Support My Blog

Monday, December 26, 2011

KESUM

KESUM (Polyganum minus) merupakan sejenis tumbuhan herba atau ulaman dari keluarga Polygonaceae yang terdapat di Malaysia dan negara lain yang serupa dengan iklim negara kita. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam dan sebagainya yang digunakan sebagai ulaman dan bahan untuk masakan seperti Asam Pedas dan juga Laksa Penang. Tumbuhan ini tumbuh liar dikawasan tanah lembab dan berair seperti di tepi kolam, tepi parit dan juga dikawasan kebun keliling rumah (selalunya ditepi bilik air). Bahagian daun pada pokok kesum merupakan komponen yang digunakan dalam masakkan menghasilkan rasa masam lemak dan aroma yang cukup menyelerakan. Nama lain bagi kesum seperti Chinese Knotweed (English), Duo mao lio (China), Surudo kudami (Jeppun) tetapi ianya dari spesis yang lain dengan Kesum di Malaysia. Artikel petang ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok daun kesum untuk pengatahuan anda.


Pokok Kesum merupakan sejenis pokok renek yang menjalar diatas tanah atau menjalar diatas pokok lain atau sebarang sokongan. Ketinggian pokok kesum mempu sehingga 1 meter di kawasan tanah rendah tetapi di kaawasan tanah tinggi seperti di Cameroon Highland mampu tumbuh setinggi 1.5 meter. Daun kesum berwarna hijau gelap dengan bentuk panjang dan tajam dihujung daun berukuran 1.5 - 2 cm lebar dan 5.0 - 7.0 cm panjang. Susunan daun kesum adalah bersilang dan dalam bilangan 3-5 helai daun dalam satu tangkai daun. Batangnya berwarna coklat gelap dibahagian tua dan kehijauan pada bahagian pucuk yang berbentuk selinder dimana mempunyai banyak ruas. Bahagian ruas mampu mengeluarkan akar jika terletak diatas tanah dan cepat membesar. Akarnya merupakan akar serabut yang terpadat pada bahagian perdu pokok. 


Ramai orang tidak perasan akan bunga dan buah pokok kesum. Saya dapati hanya pokok kesum yang ditanam dengan baik sahaja akan menghasilkan bunga dan buah.  Bunga kesum mempunyai 4 kelopak berwarna putih keunguan dengan ditengahnya terdapat stigma dan filamen juga berwarna putih dan sedikit keunguan (Lihat foto sebelah). Saiz bunga sangat kecil yang keluar daripada bahagian pucuk pokok kesum terutama pokok yang telah berumur dan banyak menerima cahaya matahari. Buah kesum juga jarang dilihat dinegara kita kecuali jika  diperhatikan dengan baik. Belum banyak kajian mengenao marfologi tanaman pokok kesum dijalankan di Malaysia untuk dibuat rujukkan. Fungsi bunga dan buah tidak jelas tetapi boleh digunakan untuk pembiakbakaan tanaman ini.


Penyediaan kawasan untuk penanaman kesum perlukan tanah yang gembur dan lembab tetapi mempunyai sistem saliran yang baik. Baja organik digaul kedalam tanah dan penanaman selalunya menggunakan KERATAN BATANG atau boleh juga dipanggil sebagai KERTATAN SULUR. Keratan benih sepanjang 20 - 30 cm dipotong dan dimasukkan pangkal keratan kedalam tanah denga jarak 30 cm x 20 cm bergantung kepada kesesuaian tanah. Kalau menanam dalam bekas atau pot masukkan 5 - 10 keratan batang kesum dan tumbus sebahagian dengan tanah. Buat penyiraman sehingga pertumbuhan pokok kesum stabil. Berikan baja NPK 15:15:15 dan baja Urea atau baja Foliar untuk mempercepatkan pertumbuhannya. Kawalan rumpai dijalankan dengan cara manual iaitu mencabut dengan tanga. Jangan gunakan racun rumpai untuk mengawal rumpai.


