Support My Blog

Sunday, October 12, 2025

GETAH SEKERAP - LEBIH POPULAR?

GETAH SEKERAP atau juga dipanggil sebagai 'Getah Buku' atau 'Lantun' merupakan susu getah yang teleh membeku dari hasil torehan batang pokok getah (Hevea brazilliensis). Getah ini merupakan susu getah berwarna putih yang asalnya cair setelah proses torehan dan mengalir dari kulit pokok getah terus kedalam bekas atau cawan getah. Susu lateks ini akan dibiarkan selama sehari dimana ianya akan membeku. Getah adalah sejenis asli merupakan polimer hidrokarban yang cirinya adalah elastik dan kenyal yang terhasil dari koloid dari hasil torehan. Di kampong saya di Daerah Muar, Johor (Kini sudah menjadi Daerah Tangkak) getah sekerap atau lebih pupular sebagai beku menguasai hampir 95% pekebun kecil getah dimana meraka tidak lagi menoreh untuk mengutip getah susu cair lagi. Pekebun getah ini hanya memilih untuk menoreh bagi mendapatkan getah beku sebagai getah sekerap kerana mudah kerjanya walau pun harganya tidak sama dengan harga getah keping (SMR Standard). Zaman saya kanak-kanak dulu sekitar tahun 1960’an hingga 1970’an semua penoreh mengutip susu getah lagi. Lazimnya penoreh getah akan bangun awal pagi dan sebelum jam 7.00 sudah memulakan aktiviti menoreh getah menggunakan pisau toreh yang telah di asah untuk mempastikan ketajamannya. Pisau toreh yang tumpul menyebabkan hasil susu getah akan berkurangan. Penoreh getah akan membawa bekas untuk memungut getah beku dari setiap pokok seperti baldi atau tin. Ada yang memungut getah beku sekerap ini dengan tangan dan ada yang menggunakan kayu untuk mengelakan bau busuknya. Jika bekas ini kecil akan diikat dengan tali pada pinggang untuk mempercepatkan kerja memungut getah sekerap ini sambil menoreh. Bekas yang diikat dipinggang di panggil ‘TOLOK’ dikalangan penoreh dikampong saya dimana selalunya apabila tolok hampir penoh getah beku ini akan di pindahkan kedalam bekas guni plastik atau tin lebih besar. Semua getah beku akan dimasukkan dalam guni plastik atau lain-lain bekas untuk dikumpul dan dijual kepada pembeli yang menunggu disekitar kampong. Getah sekerap ini terjadi hasil dari tindakbalas koloid dalam susu getah selepas proses torehan. Susu Getah mengandungi banyak air dan apabila susu getah membeku akan menghasilkan getah beku yang kenyal dan air asid yang berbau ammonia dan busuk. Air ini jika terkena tangan atau baju penoreh akan menyebabkan bau yang kuat dan agak kekal lama. Ketika saya menoreh masa dulu (semasa cuti semester dari universiti) pastinya saya mesti menolong orang tua menoreh. Saya menggunakan kayu atau ranting getah yang ditajamkan untuk mencungkil getah beku dari cawan. Ini dapat mengelakkan bau air getah dari melekat pada tangan. Tidak apalah lambat sedikit mencungkil getah beku dalam cawan dengan kayu dan yang penting tangan tidak berbau. Ramai penduduk kampong sering gunakan limau nipis yang ada ditanam tepi rumah mereka untuk mencuci tangan yang terkena air getah beku dan memang berkesan sekali menghilangkan bau tersebut. Artikel subuh ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya bincangkan mengenai getah sekerap dan beberapa perkara dilaporkan media untuk dijadikan bahan rujukkan anda semua.


