Support My Blog

Saturday, December 31, 2011

TANAH BERMASAALAH

TANAH BERMASAALAH di negara kita merupakan salah satu isu dalam pembangunan pertanian yang perlukan perhatian khusus. Kawasan ini tidak seperti tanah mineral biasa yang mudah dibangunkan menggunakan amalan teknologi dan pengurusan pertanian baik sandard yang mudah. Terdapat lebih dari 2.5 juta hektar kawasan tanah bermasaalah di Malaysia. Tanah bermasaalah terdiri dari 5 jenis iaitu TANAH ASID SULFAT, TANAGH GAMBUT, TANAH BEKAS LOMBONG, TANAH BRIS dan TANAH MASIN. Kebanyakan tanah bermasaalah ini memerlukan kos pembangunan yang lebih tinggi untuk dibangunkan dan hanya beberapa jenis tanaman tertentu sahaja yang sesuai dikawasan tanah bermasaalah ini. Subuh ini saya menulis mengenai tanah bermasaalah untuk bacaan anda berdasarkan daripada pengalaman penulis dan maklumat dari beberapa sumber teknikal dari Jabatan Pertanian.


1) TANAH ASID SULFAT
Tanah Asid Sulfat merupakan jenis tanah yang sangat masam atau tanah berasid dengan pH kurang dari 3.5 dan mengandungi nutrien yang rendah. Tanah ini kebanyakannya terdapat dipersisir pantai di negara kita dan memerlukan penelitian khas. Tanah jenis ini mempunyai kadar kelarutan bahan Aluminium dan Feram yang tinggi. Selalunya tanah jenis ini mempunyai kadar paras air yang tinggi dan keadaan ini menghalang sistem pertumbuhan akar pokok. Kedudukannya yang sering dijumpai dipesisir pantai banyak dipengaruhi oleh fenomena air masin atau air payau yang pasang surut mengikut waktu. Kawasan tanah ini sering ditenggelami air dan apabila dibuat parit atau sistem saliran maka tanah akan terdedah dimana berlaku proses pengoksidanan dan Hidrolisis menyebabkan tanah akan menjadi masam.


Sebagai contoh tanah Sisi Sedu yang mempunyai kemasaman pH kurang dari 3.5 lazimnya mempunyai struktur tanah berwarna kekuningan (Kod Warna : 2.5Y 8/3 dibahagian atas dan dibahagian lapisan bawahnya adalah dari tekstur lempong laut yang berwarna kelabu atau dipanggil sebagai Horizon C. Dalam pengurusan tanah asid sulfat paling penting adalah pengurusan paras air dalam tanah. Parit ladang yang dibina perlu mempunyai sistem kawalam paras air seperti kedalaman dan pintu air bagi mengurangkan kadar pengoksidan (oxidation process) dalam tanah. Kaedah memberikan Kapor juga berkesan untuk meningkatkan keasidan tanah. Jenis tanaman beraksr cetek sahaja yang sesuai diusahakan diatas tanah ini seperti sayur-sayuran, nenas,  tembakau, tanaman kotan seperti jagung dan sebagainya. Pembinaan Batas Tanaman membantu penggunaan tanah jenis ini. Ban juga sesuai dibina. Pilih tanaman yang toleran kepada tanah jenis ini untuk dimajukan.


2) TANAH GAMBUT
Tanah Gambut adalah sejenis tanah mengandungi bahan organik tinggi dan lazimnya adalah pada kedudukan tanah yang sangat rendah. Tanah gambut selalunya mempunyai sistem saliran yang sangat buruk dengan keasidan tanah sekitar pH 4.5 sahaja. Tanah gambut sentiasa menyusut dengan berlakunya proses pereputan terutama pada jenis gambut yang belum matang. Tanah gambut adalah lembut dan mempunyai tahap pemegangan akar pokok yang sangat lemah. Kesuburan tanah gambut adalah rendah kerana kandungan nutrien mikro yang sedikit. Jika kawasan tanah gambut ini disalirkan atau dikeringkan menyebabkan massalah 'irreversible drying'.  Masaalah paling kritikal mengenai tanah gambut adalah kerana ianya mudah terbakar di musim panas dan amat sukar untuk dipadamkan kerana sifat 'api dalam tanah' yang dalam. Hanya menaikan paras air tanah yang paling berkesan untuk memadamkan kebakaran di tanah gambut.


Terdapat 3 jenis bahan organik pada tanah gambut iaitu FIBRIK, HEMIK dan SAPRIK. Bahan organik Fibrik dimana sebahagian besar atau 2/3 bahan atau fiber dalam tanah gambut masih belum reput. Tanah Gambut Hemik dimana 1/3 hingga 2/3 bahan fiber masih belum reput sementara tanah gambut Saprik pula dimana hanya 1/3 sahaja bahan fiber yang belum reput. Bagi kawasan tanah gambut yang telah dibangunkan biasanya lapisan-lapisan profilenya (pedon) adalah atas dari jenis Saprik, bahagian tengan jenis hemik dan bahagian bawah jenis gambut Fibrik.


Pengurusan tanah gambut paling utama adalah penggunaan Kapor untu mengurangkan kemasaman tanah. Kapor yang digunakan perlu dari jenis kapor yang mudah terurai. Pembinaan sistem saliran atau parit ladang dikawasan tanah gambut agak unik. Ini kerana parit ladang mudah tertimbus kembali akibat tanah gambut yang mudah peroi dan pembinaan parit perlu dibuat bertingkat (bertangga - lebar dibahagian tas). Ketika membuat aktiviti menanam perlu ditanam agak dalam atau konsep menanam lubang dalam lubang kerana paras tanah gambut menurusn setiap tahun. Jika menanam sama paras dengan tanah menyebabkan akar pokok akan tergantung diatas tanah. Kaedah memampatkan atau padatkan tanah gambut boleh dijalankan dengan jentera berantai iaitu satu kaedah fizikal walau pun petani biasa jarang jalankan. Tanaman yang sesuai untuk tanah gambut dari jenis berakar cetek, cepat dituai dan tahan dari keasidan dan kekurangan air dimusim panas.


3) TANAH BEKAS LOMBONG
Tanah Bris dan Tanah Bekas Lombong hampir sama sifatnya. Tanah jenis mengandungi komponen pasir yang sangat tinggi iaitu melebihi 95% daripada keseluruhan tekstur tanah.  Ini menyebabkan tanah jenis ini tersangat salir (excessive drainage) dan tidak dapat menyimpan air dalam tanah. Kadar larutresap dalam tanah sangat tinggi. Tanah jenis ini juga mempunyai kadar pegangan kelembapan yang rendah dan keupayaan pegangan nutrien juga sangat rendah. Tahap kesuburan tanah ini sangat rendah dimana kandungan nutrien dan bahan organik juga sangat rendah. Pada cuasa panas akan meningkatkan suhu tanah yang tinggi dan banyak tanaman kurang toleran dengan keadaan ini. 


