POKOK SENTANG (Azadirachta excelsea) adalah pokok kayu dari keluarga Meliaceae ianya merupakan pokok tempatan yang terkenal di kawasan tengah dan utara Semenanjung Malaysia. Spesies ini kurang popular dari segi perkayuan dahulu dikalangan ahli perhutanan dan orang awam sehingga ada kempen penanaman secara komersil beberapa tahun dahulu walau pun kini agak 'senyap' sedikit. Walau bagaimana pun pada akhir-akhir ini minat dikalangan poengusaha ladang dan pekebun kecil untuk menanam pokok sentang telah bertambah kuat setelah adanya promosi-promosi mengenai kelebihan pokok tersebut. Ini dapat dirasakan dengan dilaporkan berlaku pertambahan, pertanyaan dan kadar permintaan daripada pihak tertentu mengenai maklumat untuk tujuan penanaman, kegunaan dan pasaran kayu tersebut kepada pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. Bagi orang Melayu, sejarah asas kayu dari pokok ini berguna dalam pembinaan rumah dan telah lama mereka gunakan. Bahagian pucuknya boleh dimakan sebagai ulam walaupun terasa pahit. Daun yang tua rasanya amat pahit dan diguna sebagai ubat. Buahnya boleh dimakan tetapi tidak berapa enak. Pokok ini merupakan spesies tempatan di Semenanjung Malaysia, Sumatra, Borneo, Sulawesi, Celebes, Moloccas dan Filipina. Spesies ini belum lagi ditanam secara besaran di Semenanjung Malaysia walau pun ada usaha melakukannya. Bagaimanapun kini dibeberapa kawasan utara dan timur semenanjung ianya telah banyak ditanam di kawasan-kawasan kampung. Petak-petak kajian telah ditubuhkan seperti di Hutan Simpan Bukit Lagong di Selangor sejak tahun 1953 lagi dan juga di Hutan Simpan Relai di Kelantan. Sebanyak 130 batang pokok ini juga telah ditanam berhampiran Institut Penyelidikan Perhutanan di Kepong, Selangor. Pokok ini juga lazimnya ditanam di tepi jalanraya dan di atas sempadan kebun atau di dalam ladang-ladang getah atau nenas secara sampingan. Oleh kerana potensi komersilnya maka kini telah ada para petani juga telah mulai menanamnya secara kecil-kecilan iaitu sekitar 1-2 hektar. Artikel subuh ini saya bangun awal menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai adakah penanaman pokok sentang berpotensi dijadikan tanaman pilihan pekebun kecil di Malaysia agar ia menghasilkan pendapatan untuk bahan rujukkan pembaca semua.
Bagi penulis blog yang pernah menulis artikel mengenai Pokok Sentang (Dengan nama saintifik iaitu Azadirachta excelsa) adalah sejenis pokok kayu tempatan Malaysia dari keluarga Meliaceae juga ia dikenali juga sebagai 'Pokok limpaga' di Sabah dan Sarawak. Ia adalah pokok yang tumbuh cepat dimana ia boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan kayu berkualiti tinggi untuk pembinaan ringan dan tujuan lain, serta turut memberikan manfaat alam sekitar seperti teduhan dan penstabilan tanah. Mengenali akan ciri-ciri dan kegunaan kayu dari pokok sentang dimana kayu adalah termasuk sebagai kayu berkualiti. Kayunya dikategorikan sebagai kayu keras jenis sederhana atau ringan dan ia sesuai untuk pembinaan ringan dan pelbagai kegunaan lain. Paling menarik adalah ciri kadar pertumbuhan dengan cepat dimana pokok ini dikategorikan sebagai spesies yang tumbuh dengan cepat. Ini membolehkan ia dihasilkan dalam tempoh yang lebih singkat untuk kegunaan komersial atau penanaman semula. Pernah semasa bertugas di Pejabat Pertanian Segamat sekitar tahun 2000 - 2004 dimana semasa itu sudah viral kempen menanam pokok sentang sebab ada beberapa syarikat yang membekalkan benih pokok sentamg kepada petani teruta,a penanam getah dan sawit di kampong. Pokok sentang dilaporkan amat bermanfaat kepada alam sekitar dimana pokoknya akan menawarkan teduhan serta ia bertindak sebagai penghadang angin dan membantu mengekalkan kelembapan serta penapis air bawah tanah. Apa pun di laporkan yang pokok sentang ada yang berasal dari Malaysia dimana iklimnya sangat sesuai untuk penanamannya serta ia boleh menjadikannya pokok komersial bernilai tinggi di negara ini. Peranan menanam pokok sentang dalam analisa ekonomi dilaporkan ia boleh menawarkan peluang untuk industri kayu dan penebangan yang boleh diurus secara lestari melalui penggantian anak pokok untuk menjamin kelestarian hutan. Selain manfaat ekonomi dilaporkan jika ia juga menyumbang kepada ekosistem dan kelestarian alam sekitar dengan menyediakan teduhan dan mengekalkan kelembapan tanah.

