Support My Blog

Sunday, April 27, 2025

SEMBANG FAKTA NANAS HIBRID MS16

NANAS HIBRID L6
atau Nanas MS16 (Ananas comosus) adalah varieti nanas yang di perkenalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dilaporkan mampu berhasil tinggi dan berkualiti. Varieti nanas ini telah berjaya dibangunkan lebih dikenali dengan nama MNS 2020 berasal daripada kacukan induk Josapine dan nanas tanpa duri dari Australia. Hibrid nanas baharu ini ia  berpotensi untuk pasaran segar berhasil tinggi dan toleran kepada penyakit reput teras bakteria. Pengenalan hibrid nanas ini sebagai satu lagi pilihan alternatif varieti baharu nanas manis dan berkualiti kepada pengusaha dan penggemar nanas di samping meningkatkan kepelbagaian sumber genetik tanaman nanas di Malaysia. Sehingga artikel ini di tulis dimana Negeri Johor masih merupakan negeri pengeluar terbesar nanas di Malaysia dengan nilai pengeluaran sebanyak 212,000 tan metrik dan menyumbang sebanyak 66% daripada jumlah keseluruhan pengeluaran nanas di Malaysia pada tahun 2024. Kini dengan penggunaan teknologi baharu di dalam meningkatkan pengeluaran berhasil tinggi mampu dilaksanakan melalui gabungan pendekatan agronomi, fisiologi dan penggunaan teknologi mekanisasi yang lebih efisien dan seterusnya dapat menjimatkan kos tenaga buruh dan input. Selari dengan pembangunan teknologi pengeluaran nanas ke arah peningkatan produktiviti hasil nanas dimana ia mampu mengadaptasi dengan pemanasan global melalui amalan agronomi dan mekanisasi. Dilaporkan pihak MARDI turut membangunkan teknologi berkaitan pengurusan perosak, penyakit dan pengendalian lepas tuai serta melibatkan strategi pengukuhan pemasaran. Dalam industri nanas proses untuk pemindahan teknologi adalah penting bagi memberi manfaat kepada pekebun dan masyarakat sekiranya ia diaplikasikan secara efektif di lapangan dan beliau berharap agar aktiviti penyelidikan tanaman nanas di Malaysia dapat dijalankan dengan jayanya bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran nanas bagi memenuhi permintaan pasaran semasa yang tinggi. Di MARDI program pembaikbakaan dan pembangunan varieti baharu nanas sejak tahun 1980 dimana janaplasma nanas yang terletak di MARDI Pontian, Johor adalah koleksi pembaikbaka daripada dalam dan luar negara yang digunakan sebagai sumber genetik untuk menghasilkan hibrid baharu nanas MARDI. Artikel kali ini kita kongsikan maklumat mengenai nanas baru varieti hibrid L6 atau Nanas MS16 dalam blog "Anim Agro Technology" untuk di jadikan bahan rujukkan.