Pengurusan tanah ini dilakukan dengan kaedah pembajaan dan penggunaan Baja Organik yang banyak. Baja organik mampu meningkatkan kelembapan tanah dan membekalkan unsur makanan kepada tanaman. Kawasan tanah jenis ini perlukan bekalan air yang konsisten dengan pemasangan sistem pengairan yang sempurna melalui sistem pengairan renjis, sistem pengairan titis, mist dan sebagainya. Pastikan sistem saliran tanah jenis ini juga sempurna. Cara memberi baja kepada pokok disesuaaikan agar lebih kerap dilakukan kerana masaalah kadar larut resap yang tinggi. Penggunaan sistem sungkupan diatas tanah sesuai digunakan seperti penggunaan plastik silvershine, rumpai kering, jerami padi, lalang dan sebagainya. Penambahan tanah atas adalah disyorkan dilaksanakan. Pemilihan jenis tanaman sesuai untuk tanah jenis ini penting seperti tanaman jangkapendek, sayur-sayuran, mangga, nenas dan sebagainya termasuk tembikai.


4) TANAH BRIS
Maklumat sama seperti tanah Bekas Lombong.


5) TANAH MASIN 
Maklumat sama sepert tanah asid sulfat.


TANAH BERMASAALAH...PERLU DIUSAHAKAN...
PERLU ADA MODAL...TANAMAN DISESUAIKAN...
KAEDAH PENGURUSAN...MEMANG MERUMITKAN....
KALAU DIUSAHAKAN...MAKANAN DIHASILKAN...


By,
M Anem
Taman Herba, Gopeng,
Perak, Malaysia.
(6 Safar 1433)

Wednesday, December 28, 2011

PADI HUMA

PADI HUMA atau PADI BUKIT merupakan sejenis padi yang ditanam dikawasan tanah mineral atau tanah tanpa genangan air dikawasan lereng bukit sebelum penanaman yang kini banyak diusahakan iaitu tanaman PADI SAWAH lagi. Padi huma di tanam kebanyakan di kawasan pendalaman oleh masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan juga penduduk pribumi di Sarawak serta Sabah. Tanaman padi ini oleh pribumi tempatan sebagai satu tanaman yang agak penting sejak dahulu untuk tampung bekalan makanan mereka. Merujuk kepada statistik Jabatan Pertanian, keluasan tanaman padi huma di Malaysia tidak dapat dipastikan kerana tidak direkod secara rasmi daripada seluas 673,745 hektar kawasan tanaman padi pada tahun 2010 dengan hasil padi sebanyak 2,548,309 metrik tan. Bagaimana pun adalah dianggarkan keluasan sentiasa turun naik bergantung kepada cuaca dan isu semasa. Penulis menganggarkan tanaman padi huma sekitar 700 - 1,350 hektar setahun terutama di Sarawak  (520 ha) dan Sabah (140 ha). Kajian di Semenanjung Malaysia tanaman padi huma hanya terdapat di Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu dan sedikit di Johor. Penanaman padi huma ini walau pun hasilnya rendah tetapi ia signifikan untuk kawasan pendalaman yang agak sukar untu mendapatkan bekalan beras dari luar. Artikel pagi ini saya menulis  dalam "Anim  Agro Technology" mengenai tanaman padi huma untuk bacaan semua.


Pada hujung tahun 1960'an dan awal 1970'an arwah bapa saya menanam padi huma di Kg Gunung Sari, Gersik semasa saya berumur 7- 8 tahun. Tanaman padi jenis 'Bukit Gantian' ini ditanam selama hampir 5-6 bulan untuk mendapatkan hasilnya. Benih Padi Huma ini perlu di masukkan kedalam lubang yang di tugal menggunakan sebatang kayu ditajamkan sedalam 2-4 cm dalam (Lihat foto disebelah) . Masukkan sekitar 3-6 biji setiap lubang penanaman dan kambus dengan tanah untuk elakan dimakan burung atau serangga lain. Benih perlu dicampur dengan racun semut dan racun kulat. Waktu menanam disesuaikan dengan musim hujan. Bagi kurangkan pertumbuhan rumput perlu gunakan racun pra cambah atau tanah di bersihkan dengan rumpai dengan membakar rumput atau gunakan cangkul/ tajak. Saya terpaksa menjaga kawasan tanaman padi huma ini bersama adek beradek yang lain terutama ketika bulan terakhir dimana padi hampir masak. Pembajaan menggunakan baja asas seperti baja bantuan RISDA walau pun kurang sesuai tetapi tiada pilihan ketika itu. Kadang-kadang dapat juga beli baja padi dari Syarikat Kerjasama Padi Sawah Ring seperti baja Urea, Amophos dan beberapa jenis racun serangga.


Bila padi mula bunting pasangkan 'orang-orang' iaitu kayu berpalang yang dipakaikan dengan Baju Lama dan Topi serta di gantung tin susu yang diikat batu didalamnya. Tiang orang-orang ini akan dikat dengan tali bersambungan antara satu sama lain sehingga sampai di pondok di tengah kebun. Oleh kerana kawasan kebun berada ditengah-tengah kawasan kebun getah maka apabila padi nak masak banyak burung yang datang untuk makan terutama burung PIPIT UBAN dan PIPIT HITAM. Kelompok burung ini datang berkumpulan dan makan padi perlu dihalau dengan menarik tali tadi maka bunyi tin serta gerakan orang-orang mengejutkan burung dan terbang. Kami di pondok akan melaung sekuat hati menghalau burung tersebut. Tetapi kerja ini berterusan kerana kelompok burung pipit tetap akan datang lagi di lokasi lain dan perlu dihalau berkali-kali setiap hari.


Padi yang telah cukup masak akan dituai dengan memotong tangkai padi menggunakan sejenis pisau khas yang dibuat sendiri dipanggil sebagai 'ani-ani'. Besi lembut dipanaskan dan diketuk sehingga nipis dan dibengkokkan sebelum dipasang pada papan. Alat ini digenggam dengan tangan kanan dan tangkai padi dipotong dengan menarik tangkainya dan akan putus. Tangkai padi ini di ikat dengan tali (dulu guna tali dari pelepah pisang) dan digantung didalam pondok untuk pengeringan. Kaedah lain memotong rumpun padi huma dengan sabit dan terus dibanting dalam alat khas untuk terus meleraikan biji padi dengan tangkai.  Padi huma ini perlu dijemur sebelum di tumbuk dalam lesung kayu besar dengan alu kayu. Kulit padi yang pecah dan terpisah perlu di tampi untuk membuang kult dengan beras.


Beras padi huma memang agak sedap dimasak menggunakan kadar air yang sedikit. Rasanya berbeza dengan nasi dari padi sawah. Walau pun rasa dan aromanya agak berbeza tetapi keluarga saya terjamin bekalan beras untuk selama 3 tahun dengan menanam beras dari padi huma. Hasil padi huma memeng rendah sekitar 1.0 - 1.2 mt/ha dan jangkamasa menanamnya juga lama. Tanaman padi huma juga mudah diserang musuh terutama burung, babi hutan (menyondol dan menumbangkan rumpun padi), Belalang, Pianggang, Kesing, Tikus, Benah dan sebagainya. BERSAMBUNG...


PADI HUMA...HASILNYA KURANG...
PENGALAMAN SENDIRI...JADI INGATAN...
BERASNYA KERAS...BENIHNYA KURANG...
HANYA KENANGAN..ARTIKEL DIKARANG...


