Thursday, January 3, 2013

DOKONG - MENGAWAL KERUPING

DOKONG (Lansium domesticum Corr) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Meliaceae yang mana ia dikenalpasti sebagai mempunyai masaalah keruping batang. Tanaman ini berhadapan dengan masalah keruping kulit kayu yang menyerang batang, dahan atau pun rantingnya. Keadaan keruping boleh menjadi begitu buruk sehingga merencatkan tumbesaran pokok dimana ianya akan mengakibatkan mati rosot dan menjejaskan penghasilan sehinggakan sesetengah pengusaha mengalihkan tumpuan mereka kepada tanaman lain. Saya banyak kali berjumpa dengan petani yang menanam pokok dokong dan mengadu mengenai masaalah keruping ini pada pokok dikawasan dusun bercampur. Walau pun belum banyak laporan kajian dibentang tetapi beberapa kaedah kawalan boleh dipraktikkan untuk mengurangkan kerugian akibat keruping ini. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai kawalan serangan keruping pada tanaman dokong dan tanaman lain yang serupa dengannya untuk bacaan semua.

Apa yang saya buat pemerhatian, gejala masaalah keruping boleh berlaku pada anak pokok di tapak semaian dan juga pokok di ladang. Pemerhatian saya dibeberapa lokasi di ladang mendapati, pokok dokong muda dan pokok dokong yang baru matang lebih peka (mudah) diserang berbanding dengan pokok yang sudah tua. Selalunya pada peringkat awal serangan, akan keluar bintil-bintil bulat kecil berwarna coklat muda kelihatan bertaburan di permukaan batang, dahan ataupun ranting. Pada ketika ini jika tidak dibuat pemeriksaan dikebun dengan teliti, mungkin kita tidak dapat mengecamnya. Kemudian apabila kulit kayu semakin matang, saya dapati bintil-bintil ini akan membesar dan akan menebal menjadi tompok-tompok yang lebih gelap. Seterusnya tompok-tompok ini membentuk seperti ketuat (Anda pernh lihat ketuat atau 'Kutil' dalam bahasa Jawa?) dan berkeruping. Apa yang saya lihat apabila kita kopek kulitnya, keruping ini akan tanggal,  dimana saya dapati akan mendedahkan bahagian dalam kulit batang pokok yang hijau dan sering akan jumpa sejenis ulat didalamnya. Walau bagaimanapun, kadangkala ulat tidak kelihatan apabila keruping dikopek. Batang pokok yang tidak ada keruping lazimnya akan licin sahaja.


Jika tidak dibuat aktiviti pengawalan maka, akan semakin teruk serangan dimana akan menjadi semakin tebal keruping.  Apa yang berlaku ialah bintil-bintil yang kecil tadi seterusnya akan bercantum antara satu sama lain. Seluruh permukaan batang, dahan dan ranting yang diselaputi oleh keruping akan kelihatan merekah. Kesan dari keruping ini jika diteliti boleh menyebabkan tumbesaran pokok akan terencat kerana pokok yang teruk diserang kurang berpucuk. Apa yang saya perhatikan, jika berpucuk pun maka pucuk yang keluar jadi pendek dan kelihatan berwarna kekuning-kuningan kerana tidak sihat. Ranting kecil yang teruk diserang akan menjadi kering dan mati. Ini akan menyebabkan ranting tersebut akan jadi apa yang dikatakan sebagai 'Mati Rosot'. Ranting pucuk baru juga akan diserang keruping jika tidak dijalankan pengawalan dan pemeriksaan ladang. Pada peringkat awal serangan, ulat tidak kelihatan dengan ketara. Bagi pokok dokong yang sudah matang, mungkin berlaku serangan yang teruk akan menjejaskan pembentukan bunga kerana permukaan dahan dan ranting merupakan tapak bunga. Kesan tersbut juga merupakan kesan 'secondary' yang muncul kemudian.


