lansium yang mempunyai nilai ekonomik seperti langsat, duku (Johor) dan duku langsat (Terengganu). Dokong dikenali sebagai longkong di Thailand dan dipercayai berasal dari Narathiwat Thailand. Saya ada menulis beberapa artikel mengenai buah dokong dalam blog ini untuk dijadikan bahan rujukkan dengan pautan (Sila klik disini), (Sila klik disini), (Sila klik disini) dan banyak lagi. Dalam pada itu kawasan utama penanaman dokong di Malaysia adalah Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang dan Kedah. Penulis blog telah membuat tinjauan teknologi tanaman dokong dan amalan agronomi di beberapa lokasi di Kelantan, Terengganu dan Pahang serta di Johor bagi mendapatkan info dan menjelajah sehingga ke Thailand untuk mengukuhkan lagi amalan agronomi penanaman pokok dokong yang pernah menjadi 'boom' kepada petani. Sebenarnya apa yang dapat saya ilaikan adalah dimana buah dokong merupakan buah yang sangat baik untuk dimakan segar dan mempunyai permintaan yang tinggi serta pernah mencapai harga maksima beberapa belas tahun dahulu. Selain ia untuk dimakan segar sebenarnya buah dokong ini juga boleh dibuat jem. Dalam pada itu dimakmal dilaporkan dimana khasiat nutrisi buah dokong ini bagi setiap 100 g bahagian buah yang boleh dimakan mengandungi tenaga sebanyak 57 kalori. Ia juga mengandungi kabohidrat (15.2 gram), Kalsium (19.0 mg), Kalium (25.5 mg), Zat Besi (1.1 mg), Vitamin B1 (0.07 mg), Vitamin B2 (0.04 mg), Vitamin C (3.0 mg), Lemak (0.2 mg), Protin (0.9 mg) dan juga Niasin sebanyak 1.0 mg. Penanaman pokok dokong yang dikelaskan sebagai buah-buahan tempatan bermusim ini berbuah sekali setahun iaitu diantara buan Jun - September dengan lokasi berbeza-beza. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis lagi mengenai amalan agronomi yang terbaik bagi tanaman dokong sebagai bahan bacaan semua.
Pokok dokong yang tumbuh menegak adalah bersaiz sederhana besar iaitu dengan saiz kanopi berbentuk ovate hingga lanceolate dengan ketinggian antara 6 m hingga 9 m. Batang pokok adalah lurus dan kulitnnya berwarna coklat kehijauan. Bahagian daunnya pula jenis pinat dan mempunyai 7 - 9 helai anak daun yang tersusun berselang-seli dan berbentuk eliptik atau obovat, sementara anak daun dipangkal berbentuk ovat. Permukaan atas daun berwarna hijau tua, licin, bersinar, dan berombak sedikit. Ciri-ciri ini merupakan ciri dokong yang membezakan nya dari Lansium yang lain. Bunga Dokong biasanya akan tersusun dalam satu jambak berbentuk spika pada dahan dan di antara 1 - 8 jambak bunga keluar pada satu-satu tampok pembungaan pada dahan tersebut. Panjang spika ialah 15 - 20 cm dengan bilangan bunga hermofrodit pada satu spika ialah di antara 20 - 50 kuntum berukuran 0.5 - 0.7 cm panjang dan juga 0.5 - 0.7 cm lebar. Buah dokong tersusun padat sehingga 40 biji dalam satu tangkai (Sila lihat foto disebelah dan diatas). Biasanya buah dokong yang masak adalah berwarna kuning keperangan apabila masak, berbentuk bulat hingga obovat berukuran 3 - 4.7 cm lebar dan 3.5 - 5 cm panjang. Sebiji buah biasanya terdapat 5 ulas isi yang pejal dan rasanya manis dengan kandungan gula di antara 15 - 22 % brix. Apa yang unik dimana terdapat biji yang besar terdapat dalam semua buah bersaiz besar manakala banyak peratus buah dokong tanpa biji dijumpai. Biji berbentuk bujur dimana ia juga mempunyai 1- 5 embrio dan boleh mengeluarkan 1- 5 anak pokok. Biji yang sempurna boleh digunakan sebagai biji benih untuk ianya disemai dalam tapak semaian atau polibeg. Biji tersebut akan bercambah dan bole dicantumkan kemudiannya untuk dijadikan anakbenih dokong cantuman. Bagaimana pun pengalaman penulis blog yang suka makan buah dokong yang berkualiti amat sukar untuk mencari bijinya yang sesuai untuk disemai dan dijadikan anakbenih.