By,
M Anem
Senior Agronomist
Room 4-6, Blok Cempaka,
Teluk Batik Resort,
Lumut, Perak,
Malaysia.
(5 Safar 1433H)  

Tuesday, December 27, 2011

PUCUK DAUN UBI KAYU

PUCUK DAUN UBI (Manihot esculenta) merupakan sejenis sayuran daun yang dipetik dari pokok ubi yang menjadi makanan masyarakat Melayu di Malaysia. Pokok ubi yang ditanam lazimnya untuk mendapatkan hasil umbisinya iaitu Ubi Kayu yang boleh dituai seawal 9-10 bulan selepas ditanam. Terdapat seluas 2,450 hektar tanaman ubi kayu di Malaysia pada tahun 2011 dengan pengeluaran hasil melebihi 41,500 metrik tan dimana kebanyakan di tanam di Negeri Johor (83% kawasan penanaman ubi kayu di Malaysia) , diikuti dengan Negeri Selangor dan Perak. Kebanyakan ubi kayu yang ditanam adalah untuk penghasilan ubi bagi kegunaan projek Industri Asas Tani seperti membuat Kerepek Ubi serta untuk kilang memproses ubi bagi pengeluaran tepong ubi, ubat gigi dan sebagainya. Pucuk Daun Ubi merupakan hasil sampingan yang digunakan oleh masyarakat tempatan bagi kegunaan sayur-sayuran dan menu lain yang sesuai. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pucuk daun ubi kayu untuk kita dapat menambahkan ilmu pembaca semua.


Pokok ubi kayu ditanam menggunakan keratan batang dengan jarak tanaman 1m x 1m sama ada diatas tanah gambut (Khususnya di Johor dan Selangor) atau di atas tanah mineral. Walau pun jenis ubi yang ditanam kebanyakannya dari jenis 'White Twig', 'Yellow Twig' atau 'Black Twig' , beberapa varieti baru seperti Jenis Sri Pontian dan Medan tetapi untuk penggunaan  pucuk daun ubi yang terbaik adalah dari Jenis UBI PULUT. Daun Ubi lain boleh dimakan tetapi saya dah pasti ubi pulut merupakan paling sesuai untuk dijadikan sayuran. Pokok Ubi Pulut mempunyai daun berwarna hijau sederhana dengan helai daun yang panjang (4-7 cm panjang dan 2-4 cm lebar). Pokok ubi pulut mudah ditanam dengan menggunakan keratan batang yang dicacak diatas tanah keliling rumah atau pun dalam bekas seperti pasu besar, tin minyak tanah dan sebagainya. 


Memetik daun ubi sangat mudah iaitu dengan mematahkan pangkal batang pucuk daun ubi lingkungan 20 -40 cm panjang bergantung kepada varieti dan cuaca. Pada musim hujan lazimnya pucuk daun ubi lebih banyak dan panjang berbanding dengan musim panas kering. Pucuk daun ubi segar ini perlu di ambil helaian daun dengan cara memisahkannya menggunakan tangan. Daun ubi didakwa mengandungi bahan 'cyanide' yang sedikit dan juga getah yang menyebabkan rasa pahit. Daun ubi perlu direbus dahulu sebelum dimakan dengan memasukkannya kedalam periok yang mengandungi air panas yang mendidih. Petua orang tua masukan setengah susu minyak masak kedalam rebusan air panas untuk melembutkan lagi daun ubi.  Rebus selama 20-30 minit sehingga daun ubi menjadi lembut dan tidak keras atau liat lagi. Toskan air dan keluarkan air dengan memerah atau gengam perah dengan kuat sehingga tiada air rebusan daun ubi didalamnya.


Daun ubi rebus sedap dimakan dengan cecah sambal tumis atau sambal ikan bilis dimakan dengan nasi panas atau ikan goreng atau ikan masin (Lihat foto sebelah). Masakan lain dari daun ubi yang popular adalah masak lemak cili api daun ubi sama ada masak lemah putih atau masak lemak kuning (Bubuh Kunyit Sahaja). Menu masak lemak daun ubi cili api ini banyak dijual di restoran-restoran masakan kampong di eluruh Malaysia terutama untuk hidangan makan tengahari. Dalam masyarakat Jawa di Johor masak lemak daun ubi ini selalunya dicampur dengan Tempe (lebih enak kalau tempe tersebut dah hampir nak busuk). Kebanyakan penduduk kampong masak pucuk ubi sekurang-kurangnya sekali atau dua kali sebulan. Punca daun ubi yang ditanam disekeliling rumah memudahkan menyediakan menu ini.


PECAL atau Pecel merupakan sejenis makanan yang popular dalam masyarakat Jawa di Malaysia dan juga di Indonesia (Lihat foto). Komponen yang wajib dalam pecel adalah daun ubi dan dicampur dengan daun lain seperti daun keledek, kacang panjang, taugeh, betik muda direbus, sengkuang, hirisan timun dan tahu dan tempe. Kuah yang dibuat dari sos cili api dengan kacang tanah putih dan cekur (kencur) ditumbuk lumat dan dicairkan dengan air suam. Pecel dimakan begitu sahaja atau dimakan dengan nasi. Di Pasar Malam Kg Labohan Dagang, Banting, Selangor ada Wak yang jual pecel setiap minggu dengan harga RM 2.00 satu bekas. Kalau kempunan nak makan pecel dan tak sempat buat sendiri beli sahaja dengan wak tersebut.


Urap Daun Ubi merupakan produk popular dari daun ubi. Daun ubi yang telah direbus di gaulkan dengan ramuan cili padi, bawang merah dan garam serta gula yang dilumatkan. Masukkan taugeh dan kelapa parut yang telah digaul dengan ramuan tadi. Urap sedap dimakan pada waktu tengahari atau waktu makan malam. Dalam maljis 'cukur jambul' atau dalam bahasa Jawa 'Puputan' menu urap daun ubi merupakan hidangan wajib di sediakan untuk jamuan dikalangan masyarakat Jawa di Muar , Johot. Kadang-kadang urap di tambah dengan hirisan daun cekur untuk menambah kelazatannya. 


Khasiat daun ubi yang dimakan banyak berkait dengan kesihatan manusia. Pertama sekali ialah daun ubi pastinya mengenyangkan kita setelah makan dengan nasi atau makan pecel. Orang dulu percaya makan daun ubi dapat hilangkan pening atau sakit kepala selain daripada menjadi penghalang kepada masaalah tumor atau kanser. Daun ubi banyak mengandungi Vitamin A, B17 dan C serta bahan mineral seperti Kalsium, Posforan, Zat Besi dan serat. Protin dan Karbohiderat serta tenaga yang ujud dalam daun ubi akan menyihatkan kita. Penyakit cirit birit juga boleh disembuhkan dengan minum air rebusan daun ubi dengan masukan 900 cc air dan daun ubi sehingga tinggal 450 cc air sahaja untuk diminum.  Makanlah daun ubi kayu untuk menyihatkan tubuh badan dan kurangkan risiko penyakit.


PUCUK DAUN UBI...MEMANG SANGAT BERGUNA...
DI BUAT PECEL...URAP PUN SEDAP JUGA...
MUDAH DIDAPATI..TAK PERLU TANYA HARGA...
TANAM SENDIRI...DAPAT BEKALAN SENTIASA...


