Support My Blog

Monday, January 21, 2013

GRAPE (ANGGUR)

GRAPE (Vitis vinifera) atau dalam bahasa kita dipanggil sebagai Buah Anggur merupakan sejenis buah yang popular diseluruh dunia daripada keluarga Vitaceae. Selain daripada dimakan segar, Wain merupakan produk akhir daripada buah anggur yang telah ditemui oleh manusia semenjak 5,000 tahun dahulu iaitu dizaman purba Mesir. Penemuan 'Dunia Baru' oleh orang-orang Eropah (Christoper Colombus) telah membawa bersama industri tanaman grape keseluruh dunia, dimana pada masa kini ia merupakan satu industri buah-buahan yang utama diantara jenis buah-buahan yang dimajukan. Tanaman anggur ini mempunyai penyesuaian (adaptability) yang luas daripada kawasan yang mempunyai suhu sejuk (temperate) serta panas sehingga boleh ditanam dinegara-negara tropika seperti di Thailand dan Indonesia. Pengeluaran buah anggur dunia sekitar 68 - 70 juta metrik tan setahun dengan negara China sebagai pengeluar utama didunia iaitu sebanyak  8.7 juta metrik tan setahun (2010) atau kira-kira 13% daripada jumlah pengeluaran dunia. Negara lain yang luas menanam anggur adalah seperti Itali (7.8 juta mt/tahun), USA (6.2 juta mt/tahun) , Sepanyol (6.1 juta mt/tahun), Perancis, Turki, Chile, Argentina, India dan Iran. Maklumat daripada 'FAO statistic' pula melaporkan, terdapat 5 buah negara utama yang luas menanam anggur untuk dibuat wain didunia didahului dengan Sepanyol, Perancis, Itali, Turki dan USA. Artikel subuh Isnin ini saya menulis teknologi dan maklumat mengenai industri tanaman anggur (grape) dalam "Anim Agro Technology" berdasarkan pengalaman sendiri, lawatan persendirian dan pembacaan daripada beberapa buah buku dan lamanweb. 


Varieti anggur yang paling popular ditanam adalah Jenis Eropah (Vitis vinifera) walau terdapat beberapa spesis anggur lain yang boleh digunakan untuk kacukan baka seperti Vitis labrusca, Vitis aestivalis, Vitis vulpina, Vitis rupestris, Vitis riparia dan Vitis berlandieri. Tumbuhan anggur mempunyai batang menjalar (vine) yang mempunyai sifat hermaprodite. Bunga anggur menjalankan pendebungaan lazimnya oleh angin dimana peranan serangga kurang berlaku. Proses pendebungaan aktif  dimasa cuaca panas dan kering. Bunga anggur terbentuk dengan mempunyai beberapa 'lapisan' atau peringkat keluar sekurang-kurang pun 3 lapisan. Bunga anggur keluar hampir sama masa dengan pengeluaran bunga epal. Selepas proses pendebungaan, buah anggur agar terbentuk dalam masa 5 - 7 bulan iaitu semasa musim gugur (autumn). Penanaman anggur di kawasan tropika seperti di Thailand dan Indonesia menggunakan teknologi cantasan daun menyeluruh (total leaf pruning) dan amalan agronomi ladang khusus sepanjang tahun untuk menghasilkan bunga dan buah.


Kawasan penanaman anggur lazimnya adalah dikawasan tanah beriklim sub-tropika atau temperate yang mempunyai cuaca 4 musim. Jika keadaan pada musim sejuk sehingga -20 celsius, pokok anggur akan menjadi dorman tetapi apabila suhu meningkat kepada -1 darjah, maka tunas bunga akan keluar dimana bunga ini akan berkembang (mekar) pada suhu -0.5 celsius. Tanaman anggur mempunyai sistem akar yang dalam dan ia tahan kepada sebarang kemarau atau kekurangan air dipermukaan tanah. Tanah jenis 'Tanah Dalam' serta mempunyai sistem saliran baik sesuai untuk ladang anggur walau pun ia sebenarnya toleran dengan banyak jenis tanah. Tanah yang kurang subur sebenarnya sesuai dimajukan dengan tanaman anggur kerana ini memudahkan sistem pengurusan dan memberi 'stress' kepada tanaman anggur. Saya berpeluang melawat ladang anggur seluas 4,000 hektar di Dina Farm, Mesir pada tahun 2005 dikawasan pemulihan tanah gurun. Ladang ini menggunakan seramai 220 orang pekerja ladang untuk membuang semua daun anggur (total leaf pruning) sebelum tanaman mengeluarkan bunga. Tanaman anggur juga perlukan banyak baja terutama unsur nitrogen khasnya dikawasan yang agak lembap.