Diantara beberapa varieti atau klon atau kultivar dokong yang dikenalpasti adalah Dokong Kering, Dokong Air dan Dokong Biji. Apa pun yang menarik minat petani untuk idtanam adalah varieti Dokong Kering dimana varieti ini mempunyai ciri-ciri pada permukaan daun berombak serta tebal. Biasanya pada daunnya adalah berwarna hijau tua dan bersinar. Selain daripada mempunyai permukaan daun yang berombak dan tebal mempunyai iai yang agak pejal (tidak berair) dimana iainya manis dan sedap dimakan (Sila lihat foto disebelah). Dokong kering mempunyai permintaan yang amat tinggi dan mendapat harga baik dipasaran. Ia lazimnya mempunyai daya tahan lama selepas dipetik berbanding dengan varieti dokong air dan dokong biji. Sementara itu jenis dokong air atau dokong biji mempunyai buah berair dan biji yang banyak. Kegunaan buah dokong biji adalah kerana kebanyakan bijinya boleh disemai untuk dijadikan pokok penanti semaian dokong dengan matatunas dari pokok dokong kering. Lazimnya tanaman dokong sesuai ditanam di kawasan yang mana ia mempunyai hujan di antara 2000 mm - 3000 mm setahun dan suhu di antara 25 - 35 C. Mempunyai musim kering di antara 3 - 4 minggu untuk tujuan bagi menggalakan proses pembungaan. Tanaman dokong boleh hidup dengan baik di tanah lanar sungai dan tanah lom berpasir.yang mempunyai saliran yang baik. Kawasan tanah yang sesuai adalah siri Penambang, Tok Yong, Chempaka dan Telemong. Tanah pendalaman seperti siri Bongor, Chat, Serdang dan Rengam yang beralun di antara 2 - 20 C juga sesuai untuk penanaman dokong. Dari segia Zon Agro-iklim pula didapati pokok dokong baik jika ditanam dikawasan atau zon yang mempunyai musim kemarau yang pendek tapi nyata diantara 3 - 4 minggu adalah sesuai untuk penanaman dokong.
Apa yang penting bagi penulis blog ada mendapati amalan agronomi pokok dokong amat sesuai difahami. Bagi menyediakan bahan tanaman sebaiknya dapatkan benih yang sedia ada pengesahan sijil SPBT (Skim Pengesahan Bahan Tanaman) oleh Jabatan Pertanian. Kini apa yang ada adalah sebahagian besar daripada bahan tanaman dibiakkan melalui bijibenih walaupun ada yang dibiak secara tampang. Jarak Tanaman bagi dokong yang disyorkan adalah dengan membuat lubang berukuran 0.6 m X 0.6 m X 0.6 m digali dan dibiarkan selama 2 - 4 minggu. Sebanyak 5 - 10 kg bahan organik berserta 200 g CIRP dimasukkan kedalam lubang tanaman dan digaul rata. Anak pokok ditanam di tengah lubang, ditimbus dan dipadatkan pada pangkalnya. Pokok dokong adalah tumbuhan yang memerlukan naungan. Pada peringkat permulaan, pokok dokong memerlukan naungan di antara 40 - 60 %. Beberapa jenis pokok seperti Gliricidia, petai dan pisang boleh digunakan sebagai naungan. Pokok naungan ini perlu ditanam sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal daripada pokok dokong. Pemangkasan yang betul adalah penting bagi membentuk pokok dokong yang dapat mengeluarkan hasil awal dan seterusnya tinggi. Sistem