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia.
(27 Julai 2011)

Monday, December 26, 2011

KESUM

KESUM (Polyganum minus) merupakan sejenis tumbuhan herba atau ulaman dari keluarga Polygonaceae yang terdapat di Malaysia dan negara lain yang serupa dengan iklim negara kita. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan sebagainya yang digunakan sebagai ulaman dan bahan untuk masakan seperti Asam Pedas dan juga Laksa Penang. Tumbuhan ini tumbuh liar dikawasan tanah lembab dan berair seperti di tepi kolam, tepi parit dan juga dikawasan kebun keliling rumah (selalunya ditepi bilik air). Bahagian daun pada pokok kesum merupakan komponen yang digunakan dalam masakkan menghasilkan rasa masam lemak dan aroma yang cukup menyelerakan. Nama lain bagi kesum seperti Chinese Knotweed (English), Duo mao lio (China), Surudo kudami (Jeppun) tetapi ianya dari spesis yang lain dengan Kesum di Malaysia. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok daun kesum untuk pengatahuan anda.


Pokok Kesum merupakan sejenis pokok renek yang menjalar diatas tanah atau menjalar diatas pokok lain atau sebarang sokongan. Ketinggian pokok kesum mempu sehingga 1 meter di kawasan tanah rendah tetapi di kaawasan tanah tinggi seperti di Cameroon Highland mampu tumbuh setinggi 1.5 meter. Daun kesum berwarna hijau gelap dengan bentuk panjang dan tajam dihujung daun berukuran 1.5 - 2 cm lebar dan 5.0 - 7.0 cm panjang. Susunan daun kesum adalah bersilang dan dalam bilangan 3-5 helai daun dalam satu tangkai daun. Batangnya berwarna coklat gelap dibahagian tua dan kehijauan pada bahagian pucuk yang berbentuk selinder dimana mempunyai banyak ruas. Bahagian ruas mampu mengeluarkan akar jika terletak diatas tanah dan cepat membesar. Akarnya merupakan akar serabut yang terpadat pada bahagian perdu pokok. 


Ramai orang tidak perasan akan bunga dan buah pokok kesum. Saya dapati hanya pokok kesum yang ditanam dengan baik sahaja akan menghasilkan bunga dan buah.  Bunga kesum mempunyai 4 kelopak berwarna putih keunguan dengan ditengahnya terdapat stigma dan filamen juga berwarna putih dan sedikit keunguan (Lihat foto sebelah). Saiz bunga sangat kecil yang keluar daripada bahagian pucuk pokok kesum terutama pokok yang telah berumur dan banyak menerima cahaya matahari. Buah kesum juga jarang dilihat dinegara kita kecuali jika  diperhatikan dengan baik. Belum banyak kajian mengenao marfologi tanaman pokok kesum dijalankan di Malaysia untuk dibuat rujukkan. Fungsi bunga dan buah tidak jelas tetapi boleh digunakan untuk pembiakbakaan tanaman ini.


Penyediaan kawasan untuk penanaman kesum perlukan tanah yang gembur dan lembab tetapi mempunyai sistem saliran yang baik. Baja organik digaul kedalam tanah dan penanaman selalunya menggunakan KERATAN BATANG atau boleh juga dipanggil sebagai KERTATAN SULUR. Keratan benih sepanjang 20 - 30 cm dipotong dan dimasukkan pangkal keratan kedalam tanah denga jarak 30 cm x 20 cm bergantung kepada kesesuaian tanah. Kalau menanam dalam bekas atau pot masukkan 5 - 10 keratan batang kesum dan tumbus sebahagian dengan tanah. Buat penyiraman sehingga pertumbuhan pokok kesum stabil. Berikan baja NPK 15:15:15 dan baja Urea atau baja Foliar untuk mempercepatkan pertumbuhannya. Kawalan rumpai dijalankan dengan cara manual iaitu mencabut dengan tanga. Jangan gunakan racun rumpai untuk mengawal rumpai.


Pokok kesum adalah tumbuhan yang cepat membiak dan membesar kalau menerima baja, air dan cahaya matahari sengan mencukupi. Tanaman kesum yang berumur 1-2 bulan boleh di petik pucuknya dengan menggunakan tangan atau dipotong dengan pisau. Pemotongan ini akan menggalakan pertumbuhan cabang atau dahan baru dan juga tunas baru. Pemotongan sepanjang 30 - 50 cm dibuat dan daun kesum perlu dibersihkan dengan air sebelum diikat untuk dihantar ke pasar atau disimpan dalam peti sejuk. Satu ikatan daun kesum mengandungi 5-8 batang keratan dijual dengan harga RM 0.80 - RM 1.20 dipasar basah atau Pasar Malam. Kalau hendak tanam daun kesum dalam pasu dan diletakkan ditepi rumah tidak perlu lagi membeli daun kesum pada masa akan datang.


Masakan Asam Pedas Ikan, Asam Pedas tetel atau Asam Pedas Daging akan lebih enak dengan dibubuh daun kesum yang memang agak lemak masam rasanya dan memberikan aroma yang sangat enak. Rasa asam pedas akan lebih enak jika dimasak dengan campuran bahan Kerisik Kelapa, Asam Keping dan Bunga Kantan dimakan dengan nasi panas dengan tiupan angin laut. Ditambah dengan beberapa jenis ulam seperti Petai, Jering, Pucuk Gajus atau Kerdas dan Sambal Belacan. Saya rasa tanpa daun kesum asam pedas memang tidak sempurna ramusnnya. Peranan daun kesum memang signifikan dalam masakan asam pedas.


Menu Laksa seperti Laksa Penang dan Laksa Johor memang menjadikan daun kesum sebagai ramuan penting. Laksa yang menggunakan bahan ikan dan bunga kantan memang akan lebih enak jika dimasukkan dengan daun kesum. Dikalangan masyarakat pantai timur pula daun kesum diracik dan dijadi kaeabu atau sebahagian dai ramuan untuk Nasi Kerabu. Keenakan nasi kerabu memang bergantung kepada ramuan bahan daun-daun yang digunakan. Khasiat daun kesum memang diketahui membantu dalam proses penghadaman perut kita dan juga menyedapkankan makanan. Daun kesum boleh digunakan sebagai penghilang Kelumumur dikepala dan merupakan air minuman yang baik untuk ibu lepas bersalin (Minuman dari rebusan air daun kesum). Kajian saintis juga mendapati kesum mempunyai kandungan Vitamin A , Vitamin C, Beta Karotin dan bahan galian seperti Kalsium, kalium dan juga Fosporus. 


Tumbuhan kesum mengandungi bahan yang dipanggil sebagai  'Alipathic aldehyde' yang memberikan aroma khas dan boleh juga di ekstrak untuk dijadikan minyak pati. Kajian mendapati kandungan bahan alipathis aldehyde ini adalah tinggi sehingga 605 dalam beberapa spesis tertentu. Kandungan bahan seperti Decanal dan Dodecanal dalam Alipethic aldehyde boleh didapati dengan mengeringkan daun kesum (Lihat foto sebelah) sebelum diekstrak untuk dijadikan minyak wangi atau bahan perisa masakan. Walau pun daun kesum hanya sejenis herba yang minor tetapi jika ada yang berusaha untuk mengkomersilkannya mungkin ianya ada potensi yang besar.


