Support My Blog

Monday, March 17, 2025

SEMBANG TENTANG BUAH RAMBAI (PART 1)

BUAH RAMBAI
(Baccaurea motleyana Mull) kini semakin kurang dikenali oleh generasi dimana mereka kurang dapat ujirasa makan buah yang semakin pupus ini. Ini kerana pokok rambai sudah dikategorikan sebagai buah nadir yang kini semakin tidak di tanam dan pokok yang ada cuma pokok lama ada pokok rambai liar dalam hutan sahaja. Buah rambai adalah daripada famili Euphorbiaceae termasuklah juga kaum getah dan ubi kayu. Terdapat sebanyak 42 spesies rambai dan kerabat liarnya di seluruh dunia dan di Malaysia sahaja terdapat 31 spesies rambai. Pusat Pertanian telah menyimpan janaplasma pokok rambai ini sejak berpuloh tahun dahulu dan merekodkan sebanyak 12 spesies dan pencirian morfologi telah dilakukan. Selain Buah Rambai (Baccaurea motleyana) satu lagi spesies yang kerap dijumpai ialah Buah Tampoi putih (Baccaurea macrocarpa) yang mempunyai rasa yang manis atau masam manis. Spesies liar lain yang turut dijumpai ialah seperti Buah Jentik-jentik (Baccaurea polyneura) dan juga Pokok Pupor (Baccaurea ramiflora). Hasil kajian inventori yang dijalankan didapati dimana pokok ini masih banyak dijumpai di halaman rumah dan di kebun-kebun. Negeri Sarawak mempunyai bilangan pokok yang masih banyak dan diikuti oleh Sabah, Pahang dan Kedah. Selain boleh dimakan segar biasanya kumpulan buah rambai ini mempunyai pelbagai kegunaan lain seperti dijadikan bahan masakan, perencah, digunakan sebagai bahan kosmetik mahupun untuk menghilangkan minyak ataupun gris. Kandungan antioksida yang tinggi dalam buah jentik-jentik (90%) amat bagus jika buah ini dapat dijadikan sumber buah berpotensi. Buah ini mempunyai ciri yang agak unik iaitu akan pecah sekiranya dijentik yang boleh menjadi daya tarikan terutama kepada golongan kanak-kanak untuk menikmati buah ini. Artikel subuh ini saya sembang mengenai buah rambai dengan menulis dalam blog "Anim Agro Technology" mengenai fakta dan kisah buah rambai sebagai satu bahan rujukkan anda semua.


Buah rambai ada yang jenis Manis tetapi kebanyakkanya Masam. Terdapat beberapa jenis buah rambai yang boleh dikomersilkan jika kajian lanjut dibuat oleh pihak2 berwajib bersama-sama pakej teknologi yang sesuai. Kegunaan lain pokok rambai ialah untuk dijadikan pokok hiasan, pokok naungan selain dari kayunya yang boleh dijadikan tiang atau perabut atau ukiran. Buah rambai boleh di makan segar dengan memakan isinya dan dibuang kulitnya. Selain itu kulit buah rambai boleh dikeringkan selama 2-3 hari untuk dibuat halwa, jeruk dan sebagainya. Kulit yang telah kering berwarna hitam jika di proses jadi serbuk yang dipercayai mampu melicinkan kulit muka. Kulit batang pokok rambai juga boleh digunakan sebagai bahan pewarna. kandungan buah rambai. Setiap 100 gram buah mengandungi 142 mg potasium, 9.7 mg Posforus, 5.4 mg Kalium dan 11.8 mg Magnesium. Bagaimana pun kandungan vitamin rambai agak rendah iaitu cuma 11.2 mg vitamin C, 0.55 mg Thiamine (Vitamin B1) serta 0.11 mg Riboflavin (Vitamin B2). Bentuk buah rambai juga berbeza2 dari bentuk bulat, lonjong, oblong dan ovoid. Saiz buah juga berbeza antara 2.3 - 3.8 cm panjang dan 1.5-3.3 cm lebar. Rasa buah rambai masam, manis dan kebanyakannya masam manis. 


