Support My Blog

Thursday, January 17, 2013

PEACH

PEACH (Prunus persica) merupakan sejenis buah dari keluarga Rosaceae yang dipercayai berasl daripada China dan kini ditanam untuk dimakan segar serta diproses. Buah peach juga sering dipanggil sebagai 'Nectarines' iaitu sama dengan kumpulan tanaman 'cherry' dan 'plum'.  Kita di Malaysia mudah membeli buah peach segar ini di supermarket dan gerai buah-buahan. Buah ini diberikan nama saintifik persia kerana ianya memang banyak ditanam dikawasan tersebut sebelum dikomersikan di Eropah sejak dulu kala. Pengeluaran buah peach dunia sekitar 15 - 18 juta mertik tan setahun dengan sebanyak lebih daripada 70 negara yang menanamnya. Bagaimana pun kajian saya daripada rekod oleh FAO Statistis menunjukkan, sebanyak 40% daripada pengeluaran buah peach adalah dikawasan Mediterranean. Sementara itu negara China, Jepun dan Korea menyumbangkan 30% lagi pengeluaran buah peach dunia. Bagaimana pun dari segi negara pengeluar, China merupakan pengeluar utama buah peach dunia dengan penghasilan sebanyak 8 - 9 juta metrik tan setahun dan diikuti dengan Itali dan USA. saya berpeluang melawat ladang peach ini semasa berkursus di Korea dan membuat lawatan ke China beberapa kali. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tanaman peach dan kegunaannya untuk bacaan dan rujukkan anda semua. Bahan bacaan asas dari buku terbitan CABI International bertajuk 'Temperate and sub-tropical fruit Production) tahun 2011.


Pokok Peach adalah jenis pokok saka yang mempunyai ketinggian 4 - 6 meter dan lebar kanopi pokok diantara  3-5 meter ukurkeliling dengan pengurusan yang baik (Lihat foto sebelah). Tumbuhan ini adalah jenis hermaprodite dengan berlaku pendebungaan sendiri dibantu oleh tiupan angin atau serangga pendebunga seperti lebah madu. Cuaca yang agak kering semasa bunga mekar amat sesuai untuk proses pendebungaan. Terdapat banyak varieti peach yang ditanam hasil daripada proses biakbaka daripada yang mempunyai isi putih, isi kuning, isi kemerahan dan kombinasi diantaranya. Peach adalah tanaman buah temperate yang akan berbunga pada awal musim bunga (early spring - 3 minggu sebelum pokok epal berbunga). Buah peach akan masak pada pertengahan musim panas sehingga paling lewat pun awal musim luruh. Pokok peach tahan kepada kesejukan salji pada minus 4 celcius dan ini akan menyebabkan penghasilan bunga peach. Pokok ini juga tahan pada kesejukan sehingga -20 celcius sehingga minus -25 celsius. Tanaman ini juga memerlukan air yang banyak terutama pada pembentukkan awal buah peach.  


Penanaman buah peach ini lazimnya menggunakan bahan tanaman daripada anakbenih cantuman. Pokok penanti dari varieti yang produktif, tahan serangan nematod an penyakit lain digunakan untuk dicantu dengan variti pilhan. Anak beniih yang berkualiti ditanam diladang (sebaiknya tanah yang rata) dengan jarak tanaman 16 meter x 16 meter bergantung kepada kesesuaian. Pilih sistem penanaman yang boleh disesuaikan untuk penggunaan jentera seperti jentera pemotong rumput, jentera menuai buah peaci dan mudah untuk pengurusan pungutan hasil. Paling menarik adalah apabila melihat pokok peach ini penoh dengan bunga berwarna pink tanpa daun dengan banyaknya (Lihat foto sebelah). Walau pun bunga dikeluarkan banyak, penjarangan bunga perlu dibuat bagi mendapatkan bilangan buah yang akan lebh berkualiti dan besar. Cantasan pembentukkan pokok diperingkat awal sangat penting untuk mendapatkan pokok peach yang berkonsepkan 'terbuka tengah'. Cantasan perlu dijalankan setiap tahun bagi menggalakkan pertumbuhan dahan baru yang akan mengeluarkan banyak bunga. 


