Support My Blog

Wednesday, January 23, 2013

BERAS PULUT

BERAS PULUT (Sticky Rice atau Glutinuous Rice) adalah sejenis beras (Oryza sativa var. glutinosa) yang melekit setelah dimasak dengan keadaan melekat seperti gam. Beras ini juga dipanggil sebagai Beras Pulut (Malaysia), Beras manis (Sweet rice), Beras Berlilin (Waxy rice), Beras Permata (Pearl rice), Beras Botan, Beras Mochi dan Beras Biroin. Kita di Malaysia memang biasa dengan beras pulut kerana masyarakat Melayu telah menggunakan beras pulut untuk dijadikan banyak jenis makanan ttadisional yang enak dal lazat. Beras Pulut di negara kita lebih dikenali dengan nama Beras Pulut Putih dan Beras Pulut Hitam. Kedua-dua jenis beras pulut ini telah ditanam disawah padi semenjak dulu kala sehingga kini walau pun tidak ada data rasmi mengenai keluasan penanamannya dicatitkan. Saya berpeluang melawat petani di Bukit Rambai , Melaka dan Merlimau yang menanam pulut hitam untuk pasaran tempatan. Sebenarnya kandungan 'gluten' dalam beras pulut akan menyebabkan pulut akan melekit dan 'sticky' apabila dimasak. Kita di Malaysia banyak mengimpot beras pulut putih dari negara-negara jiran bagi kegunaan kecil-kecilan dan industri perkilangan yang mengeluarkan makanan berasaskan beras pulut. Petang Selasa ini sementara tunggu waktu maghrib, saya sempat menulis artikel dalam "Anim Agro Technology" mengenai beras pulut untuk pengetahuan dan rujukan pembaca blog ini. 


Kawasan penanaman pulut adalah diAsia Tenggara terutama Thailand, Laos, Filipina, Indonesia, Myanmar, Malaysia, Kemboja, Vietnam dan beberapa negara lain seperti Jepun, China, Korea, Bangladesh, Taiwan dan Indai Timur. Kawasan Lembah Sungai Mekong telah lama menanam padi pulut semenjak beribu tahun dahulu dan amat produktif. Tanaman padi pulut ini mengambil masa lebih lama jika dibandingkan dengan tanaman padi biasa. Semasa bertugas memberi ceramah di Laos pada 2011 dan berkursus pada 2012, saya sempat melawat beberapa lokasi sawah di Laos yang mana lebih 80% daripada varieti padi yang ditanam adalah jenis padi pulut. Beberapa varieti padi pulut ditanam dengan luas dan memberikan pulangan memuaskan kepada penanam padi pulut. DI Malaysia hanya pulut hitam PH9 sahaja yang banyak ditanam secara keil-keilan untuk pasaran tempatan (Rujuk Artikel Padi Pulut Hitam - Klik disini). Artikel tersebut manyatakan anggaran keluasan tanaman pulut hitam di Malaysia sekitar 15 - 20 hektar di Melaka dengan anggaran hasil sebanyak 4.0 - 4.5 metrik tan sehektar. 


Basi Pulut melekit disebabkan kandungan 'gluten' yang mana kandungan tersebut dikenali sebagai 'glutenin' dan 'gliadin'. Kajian juga menunjukkan bahan Amylopectin juga mempengaruhi kelekitan nasi pulut yang dimasak. Rasa nasi pulut juga agak berbeza dengan nasi biasa dimana ia lebih lemak, lebih rasa manis dan sedap dimakan serta lembut. Ada yang lebih suka masak beras pulut separuh masak kemudian dikukus bagi mendapatkan rasa dan tekstur yang optimum. Harga beras pulut putih dan beras pulut hitam adalah lebih mahal daripada beras biasa. Lazimnya beras pulut dijual sedikit-sedikit sama ada ditimbang mengikut kehendak pembeli atau telah di bungkus dalam bungkusan 0.5 kg atau sekilogram. Di Pasar Rabu Alor Setar, Pasar Khadijah, Pasar Payang dan beberapa lokasi lagi beras pulut banyak dijual secara runcit. 

BERAS PULUT... PUTIH WARNANYA...
PULUT HITAM ... MAHAL HARGANYA...
DIMASAK MELEKIT... ISTIMEWANYA...
PELBAGAI MAKANAN... SEDAP RASANYA...

By,
M Anem
Alor Setar,
Kedah,
Malaysia.
(2 RabiulAwal 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...