Pokok Sentang lazimnya didapati ada bertaburan di hutan pamah pada tahap ketinggian sekitar 200-300 meter. Ia juga memerlukan tapak yang tanahnya berkualiti baik terutamanya tanah pasir gembur yang mempunyai saliran dan pengudaraan yang baik serta hujan tahunan sebanyak 1,600-2,000 mm. Tumbesaran di atas tanah pamah adalah lebih baik daripada di lereng atau kawasan pergunungan. Hasil kajian umum menunjukkan bahawa pada tahun-tahun pertama dan kedua tanaman memerlukan paling banyak pengawasan dari serangan rumpai. Pokok yang sudah besar kurang ancaman dari serangan rumpai (Sila lihat foto disebelah). Kajian menunjukkan spesies ini tiada serangan penyakit dan kulat yang membimbangkan. Penjagaan ke tasnya adalah minimal sekali. Kebanyakan anak benih adalah dihasilkan dari biji benih tetapi ia boleh juga dihasilkan dari keratan, "grafting", "marcotting" serta kultur tisu. Dari segi spesifikasi pokok lazimnya pokok sentang adalah jenis yang tergolong dalam jenis kayu keras ringan hingga ke kayu keras sederhana. Berat kayu ialah 550-780 kg/m3 pada kandungan kelembapan 15%. Dari aspek kayu heartwood berwarna kemerahan dimana ia dapat dibezakan dari sapwood yang keputihan warnanya. Purata panjang serat ialah 1.12 mm yang membuatnya sesuai untuk pembuatan kertas. Spesies ini juga sesuai untuk pembuatan partikel board. Lain-lain kegunaan spesies ini adalah untuk pembinaan rumah, perhiasan dalaman, panelling, venir, lantai, ukiran, kotak, pintu, sampan dan banyak lagi. Selain itu lazimnya biji spesies ini diproses untuk menghasilkan sejenis minyak yang digunakan dalam peracun serangga.

Pertumbuhan Sentang dikatakan amat cepat jika ditanam dikawasan sesuai dan dijaga dengan baik. Dalam beberapa kajian dilakukan dilaporkan kadar tumbesaran pokok sentang mencapai ketinggian 3 meter dalam tahun pertama dan kadar diameter 2 cm setahun secara purata. DBH pada umur 15 tahun adalah sekitar 30-35 cm dengan purata ketinggian pokok pada umur 15 tahun adalah 22-25 meter. Pada umur 15 tahun ia mampu mencapai panjang batang pokok sekitar 12 meter dengan isipadu pokok pada sebanyak 0.60 meter padu. Dari segi rekod kini pokok sentang telah ditanam secara ladang di negeri Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan. Dilapor kuga ada syarikat swasta seperti Maju Aik Sdn. Bhd. diPerak dan KETENGAH di Terengganu telah juga memulakan tanaman tersebut sebagai tanaman komersil dan tidak ketinggalan juga agensi kerajaan yang lain seperti Sime Darby, RISDA, FELDA dan Pertubuhan Pekebun-Pekebun Kecil telah memulakan tanaman Sentang sebagai usaha peladangan hutan terutama di tanah-tanah yang kurang sesuai untuk tanaman pertanian.