Pokok kesum adalah tumbuhan yang cepat membiak dan membesar kalau menerima baja, air dan cahaya matahari sengan mencukupi. Tanaman kesum yang berumur 1-2 bulan boleh di petik pucuknya dengan menggunakan tangan atau dipotong dengan pisau. Pemotongan ini akan menggalakan pertumbuhan cabang atau dahan baru dan juga tunas baru. Pemotongan sepanjang 30 - 50 cm dibuat dan daun kesum perlu dibersihkan dengan air sebelum diikat untuk dihantar ke pasar atau disimpan dalam peti sejuk. Satu ikatan daun kesum mengandungi 5-8 batang keratan dijual dengan harga RM 0.80 - RM 1.20 dipasar basah atau Pasar Malam. Kalau hendak tanam daun kesum dalam pasu dan diletakkan ditepi rumah tidak perlu lagi membeli daun kesum pada masa akan datang.


Masakan Asam Pedas Ikan, Asam Pedas tetel atau Asam Pedas Daging akan lebih enak dengan dibubuh daun kesum yang memang agak lemak masam rasanya dan memberikan aroma yang sangat enak. Rasa asam pedas akan lebih enak jika dimasak dengan campuran bahan Kerisik Kelapa, Asam Keping dan Bunga Kantan dimakan dengan nasi panas dengan tiupan angin laut. Ditambah dengan beberapa jenis ulam seperti Petai, Jering, Pucuk Gajus atau Kerdas dan Sambal Belacan. Saya rasa tanpa daun kesum asam pedas memang tidak sempurna ramusnnya. Peranan daun kesum memang signifikan dalam masakan asam pedas.


Menu Laksa seperti Laksa Penang dan Laksa Johor memang menjadikan daun kesum sebagai ramuan penting. Laksa yang menggunakan bahan ikan dan bunga kantan memang akan lebih enak jika dimasukkan dengan daun kesum. Dikalangan masyarakat pantai timur pula daun kesum diracik dan dijadi kaeabu atau sebahagian dai ramuan untuk Nasi Kerabu. Keenakan nasi kerabu memang bergantung kepada ramuan bahan daun-daun yang digunakan. Khasiat daun kesum memang diketahui membantu dalam proses penghadaman perut kita dan juga menyedapkankan makanan. Daun kesum boleh digunakan sebagai penghilang Kelumumur dikepala dan merupakan air minuman yang baik untuk ibu lepas bersalin (Minuman dari rebusan air daun kesum). Kajian saintis juga mendapati kesum mempunyai kandungan Vitamin A , Vitamin C, Beta Karotin dan bahan galian seperti Kalsium, kalium dan juga Fosporus. 


Tumbuhan kesum mengandungi bahan yang dipanggil sebagai  'Alipathic aldehyde' yang memberikan aroma khas dan boleh juga di ekstrak untuk dijadikan minyak pati. Kajian mendapati kandungan bahan alipathis aldehyde ini adalah tinggi sehingga 605 dalam beberapa spesis tertentu. Kandungan bahan seperti Decanal dan Dodecanal dalam Alipethic aldehyde boleh didapati dengan mengeringkan daun kesum (Lihat foto sebelah) sebelum diekstrak untuk dijadikan minyak wangi atau bahan perisa masakan. Walau pun daun kesum hanya sejenis herba yang minor tetapi jika ada yang berusaha untuk mengkomersilkannya mungkin ianya ada potensi yang besar.


DAUN KESUM...KUAT AROMANYA...
ASAM PEDAS..RAMUAN UTAMANYA...
LAKSA PENANG..TIDAK TINGAGALKANNYA...
PENYEDAP MAKANAN...TANAM SENDIRI JAWABNYA...


By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Warisan Putrajaya,
Precint 16, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan, 
Malaysia
(30 Muharam 1433H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...