KAYU GETAH (Rubber Wood) merupakan sejenis kayu iaitu daripada penebangan Pokok Getah (Hevea brasiliensis) daripada keluarga Euphorbiaceae yang menjadi tanaman utama pihak estet dan pekebun-pekebun kecil di Malaysia. Sejarah penanaman pokok getah dimulakan dizaman kolonial dahulu sehinga tanaman ini menjadi tanaan utama di Malaya ketika itu sebagai komoditi eksport penting. Pada asalnya pokok getah ditanam untuk mendapatkan lateks atau susunya dan diproses menjadi getah keping atau kini lebih ramai yang menjual dalam bentuk getah sekerap (getah buku). Kalau dari segi sejarah mungkin kita belajar disekolah dimana pokok getah pada awalnya hanya tumbuh di daerah Amazon, Brazil. Kemudian pada akhir abad 18 tanaman ini mulai dilakukan penanaman di daerah India namun tidak berhasil. Lalu dibawa hingga ke Singapura dan negara-negara Asia Tenggara lainnya termasuk negara kita Malaysia yang kini bukan lagi pengeluar utama getah asli dunia sebaliknya negara-negara jiran kita Indonesia dan Thailand. Di Malaysia telah ditubuhkan beberapa agensi yang khusus untuk usaha dalam industri membangunkan isndustri getah seperti pihak RISDA, LGM (Lembaga Getah Malaysia) selain FELDA, FELCRA dan beberapa lagi. Agensi ini menjalankan aktiviti penanaman, penyelidikan, pengeluaran dan industri berkaitan getah yang menjadi tulang belakang lebih dari 2.3 juta pekebun kecil getah diseluruh negara. Kalai dahulu penanaman getah hanya bertujuan untuk penghasilan lateks yang tinggi tetapi kini diperkenalkan jenis pokok getah untuk tujuan klain iaitu pengeluaran kayu getah (Rummberwood). Kini ada beberapa klon getah yang dipromosikan untuk penghasilan lateks dan kayu getah dalam masa singkat dan menguntungkan. Kilang memproses kayu getah bertambah bilangannya untuk menjadikan kayu getah sebagai perabut dan produk lain. Penanaman cendawan tiram kelabu (Pleorotus pulminorius) juga menggunakan habuk kayu getah sebagai komponen utama dalam media tanaman cendawan. Artikel petang Sabtu ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok getah dan kegunaan kayu getah sebagai bahan dalam pembuat perabut dan perkara berkaitan sebagai bahan rujukkan dan bacaan semua.
Pokok Getah yang ditanam biasanya tumbuh hingga ketinggian 30 meter dan akan mulai diambil getahnya pada umur 5-6 tahun (Sila lihat foto disebelah). Pokok getah yang ditoreh akan menghasilkan lateks dan dikutip untuk dijual kepada kilang atau orang tengah. Pokok tersebut lama kelamaan akan menjadi tua dan tidak ekonomik lagi untuk ditebang dan ditanam semula. Secara ekonomi kayu getah sangat efisien kerana hanya akan ditebang dan dijadikan bahan asas industri perabot ketika sudah tidak menghasilkan getah. Setelah berumur 25 tahun pokok getah tidak lagi menghasilkan 'latex' sehingga sudah sesuai dan harus ditebang dan digantikan dengan pokok getah yang baru. Pihak pekebun kecil akan memohon bantuan daripada RISDA untuk proses penebangan ini dan mendapatkan geran bagi tujuan penanaman semula. Lazimnya RISDA akan meluluskan permohonan untuk menanam semula dan menebang sevara individu atau kini lebih popular dimajukan secara berkelompok didalam Skim Tanaman Semula Berkelompok (TSB). Ini memudahkan pekebun kecil untuk menebang, mengeluarkan kayu, menanam semula dan aktiviti penjagaan pokok sehingga sesuai untuk ditoreh semula. Pengurusan secara berkelompok ini memudahkan semua pihak dan pengeluaran kayu getah adalah lebih tersusun untuk dihantar kekilang perabut.
Adalah penting penulis berbincang sekitar kayu getah. Apa yang selalu dilihat warna Kayu Getah yang belum diproses selalu semacam putih tetapi kemudian ia akan berwarna putih kekuningan sedikit putih krim ketika baru saja dibelah atau dipotong. Ketika sudah mulai mengering akan berubah sedikit kecoklatan sedikit demi sedikit (Sila lihat foto disebelah). Penulsi dapati tidak terdapat perbezaan warna yang menonjol pada kayu gubal (sapwood) dengan kayu teras (heartwood) pada kayu getah. Boleh dikatakan hampir tidak terdapat kayu teras pada kayu getah atau rubberwood. Dari segi ketumpatan didapati kayu getah tergolong dalam kumpulan jenis kayu lembut yang keras atau kelas ringan. Kajian makmal mendapati kayu getah mempunyai kadar ketumpatan antara 435-625 kg/m3 pada paras kekeringan kayu 12% (Moisture Content). Proses yang penting selepas pokok kayu getah ditebang adalah proses pengeringan Kayu Getah. Kini dengan kaedah memproses gunakan Sistem Kiln Dry (KD) konvensional maka didapati pengeringan kayu getah menjadi lebih cepat dengan jangka waktu antara 10-14 hari sahaja. Kini didapati tidak terdapat banyak masalah pada kayu melengkung jika penyusunan kayu di dalam KD teratur dengan baik.Secara keseluruhan dilaporkan kadar penyusutan kayu getah adalah kecil iaitu pada kadar di bawah 2% terutama pada arah radialnya. Ini menjadikan aktiviti proses mesin akan menjadi mudah. Daripada pengalaman proses mesin kayu getah tidak menimbulkan banyak cacat akibat dipotong dan proses 'assembling' atau pun pengeleman (gluing) juga tidak menimbulkan defect atau kecacatan yang teruk atau rosak. Pemotongan kayu pada sudut hingga 30 darja pun akan menghasilkan permukaan kayu getah yang halus dan rata.
Kayu getah banyak digunakan sebagai bahan asas perabot dalam ruangan terutama perabot di ruang dapur. Top table kitchen set, peralatan dapur misalnya papan potong, alat masak dan kerusi makan sangat sesuai menggunakan bahan asas kayu getah. Oleh kerana itu kebanyakan pembuat peralatan dapur memiliki stok kayu getah yang sangat besar. Bercirikan dengan keadaan kayu teras yang rendah pada kayu getah, pemprosesan kayu jenis ini harus hati-hati dan tepat waktu. Adalah sangat penting bagi sebuah proses utama pada kayu getah dengan melakukan cara pengawetan menggunakan bahan kimia agar menghindarkan kayu getah dari blue stain atau serangga pemakan kayu. Secara umumnya setelah penebangan sebaiknya batang kayu getah harus segera direndam atau diawetkan dengan bahan kimia tertentu (Seperti Borax) agar terhindar dari kulat dan serangga. Kini Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah berjaya membangun serta mempatenkan teknologi hijau bertaraf antarabangsa untuk merawat kayu getah dengan sistem Pengeringan Suhu Tinggi (HTD) yang tidak memerlukan rawatan bahan kimia, malah ianya boleh meningkatkan kestabilan kayu di samping mengurangkan masa pemprosesan. Teknologi HTD merupakan salah satu penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh industri kayu-kayan negara terutamanya pengeluar perabot yang berasaskan kayu getah berkaitan halangan serta syarat-syarat perdagangan semakin ketat yang ditetapkan oleh pelbagai negara-negara maju untuk memastikan penggunaan produk-produk lebih mesra alam.
FRIM telah memperolehi paten untuk teknologi HTD dari Pejabat Paten dan Cap Dagang Amerika Syarikat (USPTO) pada Mac 2013 dan ia juga telah memfailkan paten di Malaysia dan enam buah negara lain, iaitu Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan India. Kejayaan adalah sumbangan FRIM kepada industri kayu-kayan dan perabot getah negara. Teknologi HTD ini dapat memastikan produk kita berkualiti, tidak ada bahan kimia, selamat digunakan serta memenuhi peraturan keselamatan dan piawaian alam sekitar diperingkat antarabangsa. Ia akan dapat meningkatkan daya saing produk kita, mengukuhkan dominasi Malaysia sebagai pembekal utama serta mampu menetapkan penanda aras bagi tujuan pemprosesan kayu yang berkualiti,” kata Dato’ Dr Abd Latif Mohmod, Ketua Pengarah FRIM, semasa lawatan media ke kilang sistem HTD di Telok Gong, Klang. Beliau berkata FRIM akan terus berusaha menjalankan penyelidikan lanjut untuk menguji penggunaan sistem HTD terhadap spesies kayu lain termasuk Acacia dan kayu kelapa sawit. Teknologi ini juga telah didapati sesuai untuk digunakan bagi merawat kayu berketumpatan rendah ke sederhana seperti sesendok, jelutong, yemane, spesies pine dan sebagainya. Sistem HTD ini telah dibangunkan dan ditambahbaik sejak 10 tahun lalu oleh penyelidik FRIM, iaitu Choo Kheng Ten dan Dr Sik Huei Shing yang memulakan projek tersebut sebagai respon kepada langkah Kesatuan Eropah (EU) untuk melabelkan beberapa jenis bahan kimia rawatan kayu terutamanya borates dalam “Kategori repro toksik” di bawah Arahan Bahan Berbahaya 67/548. Kini kayu getah perlu dikering-tanur sebelum digunakan dalam pembuatan perabot atau komponen perabot. Tujuannya adalah untuk memastikan dimensi kayunya stabil sebelum digunakan dalam pembuatan produk hiliran. Kualiti kayu getah dirawat menggunakan HTD didapati baik dan terbukti mempunyai kestabilan dimensi lebih tinggi. Lebih 90% daripada kilang-kilang pengeringan di rantau ini memang telah menggunakan sistem konvensional pemanas stim pada suhu di bawah 80°C dan kayu perlu dirawat dengan bahan pengawet seperti borates untuk mencegah kulat dan serangan perosak. Sistem HTD bukan sahaja dapat menghapuskan penggunaan bahan pengawet, malah masa kitaran pemprosesan juga dapat dikurangkan sebanyak lebih 75%. Di samping itu didapati kualiti kayu getah dirawat menggunakan HTD didapati baik secara umumnya dan terbukti mempunyai kestabilan dimensi lebih tinggi berbanding kayu yang dirawat dengan kaedah konvensional. kini lebih 80% daripada eksport perabot Malaysia merupakan perabot diperbuat daripada kayu getah, dan kayu getah merangkumi hampir separuh daripada kayu-kayan yang digunakan dalam pembuatan perabot di Asia. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca blog anim agro technology ke 3,988 ini. Wasallam!...
KAYU GETAH... BANYAK GUNANYA...
DITEBANG...POKOK GETAH TUA....
DIPROSES DIKILANG..ADA CARA...
BUAT PERABOT... EKSPORT JUA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Furniture Exibition Hall,
Puchong Perdana, Seri Kembangan,
Selangor, Malaysia.
Ditulis pada (22 Ramadan 1437H)
Dikemaskini pada 18 Rabiulakhir 1447H.






No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.