Akhbar Harian Metro melaporkan artikel bertajuk '
Penoreh getah lebih selesa jual getah sekerap' dimana kini berlaku iaitu kebanyakan penoreh getah di Malaysia enggan berpindah kepada kaedah  penghasilan susu getah atau lateks kerana ia membabitkan proses rumit sedangkan harganya tidak terlalu jauh berbeza dengan penjualan getah bekuPenoreh mendakwa terpaksa menunggu susu getah berhenti menitik antara empat hingga lima jam sebelum mampu membawa keluar hasil dari kebun berbanding hanya perlu menoreh dan meninggalkan getah membeku dalam mangkuk hingga menjadi getah beku atau sekerap. Pengalaman penulis blog mendapati ia sama dengan dakwaan oleh Bukhari Yunus berumur 55 tahun dimana sejak dia menoreh pada usia 20 tahun dahulu memang dia tidak pernah menghasilkan lateks kerana ia membabitkan kerja disifatkan rumit berbanding menghasilkan getah beku (Sila lihat foto disebelah). Dakwanya waktu dulu harga getah tinggi tetapi sekarang harga getah sekerap cuma RM1.75 sekilogram. Jika dia buat getah cair (lateks) dia kini percaya harganya tidak terlalu tinggi hingga dua atau tiga kali ganda dakwanya semasa ditemui wartawan HM di kebun getahnya di Kampung Solok Limau Nipis, Masjid Tanah, Melaka. Dia mendakwa kini memperoleh pendapatan antara RM100 hingga RM150 seminggu hasil daripada kegiatan menjual getah beku atau getah sekerap ini iaitu pada harga purata antara RM1.70 hingga RM1.80 sekilogram. Jika dia buat getah cair maka dia kena bekerja dari subuh hingga petang untuk menoreh, menunggu susu getah berhenti menitik, mengutip dan membawanya keluar dari kebun. Dia dakwa banyak masa yang perlu dihabiskan sedangkan ketika ini dia hanya perlu bekerja dari jam 7 pagi hingga 9 pagi ( 2 jam sahaja) untuk menghasilkan getah beku. Waktu yang terluang digunakan untuk mengambil upah bertukang atau kerja lain dikampong. Laporan media ini berikutan dengan satu kenyataan oleh RISDA Melaka yang menggesa seramai  9,723 pekebun kecil getah di Melaka berpindah kepada penghasilan lateks kerana ia mampu melonjakkan pendapatan sebanyak 30 peratus. Dalam pada itu RISDA juga bersedia membawa Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (MARDEC) membeli lateks daripada pekebun kecil, asalkan mereka bersedia melakukan anjakan dalam pengeluaran hasil komoditi itu. Seorang penoreh lain T Ganasenaran nyatakan dimana dia tetap memilih untuk menghasilkan getah sekerap atau getah beku berbanding getah cair kerana ia lebih mudah sesuai dengan tenaga dan usianya yang sudah lanjut.



Bernama pula dengan artikel bertajuk 'Mekanisme baru bantu pekebun kecil getah' wajar penulis blog rujuk. 
Lembaga Getah Malaysia (LGM) tidak terlepas daripada menjadi bahan kecaman dari pekebun kecil getah berikutan kejatuhan harga komoditi itu sejak hujung tahun 2011 yang dilihat seolah-olah sukar untuk meningkat semula. Dilaporkan dimana harga getah beku di ladang yang pernah mencecah RM7.30 sekilogram (kg) pada Februari 2011 dan berlegar sekitar RM7 antara bulan berkenaan hingga Oktober 2011. Bagaimana pun ia telah merudum sejak November 2011 sehingga mencecah RM2 sekilogram pada tahun 2017 dan terkini tahun 2021 hanya berlegar dari RM2.35 - RM3.22 sekilogram yang mana menyebabkan kira-kira 300,000 pekebun kecil bukan setakat mengeluh malah ada sesetengah mereka 'menggantung pisau toreh' seperti jadual diatas. Harga getah sekerap ini pula bergantung kepada masa jualan sama ada 1 hari (sangat basah), 3 hari (sederhana basah) dan 7 hari (kurang air dan agak kering). Penulis blog yang mana masih mempunyai kebun getah di Muar dan mengupahkan orang untuk menorehnya macam 'tidak merasa' hasil kebun getah tersebut yang selalunya habis untuk beli baja, menebas dan menguruskan kebun tersebut. Keluhan pekebun getah terbabit disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) bagi merayu kerajaan mengambil langkah segera mengurangkan bebanan kejatuhan harga getah. LGM dilaporkan sebenarnya tidak pernah memekakkan telinga dan membutakan mata terhadap isu berkenaan. Pelbagai kaedah dirangka untuk membantu pekebun kecil. Meskipun tidak mampu melonjakkan semula harga getah dengan sekelip mata, langkah untuk membantu mereka tetap akan terus diusahakan. LGM pernah mencadangkan beberapa perkara kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk memperkenalkan Peraturan-Peraturan LGM (Pelesenan dan Permit) 2014. Undang-undang itu amat penting untuk menetapkan harga getah pelbagai gred, terutama Standard Rubber Malaysia (SMR) 20 yang digunakan dalam pelbagai industri berasaskan getah terutama pembuatan tayar. Jika sebelum ini LGM terpaksa bergantung kepada Panel Penasihat Harga Mengikut Gred untuk mencadangkan harga getah pelbagai gred, kini LGM sendiri mampu menetapkannya tanpa perlu bergantung kepada panel terbabit.