Sentang digunakan sebagai bahan kayuuntuk pembuatan perabot kerana sifat Kayu Sentang yang sederhana keras dan warna yang menarik. Ketumpatan kayu yang sederhana dan warna coklat kemerahan suatu ciri yang membanggakan. Kadar perolehan kayu juga agak tinggi dengan permukaan ira kayu yang elok dan licin. Kekuatan kayu menyamai beberapa jenis kayu lain terutama sifat kelenturan, kekerasan dan tegasan. Kadar tumbesaran juga cepat dimana penghasilan kayu terawal diperolehi selepas 6 tahun penanaman. Kos penanaman dan penjagan juga tidak tinggi dan teknologi agronomi tidak sukar. Kayu Sentang termasuk dalam kategori Kayu Kelas Ciaitu satu kumpulan dengan kayu Meranti, Nyatoh, Sepetir dan Kayu Getah. Kayu sentang terbukti mudah dikendalikan semasa kerja-kerja permesinan dan pengetaman untuk dijadikan perabut seperti Kerusi, Meja, Kabinet, Panel Dinding, Venir, Lantai, Tiang, Kerangka Rumah, Papan Lapis dan bahan ukiran. Terdapat beberapa masaalah dalam penanaman sentang seperti masaalah pokok sentang yang tidak tahan kepada kelembapan dan air bertakung atau banjir. Dalam lawatan saya kekebun petani yang menanam sentang di Segamat dan Muar Johor mendapati pokok selaput tunggul mampu menyekat pertumbuhan tanaman sentang pada peringkat awal jika tidak dikawal. Pokok sentang perlukan program kawalan rumpai dan pembajaan asas seperti pokok kayu yang lain. Kawalan rumpai dengan kaedah manual (Tajak) atau kaedah semburan racun rumpai. Pembajaan menggunakan baja organan dan baja NPK 15:15:15 pada peringkat awal. Serangan musuh seperti anai-anai, kumbang, bubuk dan mikroorganisma seperti Kulat (Fungi) pada kayu sentang.

Kegilaan pekebun kecil pada masa ini untuk menanam sentang sudah reda. Mereka mendakwa penanaman sentang 'indah khabar dari rupa' apabila banyak kebun yang tidak meneruskan penanaman sentang di sekitar Negeri Johor kerana sukar untuk menjual bahan kayu sentang yang dijual dengan jumlah yang sedikit. Terdapat ramai petani yang menebang pokok sentang mereka dan digantikan dengan tanaman lin seperti kelapa sawit, pisang, getah dan sebagainya. Mungkin pelan lebih tersusun perlu dibuat untuk program penanaman sentang dikomersialkan. Pekebun kecil mungkin menunggu masa yang lama (Minima 6 tahun lebih sedikit umurnya yang boleh dituai) dan harga pasaran tidak menentu dari dulu sehingga sekarang mungkin menyebabkan masih ramai para pekebun kecil lebih waspada dengan potensi dan kempen dalam penanaman pokok sentang. Semuga artikel ini memberi maklumat berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. WASALLAM!...
POKOK SENTANG... POPULAR NAMANYA...
PERNAH DIPROMOSI..ADA MENANAMNYA...
BEBERAPA NEGERI...DITANAM LUASNYA...
KAYU SENTANG.... POTENSI HARGANYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Air Keroh, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(7 Syawal 1437H)
PERNAH DIPROMOSI..ADA MENANAMNYA...
BEBERAPA NEGERI...DITANAM LUASNYA...
KAYU SENTANG.... POTENSI HARGANYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Persimpangan Bukit Beruang,
Air Keroh, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(7 Syawal 1437H)
Kemaskini pada 15 RabiulAkhir 1447H.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.