Support My Blog

Thursday, December 15, 2011

KOYA

KOYA (Planococcus citri) merupakan sejenis serangga dari keluarga Homoptera yang menyerang banyak jenis tanaman terutamanya pokok buah-buahan di Malaysia. Nama lain bagi koya adalah seperti Scale Insects atau Mealybug dalam bahasa Inggeris. Serangga ini mudah kita lihat pada daun, buah, pucuk dan bahagian lain tumbuhan kerana menghasilkan warna putih dan cecair jika di picit. Koya terdapat diseluruh dunia dikawasan beriklim sejuk dan tropika dimana ia menyerang banyak jenis tumbuhan dalam keadaan yang lembab dan berair. Saya mengenali koya kerana selalu jumpanya ketika memetik buah Rambutan (Nephellium lappaceum) dikampong dahulu dan juga banyak dijumpai pada daun pokok jambu batu (Psidium guava). Serangan koya mampu menyebabkan buah rosak dan tidak berkualiti dimana daun serta pucuk pokok rosak dan tidak produktif. Artikel tengahari ini saya menulis mengenai Koya untuk maklumat umum dan bacaan semua pembaca  berdasarkan pengalaman peribadi, bacaan teknikal dan buku rujukkan.


Koya mempunyai saiz 3 mm (0.12 inchi) bersegmen atau berketak-ketak berwarna putih berdebu macam tepung gandum. Terdapat filamen atau rambut halus yang keluar dari kiri dan bahagian ekor koya (Lihat foto sebelah). Koya jantan adalah berbentuk lebih panjang keseluruhan koya menjadi 4.5 mm . Koya betina tidak mempunyai kepak seperti jenis koya jantan berbentuk leper dan oval. Bahagian kulit koya seakan berlilin (waxy). Koya bertelur sebanyak sehingga 400-600 biji telur dalam karung (sac) yang dilekatkan pada tisu tumbuhan. Selepas 2-3 minggu maka telur akan menetas menjadi instar yang mampu bergerak pantas disekeliling tumbuhan untuk mencari sumber makanan. Selepas instar 2 dan 3 maka koya telah menjadi dewasa. Bagaimanapun koya jantan akan menjadi pupa dan keluar sebagai serangga jantan.


Koya merosakkan tanaman dengan menghisap cairan sap tumbuhan walau pun ada tanaman yang tidak rosak dengan serangan ini tetapi jika populasi terlalu banyak bagamana pun akan menyebabkan kualiti buah menurun dan tidak berharga. Bagi kes buah rambutan, serangan koya menyebabkan ujud warna putih pada kulit buah disamping kelihatan jelaga hitam pada kulit dan rambut buah (Lihat foto). Selain itu koya akan merembeskan  cecair manisan dan akan menyebabkan tumbuhnya sejenis kulat berwarna hitam yang menjatuhkan kualiti buah rambutan. Walau pun isinya masih boleh dimakan tetapi kualiti kulit luaranya menyebabkan rambutan tersebut tidak sesuai untuk dijual dan dipamerkan. Agen seperti semut dan kerengga merupakan agen pembawa koya dan kulat kepada seluruh bahagian buah rambutan lain yang belum diserang pada pokok.


Kawalan koya boleh dijalankan dengan kaedah kawalan amalan agronomi atau kultura dengan membuat pangkasan pada dahan pokok yang terlalu rendang, lembab dan kanopi yang tertutup. Dahan pokok perlu didedahkan kepada cahaya matahari dan perbaiki sistem pengudaraan pokok rambutan dan buah-buahan lain yang mudah diserang. Dahan yang di potong hendaklah di kumpulkan, dimusnahkan dan dibakar bagi mengurangkan populasi koya di kebun. Kaedah lain kawalan koya adalah dengan membuat semburan menggunakan bahan kimia iaitu minyak putih (White oil) pada koloni koya atau racun serangga jenis Dimethoate pada buah. Seterusnya kehadiran semut dan kerengga juga perlu dikawal menggunakan racun serangga seperti malathion. Bagi mengelakan kulapok hitam perlu gunakan racun kulat seperti Benomyl yang disembur mengikut arahan label.
Petani harus kenal akan koya dan simptom serangan serta kaedah kawalannya untuk mempastikan hasil lebih berkualiti.


SERANGAN KOYA...TIDAK MERBAHAYA...
KUALITI BUAH...RAMAI TIDAK SUKA....
SEMBURAN RACUN...KESAN BERGGANDA...
KUALTITI HASIL MENINGKAT..ADA HARGA...


Related articles:
1. Siput Gondang Emas (Klik disini)
2. Kepinding Hijau (Klik disini)
3. Lalat (Klik disini)
4. Kerengga (Klik disini)
5. Semut hitam (Klik disini)


By,
M Anem
Kota Kinabalu International Airport,
Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia.
(!8 Muharam 1433)  

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...