DAUN KESUM...KUAT AROMANYA...
ASAM PEDAS..RAMUAN UTAMANYA...
LAKSA PENANG..TIDAK TINGAGALKANNYA...
PENYEDAP MAKANAN...TANAM SENDIRI JAWABNYA...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Warisan Putrajaya,
Precint 16, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan, 
Malaysia
(30 Muharam 1433H)

TERNAK ANGSA

ANGSA (Cygnus spp atau Coscorba spp) adalah haiwan dari keluarga Anatidae yang sama dengan haiwan seperti Itek dan Swan. Haiwan ini terdapat di seluruh dunia dan mampu terbang terdiri daripada beberapa jenis seperti Angsa Toulouse, Angsa Afrika, Angsa Embden, Angsa Norway, Angsa Pilgrim dan juga Angsa China. Bagaimana pun jenis Angsa Putih merupakan jenis yang paling banyak diternak untuk tujuan komersil diseluroh dunia. Angsa di panggil sebagai Goose ; Geese (English), bebek (Indonesia) dan sebagainya. Di Australia banyak jenis angsa hitam dan juga kelabu. Taburan angsa mengikut kawasan geografi seperti jenis Angsa Hitam Australia (Cygnus atratus), Angsa di Eurasia (Cygnus olor), Angsa di Eropah dan Amerika Utara (Cygnus colombianus), Angsa di asia dan Eropaah (Cygnus cygnus) dan juga Angsa di Amerika Selatan (Cygnus melancorypus). Artikel subuh ini saya akan menulis mengenai angsa untuk pengetahuan dan tambahan ilmu kepada pembaca semua.


Menternak angsa di kampong masa dahulu memang menjadi satu aktiviti penting dan ramai suka dengan perangai angsa yang suka kejar kanak-kanak yang menggangunya (Lihat Foto). Angsa juga merupakan haiwan yang setia kepada tuannya dan mampu menjadi 'Jaga' kawasan rumah selain daripada anjing kerana apabila ada orang datang berkunjung kerumah kita, angsalah yang akan berbunyi dulu memberitahu tuannya. Malahan angsa sangat baik untuk menjadi jaga dimalam hari untuk memberitahu tuannya ada orang hendak mencuri dibelakang rumah kita. Kini tidak ramai orang kampong yang menternak angsa seperti dulu. Penternakan angsa hanya dijalankan oleh beberapa usahawan untuk tujuan pengeluaran daging angsa secara komersil atau Itek Angsa bersama dengan ternakan itek lain.


Pemerhatian saya mendapati angsa merupakan sejenis haiwan yang sangat tahan dari serangan penyakit berbanding dengan ternakan unggas yang lain. Angsa memang sinonim dengan aie kerana habitatnya memang perlukan air. Walau pun kawasan ternakan angsa dan itek kotor dan lembab tetapi jarang sekali angsa kita sakit. Pemeliharaan angsa sama ada untuk hobi atau komersil perlukan modal membeli anak angsa. Jenis untuk pengeluaran daging angsa menggunakan baka jenis Angsa Tolouse, Baka Angsa Embden atau Baka Angsa Afrika yang cepat membesar dan boleh dijual selepas 4-6 bulan diternak. Jenis Angsa China agak ringan ukuran berat badannya berbanding jenis diatas. Pengalaman menternak angsa akan menentukan jenis angsa mana yang banyak menghasilkan telur untuk dijadikan telur masin atau dijual sebagai telur angsa segar.


Angsa memerlukan kawasan khas untuk menternaknya dimana setiap ekor angsa memerlukan kawasan seluas 1m x m  dan untuk bergerak perlukan lagi kawasan seluas 1m x 3-4m kerana angsa sentiasa bergerak dan tidak suka duduk diam dalam reban. Reban angsa diperbuat dari tiang kayu yang berbunbung zink atau atap nipah dan diletakan bekas makanan serta tempat angsa berteduh ketika hujan atau gangguan angin kuat. Bekas minuman sebaiknya diletak berjauhan dari reban untuk  mempastikan dalam reban sentiasa kering. Alas rumpai atau kain guni untuk bertelur diletakkan dalam reban untuk persiapan bagi angsa matang bertelur nanti. Anak angsa yang dibeli pastikan daripada sumber pembekal yang dikenalpasti dari baka yang baik dan tulin. Anak angsa perlu dipelihara dalam reban sehingga 3 -4 minggu dann diberi makanan sepenohnya serta bantuan pemanas sebelum cukup sesuai untuk dilepaskan keluar. 


Makanan angsa sama seperti ternakan itek lain ada dijual dipasaran daripada beberapa syarikat ternama sperti Cargill, Sin Heng Chan dan sebagainya dalam bentuk pelet atau serbuk dedak. Pembesaran angsa adalah lebih cepat dengan memberikan makanan 'full feeding growers - finisher pellet' yang mampu manjasikan berat badan angsa seberat 5.5 - 7.5 kg dalam masa 12 - 14 minggu. Bagi mengelakan pertumbuhan bulu yang sangat lebat maka disyorkan agar diberikan makanan tambahan terdiri daripada rumput yang dipotong dan diberikan kepada angsa. Angsa adalah jenis haiwan yang HERBIVORE dimana mampu makan didaratan dan dalam air dengan menyudu tumbuhan, anak ikan, hidupan dalam air dal tumbuhan yang tumbuh didaratan. Angsa adalah haiwan yang MONOGAMI dimana seekor jantan akan bersama dengan 2-3 ekor bentina dan setia dengan pasangannya beberapa tahun. Angsa betina mampu bertelur selama 10 tahun dimana bilangan telurnya akan bertambah dari tahun ketahun sehingga angsa itu tua.


Telur Angsa perlu dikutip setiap hari terutama pada musim hujan. Telur angsa perlu dibersihkan dahulu sebelum dijual dipasaran atau untuk diproses untuk dijadikan telur masin (Rujuk blog saya mengenai pembuatan telur masin). Bagi tujuan penyimpanan telur perlu dimasukkan dalam bekas khas (foto sebelah) dengan kelembapan 70% dan suhu sekitar  7-13 celcius dan akan tetap segar simpanan selama 6-7 minggu. Bagi tujuan untuk penetasan masukkan telur angsa dalam inkubator yang membalikan 4-5 kali sehari untuk selama 29 -30 hari sebelum  menetas. Pastikan telur angsa yang bernas sahaja dimasukkan sebanyak 10-12 biji dalam satu tray dalam inkubator. Keluarkan anak angsa yang telah menetas uuntuk tujuan pemeliharaan yang lain.


Daging Angsa sesuai dimasak dengan pelbagai cara dimana salah satu menu adalah dengan menggoreng ala Chinese Peking Dick (Roasted Duck). Resepi ini yang saya makan di Restoran Dragon Muslim di Beijing pada 4 Dec 2011 lalu dan memang sedap sekali. Semasa bertugas di Mersing dulu masakan dang angsa dibuat Rendang Angsa memang enak sekali dimana semua kakitangan mengadakan Hari Keluarga di Stesyen Pertanian Teluk Sari, Endau yang terletak di tepi pantai. Rendang Angsa dan Rendang Itek Muscovy dihidangkan selepas acara Sukaneka dan kena dengan angin laut ...wow memeng best betul!. Sekarang agak sukar nak makan daging angsa dan itek muscovy seperti dulu kerana tidak tahu dimana hendak beli daging angsa.


