Support My Blog

Tuesday, December 13, 2011

KELUBI

KELUBI (Eleiodoxa conferta) adalah sejenis tumbuhan dari keluarga ARACACEAE yang menyerupai pokok nipah yang terdapat banyak dikawasan lembab hutan berpaya tepi sungai di negara kita. Pokok Kelubi juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti Asam Paya, Asam Kelubi, Salak Hutan dan juga Kelumi. Tumbuhan ini banyak terdapat di kawasan Asia Tenggara seperti di Malaysia, Indonesia (Khususnya Sumatra), Thailand dan Borneo iaitu dikawasan paya air tawar serta tumbuh dalam bentuk berkelompok. Tidak terdapat maklumat rasmi dari mana-mana rujukkan mengenai keluasan tumbuhan kelubi di Malaysia. Mungkin tumbuhan ini bukan dari jenis yang penting kerana ianya tidak direkodkan secara rasmi atau terdapat mana-mana petani yang menanam secara komersil dilaporkan. Saya pertama sekali banyak lihat pokok kelubi di sekitar Sungai Endau dan Sungai Mersing ketika bertugas di daerah tersebut dan banyak lagi lokasi di Negeri Sarawak ketika bertugas sekitar tahun 1990'an dahulu dikawasan seperti Mukah, Dalat, Samarahan dan lain-lain kawasan. Banyak nama-nama tempat di Malaysia yang menggunakan nama Kelubi seperti Paya Kelubi, Lorong Kelubi, Kampong Kelubi, Lembah Kelubi dan sebagainya. Malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis tumbuhan Kelubi untuk bacaan semua berdasarkan kepada pengalaman peribadi, buku rujukkan da juga beberapa laman sesawang lain berkaitan.


Pokok Kelubi adalah sejenis tumbuhan yang serupa pokok nipah iaitu tumbuh secara berumpun menegak dengan ketinggian maksima sehingga 5 meter (Nipah lebih tinggi lagi). Daun Pelepah keluar dari perdu pokok dan mempunyai daun berwarna hijau yang lurus dengan susunan bertentangan sepanjang 1.5 m panjang dan 3-5 cm lebar. Panjang pelepah daun sekitar 3-4 meter dan pelepah akan mati apabila ianya telah mengeluarkan bunga dan buah. Akar pokok kelubi adalah akar serabut seperti pokok palmae yang lain iaitu keluar disekeliling perdu pokok. Selalunya pokok kelubi tumbuh berkelompok dan rapat diantara satu sama lain. Pokok ini banyak tumbuh dikawasan lembab dan mempunyai bahan organik mencukupi.


Bunga Kelubi keluar daripada bahagian perdu pokok dengan terdapat bunga betina dan bunga jantan pada tangkai yang sama. Buah kelubi akan terbentuk selepas pendebungaan dan buah kelubi adalah bersisik keras ini adalah sangat masam isinya. Buah kelubi ada yang berwarna merah dan ada juga yang merah kekuningan dan selalunya mengandungi 1-2 biji buah didalamnya. Isi buah kelubi yang mentah adalah keras tetapi buah kelubi yang telah cukup masak adalah berair dengan warna putih jernih. Buah yang bersusun dalam jambak berangkai ini mempunyai ukuran 3-6 cm garispusat bergantung kepada umur dan kesuburan pokok. Buah ini boleh di tuai dengan memotong tangkai buah memnggunakan pisau tajam atau sabit. Saya pernah beberap kali memotong tangkai buah kelubi di Endau, memang tidak mudah juga melakukannya kalau tidak berpengalaman. Tangkai buah kelubi yang dipotong ini akan dibawa keluar kekampong untuk di proses seterusnya. 


Saya belum ada mendengar lagi laporan ada petani yang menanam kelubi untuk tujuan komersil dan ini kerana tumbuhan yang sedia ada kebanyakan tumbuh secara semulajadi. Pembiakan pokok kelubi selalunya daripada biji yang telah masak yang disebarkan oleh binatang atau jatuh sendiri ketanah. Buah yang telah masak adalah sangat masam dan tidak ramai mampu untuk makan isi buah kelubi segar  tersebut. Apabila dibuang sahaja kulitnya yang bersisik, buah kelubi boleh di proses dengan membersihkannya, kemudian diperam dalam air dibubuh dengan sedikit garam untuk mengurangkan kemasaman selama beberapa hari dalam jar atau bekas khas. Ada yang suka mencampurkan gula dan bahan lain yang sesuai untuk membuat Kelubi Jeruk.  Buah Kelubi segar juga boleh digunakan dalam kita memasak daging asam pedas dan sebagainya sebagai pengganti asam keping. Memang sedap makan asam pedas ada asam kelubi terutama apabila perut sangat lapar tengahari balik dari memancing udang di Sungai Endau.


Jeruk Kelubi merupakan satu-satunya produk proses yang dikomersilkan dari tumbuhan ini. Jeruk ini dijual bersama-sama dengan beberapa jenis jeruk lain seperti Jeruk Mangga, Jeruk Cermai, Jeruk Buah Pala, Jeruk Betik , Jeruk Kedondong dan sebagainya. Harga jualan runcit jeruk kelubi sekitar RM 4.00 - RM 6.00 sekilogram id Gerai-gerai dan boleh disimpan lama dalam peti sejuk. Kepada mereka yang tahan masam boleh makan buah kelubi segar dan ianya dipercayai dapat membantu menghilangkan masaalah batuk-batuk dan melunakkan suara serta sakit kerongkong. Daun pokok kelubi juga boleh dianyam untuk dibuat atap rumah walau pun saiznya agak kecil daripada daun nipah. Daun Kelubi juga boleh dijadikan anyaman untuk dinding rumah atau kraftangan lain. Diharap banyak kajian untuk tumbuhan kelubi ini pada masa akan datang tentang potensi kegunaan lain yang mungkin boleh dimenafaatkan. 


MACAM POKOK NIPAH...TAPI KELUBI....
KAWASAN LEMBAB...TUMBUH MENJADI...
BUAH BERSISIK...AMAT MASAM SEKALI...
DAH JADI JERUK...NAK MAKAN KENA BELI....


By,
M Anem
Ptjya
Malaysia
(17 Muharam 1433) 
- Kemaskini pada 25 Januari 2013  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...