Support My Blog

Sunday, May 25, 2025

CARI TAHU PROJEK TERNAKAN KAMBING (Pt 3)

PROJEK MENTERNAK KAMBING merupakan salah satu dari akriviti penternakan yang mampu mendatangkan pendapatan agak lumayan jika dijalankan dengan baik. Kini menternak kambing merupakan ternakan ruminan yang tergolong dalam klasifikasi ternakan dari keluarga Bovidae. Pecahan keluarga (sub-family) bagi kambing adalah daripada genus Caprinae (kambing) dan genus Capra (kambing). Penulis blog merujuk beberapa buku dimana ada 5 spesis kambing yang popular diternak iaitu species iaitu Capra hirus (Capra aegagrus), Capra ibex, Capra pyrenaica, Capra caucasia dan juga spesis Capra falconeri. Bagaimana apun dilaporkan cara membuat klasfikasi kambing ada 4 keadaan iaitu Tempat Asal (seperti Asia, Afrika, dan lain-lain), Rupabentuk Anggota (seperti telinga panjang, pendek, tegak atau berjuntai), Jenis Kegunaan (samada untuk daging, susu, bulu, kulit dan lain-lain) serta Ukuran Besar Badan dan Tinggi (seperti ukuran berat dan besar, sederhana atau pun saiz kerdil). Penulis blog juga kini tahu satu lagi cara yang digunakan sekarang ialah ciri seperti ukuran “Height at withers” iaitu ukuran dari kaki sampai ke tulang bahu (skapula). Dilaporkan dimana cara ini mempunyai kaitan dengan saiz besar badan. Kalau bentuk badan besar begitu juga dgn ukuran tinggi dijadikan panduan dalam pengkelasan kambing. Apa pun dilaporkan dengan cara ini maka haiwan kambing boleh dibahagi kpd 3 kumpulan iaitu jenis Kambing Kerdil (ukuran tingginya dibawah 50 cm atau berat 18-25 kg), Kambing Sederhana (ukuran tinggi 51-65 cm atau beratnya antara 19-27 kg) dan Kambung Besar (ukuran tinggi di atas 65 cm (20-53 kg). Merujuk kepada beberapa sumber yang dilaporkan dimana populasi kambing di dunia dianggar lebih kurang 400 juta ekor dimana sekitar 22% darinya terdapat dikawasan negara beriklim temperate sementara 78% di kawasan tropika dan subtropika. Penulis blog juga dapati dimana populasi kambing berada dikawasan kering di mana sukatan hujan kurang dari 45 cm. Taburan populasi kambing yang banyak sekali ialah di Afrika dan India. Dalam pada itu antara baka-baka kambing yang terkenal di dunia boleh dibahagikan kepada 7 kawasan. Bagi kawasan Afrika terdapat jenis baka kambing Nubian, Sahle, Maradi (Red Sokoto), kambing kerdil (Dwarf goat), south Sudan Dwarf, Somali, Boer, Somali Arab dan Small East African Goat. Sementara itu di kawasan Timur Tengah dan Timur Dekat ada jenis baka kambing seperti Angora, Damanscus dan Syrian Mountain. Bagi kawasan India Dan Pakistan popular dengan baka kambing seperti Jamnapari, Beetal, Barbari, Black Bengal, Malabar, Bari, Osmanabad dan Kamori. Bagi kawasan Asia Tenggara termasuk Malaysia popular dengan baka seperti Kambing Katjang dan di Kawasan Negara China dan Tibet popular dengan baka Kambing Ma’Tou, South China Dwarf Goat, Cahsmere Goat. Di kawasan Amerika Selatan pula ada baka Maxoto dan Marota sementara di kawasan Eropah ada baka kambing Saanen, Toggenburg, British Alpine dan lain-lain. Penulis blog kongsikan beberapa keterangan baka Kambing Katjang yang berasal dari Malaysia dan indonesia. Kambing ini digunakan untuk daging dengan mempnyai warna bulu biasanya hitam atau coklat kadang-kadang terdapat tompok putih dikaki dan badan. Ia mempunyai telinga tegak disisi dengan purata ketinggian adalah sekitar 50- 60 cm. Kambing Katjang juga dilaporkan mempunyai berat lahir sekitar 1 - 2 kg dan apabila dewasa manjadi 20 - 25 kg untuk dipasarkan. Artikel subuh ini saya menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai ilmu asas untuk mula projek ternakan kambing untuk dijadikan bahan rujukkan semua.