Penanaman Anggur menggunakan bahan daripada keratan batang. Pilih batang anggur yang sederhana keras untuk dijadikan bahan tanaman atau jenis batang lembut untuk pertumbuhan yang agak cepat. Pastikan anakbenih keratan diambil daripada kawasan pokok induk yang bebas daripada masaalah serangan Nematod. Penanaman anggur lazimnya pada jarak 2.7 meter atau 3.0 meter didalam barisan dan jarak 1.0 - 2.0 meter diantara barisan menggunakan sistem para yang disediakan lebih awal (Lihat foto sebelah). Sesetengah petani menanam dengan jarak lebih rapat bergantung kepada iklim , cuaca, varieti dan saiz bahan tanaman (rootstock).  Perkara ini penting untuk aktiviti penggunaan seberang jentera didalam menguruskan ladang anggur dengan meninggikan paras para trellis. Cantasan dan latihan penjalaran (training and pruning) bagi tanaman anggur adalah sangat penting. Aktiviti melatih batang perlu dijalankan daripada peringkat awal penanman sehingga pokok dewasa dan sesuai dengan kanopi. Cantasan bagi pokok anggur perlu dibuat setiap masa bergantung kepada lokasi, varieti, kaedah pengurusan dan sebagainya terutama bagi menggalakkan pengeluaran bunga bagi penanaman anggur dikawasan sub-tropika dan tropika. Tanaman anggur yang mempunyai daun yang terlalu rimbun mudah diserang penyakit.


Masaalah utama bagi tanaman anggur dilaporkan sebagai Phylloxera dan Cacing Nematod. Seranggan serangga Phylloxera (Dacthulospaira vitifoliae) iaitu serangga kumpulan Hemiptera, dimana ia menyerang bahagian daun dan juga akar. Serangga kecil ini berbentuk seperti aphid berwarna kuning dan akan bertelur pada daun. Nim akan membentuk gelembong (galls) pada daun dimana ini akan mencacatkan struktur daun sehingga kerekot (Lihat foto sebelah). Jika tidak dikawal maka proses fotosintesis akan kurang aktif. Serangan serangga lain seperti Ulat Pemakan Daun, Ulat Pengorek Batang dan beberapa jenis kumbang merosakkan daun, bunga dan buah anggur.  Antara penyakit tanaman anggur seperti Antraknos, Kulapok Downy (Downy mildew) dan Phomopsis yang sering berlaku ketika musim lembab tetapi serangan penyakit ini didapati agak kurang pada cuaca kering. Penyakit Kulapok Berdebu (Powdery Mildew) yang disebabkan oleh Odium spp menyerang ketika musim basah dan kering dikawasan pokok anggur yang kurang penjagaan. Kaedah rawatan menggunakan racun kimia dan amalan agronomi seperti yang disyorkan.


Penghasilan anggur lazimnya berlaku selepas 2-3 musim selepas ditanam dengan penghasilan optima selepas 3 - 4 musim penanaman. Anggaran hasil anggur lazimnya mengikut varieti, keadaan tanah, cara pengurusan ladang dan lokaliti. Umumnya, tanaman anggur yang berumur 2 tahun mampu menghasilkan sebanyak 4 mt sehektar dan akan meningkat kepada 8 - 15 mt/ha pada umur 3 tahun. Pada umur 4 tahun keatas, penghasilan buah anggur sekitar 10 - 20 mt/ha dengan pengurusan ladang yang baik. Pokok anggur mampu bertahan sehingga 40 - 60 tahun (Jangkahayat) daripada rekod penanaman dibeberapa njika dapat diuruskan mengikut kaedah pengurusan sempurna. Buah yang masak akan dituai menggunakan tangan bagi menjaga kualiti untuk pasaran segar (Lihat foto sebelah). Buah perlu dipotong tangkainya menggunakan gunting atau pisau tajam dan dimasukkan kedalam bekas yang mempunyai alas lembut. Buah segar akan digredkan mengikut kualiti sebelum dipasarkan. Lazimnya untuk tujuan penyimpanan, buah anggur yang disimpan didalam bilik sejuk 1 darjah celsius mampu bertahan sehingga 3 - 6 bulan lamanya. Buah yang ingin dituai untuk pemprosesan dikutip menggunakan tangan atau peralatan tanpa mengira kualiti seperti pasaran segar. Kita di Malaysia bertuah kerana mudah mendapatkan bekalan anggur segar dipasaraya dengan harga berpatutan (RM 6.00 - RM 12.00 sekilogram) bergantung kepada jenis dan kualiti buah anggur. Wasallam!.
Bersama En Ahmad Pakarudin diladang Anggur.
BUAH ANGGUR... ENAK RASANYA...
NEGARA CHINA.... PENGELUAR UTAMA...
BANYAK DIIMPOT...SESUAI HARGANYA...
KITA MENANAM... TIADA BUKTINYA...  

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Taman Pertanian.
Precint 14, Putrajaya,
Malaysia.
(9 RabuilAwal 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...