Support My Blog

Sunday, December 11, 2011

IKAN KETUTU

IKAN KETUTU (Oxyeleotris marmorata) merupakan sejenis ikan dari keluarga Eleotrodae yang terdapat pada kawasan air payau dan kawasan air tawar yang terdapat di negara kita Malaysia dan negara-negara lain yang mempunyai habitat yang sama. Kajian saintis menunjukkan ikan ketutu mempunyai sebanyak 125 spesis dari 35 genera. Spesis Oxyeleotoris marmorata merupakan paling popular di kalangan ikan ketutu yang juga dipanggil dengan nama Soon Hock; Lam Kor (China), Marble Goby ; Giant Goby (English), Ikan Hantu ; Ikan Ketutu; Ikan Belontok (Melayu) dan juga ada yang panggil 'Ikan Kepala Ular'.  Ikan Ketutu merupakan sejenis ikan yang mendapat pasaran yang tinggi terutama dikalangan restoran cina kerana dianggap sebagai hidangan yang berprestij. Itu sebabnya harga ikan ketutu sangat tinggi sehingga mencapai lebih dari RM 50.00 sekilogram di Melaka dan Johor. Artikel petang Ahad 15 Muharam 1433 ini saya menulis mengenai teknologi ikan ketutu untuk bacaan dan rujukan pembaca.


Ikan Ketutu mungkin mempunyai rupa yang 'HODOH' jika diperhatikan dari muka depan terutama ikan ketutu tempatan yang berwarna hitam (Lihat foto sebelah). Dari hadapan kelihatan seperti kepala ular atau macam 'muka hantu' . Taburan ikan ketutu adalah disekitar Asia Timur dan Asia Tenggara seperti di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Myanmar. Sifat marfologi ikan ketutu mempunyai 7 jenis Sirip iaitu 2 diatas, 2 dibawah, 2 kiri kanan dan 1 dibahagian ekor. Sirip anal mempunyai 1 duri dan 8 ruji. Ikan ketutu mempunyai sepasang mata yang kecil dan mempunyai sirip berjumlah 60 - 65 mata yang kecil-kecil. Adalah sangat penting mereka yang hendak menternak ikan ketutu dapat membezakan benihnya dengan Ikan Pasir (Rupabentuk seakan serupa). 


Pemerhatian yang saya jalankan mendapati ikan Ketutu merupakan ikan PEMANGSA (Carnivor) yang hidup dibahagian dasar air dengan memakan ikan kecil, krustecea, serangga dan kerang-kerangan dalam ekosistemnya. Mulut ikan ketutu yang besar dengan rahang yang kukuh dibahagian bawah lebih panjang daripada bahagian atas memudahkan ia menangkap mangsa yang berada diatas permukaan air atau dihadapan kepalanya. Kecekapan ini menjadikan ikan ketutu bergerak dengan senyap untuk menangkap mangsa. Bagaimana pun kini telah dibuat kajian yang ikan ketutu boleh diternak dengan memberikan makanan ikan tiruan jenis 'Pellet' terapong atau bebola untuk dikomersilkan. 


Pengalaman saya ketika bertugas di Melaka (MIADP) dahulu pernah menjalankan projek ternakan Ikan Ketutu di Batu Berendam dan Kg Padang Keladi, Durian Tunggal menggunakan kolam tanah, kolam kanvas dan juga teknologi kolam simen. Sumber Benih ikan ketutu menjadi perkara kritikal untuk mendapatkan bekalan kerana pembekal hatchery benih ketutu amat kurang dan peratus kejayaan hacthery juga rendah. Cara lain mendapatkan benih adalah dari ikan ketutu liar semula jadi dari kolam, tasek, parit yang dibeli dari penduduk tempatan. Benih Ikan ketutu liar perlu diasuh dahulu untuk di 'sua'kan dengan makanan pellet atau baja ikan beberapa lama dan  proses penyesuaian persekitaran. Kadangkala benih liar gagal membesar dan banyak yang mati.