Dilaporkan dimana kejayaan dan kegagalan projek dalam penternakan kambing adalah bergantung kepada keupayaan untuk menyediakan makanan ternakan yang cukup kandungan nutriennya dan murah daripada sudut kos pengurusan. Ini adalah kerana lebih dari 70% daripada jumlah kos pengurusan datang dari kos makanan ternakan. Kenaikan harga bahan makanan ternakan kesan dari kenaikan harga bahan bakar dunia menyukarkan pengusaha projek ternakan untuk meletakkan pergantungan ke atas sumber makanan ternakan komersil. Memang sangat penting agar pengusaha projek ternakan untuk membangunkan sendiri pengeluaran sumber makanan ternakan atau mengenalpasti sumber hasil sampingan pertanian yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber makanan ternakan. Trnakan kambing dilaporkan ia  juga memerlukan makanan seimbang yang mengandungi zat-zat nutrien seperti protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan garam galian. Kekurangan zat-zat ini di dalam makanan ternakan akan membawa kepada masalah kesihatan di dalam jangka masa panjang. Secara tidak langsung menjejaskan prestasi ternakan dan projek ternakan secara amnya. Setiap zat-zat nutrien mempunyai fungsinya yang tertentu. Zat protein diperlukan oleh badan untuk membina otot-otot yang kuat selain menjadi elemen penting di dalam proses pemulihan. Karbohidrat diperlukan sebagai bekalan tenaga. Demikian juga dengan lemak selain daripada berfungsi sebagai penebat haba dimana ia juga berfungsi sebagai elemen simpanan untuk digunakan apabila berlalu kekurangan karbohidrat. Vitamin merupakan zat nutrien yang penting walaupun ia cuma diperlukan dalam kuantiti yang sedikit. Kekurangan vitamin boleh menyebabkan beberapa fungsi sel dan organ terjejas yang mana membawa kepada berlakunya penyakit kepada haiwan. Garam galian yang penting seperti kalsium dan fosforus diperlukan untuk pertumbuhan tulang, gigi dan kesihat. Kekurangan garam seperti natrium boleh ketidakseimbangan tekanan bendalir di dalam badan. Berbanding zat-zat lain yang boleh didapati pada sumber makanan ternakan seperti rumput dan dedaun hijau, pemberian garam jilat boleh membantu menampung kekurangan yang mungkin berlaku pada sumber makanan tersebut.


Keperluan bahan air adalah antara komponen terbesar di dalam badan ternakan dimana dilaporkan yang 70% daripada badan kambing adalah terdiri daripada air. Sebaiknya ternakan kambing ini sentiasa diberikan sumber air minuman bersih sepanjang masa dengan terjamin kecukupannya dan kualitinya. Sumber makanan kambing secara amnya boleh dibahagi kepada 2 iaitu makanan utama iaitu Jenis Rumput atau pun Jenis Dedaunan hijau dan Makanan Tambahan. Penternak selalu digalakkan untuk memperuntukkan sebahagian daripada kawasan untuk tanaman makanan ternakan terutamanya Rumput Napier atau Jagung. Ini adalah kerana 2 tanaman ini mempunyai pengeluaran yang tinggi dan sangat sesuai ditanam untuk kawasan yang kecil. Walaupun pun demikian ada terdapat tanaman lain yang sesuai ditanam dan dijadikan sebagai makanan ternakan. Di antaranya ialah seperti Tanaman Rumput Guinea, Rumput Humidicola, Rumput Setaria, Rumput Centrosema (tanaman kekacang). Pokok Petai Belalang (Leucaena leucocephala), Daun nangkadan pokok Glyridisia.  Selain daripada itu digalakkan agar semua penternak kambing ini boleh juga menggunakan bahan-bahan makanan seperti hampas kacang soya, mil kacang, mil ikan sebagai sumber protein. Penggunaan hampas sagu rumbia, dedak padi, lebihan makanan seperti nasi juga boleh diberikan sebagai sumber tenaga kepada kambing agar cepat membesar dan sihat. Ada juga penternak yang membeli dedak komersil dan di berikan kepada ternakan kambing bersama juga dengan garam mineral yang akan membenatu menambah selera kambing memakannya.


Cabaran utama menternak kambing sebenarnya kepada bagaimana cara pengurusan Ternakan Kambing kerana ia memang sangat kritikal. Umumnya kitaran pengurusan bagi ternakan kambing akan bermula dengan kelahiran kepada pembiakan seterusnya kebuntingan dan beranak kembali. Ia boleh di bahagikan kepada beberapa peringkat pengurusan ternakan. Pertama adalah di Peringkat Kelahiran dimana selepas kelahiran maka anak kambing mesti diberikan susu awal ataupun kolostrum. Pemberian susu ini adalah penting kerana susu awal kambing yang dihasilkan di sepanjang 3 hari pertama selepas kelahiran mengandungi antibodi yang diperlukan bagi melindungi dari serangan penyakit. Selain daripada itu kolostrum mengandungi zat protein yang tinggi diperlukan oleh badan untuk tumbesaran. Selalunya anak kambing akan menghisap sendiri. Sekiranya anak kambing lemah atau tidak berbuat sedemikian, tindakan memerah dan menggunakan botol susu atau syringe perlu dilakukan bagi memastikan anak kambing kolostrum secukupnya. Selain daripada memastikan anak kambing mendapat kolostrum, talipusat anak kambing yang didapati panjang perlulah dipotong sekurang-kurangnya setengah inci dari badan. Iodin perlu disapukan pada pusat berkenaan bertujuan mengelakkan menjadi sumber laluan kepada agen penyakit. Di masa awal peringkat kelahiran dalam tempoh 4 - 6 minggu pertama dimana makanan yang secukupnya perlu disediakan secara potong angkut kepada ibu kambing. Ini membolehkan induk berkenaan berehat dan memulihkan diri untuk bersedia pada peringkat seterusnya. Peringkat kedua adalah Peringkat Cerai Susu dimana ia dilihat peringat anak kambing dipisahkan daripada ibunya. Namun demikian, peringkat ini perlu dilakukan secara beransur-ansur. Pada ketika anak kambing berusia menghampir 3 atau 4 bulan, sumber makanan seperti rumput atau dedaunan hijau boleh diberikan secara sedikit demi sedikit. Selalunya pada usia ini anak kambing sudah mulai belajar memamah dedaun hijau. Pada lingkungan usia selewat 4 bulan, anak kambing sepatutnya sudah dipisahkan dari ibunya. Selalunya kelewatan melakukan cerai susu kepada anak kambing menyebabkan prestasi kambing berkenaan seperti berat badan dewasa, tempoh kematangan dan pembiakan akan terjejas. Anak-anak kambing jantan yang mencapai usia 9 bulan perlu dipisahkan daripada anak-anak kambing betina. Ini adalah kerana umur ini adalah untuk yang mana kambing jantan mula mencapai kematangan seksual dan berkebolehan untuk membiak.