Daripada beberapa buku rujukkan saya baca, didapati yang penyebab kepada serangan keruping ini adalah kurang jelas. Bagaimanapun terdapat dua pendapat berkaitan agen penyebab gejala keruping pada pokok  Lansium spp (Duku Terengganu dan Dokong). Segelintir ahli sains berpendapat bahawa gejala ini disebabkan oleh serangan serangga berdasarkan adanya ulat apabila keruping dikopek. Tetapi ada juga ahli pertanian yang berpendapat bahawa keruping atau ketuat disebabkan oleh serangan kulat. Kehadiran ulat hanya merupakan serangan sekunder yang memakan tisu-tisu mati dalam bentuk keruping yang diakibatkan oleh kulat. Setakat ini saya juga tidak pasti pendapat manakah yang betul. Semasa melawat ladang dokong di Chantaburi , Thailand pada Mei 2012, saya ada berbincang dengan petani komersil menanam dokong yang menggunakan baja berasaskan 'Chitosan' dan Baja Organik mengandungi Mikrob berfaedah (BMO) dengan kuantiti banyak dimana tidak ada masaalah keruping langsung (Lihat foto paling bawah). Malahan saya dapati pokok yang tidak ada menggunakan treatment ini sangat teruk keadaannya seperti buah kurang atau kecil sahaja (control tree).


Kaedah kawalan masaalah keruping bagaimana pun boleh diatasi dengan pelbagai teknik. Apa yang saya tahu, lazimnya pokok dokong yang ada mendapat penjagaan yang sempurna terutama dari segi pembajaan, naungan dan pengairan lebih tahan terhadap gejala ini. Berdasarkan pemerhatian saya di beberapa Stesen Pertanian Jabatan Pertanian dan Plot Tanaman dokong beberaap petani, saya dapati gejala keruping boleh dikawal dengan lebih berkesan melalui penyemburan Racun Kulat Berkupram (Copper-base fungicide). Semburan larutan ini boleh dibuat dengan menggunakan mana-mana peralatan penyembur sama ada yang bermotor atau tidak bermotor (Knapsack sprayer). Adalah dinasihatkan agar muncung alat penyembur (Nozle) diacukan pada batang atau dahan dan ranting-ranting yang diserang dengan keruping (vegetative stage). Selalunya bahagian yang diserang harus disembur sehingga betul-betul hingga basah keseluruhannya. Racun berkupram yang telah diuji ialah "copper hydroxide" serta "copper oxychloride" dan "metallic copper". Apa yang disyorkan adalah pada permulaannya, semburan dibuat setiap 10 hari dengan kekerapan sebanyak 2-3 kali . Teknik ini akan diikuti dengan semburan ulangan 2-3 bulan sekali sehingga keruping terhapus. Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian yang saya lihat, kadar yang disyorkan bergantung pada tahap serangan dan juga keadaan umur pokok dan juga cuaca. Jadual dibawah menunjukkan kadar digunakan untuk menjalankan penyemburan.




Apa yang saya perhatikan adalah keruping pada pokok dokong yang telah disembur menjadi rapuh dan seterusnya relai dari batang. Apa yang berlaku kemudian adalah keruping pada dahan serta ranting dan jatuh ke tanah. Jika keruping hilang maka pokok dokong yang lemah tadi akan mula berpucuk dimana pucuk baru kelihatan sihat dan panjang. Gejala penyakit tidak lagi kelihatan jika kawalan dibuat dengan sempurna. Bagaimana pun aktivitii penyemburan perlu dibuat secara berterusan. Bagi pokok yang teruk diserang didapati hanya akan pulih dalam masa 8-10 bulan itu pun kalau dijalankan mengikut kaedah betul. Semasa rawatan ini dijalankan, penggunaan racun serangga (Pesticide) tidak digalakkan. Amalan ini bertujuan mengelakkan pembunuhan sejenis ulat yang hidup aktif serta memakan keruping secara semuljadi (kulit kayu yang mati). Cara ini saya memang percaya yang keruping akan relai dengan lebih cepat. Bagaimana pun kita perlu membuat penyemburan racun serangga juga untuk mengawal ulat daun. Pastikan racun tersebut hanya disembur pada bahagian daun. Pokok dokong yang sihat tanpa serangan keruping akan memberikan hasil yang banyak dan berkualiti kerana putik bunga dan buah dokong keluar pada bahagian batang, dahan dan ranting pokok dokong pada 'point' yang hampir sama setiap kali. 


Pokok dokong di Chantaburi, Thailand yang di kawal
penyakit keruping guna Chitosan
.
KERUPING DOKONG... BURUK BATANGNYA...
BINTIL-BINTIL KELUAR.... LEKAT JELASNYA...
COPPER BASE SOLUTION...KAWALANNYA...
POKOK DOKONG SIHAT ... TINGGI HASILNYA...

By,
M Anem
Ladang Dokong,
Chantaburi Dokong Farm,
Thailand
(5 Safar 1434H) 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...