Penulis blog semasa bertugas di Jabatan Pertanian Malaysia dahulu ada membuat semakan dimana ada terdapat 5 jenis rambai yang di dapati di Malaysia iaitu (a) Rambai Telur (b) Rambai Lumut atau Rambai Hijau (c) Rambai Jantung, (d) Rambai Langkawi dan juga (e) Rambai Sarawak. Rambai Sarawak mempunyai saiz paling besar iaitu antara 19 - 21.36 gram setiap biji. Kebanyakan jenis tersebut diberi nama berasaskan kepada lokaliti dan juga bentuk buah. Rambai telur contohnya berbentuk bulat yang mempunyai kulit licin dan halus seperti kulit telur. Rambai Lumut mempunyai kulit berwarna hijau walau pun telah matang tetapi kulitnya akan tetap berwarna hijau. Rambai Jantung kerana buahnya berbentuk jantung (elipsoid) dan mempunyai 1 biji sahaja didalamnya. Rambai Langkawi berasal dari Pulau Langkawi dimana buahnya bulat berwarna coklau kekuningan dan masih banyak ditanam di Pulau Langkawi. Pada masa ini belum ada petani atau kebun yang mengusahakan ladang rambai secara komersil. Pokok rambai dikawasan dusun tradisional hanya menumpang baja dari pokok buah-buahan lain. Musim berbuah rambai di Malaysia dalam bulan Julai-September dan buah yang masak akan dituai dengan memotong tangkai buah. Buah di makan segar oleh pemilik atau kadang-kadang dijual di tepi jalan (tahan hingga 2-4 hari) atau dihantar kepada peraih/pemajak buah. Harga jualan di Muar dan Tangkak sekitar RM 5.00 - RM 8.00 sekilogram. Ada juga yang dijual sehingga RM 10.00 jika ada jaminan buah rambai tersebut manis. Pasar Tani dan Pasar Malam di Melaka sering ada jual rambai musim buah tersebut berhasil. Pokok rambai sedia ada perlu dibuat kajian potensi jika ada yang sesuai untuk di komersilkan. Pemilihan klon-klon rambai yang khusus perlu dikenalpasti begitu juga dengan teknologi amalan agronomi seperti program pembajaan, kaedah cantasan, kawalan musuh dan penyakit serta program lepas tuai. Ramai juga kena mempastikan luang pasaran untuk buah rambai segar. Kajian juga perlu untuk memproses produk pokok rambai untuk tujuan perubatan, kosmetik dan lain-lain kegunaan.


Kaedah penanaman pokok rambai mudah dilakukan sama seperti menanam buah tropika yang lain. Paling penting adalah mempastikan sumber benih rambai yang manis dan pokok berhasil tinggi dan cepat berbuah. Benih pokok rambai boleh dicari di kedai nurseri swasta (lokasi tertentu). Biji benih yang dikumpulkan mungkin terlebih dahulu dibersihkan dengan membuang sisa-sisa isi yang melekat pada biji benih. Biji benih tersebut kemudiannya disemai di dalam medium tanah berpasir yang menghasilkan peratusan percambahan yang agak tinggi (90%). Selepas 3 - 4 minggu, daun pertama akan keluar dan apabila 3 - 4 daun sudah mula keluar anak benih akan dipindahkan ke dalam polibeg yang bersaiz 6” x 8”. Anak pokok diletakkan di rumah semaian dengan 50 - 70% cahaya. Anak pokok sudah sedia untuk ditanam di ladang apabila sudah berumur setahun dengan ketinggian 2 kaki. Sebulan sebelum dipindahkan sebaiknya lakkukan proses pengerasan batang pokok dilakukan dengan meletakkan anak pokok di bawah cahaya matahari sepenuhnya. Anak benih rambai perlu diletakkan di bawah nurseri selama sebulan sebelum ditanam. Ini bagi memastikan pokok dapat berdaptasi dengan keadaan cuaca yang agak kering jika menanam pada musim kering. Sebaiknya kawasan untuk penanaman yang telah dibersihkan ditanda dengan kayu pancang untuk setiap lubang yang akan digali bagi tujuan memastikan keseragaman pokok yang ditanam. Jika menanam pada di kawasan berbukit maka kaedah bagi penanaman mengikut kontur dilakukan mengikut kesesuaian pokok. Spesies rambai sesua ditanam di kawasan yang lebih tinggi kerana habitatnya yang boleh hidup di kawasan tinggi sehingga 1,600 m. Setiap lubang yang telah digali diletak dengan 300 g CIRP, 200 g GML dan 10 kg bahan organik iaitu tahi ayam dan dibiarkan selama sebulan sebelum pokok ditanam. Jarak penanaman yang sesuai ialah 10 m x 10 m untuk memberi ruang yang luas kerana kaum rambai mempunyai kanopi yang agak besar. Seeloknya kerja menanam dilakukan pada musim hujan kerana anak pokok kaum rambai memerlukan banyak air semasa awal tumbesaran. Kadar kematian bagi spesies rambai, pupor dan jentikjentik adalah agak rendah iaitu 25 – 30%, tetapi bagi spesies tampoi mencatat kematian yang agak tinggi iaitu 55 - 60%. Ini disebabkan pokok tampoi tumbuh di dalam hutan dan di kelilingi pokok-pokok teduhan. Kebanyakan kematian anak pokok berlaku semasa awal penanaman iaitu ketika sistem pengairan masih lagi belum sempurna. 
Artikel ini dituis dalam dua (2) segmen iaitu Part 1 dan Part 2 yang sesuai di baca kesemuanya. Semuga maklumat dalam tu;isn ini menjadi bahan rujukkan pembaca blog anim agro technology semua. Wasallam!!...
BUAH RAMBAI... KURANG DI KENALI...
RASA MASAM.. YANG MANIS DIGEMARI...
BUAH MERMUSIM.... SUSAH NAK CARI...
KURANG DI TANAM...TIDAK EKONOMIK...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Tman Balai Panjang Murni,
Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(15 Ramadan 1446H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...