Tumbesaran ikan ketutu sangat perlahan walau pun diberikan makanan dan persekitaran yang kondusif. Peringkat paling kritikal dalam menternak ikan ketutu saya dapati dari peringkat rega (anak kecil - foto sebelah) sehingga keperingkat Juvenile. Masa ini benih tersebut lebih bergantung kepada makanan hidup  bagi menjamin kadar hidup lebih baik. Kajian menunjukkan kadar pertumbuhan ikan ketutu hanya akan mencapai berat 1 kilogram dalam masa 18 bulan. Kadar kepadatan yang disyorkan bagi kolam tanah ialah sebanyak 12-15 ekor/meter persegi manakala dalam sistem sangkar sekitar 50-100 ekor/meter persegi (Air dan makanan mudah dikawal).  Pengalaman saya dari 2 projek tersebut tidak jauh daripada kajian oleh banyak Penyelidik Perikanan iaitu hanya sekitar 10-12% sahaja yang hidup sehingga boleh dijual. Kadar rendah ini disebabkan ikan ketutu makan sesama mereka semasa proses pembesaran dalam kolam. Aktiviti memisahkan mengikut saiz kekolam kecil-kecil lain dapat meningkatkan kuantiti tetapi kerjanya rumit.


Ikan ketutu mempunyai ketahanan hidup yang agak tinggi iaitu tahan dalam keadaan suhu tinggi (24-30 darjah celsius) dan kadar pH tanah sekitar 6.5 - 7.2 dengan kadar oksijan terlarut sekitar 4 mg/liter sahaja. Keistimewaan ikan ketutu ialah kadar ketahanannya untuk hidup diluar air asalkan badannya masih lembab selama 72 jam. Ikan yang panjang nyawa ini menyebabkan ianya sama seperti ikan catfish. Ikan ketutu juga ada masaalah serangan penyakit seperti Serangan sejenis Parasit (Argulus sp., Trichodina sp., Dactylogyrus sp.,  dan Lerneae sp.)  yang terdapat didalam persekitaran semulajadi. Kawalan parasit ini sering menggunakan racun Dipterex yang di masukkan kedalam kolam tanah atau kolam kancas pada kepekatan 0.2-0.5 ppm setiap liter air. 


Ikan Ketutu memang enak di masak steam atau masak sup untuk menikmati rasanya yang lemak manis. Saya paling suka jika ikan ketutu dimasak 3 rasa ala sup (foto sebelah) ketika bertugas di Melaka dulu (selalu dapat free sahaja selepas melawat projek). Pemasaran ikan ketutu banyak di minati oleh negara-negara berbangsa Cina seperti Hong Kong, Singapura, Taiwan, Jepun dan China. Memang sukar untuk mencari ikan ketutu di pasar borong kerana kaedah pasaran adalah khusus (niche market) dimana hanya mereka yang ada jaringan sahaja boleh mendapatkan bekalan yang stabil. Harga ikan ketutu sekitar RM 50.00 - RM 80.00 sekilogram bergantung kepada saiz, spesis dan jarak kawasan ternakan. Rekod Jabatan Perikanan Malaysia menunjukkan pengeluaran ikan ketutu dari Malaysia pada tahun 2009 sekitar 30.45 metrik tan yang bernilai RM 1.57 juta setahun. Kepada mereka yang berminat nak menternak ikan ketutu baca blog ini dan belajar daripada pihak yang berwajib. Wasallam.


RUPA IKAN HODOH...ITU IKAN KETUTU...
HARGANYA MAHAL...BEKALAN TAK MENENTU...
RASANYA ENAK...HARGAN MAHAL DAH TENTU...
MENTERNAK SENDIRI ...EKONOMI DI BANTU....


By,
M Anem
Shah Alam,
Selangor , Malaysia.
(15 Muharam 1433 - Semalam Gerhana Penoh Bulan)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...