Di Malaysia isu kekurangan dan juga isu kelemahan varieti nanas komersial sedia ada telah menyumbang kepada faktor negara tidak dapat bertahan sebagai salah satu negara pengeluar utama nanas seperti pada awal 1970-an dulu. Bagi penulis blog dimana varieti Nanas Gandul (AC3) selalu ia dilaporkan menghadapi kemerosotan hasil tanaman, diikuti dengan nanas varieti Sarawak (AC2) yang ada isu iaitu ia kurang memberi tindak balas kepada proses aruhan pembungaan (menghormon nanas) dan berlaku pengurangan hasil. Selain itu terkini paling popular adalah varieti nanas MD2 (AC 9) iaitu ia merupakan kultivar yang sangat popular pada masa kini dan diiktiraf sebagai nanas premium. Nanas MD2 bagi penulis blog ia bersifat rentan kepada penyakit reput teras bakteria di sebabkan oleh bakteria Dekyya spp terutama pada musim hujan di Malaysia. Varieti nanas MD2 ini juga didapati menghasilkan buah yang manis untuk pasaran domestik dan eksport dan terdapat kejadian translucent pada isi yang menjejaskan kualiti buah sekiranya ia ditanam di tanah gambut. Pihak MARDI dilaporkan telah melaksanakan pembangunan varieti baharu nanas melalui program pembaikbakaan secara konvensional bagi mengatasi isu kekurangan kultivar nanas sedia ada dengan objektif utamanya adalah untuk membangunkan varieti baharu nanas berkualiti dan berhasil tinggi, toleran kepada penyakit reput teras bakteria dan bebas daripada kejadian teras hitam ketika penyimpanan pada suhu sejuk. Pada tahun 1993 dilaporkan ada satu pertukaran janaplasma antarabangsa telah berjaya ia dilaksanakan antara MARDI bersama dengan Maroochy Research Centre, Queensland, Australia iaitu dengan cara membawa kepada pengenalan varieti baharu nanas 53-116 dan 59-656 ke Malaysia. Hasil daripada program biakbaka tanaman (plant breeding) tersebut dilaporkan sudah ada beberapa populasi hibrid F1 baharu telah dihasilkan melalui kaedah penghibridan konvensional. Melalui kajian saringan penilaian dan pemilihan dimana ada satu titisan baharu dengan kod J53116 (1) yang dikenali dengan ‘Line 1’ berjaya dibangunkan melalui kacukan antara varieti nanas komersial Josapine dan 53- 116 sudah pun berjaya dihasilkan.



Ciri-ciri hibrid baharu nanas MS16 dimana dilaporkan ia adalah mempunyai ciri luaran yang menghampiri induknya iaitu Nanas Varieti Josapine dengan kehadiran duri secara separa pada margin daun dan juga jambul akan tetapi MS16 mempunyai buah bersaiz medium dengan purata berat buah yang lebih tinggi (1.5 kg sebiji) berbanding dengan Josapine (1.2 kg sebiji). Hibrid MS16 ini mempunyai mata yang kecil dan permukaan kulit sederhana tebal serta tahan lasak bagi mengelakkan kecederaan fizikal buah ketika penuaian dan kurang berlakunya kejadian sunburn akibat terik matahari. Apa pun proses pembungaan dapat diaruh seawal lapan bulan dan mempunyai tempoh matang yang pendek. Hibrid MS16 hanya memerlukan kombinasi aruhan pembungaan yang rendah iaitu 30 mL ethephon dan 180 mL urea (dalam 18 L) bagi aruhan pembungaan serentak dan menghasilkan saiz buah yang seragam. Pengeluaran jambak bunga (red heart) juga ia adalah singkat iaitu 30 - 35 hari selepas aruhan hormon dibuat. Anggaran masa penuaian buah pula ialah 125 - 130 hari selepas aruhan hormon dan buahnya sesuai dituai pada indeks kematangan optimum 3 - 4. Hibrid ini berkualiti dan berhasil tinggi berkadaran dengan tindak balas pembungaan yang tinggi iaitu melebihi 90% kejayaannya. Ciri buahnya berbentuk silinder dengan warna isi kekuningan, isinya sangat manis (15 – 21 °Brix), kurang berasid (0.64%) dan sesuai untuk permintaan pasaran segar mahupun proses pengetinan. Buahnya pula dapat disimpan pada suhu bilik (ambien) dalam tempoh yang agak panjang sekitar tujuh hari tanpa dilaporkan ia tidak menjejaskan kualitinya. TNanas MS16 ini didakwa ia  telah menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada induknya Josapine dari aspek kualiti isi buah, saiz buah, pengeluaran sulur sebagai bahan tanaman dan ciri ketahanan terhadap penyakit reput teras bakteria (BHR). Keistimewaan Nanas MS16 dilaporkan ia terletak pada ciri buahnya yang manis, beraroma, tekstur isi buah dan empulur yang lembut dan kurang rasa lidas. Ciri-cirinya sangat sesuai untuk dimakan segar. Tidak seperti nanas Maspine (AC4) diana penulis blog dapati yang pokoknya menghasilkan banyak sulur tangkai dan sulur tanah yang boleh digunakan sebagai bahan tanaman dan ini menjimatkan masa untuk penghasilan bahan tanaman baharu. Tempoh matangnya juga lebih singkat berbanding dengan varieti nanas sedia ada seperti Maspine, MD2, N36 dan Sarawak. Bagaimana pun sehingga April 2025 penulis blog dapati populariti nanas MS16 ini kurang mendapat respon dan sukar membelinya di mana-mana sahaja di Malaysia.


Dilaporkan dimana varieti baru nanas hibrid MS16 ini juga mempunyai adaptasi pertumbuhan tampang yang sangat baik di tanah mineral dan dijangka akan dapat mempertingkatkan keluasan kawasan penanaman nanas negara yang pada ketika ini yang dilihat ia lebih tertumpu di kawasan tanah gambut. Pengeluaran hasil buah di kedua-dua tanah gambut dan mineral menunjukkan hibrid MS16 adalah buah yang bersaiz medium sekitar 1.30 kg hingga 1.60 kg dengan saiz jambul yang kecil menepati permintaan pasaran eksport bagi memudahkan aktiviti pembungkusan. Ciri khas nanas hibrid ini mempunyai kualiti rasa buah yang sangat baik dengan kandungan TSS yang tinggi apabila ditanam di tanah gambut mahupun tanah mineral sama dengan beberapa nanas hibrid lain. Kepadatan tanaman stadard adalah sebanyak 43,500 pokok/ha dengan menggunakan jarak tanaman piawai nanas iaitu 30 cm x 60 cm di antara pokok dan baris manakala jarak di antara batas ialah 90 cm. Bagi penulis blog masih ada potensi untuk kaedah penanaman nanas padat di tanah mineral varieti nanas ini boleh di naikkan sehingga lebih 70 ribu pokok sehektar seperti Nanas MD2. Kajian biakbaka hibrid baharu nanas ini adalah penambahbaikan ciriciri nanas Josapine dengan buah yang berhasil tinggi dan bersaiz medium (1.5 kg) sesuai dengan permintaan pasaran. Hibrid MS16 ini dikaji ia mempunyai kandungan gula yang tinggi iaitu lebih15 °Brix dengan kandungan asid citrik yang rendah (0.64%) yang seimbang memberikan rasa asli nanas. Hibrid MS16 ini juga mempunyai penyesuaian penanaman yang baik di tanah gambut dan mineral. Keistimewaannya terletak pada sifat pokok yang toleran kepada penyakit reput teras bakteria (BHR) dan kualiti buah yang manis dengan tekstur rasa isi dan empulur yang lembut serta tahan daripada gejala teras hitam (BHD) ketika penyimpanan pada suhu bilik. Ia mempunyai sulur tangkai dan sulur tanah yang banyak sebagai sumber bahan tanaman dan tindak balas pembungaan yang tinggi sehingga melebihi 90%. Hibrid baharu MS16 adalah satu alternatif nanas manis berkualiti di samping varieti-varieti sedia ada untuk industri nanas negara. Bagi penulis blog dimana ia adalah pengenalan kepada satu lagi hibrid baharu nanas untuk pasaran tempatan dan pengembangan industri eksport nanas negara. Apa pun isu mendapatkan benih tulin nanas MS16 ini agak sukar berbanding dengan nanas MD2 dan varieti ain di Malaysia. Sudah lebih setahun ia dilancarkan akan tetapi memang penulis blog belum menjumpai ladang luas komersil yang menanam varieti ini di Malaysia. Hanya dapat melihat ada pameran dan jualan nanas MS16 semasa Pameran MAHA 2024 lepas di MAEPS Serdang sahaja. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada seua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!...
NANAS HIBRID BARU... MS16 NAMANYA...
ASAL JOSAPINE... CIRINYA BERBEZA...
BANYAK KEHEBATAN...SUKAR BENIHNYA...
BELUM DPAT MEMBELI...TANAM DI MANA?...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP Putrajaya,
Malaysia.
(16 Syawak 1446H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...