Support My Blog

Sunday, January 6, 2013

HALWA ROSEL

HALWA ROSEL (Hibiscus sabdariffa) merupakan satu produk yang dihasilkan daripada pemprosesan bunga rosel. Rosel merupakan sejenis tanaman renek yang sesuai ditanam di Malaysia untuk dijadikan jus minuman, kordial, sirap, halwa dan juga bijinya boleh diekstrak untuk mendapatkan minyak patinya. Saya telah merupakan pengasas dan juga sangat berpengalaman memberi perkhimatan teknikal penanaman rosel semenjak tahun 1997 lagi ketika bertugas di Mersing. Saya telah memperkenalkannya kepada petani disana sehingga tanaman tersebut masih diusahakan sampai sekarang. Rosel varieti UMKL merupakan varieti yang paling luas ditanam kerana mempunyai kualiti bunga rosel yang baik, hasil tinggi, pokok agak tahan serangan penyakit dan kehebatannya yang cepat berbuah. Pengalaman saya masa itu mendapati,  purata pengeluaran hasil rosel sekitar 14 -18 metrik tan sehektar yang ditanam secara monokrop. Bunga rosel yang matang ini akan di petik dan dibuang bijinya (decoring) kemudian diambil bahagian Kaliks (calyx) untuk dijual atau diproses sendiri untuk dijadikan sebagai produk hiliran. Artikel malam ini saya berkongsi pengalaman saya dalam 'Anim Agro Technology' berkenaan satu produk berasaskan rosel iaitu HALWA ROSEL.


Bunga rosel yang segar yang dituai dari ladang di buang bijinya menggunakan alat khas untuk mengambil bahagian Kaliksnya  sahaja. Kaliks ini kemudian perlu dibasuh sehingga bersih dan ditoskan sebelum diproses untuk dijadikan jus, kordial atau halwa rosel. Pengalaman saya mendapati, sebanyak antara 140 - 145 kaliks mencapai berat 1 kilogram (Setelah bunga rosel dibuat decoring). Pemerhatian dikebun juga saya dapati, setiap dahan ada purata sebanyak 75 kuntuk bunga atau sebanyak purata 150 - 155 kuntum bunga sepokok. Pastikan memetik bunga rosel yang telah matang (Tidak terlebih matang) atau elakkan dari memetik bunga rosel yang masih muda. Kaliks yang hendak diproses untuk dijadikan halwa juga sebaiknya perlu dipilih dari yang berkualiti dan sesuai. Memproses halwa rosel dijalankan selepas memproses jus rosel.


Lazimnya kaliks segar sebaiknya diproses untuk menjadi sirap rosel dan produk jem atau halwa. Cara membuatnya dengan mengambil sebanyak satu (1) kilogram kaliks yang perlu dimasukkan kedalam periuk mengandungi air bersih. Pastikan kadar kuantiti air dengan gula adalah pada kadar 2:1 kandungan gula. Ini bermakna kalau anda menggunakan 4 cawan air boleh masukkan 2 cawan gula pasir. Reneh dengan api sederhana antara 10 - 15 minit mendidih sebelum ditutup apinya dan dibiarkan sejuk. Apabila sejuk, tapis untuk mengasingkan air sirap atau jus rosel dengan kaliks yang telah lembut. Sirap rosel yang terhasil ini boleh terus dibotolkan untuk diminum dan kemudian dilabel sebelum boleh dipasarkan. Kordial ini adalah asli (no additive) kerana tidak mengandungi bahan pengawet lain selain daripada gula pasir. Kordial ini mengandungi vitamin C sangat tinggi sehingga ada saintis mendakwa kandungannya 9 kali ganda lebih tinggi dari blackcurrants yang diimpot.


Proses seterusnya adalah untuk membuat halwa roselle. Kumpulkan kaliks rosel yang diasingkan dari penapis tadi kemudian buat persediaan untuk membuat produk halwa. Panaskan periok dan masukan 2 cawan air dan dua cawan gula pasir. Panaskan ia dengan api yang sederhana sehingga agak pekat dimana gula akan larut baru kita masukkan kaliks. Kacau perlahan-lahan sehingga larutan gula menjadi kering dan kemudian sejukkan. Kalau masih terlalu lembap boleh dipanaskan lagi dan kalau kuantiti banyak kita boleh keringkan menggunakan oven pada suhu rendah. Halwa rosel agak lembab dan apabila sejuk boleh dijalankan pembungkusan dan perlabelan. Saya amat suka akan halwa rosel kerana ia mempunyai rasa manis dan masam selain daripada aroma rosel yang menyegarkan. Harga jualan halwa rosel sekitar RM 4.00 - RM 5.00 satu pek (antara 180 - 200 gram). Halwa sesuai dimakan setiap masa dan paling elok ketika memandu kereta yang boleh menghilangkan rasa mengantuk.

HALWA ROSEL .... MASAM MANIS RASANYA...
EARNA MERAH .... TINGGI VITAMIN 'C' NYA....
MUDAH DI PROSES .... TINGGI KUALITINYA....
SIAPA BERMINAT... TANAM SENDIRI SEBAIKNYA...

By,
M Anem
Kg Air Tawar, Endau,
Mersing, Johor,
Malaysia
(Bekas Pengasas Tanaman Rosel di Mersing 
- 17 Muharram 1434H)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...