Tuesday, December 6, 2011

PISANG KAKI


PISANG KAKI (Diospyros kaki) merupakan sejanis buah-buahan dari keluarga EBENACEAE yang tumbuh dinegara mempunyai 4 musim dan dikawasan tropika yang sesuai. Dinegara kita penanaman pokok pisang kaki kurang popular dan mengimpot buah tersebut dalam bentuk buah segar dan buah proses. Pisang kaki juga dipanggil sebagai Persimmon Fruit, Kaki Persimmon,  Japanese Persimmon, Shizi (China), Sharon (Israel) dan sebagainya. Buah ini ada dikaitkan dengan keagamaan oleh beberapa iaitu sebagai 'Buah Dewa' walau pun namanya di negara kita sebagai 'Pisang Kaki' tetapi bukanlah macam buah pisang dari kumpulan buah Musaceae. Terdapat lebih daripada 400 spesis pisang kaki yang terdapat diseluruh dunia tetapi hanya beberapa spesis sahaja yang di tanam secara komersil seperti Pisang Kaki Amerika (Diospyros virginiana), Pisang Kaki Hitam (Diospyros digyna), Pisang kaki Mabolo (Diospyros discolor), Pisang Kaki Kormaloo (Diospyros lotus) dan yang paling popular ditanam adalah spesis Pisang kaki Jepun (Diospyros kaki)


Pisang Kaki adalah sejenis tumbuhan saka berkayu yang tumbuh menegak dengan ketinggian mencapai sehingga melebihi 10 meter jika tidak dicantas. Pokoknya mempunyai banyak cabang atau dahan yang seimbang seperti juga bentuk pokok epal mengeluarkan daun dan buah. Daunnya berwarna hijau sederhana gelap dan hijau pekat berbentuk 'lanceolat' lebat, agak keras dan lazimnya panjang dengan lebar daun adalah seimbang. Bunga akan keluar pada bulan Mei-Jun setiap tahun dan berbuah masak pada bulan November-Disember. Bunga pisang kaki betina berwarna putih krim dengan mempunyai 4 kelopak sementara bunga jantan berwarna putih pink dimana pokok jantan dan betina adalah dari pokok yang berbeza. Terdapat juga kadang-kadang pokok pisang kaki yang mempunyai kedua-dua jenis bunga dalam satu pohon atau dipanggil bisexual (Hermaprodite). Pokok pisang kaki hanya akan mula berbunga setelah berumur 4-6 tahun ditanam. 


Buah yang berbentuk bulat atau bulat leper yang berwarna hijau ketika muda dan akan bertukar kepada warna kuning jingga atau jingga kemerahan apabila cukup masak. Saiz buah  diantara 4.0 - 9.0  garispusat  bergantung kepada spesis dan kaedah pengurusan penanaman. Buah muda yang berwarna hijau mempunyai struktur yang agak keras tetapi akan menjadi semakin lembut apabila buah tersebut mulai masak. Kulitnya yang berkilat mempunyai warna kuning jingga kemerahan yang sangat menarik jika dipamerkan untuk jualan. Berat setiap biji buah sekitar 250 gram sehingga maksima seberat 500 gram sebiji. Setiap buah mengandungi biji benih antara 5-8 biji yang berukuran 3-6 mm garispusat dan boleh digunakan untuk bahan penanaman.  


Dalam lawatan saya ke China (Disember 2011) dan ke Korea ( 2 kali pada 1990 dan 1993) mendapati pokok pisang kaki ditanam secara komersil dikebun dan kawasan keliling rumah. Jarak untuk penanaman 4 meter x 6 meter (penanaman yang agak jarang) dengan menggunakan anak benih yang disemai. Pokok pisang kaki perlukan cantasan dari peringkat awal penanaman untuk mendapatkan bentuk pokok yang seimbang dan ketinggian optima untuk aktiviti mengutip hasil. Pengurusan penanaman pisang kaki tidak jauh berbeza dengan pengurusan penanam pokok epal, buah kiwi dan buah pear. Tanaman tidak mempunyai masaalah serangan penyakit dan serangga yang kritikal.  Baja organik dan pengurusan air disediakan dengan baik. Pokok pisang kaki yang diuruskan dengan baik mampu mengeluarkan bunga selepas 3 tahun ditanam. Buah yang telah masak akan dituai dan digredkan mengikut piawaian bagi tujuan jualan segar atau untuk dikeringkan atau diproses.


Negera China, Korea dan Jepun menghasilkan hampir 90% pengeluaran pisang kaki didunia walau pun negara lain ada menanamnya untuk keguanaan domestik dan juga ekspot. Buah Pisang Kaki yang segar dimasukkan dalam kontena sejuk sehingga dijual dimerata dunia sementara sebahagian besar lagi di keringkan dan di leperkan (foto sebelah) serta tahan lama. Cara makan buah pisang kaki segar boleh terus dimakan bersama-sama kulitnya atau dibuang kulitnya dahuluu sebelum dimakan. Kandungan unsur Tanin yang tinggi pada kulit pisang kaki menyebabkan rasa agak kelat jika dimakan segar. Buah pisang kaki kaya dengan zat Vitamin C, Beta Carotene (Pro Vitamin A), Zat galian dan bahan antioksidan yang lain. Buah pisang kaki yang diproses menggunakan air panas dan bahan lain dan dikeringkan secara manual atau menggunakan mesin pengering (Dryer). Buah kering akan disusun mengikut saiz dan gred sebelum dipasarkan dalam bentuk 'whole fruit' atau 'cut fruit'.


Pisang kaki dipercayai baik untuk kesihatan dimana ianya kaya dengan zat seperti Vitamin C, Sukros, Fruktos, Glukos dan Iodin  yang sesuai dalam mengawal tekanan darah tinggi dan meningkatkan pengaliran darah serta melicinkan peredarannya dalam koronari. Buah ini yang dimakan segar dapat mengelakkan masaalah sembelit dan juga dapat meredakan masaalah sedu. Buah pisang kaki kering juga baik dimakan untuk kesihatan paru-paru dan jantung kerana mengandungi serbau warna putih iaitu bahan manitol, glukos dan vitamin C. Pengalaman saya ketika di Korea dulu memang suka makan buah pisang kaki masak dari pokok disekitar COTI, Seoul yang ditanam sebagai pokok hiasan keliling pusat tersebut. 


PERSIMMON....DIPANGGIL PISANG KAKI...
POKOK RENEK....BERBUAH BELUM SALJI...
WARNA KUNING ...HARGA TIDAK TINGGI...
BANYAK KHASIAT...MARILAH  KITA BELI... 


By,
M Anem
Lian Hua Hotel,
Beijing, China.
(Ada jual pisang kaki segar di tepi Hotel).

3 comments:

  1. Salam tuan.
    1.Pohon ni boleh ke tumbuh dengan baik di Malaysia?
    2.Teorinya boleh tak biji dari buah yang kita beli kat kedai utk di semai?
    3.Tuan ada ke maklumat mana-mana nurseri yang jual anak pokok tu?
    T.kasih Tuan
    Mohammed Huzazi
    mhuzazi@hayoo.com.my
    0142345100

    ReplyDelete
  2. anak pisang khaki jual di MARDI Agro Park Tanah Rata Cameron Highlands

    ReplyDelete
  3. Saya cuba semai bijiknyer...lembab kan tisu masukkan benih dlm dlm tisu dan masukkankan dlm plastik...2 bln simpam baru benih bercambah...alhamdulillah. ..baru transfer dlm pasu ari ni...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA