Sebelum pergi jauh mengenai baja organik sebaiknya faham dulu mengenai BAJA (Fertilizer). BAJA adalah bahan yang mengandungi unsur pemakanan tumbuhan yang dibekalkan secara langsung kepada tanah bagi pertumbuhan tanaman. Apa pun bagi penulis blog mendapati dimana setiap bahan yang mengandungi unsur-unsur pemakanan tumbuhan dan dibekalkan kepada tanah contohnya Nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) adalah dikelaskan sebagai baja tumbuhan. Biasanya umum akan tahu jika bahan-bahan yang digunakan secara tidak langsung untuk memperbaiki struktur dan tekstur tanah, meningkatkan daya kelembapan tanah dan daya pegangan air tanah serta mengawal keasidan tanah adalah dianggap sebagai bahan pembetulan tanah (soil amendment) atau pelembap tanah (soil conditioner) atau bahan tambahan tanah (soil additives). Ramai kalangan petani di Malaysia hanya faham akan fungsi baja yang di bubuh kepada tanaman di kebun tetapi tidak ramai yang memahami dan amalkan guna bahan pelembab tanah, pembetul tanah dan juga bahan tambahan tanah. Kesemua bahan ini adalah penting dalam mempertingkatkan kesuburan tanah bagi menampung asas dan keperluan pertumbuhan tanaman daripada peringkat awal penanaman sehingga kepada peringkat penuaian hasil. Apa pun dilaporkan memang ada terdapat 18 unsur pemakanan tumbuhan yang diperlukan oleh tanaman mengikut peringkat pertumbuhan, cara pengambilan unsur pemakanan tersebut dan jenis tanaman. Unsur yang paling utama dan paling penting dalam pertumbuhan hampir kesemua jenis tanaman ialah nitrogen, fosforus dan kalium (N,P,K). Nitrogen sangat penting bagi pertumbuhan tanaman daripada peringkat awal percambahan sehingga peringkat pembentukan daun. Fosforus penting bagi pembentukan akar dan dahan, manakala kalium penting dalam pembentukan bunga dan buah.
Dalam amalan agronomi dimana penting teknologi pembajaan iaitu salah satu aktiviti penting menguruskan tanaman agar ia sihat dan mampu memberikan hasil tinggi dan berkualiti. Selalunya berpunca dari kekurangan tiga unsur utama ini akan menampakkan simptom secara umumnya pada daun (kurang nitrogen), pertumbuhan terbantut (kurang fosforus) dan tidak membentuk bunga (kurang kalium). Biasanya terdapat juga unsur sekunder yang tidak kurang pentingnya dalam pertumbuhan tanaman iaitu Kalsium (Ca), Magnesium (Mg), Sulfur (S) dan Sodium (Na) yang diperlukan tanaman untuk pertumbuhan yang subur. Apa pun sebenarnya selain daripada unsur utama dan unsur sekunder perlu juga unsur surih seperti Boron (B), Zink (Zn), Ferum (Fe), Mangan (Mn), Klorin (Cl), Molybdenum (Mb), Kobalt (Co) dan Tembaga atau copper (Cu) yang juga ia diperlukan oleh tanaman tetapi dalam jumlah yang sedikit. Maksudnya adalah dimana sama ada atau tidak ada unsur surih ini dalam pembajaan tidak begitu signifikan dari segi pertumbuhan tanamn dan penghasilannya. Saintis nyatakan dimana jika kepekatan unsur surih tinggi dalam tanah sebaliknya pula ia akan menyebabkan toksik (keracunan) terutama bagi tanaman yang baharu disemai. Unsur seperti Oksigen (O), Karbon (C) dan Hidrogen (H) yang tanaman perlukan adalah didapati daripada atmosfera atau udra bebas disekelilingnya iaitu dalam bentuk karbon dioksida dan air. Apa pun apa yang penulis blog tahu dimana unsur karbon dan hidrogen terdapat dalam baja urea disebabkan oleh penghasilan baja urea melalui proses ‘Haber’. Baja urea dihasilkan daripada gabungan gas nitrogen iaitu daripada atmosfera dengan hidrogen daripada gas asli contohnya seperti metana seterusnya membentuk gas ammonia. Apa pun sebenarnya baja boleh dikelaskan mengikut empat kumpulan yang berbeza dari segi kandungan nutriennya iaitu baja kimia (bukan organik), baja organik, baja galian (mineral) dan baja organik sintetik. Cara pelepasan nutrien dalam setiap jenis baja ini adalah berbeza mengikut kandungan nutrien baja tersebut.