pemangkasan yang terlibat adalah dengan pertama sekali membuat cantasan bagi membentuk batang utama dan ianya diikuti dengan cantasan untuk membentuk cabang seawal yang boleh bagi menggalakkan penghasilan awal. Kaedah ke 3 seterusnya adam membuat cantasan pengurusan bagi mengekalkan pokok sentiasa subur dan produktif. Aktiviti pembajaan dilakukan mengikut umur dan jenis baja serta aplikasi membaja. Baja organik dan CIRP diberikan semasa menanam dan seterusnya baja NPK 15:15:15 diberikan mengikut kadar disyorkan. Baja NPK 12:12:17:2TE diberikan kepada pokok untuk buah iaitu apabila pokok telah berumur 6-7 tahun. Lazimnya bagi mendapatkan kualiti buah yang baik diberikan baja dengan kekerapan 3 kali setahun iaitu ada sebanyak ¼ drpd jumlah disyorkan iaitu 1 - 2 bulan sebelum berbunga, kemudian ¼ drpd jumlah pada peringkat awal berputik dan akhirnya ½ drpd jumlah selepas pungut hasil.
Pokok dokong yang subur dan mampu memberikan hasil berkualiti sebaiknya diberikan sistem pengairan. Pokok dokong hendaklah diberi air pada musim kemarau supaya pertumbuhan tidak terbantut. Pengairan titis atau perencis mikro boleh digunakan untuk menyiram. Terdapat beberapa jenis perosak dan penyakit yang menyerang tanaman dokong di Malaysia. Antara penyakit pada pokok dokong seperti Penyakit Reput Buah disebabkan oleh patogen Cylindrocladium sp. dimana tanda serangannya adalah buah yang rosak menjadi reput. Kawalan adalah dengan menggunakan racun kulat berkuprum. Penyakit kedua adalah Antraknos disebabkan oleh Collectotrichum sp. dimana tanda serangan ada tompok kecil berwarna coklat boleh mengakibat buah gugur. Kawalan dengan menggunakan racun kulat berkuprum juga. Ketiga adalah ancaman atau serangan oleh Cendawan angin yang disebabkan oleh kulat dikenali sebagai Corticium salmonicolor. Tanda serangan dimana terdapat ranting yang dijangkiti dipenohi dengan maicilia merah jambu Jangkitan terok daun akan gugur dan rantung akan mati. Kawalan juga menggunakan racun kulat berkuprum. Ke 4 adalah Penyakit Kulapok Hitam berpunca dari kulat Meliola sp. Kulat hitam ini meliputi permukaan daun dan buah dan boleh mengganggu proses fotosintesis pada daun dan pada buah kelihatan kotor dan tidak menarik Guna racun kulat maneb @ 0.1 % a.i. Guna white oil untuk tujuan mengawal thrips. Masaalah serangga yang serang tanaman dokong terdiri daripada Serangga pengorek kulit (Dolesia virides atau Anarisia sp). Serngan menyebabkan keruping pada kulit batang dan dahan. Serangan tahap teruk boleh mengakibatkan dahan mati dan pokok terbantut. Kawalan dengan mengikis keruping pada kulit dan kemudian disembur dengan koktil dimetoate dan kuprum oksiklorida. Serangan oleh Lalat Buah (Bactocera sp.) dimana serangan berlaku diperingkat ulat mengorek buah. Kawalan dengan mengguna bahan methyl eugenol or promar sebagai umpan bersama malathion @ 1 % a.i. Pemantauan kebun perlu dilakukan sepanjang masa terutama sebelum pokok matang.