MENTERNAK ANGSA....MEMANG MENYERONOKKAN...
ANGSA BERBUNYI...MAKNANYA ADA ORANG DATANG...
DIMASAK RENDANG...BERAMAI-RAMAI MAKAN...
DULU ADA BEKALAN...KINI TINGGAL INGATAN...


Related Article:
1. Itek Muscovy (Klik disini)
2. Telur Masin (Klik disini)
3. Ayam Telur (Klik disini)
4. Telur (Klik disini)
5. Industri Ternakan di Malaysia (Klik disini)


By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia
(30 Muharam 1433H) 

Sunday, December 25, 2011

POKOK SEKENTUT

POKOK SEKENTUT (Paederia foetida) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Rubiaceae yang tumbuh liar dalam belukar dan daunnya mengeluarkan bau yang amat busuk jika di lumatkan atau dipotong macam 'Bau Kentut'. Saya mengenali tumbuhan ini dari kecil lagi kerana banyak tumbuh di kawasan kebun dan belukar serta tepi jalan dikampong dahulu. Ketika kerja menebas semak samun dalam kebun getah dan terkena dengan pokok sekentut maka saya kenal dengan baunya yang busuk dan kuat. Nama lain bagi tumbuhan sekentut seperti Daun Sekentut, Akar Sekentut, Akar Kentut-kentut (Melayu), Skunk Vine (English) dan sebagainya. Tumbuhan ini belum banyak kajian dijalankan oleh para penyelidik tempatan kerana tidak banyak laporan saintifik didapati. Artikel ketiga hari ini (sempena cuti Krismas) saya cuba menulis mengenai pokok sekentut apabila kaki saya tersangkut pada jalaran daun sekentut di kampong Gersik, Muar , Johor dekat tepi parit petang tadi.


Tumbuhan Sekentut merupakan tumbuhan liar yang cepat tumbuh dengan menjalar diatas tumbuhan lain sehingga mampu menutupi keseluruhan kanopi pokok tersebut. Ianya mudah didapati dikawasan semak belukar yang menerima cahaya matahari di kebanyakan kawasan beriklim tropika seperti di Malaysia, Indonesia dan negara lain yang serupa. Daun sekentut berbentuk panjang dan tirus atau tajam dihujung berukuran 5.0 - 7.0 cm dan lebar sekitar 1.5 - 3.5 cm dan berwarna hijau sederhana terang. Daun sekentut mempunyai susunan bersilang dan bertentangan yang keluar dari ruas batang. Batangnya berwarna hijau pada bahagian muda dan akan menjadi coklat kehijauan apabila dewasa. Banatng pokok sekentut menjalar dan berputar diatas pokok lain dengan kuat. Akarnya mempunyai akar utama dan juga akar serabut disekelilingnya. Jika batang pokok menjalar diatas tanah akan keluar akar pada ruasnya.


Bunga pokok sekentut agak kecil dengan kelopak berwarna putih dimana dibahagian tengahnya mempunyai bulatan berwarna ungu. Terdapat 5 kelopak seakan bercantum dan pada keseluruhannya seperti corong berjambak yang bersaiz kecil sekitar kurang dari 1 cm sahaja. Kaedah pembiakan pokok sekentut dengan keratan batang dimana setiap ruas batangnya mampu mengeluarkan akar dan terus bertunas dan menjadi pokok baru. Bahagian bunga muda berbentuk kudup selinder dan berwarna putih. Belum dapat dipastikan sama ada biji bunga dihasilkan selepas pendebungaan.


Saya tidak pernah tahu dahulu akan kegunaan daun sekentut. Daripada bacaan dan rujukkan dalam buku herba mendapati daun sekentut ada digunakan di Utara Semenanjung Malaysia (Kedah, Kelantan, Terenggganu) sebagai salah satu daripada ramuan untuk Nasi Ulam. Ia merupakana salah satu daripada ramuan nasi ulam yang lain seperti Daun Lemuni, daun limau nipis, daun sekentut dan daun cekur (orang Jawa Johor panggil daun Daun Kencur). Semua daun ini di[potong dan diracik halus sebagai ramuan nasi ulam. Walau pun kita tahu daun sekentut berbau busuk tetapi bau ini akan hilang apabila dicampur dengan semua ramuan daun nasi ulam tersebut dan menambahkan keenakan Nasi Ulam. Orang tua-tua dulu kata nasi ulam ini bagus dimakan kerana mampu mengeluarkan angin dalam badan.


Belum banyak kajian klinikal mengenai kegunaan daun sekentut dibuat sehingga kini. Petua orang lama menyatakan daun sekentut yang di lumatkan dan dicampur dengan kapor serta digaul sehingga hasilkan seakan buih. Buih ini kemudian di letakkan pada perut bayi membantu membuang angin dalam perut bayi. Mungkin kandungan dalam tumbuhan sekentut ini perlu dikaji secara saintifik bagi mengetahui komponennya. Mana tahu satu hari nanti akan ada usahawan yang memnghasilkan jus, kapsul, serbuk atau pil dari daun sekentut yang boleh dijual untuk tujuan kesihatan atau kosmetik. Pokok sekentut adalah dipercayai natif dari negara kita yang boleh dieksploit lagi pada masa akan datang.


POKOK SEKENTUT...WAH BUSUK BAUNYA....
RAMUAN NASI ULAM...ANGIN DIBUANGNYA...
CEPAT MENJALAR....POKOK LAIN MANGSANYA...
BANYAKKAN KAJIAN...KENALPASTI KHASIATNYA...


Related Article:
1. Tongkat Ali (Klik disini)
2. Asam Gelugor (Klik disini)
3. Cekur (Klik disini)
4. Bakawali (Klik disini)


By,
M Anem
Teluk Kemang, Port Dickson,
Negeri Sembilan, Malaysia.
(29 Muharam 1433H)       

TANAM TEBU KUNING

TEBU KUNING (Saccharum officinarum Linn) merupakan sejenis tanaman kontan dari keluarga Graminae yang diproses untuk mendapatkan airnya atau ada yang memproses untuk dijadikan gula. Tebu Kuning ditanam di Malaysia di kawasan khas atau sebagai tanaman selingan dalam pokok getah atau kelapa sawit yang baru dibuka. Keluasan tanam tebu di Malaysia direkodkan sebanyak 1,020 hektar dengan penghasilan sebanyak 17,800 metrik tan pada tahun 2010 dimana kawasan utama penanaman tebu kuning di Negeri Johor terutama di Daerah Muar, Johor serta Batu Pahat dan juga di Daerah Kuching Sarawak. Tebu kuning merupakan satu tanaman yang di tanam untuk kegunaan domestik dan juga di ekspot ke Singapura dalam bentuk tebu segar. Artikel tengahari ini saya menulis teknologi penanaman tebu kuning untuk panduan mereka yang ingin mengusahakannya sebagai panduan asas sahaja. Kalau betul-betul berminat boleh memohon kursus di Jabatan Pertanian atau buat latihan 'hands-on' dengan petani atau pengusaha tebu.


