Thursday, January 24, 2013

KENCUR DAN PECEL

Reactions: 
KENCUR (Kaempferia galangga) merupakan sejenis sayuran jenis herba yang popular dikalangan masyarakat Jawa di Malaysia terutama di Johor, Selangor dan kawasan lain. Orang Melayu panggil Kencur sebagai 'Cekur' iaitu saya dapati ianya macam pusing-pusing huruf sahaja. Kencur adalah tumbuhan ubatan dari keluarga Zingiberaceae (sama dengan keluarga Halia) yang mempunyai umbisi. Menanam kencur amat mudah sahaja, boleh ditanam dikawasan keliling rumah dan amat cepat membiak jika dijaga dengan baik. Sediakan bekas tanaman atau batas yang sesuai untuk menanam kencur dikeliling rumah dan isikan dengan tanah campuran 3:2:1 (boleh beli di kedai nurseri dengan harga RM 2.00 - RM 3.00 satu beg plastik). Pastikan bahagian bawah bekas atau pasu ada lubang untuk mengalirkan air keluar dari dalam bekas. Bahan terpakai seperti bekas botol minyak masak 5 kg, baldi plastik terpakai, bekas tin biskut dan sebagainya boleh digunakan untuk dijadikan bekas menanam kencur. Bagi mereka yang ingin menanam kencur di kebun sayur (jika ditanam meluas) boleh menyediakan batas yang sesuai ukurannya. Penanaman kencur secara komersil boleh dilakukan dikawasan kebun dikeliling rumah juga. Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi tanaman kencur dan juga resepi paling enak didunia iaitu "Ikan Keli Masak Lemak Kencur" untuk hidangan anda semua.


Benih tanaman kencur adalah daripada umbsi atau Rizom Kencur yang boleh didapati daripada rumpun pokok sediaada atau dibeli daripada pasar dimana umbisi tersebut ambil yang masih segar. Rumpun kencur yang bergumpal-gumpal diasingkan dengan tangan dan boleh terus ditanam diatas tanah sama ada dengan daun atau tanpa daun (Lihat foto sebelah). Bagi benih kencur yang dibeli dari pasar, pilih rizom yang masih segar, belum kering dan mempunyai mata tunas. Buat penyiraman dengan kekerapan sesuai agar benih kencur dapat tumbuh dengan baik. Sebaiknya gunakan baja organan yang boleh dibeli dikedai pertanian dan jangan sesekali menggunakan racun rumpai, racun serangga atau racun kulat untuk tanaman kencur Biarkan ianya tumbuh secara organik dimana kaedah kawalan IPM sesuai untuk tanaman kencur. Tanaman kencur  memang kurang masaalah serangan perosak dan penyakit. Tumbuhan ini mudah hidup jika dijaga dengan baik dan boleh mula dituai hasil 2-3 bulan kemudian. Jumlah tuaian kencur mengikut bagaimana ianya di uruskan. 


Kaedah untuk menuai kencur adalah dengan mencabut seluruh rumpun atau memotong sebahagian atau separuh daripada rumpun kencur. Semua komponen kencur seperti daun, umbisi dan akar boleh digunakan sebagai ulam atau ubat-ubatan. Jika kencur ditanam secara organik maknanya semua bahagian bunga, daun, akar dan rizom memang selamat untuk dimakan. Bersihkan kekotoran tanah dengan air sehingga betul-betul bersih. Daun dan Rizom Kencur yang dipetik sebaiknya dimakan terus walau pun ianya boleh disimpan didalam peti sejuk untuk 1-2 minggu. Kalau kita tanam dikeliling rumah, ambil beberapa rumpun kencur yang kuantitinya mencukupi untuk dimakan atau dimasak. Tanam semula ditapak rumpun yang baru dituai dengan menambah tanah campuran kedalam bekas tanaman. Cara ini akan mempastikan bekalan kencur untuk rumah kita sentiasa ada.


Menu paling enak daripada kencur adalah 'Masak Keli Lemak Kencur'  atau "Pecel Ikan Keli". Ikan keli segar atau Ikan Pari (Tuka) perlu dibakar diatas bara api arang (Lihat foto sebelah) sehingga masak (ada hangus sedikt pun okay). Ikan keli ini perlu dibakar dan diambil bahagian isinya sahaja (buang kepala dan duri). Bagi menyediakan ramuan pecel, tumbuk hingga lumat bawang merah (dibakar dahulu), Bawang Putih (Dibakar), Belacan, Cili Padi, Rizom Kencur (dengan daun sekali), Asam Keping atau Asam Jawa dan sedikit garam perasa. Sediakan santan kelapa yang masih segar (diparut sendiri atau dibeli) dalam bekas. Campurkan ramuan pecel kedalam adunan santan kelapa dan kacau sehingga rata. Panaskan diatas api sehinga santan suam-suam dan masukan ikan keli bakar yang telah disiat-siat atau ikan pari bakar. Masukkan garam dan asam keping atau air asam jawa sehingga rasanya sesuai. Potong daun kencur halus-halus dan tabur kedalam adunan tersebut. Pecel Keli ini sedia dihidangkan dan dimakan dengan nasi panas (nasi agak lembik sedikit lagi sedap). Ikan keli dan Ikan Pari boleh ditukar dengan ayam jika mahu. Pada saya, menu masakan ini merupakan menu yang paling sedap didunia! 
Wasallam!


Pecel Ikan Keli dengan Kencur.

KENCUR DITANAM... KELILING RUMAH...
DIDALAM PASU ... MENGGUNAKAN TANAH...
KELI DIBAKAR ... WARNA AKAN BERUBAH... 
DIJADIKAN PECEL... AMBOI ENAK BAH!....

By,
M Anem
Pct 11, Putrajaya,
Malaysia
(28 Safar 1434H)      

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

KLIK SAYA