Akhbar Sinar Harian pada April 2021 melaporkan artikel bertajuk 'Harga Getah - Pekebun Kecil Keliru' memang menarik untuk saya merujuk. Dakwa media tersbut dimana t
erdapat kekeliruan dalam kalangan pekebun kecil getah apabila kerajaan menetapkan harga lantai getah sekerap daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram mulai Januari 2021 ini. Menurut Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) iaitu Kameruzaman Ab Rahman dimana ada yang telah beranggapan harga yang ditetapkan itu adalah harga belian oleh pembeli-pembeli getah berlesen sekaligus menimbulkan ketegangan antara kedua-dua belah pihak. Keadaan lebih merumitkan bagi sesetengah kawasan yang terdapat pembeli-pembeli getah tanpa lesen yang membuat pembelian dengan harga lebih tinggi daripada pembeli-pembeli berlesen. Pembeli getah tanpa lesen tidak menanggung apa-apa kos dan tidak terikat dengan arahan-arahan yang dikeluarkan pihak Lembaga Getah Malaysia (LGM). Pekebun kecil beranggapan harga lantai adalah harga minima yang perlu dibayar oleh pembeli-pembeli getah berlesen di peringkat ladang dan kebun. Dilaporkan dimana dengan kata mudah, setiap kali jualan getah maka mereka akan dibayar dengan harga minimum sekurang-kurangnya RM2.20 dan mulai Januari 2019 dan mereka akan mendapat harga minimum sebanyak RM2.50 bagi setiap kilogram jualan getah sekerap (cuplump). Dilaporkan dimana kini penoreh-penoreh mula membantah pembeli-pembeli getah yang tidak mengikut harga lantai sebanyak RM2.20. Ini kerana mereka sudah beranggapan mulai Januari 2019 setiap pembeli getah dikehendaki membeli getah dengan harga minimum RM2.50 berpandukan kenyataan kerajaan, harga lantai adalah RM2.50 mulai Januari 2019. 


Dalam portal metrotv.com di laporkan 'P
ekebun terhimpit, harga getah sekerap merudum' pada tahun 2022-2023 jiuga berkaitan. Dipetik dari Rantau Panjang, Kelantan dimana para pekebun getah menyifatkan kejatuhan harga getah sekerap sehingga RM2.40 sekilogram sejak beberapa bulan lalu adalah paling rendah dalam tempoh 20 tahun. Disebabkan itu, banyak kebun getah kini terbiar apabila kebanyakan pekebun tidak lagi menoreh getah dan terpaksa mencari pekerjaan lain bagi menampung kehidupan. Malah, mereka mendakwa kebun getah lebih 400 hektar di beberapa kampung di sini yang sebelum ini mempunyai lebih 300 pekebun dimana kini hanya tinggal beberapa orang sahaja. Bagi Mustafa (56) dari Kampung Telaga Emas nyatakan paras harga getah kini begitu teruk sehingga tidak mampu untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga. Dia mengusahakan kebun getah seluas 0.4 hektar sejak 20 tahun lalu dan kali ini kejatuhan harga getah sekerap paling rendah iaitu RM2.40 sekilogram. Kini dengan keluasan kebun getah ini dia hanya mampu hasilkan pendapatan RM500 sebulan. Bayangkan jika pekebun yang menoreh menggunakan sistem pawah, mereka hanya mampu memperoleh pendapatan RM250 sebulan. Dakwanya sejak beberapa bulan lalu, kebun getah di kawasan ini mula terbiar dan sunyi kerana hasil menoreh kini tidak mampu untuk menampung kehidupan. Rakannya Ewin Chanuan dari Kampung Kok Pauh dakwa dia yang sebelum ini menoreh getah selama 30 tahun mengambil keputusan bertukar kepada tanaman sayur sejak tahun lalu disebabkan harga getah semakin jatuh. Dia yang mempunyai kebun getah seluas 0.4 hektar, namun kini ditinggalkan begitu sahaja. Bukan tidak sayang, namun pendapatan yang diperoleh tidak setimpal ibarat dapat letih semata-mata. Apa pun untuk meneruskan kehidupan, saya menanam sayur-sayuran dan berharap kerajaan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani masalah kejatuhan harga getah. Bagi penduduk lain bernama Mat Yeh dari Kampung Kubang Rambutan berkata kerajaan perlu mengawal harga getah dengan memberi subsidi atau menetapkan harga lantai supaya pekebun getah tidak terhimpit setiap kali berlaku kejatuhan harga komoditi itu. Apa pun sekiranya keadaan ini berterusan, kebun getah selepas ini akan bertukar menjadi hutan kerana tidak ada lagi penduduk yang menoreh getah. Melihat keadaan sekarang pun kebun getah sudah sunyi, apatah lagi jika keadaan ini berterusan dan pekebun juga semakin terhimpit lebih-lebih lagi ekonomi yang semakin mencabar,\. Laporan media sebelum ini melaporkan, kerajaan sedang menimbangkan inisiatif khas untuk dapat membantu 500,000 pekebun kecil getah seluruh negara yang bergelut akibat kejatuhan harga getah. Dua cadangan yang dikemukakan adalah menetapkan harga lantai getah sekerap kepada lebih RM3 sekilogram atau memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh kepada enam bulan. Semuga artikel ini memberikan info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!.
GETAH SEKERAP... POPULAR DIA...
CEPAT MENOREH... ADA LEBIH MASA...
HARGA RENDAH... IA SUDAH LAMA....
PERLU TINDAKAN...BAGAIMANA CARA....

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, utrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(8 Ramadan 1442H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...