Pokok tebu kuning merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai batang beruas tegak tanpa cabang dan tumbuh pada rumpun diatas tanah yang subur. Batang Tebu berbentuk selinder dengan panjang sekitar 1.8 - 3.0 meter dan ruas berukuran sekitar 5'0 - 10.0 cm garispusat. Saya dapati setiap ruas tebu mempunyai mata tunas dan boleh digunakan untuk bahan tanaman. Tebu ditanam menggunakan keratan batang yang mempunyai mata tunas dan disusun dalam longkang barisan tanah. Daun tebu berbentuk memanjang 2-4 meter yang keluar dari bahagian pucuk dengan lebar daun 4-8 cm. Tebu kuning mempunyai akar serabut dipangkal pokok dan berakar cetek. Satu rumpun pokok tebu mempunyai 6 - 12 batang pokok dan jika di uruskan dengan baik dan untuk dapatkan kualiti baik perlu tinggalkan kurang 6 batang setiap rumpun. 


Tanaman tebu kuning sangat sensitif dengan keadaan tanah dan juga memerlukan cahaya matahari yang mencukupi.  Kawasan terlindung dan kurang air kurang sesuai untuk penanaman tebu kuning kerana kawasan kemarau akan menyebabkan saiz tebu kecil dan kurang subur apa lagi kalau kurang baja organik. Tanah rata denga liat berpasir atau kawasan tanah gambut di Muar dan Batu Pahat sangat sesuai ditanam tebu kerana ada sistem pasaran kontrak dan Pusat Pengumpulan Tebu milik swasta dan juga milik FAMA. Penanaman tebi di Daerah Muar sahaja melebihi 300 hektar dimana kebanyakannya ditanam dikawasan tetap secara monokrop atau tanaman selingan dicelah kelapa sawit atau kebun getah (Penanaman semula getah).


Kawasan dibajak dahulu menggunakan bajak piring sebanyak dua kali untuk menggemburkan tanah dan perlu dibuat alor penanaman. Bagi kawasan tanah gambut hanta perlu diracun dahulu dan dibersihkan sebelum dibuat alur penanaman. Benih tebu adalah keratan batang dari pokok tebu kuning yang telah mencapau umur 7-9 bulan (cukup matang) dan dipotong sepanjang 18 - 22 cm dimana perlu dipastikan mempunyai sekurang-kurangnya 3 mata tunas. Keratan tebu untuk benih perlu ditanam segera dan kelewatan penanaman melebihi 3 hari akan menjejaskan pertumbuhan. Lazimnya saya dapati 2,800 - 3,000 batang tebu kuning mampu menghasilkan sebanyak 2,800 - 3,000 kerataan benih tebu. Keratan benih tebu dirawat dengan racun kulat seperti Benomyl atau Dieldrin dengan mencelupkan kedapam larutan racun tersebut.


Jarak penanaman dan susunan penanaman bergantung kepada keadaan tanah, tanaman monokrop atau selingan dan dalam alur atau atas batas. Jarak biasa digunakan adalah 2 meter antara x 0.3 meter dalam baris dengan kepadatan tanam tebu kuning sebanyak 17,000 - 18,000 pokok sehektar. Pastikan menanam tebu dalam alur dalam keadaan berbaring dan kemudian timbus dengan tanah. Kawalan rumpai boleh dijalankan secara manual atau menyembur racun pracambah (seperti Altrazine dengan kadar 4 liter/ha) selepas menanam sehingga berumur 6 bulan berikutnya. Kegagalan mengawal rumput dari peringkat awal akan menjejaskan pertumbuhan tebu kerana persaingan dari segi ruang, cahaya matahari dan juga makanan.


Pembajaan tanaman tebu kuning perlu dirancang dengan sempurna. Baja NPK 15:15:15 sebanyak 250 kg sehektar diberikan semasa menanam kemudian kadar yang sama diberikan selepas pokok berumur 3 bulan. Baja urea sebanyak 125 kg/ha juga ditabur ketika pokok berumur 3 bulan. Urea akan membantu pembentukkan daun agar lebih cepat dan banyak. Selepas 5 bulan baja NPK 15:15:15 sebanyak 300 kg/ha diberikan lagi diikuti dengan baja organik jika keadaan tanah kurang subur. Bagi mempastikan pokok subur buat kerja menimbus pangkal perdu pokok tebu kuning dengan cangkul pada umur pokok 3-5 bulan. Jika ada pokok yang mula rebah perlu dipasangkan tiang kayu dan rumpun tebu perlu diikat supaya tumbuh menegak untuk menjamin kualitinya. Tebu yang rebah dan bengkok akan jatuh kualiti dan grednya.


Masaalah penanaman tebu adalah serangan Ulat Pengorek Batang Tebu (Ostrinia salentiales) merosakkan batang tebu dengan larvanya merosakan dan membuat lubang dalam batang tebu (Lihat foto sebelah). Kesannya menyebakan tebu tidak boleh dijual dan kawalan dengan membuang pokok diserang dan membakarnya. Semburan racun serangga jenis Endosulfan (Thiodan) membantu mengurangkan serangan ulat ini. Amalan menggunakan Furadan 3G pada peringkat awal penanaman boleh mengelakan serangan ulat ini (PHI Furadan melebihi 3 bulan) dan penggunaan Furadan pada tanaman hampir menuai adalah dilarang.  Serangan penyakit 'Bulir Hitam' dikawal dengan merendam benih tebu kuning dalam air panas 50 darjah selsius yang dicampur Benomyl (Benlate) selama 2 jam.  Musnahkan pokok tebu yang diserang penyekit bulir hitam.


Tebu Kuning lazimnya sesuai dituai selepas 8 - 9 bulan selepas ditanam apabila pokok setinggi hampir 2.5 -3.0 meter dari paras tanah. Cara menuai tebu ada yang di buat sebanyak 3 peringkat dalam masa 2 tahun dan ada juga petani yang menuai sekali gus bergantung kepada sistem pemasaran dan harga tawaran yang ada. Batang tebu yang matang di potong menggunakan parang tajam di pangkal pokok dan direbahkan sebelum di potong bahagian pucuknya untuk membuang daun dan dibersihkan. Batang tebu sepanjang 8 - 9 kaki di susun dan diikan dalam bilangan 10-15 batang satu ikatan. Bagi tujuan jualan terus akan dihantar kepada pemborong atau dinaikan ke lori untuk dihantar kepada pembeli. Tebu untuk ekspot ke Singapura akan dibawa ke Pusat Memproses dimana kulit tebu akan dikikis, pergelangan ruas tebu di kikis dan di poorong sepanjang 10 -12 inci sebelum dimasukkan kekotak dan dihantar ke Singapura. Air Tebu mendapat permintaan baik terutama pada musim paanas di Pasar Tani, Bazaar Ramadan dan Gerai Air Tebu ditepi jalan. 


TANAM TEBU KUNING...AIRNYA MANIS SEKALI....
TEBU DITANAM...BENIH KERATAN DIRAWATI...
LEPAS 9 BULAN...HASIL BOLEH DI TUAI...
KALAU BERMINAT..KURSUS BOLEH DIHADIRI...