Kebun dokong perlu dibersihkan daripada rumpai dimana aktiviti pembersihan kawasan keliling pokok perlu dibuat peringkat awal pertumbuhan. Sungkupan adalah disyorkan bagi mengurangkan pertumbuhan rumpai di keliling pokok dan juga mengekalkan kelembapan. Rumpai di antara barisan dikawal dengan bahan kimia atau dengan menanam kacang penutup bumi. Biasanya pokok dokong akan matang dalam masa 5-7 tahun selepas ditanam. Penulis dapati pokok dokong yang berasal dari biji biasanya mengeluarkan hasil pada tahun ketujuh selepas ditanam manakala pokok yang dibiak secara tampang boleh mengeluarkan hasil pada umur 5 atau 6 tahun selepas menanam. Buah dokong atau hasil yang keluar pada peringkat awal pengeluaran adalah rendah dan boleh meningkat kepada 50 - 100 kg/pokok pada umur 10 tahun. Pokok dokong yang menjangkau umur 20 tahun atau lebih boleh mengeluarkan hasil sehingga 25 tan sehektar setahun. Keadaan cuaca dan iklim semasa pembungaan dan berbuah amat kritikal dalam menentukan kualiti buah. Pokok dokong mengeluarkan hasil yang tidak menentu iaitu pada tahap pengeluaran yang tinggi pada satu tahun dan berkurangan pada tahun berikutnya. Pokok dokong memerlukan musim kering yang nyata ( 3-4 minggu ) untuk pengeluaran bunga. Hujan pada waktu itu boleh memberi kesan kepada kaedah pembentukan buah. Dalam pada itu bilangan jambak bunga yang harus dibiarkan membesar bagi setiap lokasi (tampok) ialah 1 - 3 sahaja supaya buah dapat membembesar dengan sempurna. Buah dokong boleh dituai selepas 6 bulan bunga berkembang. Indeks penuaian nya adalah apabila buahnya telah mencapai saiz yang maksimum (iaitu bergarispusat 25 - 35 mm) dan warna kulit bertukar dari hiaju ke kuning atau kuning kekelabuan. Pada masa ini isinya cerah dan manis. Apa yang perlu difahami dimana buah yang tidak matang berwarna opaque. Kalau jumpa buah dokong yang lembik dan boleh ditekan menandakan ia masak dimana kulit buah tidak bergetah. Selepas buah dipetik atau tangkai buah dipotong dengan menggunakan gunting atau pisau tajam semasa memetik supaya buah tidak lerai dari tangkai. Setiap tangkai buah di gred. Buah yang kurang masak dan rosak dibuang. Buah di bungkus dalam bakul plastik atau bakul buluh yang dilapiskan dengan surat khabar atau lain-lain bahan. Penyimpanan buah dokong dimana buah hanya boleh disimpan 3 - 5 hari pada suhu ambien (25 - 30° C). Suhu yang rendah boleh menyebabkan kerosakan kepada buah dan adalah tidak disyorkan menyimpan buah di bilik sejuk. Daripada cashflow dilaporkan dimana jumlah kos pengeluaran bagi 25 tahun ialah RM 107,740.00. Kini berdasarkan kepada harga di ladang sebanyak RM 5.00/kg maka nilai NPV (Nilai Kini Bersih ) pada 10 % ialah RM 34,600.00 dengan nilai IRR (Kadar Pulangan Modal ) ialah 45 % dan Kadar B/C (Nisbah Faedah kos) pada 10 % ialah 9.8. Semuga tulisan artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
MENANAM DOKONG... TAHU CARANYA...
VARIETI DOKONG KERING... PILIHNYA..
LEPAS DIBAJA.. 5-7 TAHUN HASIL ADA...
MEMBACA ARTIKEL...DAPATKAN ILMUNYA..
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 801, Hotel Avillion Legend,
Jalan Hang Tuah,
Melaka,
Malaysia.
(11 RabiulAkhir 1440H).
(11 RabiulAkhir 1440H).
DIkemaskini pada 19 RabiulAkhir 1447H.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.