Support My Blog

Sunday, December 25, 2011

POKOK SEKENTUT

POKOK SEKENTUT (Paederia foetida) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Rubiaceae yang tumbuh liar dalam belukar dan daunnya mengeluarkan bau yang amat busuk jika di lumatkan atau dipotong macam 'Bau Kentut'. Saya mengenali tumbuhan ini dari kecil lagi kerana banyak tumbuh di kawasan kebun dan belukar serta tepi jalan dikampong dahulu. Ketika kerja menebas semak samun dalam kebun getah dan terkena dengan pokok sekentut maka saya kenal dengan baunya yang busuk dan kuat. Nama lain bagi tumbuhan sekentut seperti Daun Sekentut, Akar Sekentut, Akar Kentut-kentut (Melayu), Skunk Vine (English) dan sebagainya. Tumbuhan ini belum banyak kajian dijalankan oleh para penyelidik tempatan kerana tidak banyak laporan saintifik didapati. Artikel ketiga hari ini (sempena cuti Krismas) saya cuba menulis mengenai pokok sekentut apabila kaki saya tersangkut pada jalaran daun sekentut di kampong Gersik, Muar , Johor dekat tepi parit petang tadi.


Tumbuhan Sekentut merupakan tumbuhan liar yang cepat tumbuh dengan menjalar diatas tumbuhan lain sehingga mampu menutupi keseluruhan kanopi pokok tersebut. Ianya mudah didapati dikawasan semak belukar yang menerima cahaya matahari di kebanyakan kawasan beriklim tropika seperti di Malaysia, Indonesia dan negara lain yang serupa. Daun sekentut berbentuk panjang dan tirus atau tajam dihujung berukuran 5.0 - 7.0 cm dan lebar sekitar 1.5 - 3.5 cm dan berwarna hijau sederhana terang. Daun sekentut mempunyai susunan bersilang dan bertentangan yang keluar dari ruas batang. Batangnya berwarna hijau pada bahagian muda dan akan menjadi coklat kehijauan apabila dewasa. Banatng pokok sekentut menjalar dan berputar diatas pokok lain dengan kuat. Akarnya mempunyai akar utama dan juga akar serabut disekelilingnya. Jika batang pokok menjalar diatas tanah akan keluar akar pada ruasnya.


Bunga pokok sekentut agak kecil dengan kelopak berwarna putih dimana dibahagian tengahnya mempunyai bulatan berwarna ungu. Terdapat 5 kelopak seakan bercantum dan pada keseluruhannya seperti corong berjambak yang bersaiz kecil sekitar kurang dari 1 cm sahaja. Kaedah pembiakan pokok sekentut dengan keratan batang dimana setiap ruas batangnya mampu mengeluarkan akar dan terus bertunas dan menjadi pokok baru. Bahagian bunga muda berbentuk kudup selinder dan berwarna putih. Belum dapat dipastikan sama ada biji bunga dihasilkan selepas pendebungaan.


Saya tidak pernah tahu dahulu akan kegunaan daun sekentut. Daripada bacaan dan rujukkan dalam buku herba mendapati daun sekentut ada digunakan di Utara Semenanjung Malaysia (Kedah, Kelantan, Terenggganu) sebagai salah satu daripada ramuan untuk Nasi Ulam. Ia merupakana salah satu daripada ramuan nasi ulam yang lain seperti Daun Lemuni, daun limau nipis, daun sekentut dan daun cekur (orang Jawa Johor panggil daun Daun Kencur). Semua daun ini di[potong dan diracik halus sebagai ramuan nasi ulam. Walau pun kita tahu daun sekentut berbau busuk tetapi bau ini akan hilang apabila dicampur dengan semua ramuan daun nasi ulam tersebut dan menambahkan keenakan Nasi Ulam. Orang tua-tua dulu kata nasi ulam ini bagus dimakan kerana mampu mengeluarkan angin dalam badan.


Belum banyak kajian klinikal mengenai kegunaan daun sekentut dibuat sehingga kini. Petua orang lama menyatakan daun sekentut yang di lumatkan dan dicampur dengan kapor serta digaul sehingga hasilkan seakan buih. Buih ini kemudian di letakkan pada perut bayi membantu membuang angin dalam perut bayi. Mungkin kandungan dalam tumbuhan sekentut ini perlu dikaji secara saintifik bagi mengetahui komponennya. Mana tahu satu hari nanti akan ada usahawan yang memnghasilkan jus, kapsul, serbuk atau pil dari daun sekentut yang boleh dijual untuk tujuan kesihatan atau kosmetik. Pokok sekentut adalah dipercayai natif dari negara kita yang boleh dieksploit lagi pada masa akan datang.


POKOK SEKENTUT...WAH BUSUK BAUNYA....
RAMUAN NASI ULAM...ANGIN DIBUANGNYA...
CEPAT MENJALAR....POKOK LAIN MANGSANYA...
BANYAKKAN KAJIAN...KENALPASTI KHASIATNYA...


Related Article:
1. Tongkat Ali (Klik disini)
2. Asam Gelugor (Klik disini)
3. Cekur (Klik disini)
4. Bakawali (Klik disini)


By,
M Anem
Teluk Kemang, Port Dickson,
Negeri Sembilan, Malaysia.
(29 Muharam 1433H)       

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...