Seterusnya adalah Peringkat Penjagaan Kambing Dewasa dimana selalunya kambing-kambing dewasa dikandangkan mengikut jantina. Kambing jantan dan betina dicampurkan hanya apabila hendak dibiakkan. Nisbah kambing jantan kepada kambing betina ialah satu ekor jantan untuk 20 hingga 25 ekor kambing betina. Pada ketika tidak dibiakkan, kambing jantan perlu diletakkan di dalam kandang individual dan tidak dicampurkan dengan kambing jantan yang lain. Ini bertujuan untuk mengelakkan pemangsaan akibat dominasi kambing jantan yang lain. Salah satu proses yang penting di dalam penternakan ialah proses pemilihan. Proses ini adalah bertujuan menentukan ternakan yang berprestasi tinggi sentiasa berada di dalam ladang. Kambing-kambing yang gagal menunjukkan prestasi yang baik selalunya dikeluarkan dari ladang dan dijual sama ada sebagai ternakan hidup atau disembelih untuk daging. Pemilihan dilakukan berdasarkan pemerhatian dan pengamatan terhadap ternakan dan dibantu oleh data-data yang telah direkodkan seperti berat lahir, berat cerai susu, kenaikan berat badan harian yang tinggi, jarak kelahiran yang singkat, sentiasa beranak kembar dan berat matang yang dicapai dalam masa singkat. Apabila kambing cukup umur dan sedia dijual di perlukan kaedah Pemasaran yang menguntungkan. Bagi pnenulis blog yang ber[engalanan menternak kambing dimana secara amnya, permintaan terhadap daging kambing adalah bermusim dan ini dapat dilihat meningkat terutamanya ketika perayaan-perayaan seperti Hari Raya dan Deepavali. Hasilnya pada ketika musim-musim perayaan, berlaku kekurangan daging kambing dalam negara dan menyebakan fenomena peningkatan sementara pengimportan kambing hidup untuk sembelihan dan daging kambing sebagai makanan. Selain daripada musim perayaan, permintaan terhadap daging kambing tetap ada walaupun harga borong daging kambing agak mahal iaitu di antara RM 15 hingga 25 sekilo. Penggunaan perkapita daging kambing di Malaysia masih berada di tahap rendah iaitu 0.8 hingga 0.9kg. Ini berkemungkinan besar didorong oleh persepsi orang ramai tentang perkaitan di antara pemakanan daging kambing dan kesihatan. Namun demikian, kajian yang dilakukan oleh USDA mendapati daging kambing kurang daripada segi kandungan kolestrol dan lain-lain parameter yang dipercayai boleh menyumbang kepada masalah kesihatan. Daging kambing mendapat permintaan oleh dipasarkan melalui pasar raya besar atau hypermart seperti TESCO, JUSCO dan Giant. Selain daripada itu boleh dibekalkan untuk memenuhi permintaan hotel dan restoran. Cabaran utama di dalam industri ini ialah berkemampuan untuk membekalkan di dalam kuantiti yang besar dan berterusan. Namun demikian dengan minat, usaha dan sabar serta menyusun atur strategi yang bersesuaian pasti mampu mengatasi cabaran seterusnya memberi hasil dan pulangan yang lumayan. Artikel ini ditulis dalam tiga (3) segmen iaitu Part 1, Part 2 dan Part 3 yang sesuai di baca kesemuanya. Semuga artikel ini dapat memberi ilmu berguna kepada pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...

MENTERNAK KAMBING...BAGAIMANA...
BAKA TERPILIH... DIPASTIKAN ADA...
MAKANAN SIHAT... RAWAT SAKITNYA...
BOLEH DIJUAL... UNTUNG AKHIRNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Taman Balai Panjang Murni,
Bandar Melaka,
Melaka.
(Malaysia).
(17 Zulkaedah 1446H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...