Related Articles:
1. Tebu Ekspot (Klik disini)
2. Nenas (Klik disini)
3. Lemba (Klik disini)
4. Baby Corn (Klik disini)
5. Belimbing Buloh (Klik disini)


By,
M Anem
Jalan Istana, Air Keroh,
Bukit Beruang, Melaka, Malaysia.
(29 Muharam 1433H)

LINTAH

LINTAH (Hirudo medicinalis) merupakan sejenis haiwan analid dari subklas Hirudenea yang terdapat di negara kita dan ramai orang takut kena gigitan lintah. Lintah atau dipanggil sebagai 'Leech' dalam bahasa Inggeris merupakan haiwan yang boleh hidup pada air tawar, air laut dan juga dikawasan daratan (Mungkin anda tahu haiwan seperti lintah iaitu 'pacat' dikawasan hutan). Lintah mampu menghisap darah sebanyak 5-15 ml iaitu sebanyak 4-5 kali ganda dari berat badan lintah setiap kali makan. Ini yang ajaib mengenai lintah yang dulu liar dan kini mula di ternak untuk tujuan komersil menghasilkan minyak lintah dan juga dijadikan bahan perubatan serta kesihatan dengan teknik berbekam yang juga menggunakan lintah. Kalau dahulu saya cukup takut dan geli kena gigitan lintah ketika kerja dalam sawah padi di Sawah Ring, Muar tetapi kini ternakan lintah telah pun di komersilkan oleh ramai usahawan di Malaysia. Artikel subuh ini saya 'post' mengenai haiwan lintah berdasarkan maklumat dari pelbagai sumber dan pengalaman penulis ketika menjalankan tugas di seluroh Negeri  Johor selama 14 tahun.


Lintah merupakan golongan Olegochaeta iaitu haiwan yang mempunyai kulit analid sebagai organ badan yang mampu mengembang dan merembeskan cecair. Lintah seperti juga cacing merupakan haiwan Hemaprodit iaitu mempunyai kedua-dua organ pembiakan Jantan dan Betina setiap ekor yang cepat membiak dengan sendiri. Saiz badan lintah bergantung kepada spesis lazimnya sekitar 5.0 - 10.0 cm dengan warna kulit coklat kehitaman atau hitam atau kekuningan bergantung kepada keadaan keliling. Bahagian kepala mempunyai mulut dan bergigi untuk menghisap darah daripada mangsa sehingga kenyang. Setelah kenyang maka lintah lazimnya akan melepaskan gigitan dan akan meneruskan proses penghadaman melalui 34 segmen yang terdapat pada badan lintah.


Lintah yang diternak memerlukan kawasan khusus seperti keperluan menggunakan tangki fiberglass, tangki kanvas, kalbat atau tangki konkrit (Lihat foto sebelah). Tangki tersebut perlu diisikan dengan air bersih dan selalunya dimasukan dengan tumbuhan terapong seperti Kiambang atau lain-lain tumbuhan yang sesuai untuk berfungsi sebagai tempat lintah berlindung dan lintah bersembunyi. Bahagian atas perlu ditutup dengan jaring untuk mengelakan lintah merayap keluar dari tangki penternakan. Induk lintah yang berkualiti dimasukkan dan diberi makan mengikut jadual. Makanan lintah adalah ikan keli atau belut yang dimasukkan kedalam tangki. Lintah akan melekap pada badan ikan keli atau belut kemudian menyedut darahnya sehingga kenyang dan terus membiak dengan cepat. (Banyak syarikat yang menganjurkan kursus ternakan lintah di negara kita). Terdapat juga makanan lintah alternatif yang dibekalkan oleh syarikat swasta dengan harga RM 10.00 - RM 20.00 setiap 5 kg bagi meningkatkan proses pembesaran.


Benih lintah dijual selalu dengan harga RM 1.00 - RM 2.00 iaitu bergantung kepada spesis, saiz dan sama ada ada sistem penternakan Kontrak Farming atau tidak. Induk Lintah juga perlu dibeli dengan anggaran harga RM 1.50 - RM 2.80 seekor dan mampu membiak dengan cepat. Keperluan lain dalam penternakan lintah adalah bahan seperti Belut atau Ikan Keli (Harga tawaran RM 15.00 - RM 18.00 sekilogram) dan juga agen rawatan air (Lazimnya yang sesuai adalah larutan EM - pada Harga RM 20.00 satu bekas). Keperluan makanan untuk 100 kg lintah perlukan sebanyak 30-40 ekor belut. Pengurusan ternakan lintah perlu dipelajari dengan menghadiri kursus menternak lintah kerana tanpa ilmu yang sempurna pelaburan akan sia-sia. Pemasaran hasil lintah tidak mudah seperti selalu dinyatakan ketika berkursus. Walau pun ada sistem pasaran kontrak tetapi ramai usahawan yang telah menghadapi masaalah untuk menjual lintah hidup. Kajian mendapati harga jualan lintah di Malaysia sekitar RM 60.00 - RM 180.00 sekilogram bergantung kepada kualiti lintah dan perjanjian dalam pasaran kontrak farming. Permintaan lintah dipasaran dunia adalah sangat tinggi untuk produk kesihatan dan juga untuk produk kecantikan.


Lintah boleh diproses untuk dijadikan minyak lintah setelah melalui pelbagai proses untuk menghasilkan 'minyak lintah'. Rujukan maklumat yang dibuat dalam beberapa website menunjukkan khasiat minyak lintah dikaitkan dengan organ seks lelaki. Minyak lintah juga ada disebut dalam kitab 'Rawd' karangan Sheikh Nefzawi dan Ibnu Yusuf mengenai khasiat dan cara menggunakan secara lengkap. Kepada para lelaki yang belum tahu akan 'keajaiban' minyak lintah boleh buka beberapa website berkaitanuntuk mendapatkan minyak lintah. Harga minyak lintah juga tidak murah antaranya 'Minyak Lintah Tapa' dijual diinternet dengan harga RM 39.90 satu botol. Mungkin pembaca perlu mendapatkan minyak lintah yang telah mendapat sijil QC (Kualiti Kontrol) yang dikeluarkan oleh pihak-pihak berkuasa bagi mengelakan barang tiruan.


Dalam dunia moden sekarang kaedah rawatan berbekam dengan gigitan lintah telah menjadi satu kaedah rawatan untuk meningkatkan kesihatan (Lihat foto sebelah). Ramai para usahawan dan Kedai SPA yang menyediakan teknologi rawatan menggunakan lintah di Malaysia dan di Indonesia dengan harga yang berpatutan. Rawatan menggunakan 10 ekor lintah mampu menyedut sebanyak 150 ml darah dari badan pesakit selama beberapa minit/jam dan lintah akan melepaskan gigitan apabila telah kenyang. Dipercayai lintah menyedut 'darah kotor' dan selepas itu pening kepala atau migrain akan hilang. Gigitan lintah 'tidak rasa sakit' hanya seperti saya rasa macam gigitan nyamuk sahaja dan kadang-kadang rasa gatal selepas digigit. Cecair yang dikeluarkan oleh gigitan lintah menyebabkan darah lambat membeku selepas digigit. Kaedah berbekam menggunakan lintah membantu meningkatkan kesihatan seperti masaalah peredaran darah, pening kepala, masalah sengugut, haid dan banyak lagi yang tidak dapat disebutkan. Ternakan lintah mampu meningkatkan pendapatan pengusaha asalkan mahu berusaha.


MENTERNAK LINTAH...TAKUT DAN GELI...
MAKANAN UTAMA...BELUT & IKAN KELI...
HARGA TINGGI...KALAU ADA PEMBELI...
MINYAK LINTAH...KHUSUS UNTUK LELAKI...


By,
M Anem
Jalan Istana, Air Keroh,
Melaka, Malaysia.
(30 Muharam 1433H)

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...