Beberapa rujukkan menyatakan diantara masaalah penanaman buah peach adalah serangan ulat makan buah (Anarsia lineatella) yang menyerang diseluruh kawasan penanaman buah peach. Ulat ini akan memakan buah peach sehingga menurunkan kualiti buah tersebut. Serangga Kupu-kupu Oriental (Grapholita molesta) juga didapati menyerang pokok peach yang mana larvanya emakan daun serta buah peach yang dianggap serius.  Ulat Pengorek Batang (Sysanthedon exitiosa) juga menyerang bahagian batang pokokp peach terutama pokok peach muda dikawasan pangkal pokok. Serangan oleh Aphid Hijau (Myzus persiacae) juga menyebabkan buah paeach atau nectarine kurang cantik dan menurunkan kualiti buah.  Semasa bunga mekar , sejenis thrips (Franklinella occidentalis) juga merosakkan bunga jika tidak dikawal. Kumbang Perosak Putik buah (Lygus hasperus) didapati menyerang putik buah sehingga mampu mengubah rupabentuk buah peach.


Bergantung kepada cara pengurusan, pokok peach akan berbuah 1-2 tahun selepas ditanam tetapi paling ideal apabila berumur 2- 3 tahun. Pada umur 4 - 6 tahun merupakan peringkat penghasilan optima pokok peach dan banyak bergantung kepada varieti ditanam dan kaedah pengurusan ladang. Rekod menunjukkan anggaran hasil buah peach adalah sebanyak 5 mt/ha (umur pokok 2 tahun), 20 mt/ha (4 tahun) dan mampu mencapai 50 mt/ha pada pokok berumur 5 tahun yang ditanam pada kepadatan tinggi. kajian menunjukkan jangkahayat pokok peach yang ditanam dan diuruskan dengan baik mampu mencapai 10 - 20 tahun dalam keadaan produktif. Kaedah memetik buah peach adalah dengan memetik menggunakan tangan dan dikumpulkan dalam bakul atau menggunakan treller diladang (Lihat foto sebelah). Buah peach yang dituai akan dibuat grading sebelum dihantar kepada pemborong atau pusat pemprosesan. Kajian menunjukkan buah peach tahan disimpan dalam suhu bilik sejuk 0 darjah selsius selama 5 minggu.


Buah Peach mengandungi banyak khasiat dan boleh dimakan segar atau diproses untuk pelbagi produk. Buah ini mengandungi sebanyak 39 kcal tenaga, 9.5 gram karbohiderat, gula (8.4 gram), Protin (0.9 g), Vitamin 16 IU dan banyak lagi kompponen. Selain dimakan segar, buah peach diproses dalam bentuk jeruk, jus minuman, jem,  puree dan banyak lagi. Paling selalu kita jumpa adalah buah peach didalam pie, salad, kek dan banyak lagi menu berasaskan buah-buahan. Sekali pandang kita mungkin agak keliru dengan melihat gambar buah epal dengan buah peach ini kalau tidak diteliti dengan betul-betul. Kalau tidak percaya cuba lihat foto dibawah, sekali pandang buah peach ini macam buah epal pun ada. Diharap artikel subuh ini dapat memberikan sedikit informasi berguna kepada pembaca bloh 'Anim Agro Technology' sebagai menambahkan ilmu di minda kita. Wasallam!


BUAH PEACH... MEMANG SEDAP DIMAKAN...
NEGARA CHINA... BANYAK PENGELUARAN...
WARNANYA CANTIK.. ISINYA KEKUNINGAN...
SELURUH DUNIA... IANYA DIPASARKAN...

By,
M Anem
Precint 11,
Putrajaya
Malaysia
(5 RabiulAwal 1434H)
       

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...