Penting semua petani di Malaysia serta agen pengembangan pertania tahu akan beberapa jenis baja iaitu Baja Kimia, Baja Organik, Baja Galian atau Mineral dan juga Baja Organik Sintetik. Pertama adalah BAJA KIMIA iaitu jenis baja yang dihasilkan mana ia ada menggunakan campuran bahan kimia dan bukan organik contohnya campuran bahan yang mengandungi asid sulfurik dan gas ammonia dalam pembuatan baja ammonium sulfat. Apa pun selalunya melalui tindak balas kimia maka bahan tersebut berubah kandungan dari segi atom dan molekul lalu ianya membentuk bahan baharu iaitu ammonium sulfat. Baja kimia ini mengandungi dua unsur iaitu nitrogen dan sulfur. Ada kandungan unsur pemakanan tumbuhan adalah tinggi dalam baja kimia. Pelepasan unsur pemakanan tumbuhan daripada baja kimia adalah cepat berbanding baja organik dan baja mineral disebabkan sifat yang mudah larut dan mudah meresap ke dalam tanah. Lazimnya baja kimia digunakan pada peringkat pertumbuhan yang tertentu seperti tanaman padi di tabur hari ke 20 hari selepas penanaman dan bagi tanaman alain diberikan di peringkat pembungaan. Bagaimana pun bagi kebanyakan jenis tanaman buah-buahan bermusim di Malaysia baja ini diberikan semasa pembentukan buah bagi memastikan nutrien daripada baja kimia dapat ia digunakan sepenuhnya oleh tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan tersebut. Kedua adalah jenis BAJA ORGANIK iaitu sejenis baja yang dihasilkan menggunakan bahan asli tanpa banyak campuran bahan kimia. Cara penghasilan baja organik adalah daripada pereputan sisa organik pertanian yang mudah terurai contohnya sisa tanaman dan sisa tinja haiwan. Apa pun selalunya penguraian bahan asli daripada sisa tanaman dan sisa haiwan mengambil masa lebih kurang dalam julat 3 - 8 bulan mengikut tinggi atau rendahnya kandungan bahan yang mudah atau lambat terurai. Kemudian hasil akhir daripada proses penguraian ini dikenali sebagai KOMPOS iaitu baja organik yang terkenal dalam meningkatkan kesuburan tanah dan tanaman. Kandungan bahan humus (organik) dalam kompos adalah tinggi dan kandungan nutriennya bergantung kepada campuran sisa yang digunakan, contohnya jika campuran menggunakan daun kekacang dan sisa haiwan, kandungan nitrogen adalah tinggi. Dilaporkann jika abu daripada pembakaran pelepah sawit digunakan dalam campuran pembuatan kompos maka kandungan kalium (K) adalah tinggi. Proses pelepasan bahan humus daripada kompos adalah perlahan dan biasanya dibekalkan kepada tanaman pada musim awal penanaman supaya boleh diambil oleh tanaman pada setiap peringkat pertumbuhan.
Jenis baja ke tiga adalah BAJA GALIAN atau BAJA MINERAL yang mana ia merupakan baja yang dihasilkan melalui pemecahan batuan yang mengandungi nutrien contohnya batu kapur yang mengandungi kalsium serta magnesium dan batuan fosfat yang mengandungi fosforus. Proses penghasilan galian ini adalah disebabkan oleh tindakan luluhawa fizikal dan luluhawa kimia terhadap batuan yang merubah bentuk dan kandungannya. Apa pun selain daripada itu cara perlombongan batuan dilakukan bagi mendapatkan galian dalam bentuk serpihan yang lebih kecil atau serbuk galian yang sedia untuk digunakan. Kebanyakan baja galian mempunyai nutrien tumbuhan yang rendah dan cara pelepasan unsur pemakanan ke dalam tanah adalah lambat disebabkan batuan ini lambat larut dan memerlukan jumlah air secukupnya bagi proses pelarutan dalam tanah. Diantara contoh baja galian ialah ‘China Rock Phosphate’ (CRP), ‘Christmas Island Rock Phosphate’ (CIRP), dan ‘Egyptian Rock Phosphate’ (EGP). Batuan fosfat ini dinamakan mengikut tempat perlombongan batuan fosfat tersebut. Jenis baja yang ke empat adalah BAJA ORGANIK SINTETIK iaitu baja yang dihasilkan daripada gabungan gas dan sebatian organik yang disintesis secara bukan semula jadi. Proses penghasilan baja organik sintetik menggabungkan gas ammonia, hidrogen dan karbon dioksida. Sumber kepada gas ammonia ialah pengikatan gas nitrogen (N2) oleh proses Haber atau pembentukan ‘cyanamide’ (sebatian hablur asid lengai terhasil daripada pembebasan ammonia), manakala sumber kepada gas karbon dioksida ialah gas yang terbebas daripada perindustrian dan perkilangan. Baja urea merupakan satu-satunya penemuan yang unggul dalam pembuatan baja organik sintetik. Dalam proses penghasilan baja urea, gas hidrogen yang terhasil melalui tindak balas air dan gas membentuk gas karbon dioksida dalam jumlah yang banyak. Apa pun selalunya gas yang terhasil daripada air, berfungsi dalam menyeimbangkan campuran nitrogen dan hidrogen yang mengandungi kepekatan gas karbon dioksida yang tinggi (70 - 80%). Dalam pada itu proses penghasilan baja urea ini ialah tindak balas berbalik dan memerlukan suhu yang tinggi (400 - 500° C). Penemuan dalam kaedah penghasilan baja urea ini menyebabkan penggunaan baja urea secara meluas bukan sahaja disebabkan cara pelepasan unsur pemakanan yang cepat tetapi juga disebabkan oleh kandungan nitrogen yang tinggi iaitu 46%. Pada penulis blog amat penting ilmu pengetahuan mengenai jenis kandungan unsur pemakanan dalam setiap baja dan juga fungsi unsur tersebut kepada pembentukan dan pertumbuhan tanaman adalah penting bagi menentukan faktor yang perlu diambil kira dalam pemilihan baja oleh petani di Malaysia. Petani mesti faham bagaimana cara pelepasan setiap nutrien daripada baja mempengaruhi keberkesanan cara penggunaan baja yang diberikan kepada tanaman. Artikel ini ditulis dalam dua (2) segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang sesuai dibaca kesemuanya. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
BAJA KIMIA... POPULAR DI GUNA...
PERLU FAHAM...PETANI MALAYSIA...
RAJIN MEMBACA...DAPAT ILMUNYA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist Expert,
Taman Desaru Utama,
Bandar Penawar, Kota Tinggi,
Johor,
Malaysia.
(22 Jamadilakhir 1446H).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.