Support My Blog

Saturday, December 24, 2011

BUNGA SIANTAN

BUNGA SIANTAN (Ixora spp) merupakan sejenis bunga dari keluarga Rubiaceae yang ditanam di kawasan keliling rumah dan taman-taman bunga sebagai pokok hiasan dan juga pokok pagar. Terdapat lebih dari 500 spesis pokok bunga siantan diseluruh dunia dengan pelbagai bentuk bunga, warna dan habitat serta marfologi yang berbeza. Pokok Bunga Siantan juga di panggil sebagai Long Chuan Hua (China), West Indian Jasmine ; Jungle Frame ; Jungle Geranium (English) dan bahasa lain seperti santan, Ponna (India); Chan Tannea; Techi ; Jarum-jarum dan Pan. Antara spesis bungan siantan yang popular di Malaysia adalah Bunga Siantan Merah (Ixora chinensis atau Ixora coccinea), Bunga Siantan Putih, Bunga Siantan Oren dan Bunga Siantan Kuning. Artikel petang ini saya menukis berkaitan dengan pokok bunga siantan selepas ambil foto depan rumah di kampong di Gersik, Muar, Johor tadi untuk di kongsi maklumat dengan semua pembaca.


Pokok Bunga Siantan merupakan tumbuhan yang tumbuh renek dan menegak dengan tahap ketinggian maksima 4-6 kaki (1.2 - 2 m) dan selalunya berbunga sepanjang tahun. Pokok siantan mempunyai banyak cabang dimana batangnya berwarna coklat kehitaman. Bagaimana pun batang siantan yang masih muda mempunyai warna coklat kemerahan. Daunnya berwarna hijau gelap dengan susunan bertentangan atau bersilang dan ukuran 6-13 cm panjang serta 3-4 cm lebar. Daun siantan adalah berdaun tunggal dimana hujung dan pangkal daun berbentuk tajam serta daunya berkilat. Semua spesis bunga siantan keluar secara berumpun dari pangkal ranting dengan mempunyai 5 kelopak dan warna dari merah, putih, kuning, oren dan sebagainya. Buah siantan berwarna merah keunguan berbentuk bulat dengan saiz 7-8 mm.


Pokok Bunga Siantan perlukan tanah yang subur dan mempunyai saliran baik untuk hidup dengan baik. Tanah jenis lom berpasir yang mempunyai baja organik akan memberikan pokok yang subur serta warna dan bentuk bunga yang menarik. Penanaman pokok ini sebagai tanaman pagar dan hiasan diantara pembahagi jalanraya serta dikawasan taman bunga memberikan permandangan yang cantik apabila bunganya yang banyak akan mekar sepanjang tahun. Penjagaan dan pengurusan tanaman bunga siantan adalah sangat mudah dan ianya merupakan sejenis tanaman yang tahan lasak. Pemerhatian saya tumbuhan ini boleh hidup walau pun tidak dijaga dengan baik dan diatas tanah yang kurang subur.


Cara menanam bunga siantan lazimnya menggunakan Keratan Batang walau pun kadang kala ada yang cuba menanam menggunakan bijibenih (agak lambat dan untuk tujuan biakbaka). Keratan batang sepanjang 20-30 cm dicacak diatas batas atau lokasi penanaman dan perlu disiram sehingga ianya menghasilkan tunas. Selepas 2-3 minggu tunas akan keluar dan sebaiknya berikan baja NPK 15:15:15 untuk pertumbuhan vegetatif. Tambah baja organan sebanyak 20-50 gram sepokok untuk menggalakan pertumbuhan. Cantasan pembentukan menggunakan gunting untuk mendapatkan pertumbuhan yang sekata dan menghasilkan lebih banyak cabang baru. Jika tidak dicantas pokok mempunyai banyak cabang yang padat menyebabkan kurang pengudaraan dan akan ujud masaalah serangan Koya (Planococcus citri) dan ini mencacatkan pokok. Semut akan menghisap manisan yang dihasilkan oleh koya dan meyebarkan koya kepada pokok lain yang belum diserang.


Dalam membuat rujukan kepada beberapa sumber menyatakan bunga siantan mempunyai khasiat farmakologi iaitu kesan yang sejuk, manis, hypotensive, menghilangkan rasa sakit dan mampu mengecilkan pembekuan darah. Bahagian akar mengandungi bahan Tanin dan asid lemak yang juga menghasilkan aroma. Bahagian daun pula mengandungi bahan seperti asid fenolik, asid ferulic, quercetin, proanthocyannidins dan juga camefrols. Bahagian bunga siantan mengandungi bahan cyanidins dan bahan flaconboids. Kandungan bahan-bahan tersebut membolehkan pokok siantan berguna dalam mengubati penyakit darah tinggi, masaalah pusingan haids bagi wanita, batuk (Mungkin juga batuk TB), luka-luka dan juga masaalah kulit. Bagi masaalah batuk boleh diambil bahagian akar sebanyak 30-60 gram dan rebus dengan air kemudan ditapis airnya dan diminum (Sumber: www.kiathidupsehat.com). Walau pun pokok bunga siantan kita tahu hanya untuk hiasan sahaja tetapi kajian lanjut perlu dibuat untuk mengetahui kegunaan pokok ini.


MUDAH DITANAM...POKOK BUNGA SIANTAN....
WARNA MERAH, KUNING...ASAL DARI HUTAN....
KALAU BARU NAK TANAM...GUNA KERATAN...
BANYAK JUGA KHASIAT...UNTUK KESIHATAN...


Related articles:
1. Bunga Kemboja (Klik disini)
2. Koya (Klik disini)
3. Bunga Tahi Ayam (Klik disini)
4. Aloe Vera - Lidah Buaya (Klik disini)


By,
M Anem
Pt Bengkok, Gersik,
Ledang, Johor,
Malaysia
(29 Muharam 1433H)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...