Support My Blog

Tuesday, December 9, 2025

POKOK TAL - KENALI DIA

POKOK BUAH TAL (Borassus flabellifer) atau di Malaysia dipanggil sebagai KELAPA LAUT AFRIKA atau Buah Tai adalah sejenis tumbuhan yang terdapat tumbuh liar terutama dibeberapa negeri di kawasan utara Semenanjung Malaysia seperti di Kedah dan Perlis. Pokok Tal adalah tumbuhan dari keluarga Arecaceae atau sama dengan Palmae yang tumbuh dikawasan panas kering seperti di India, Afrika, Kemboja, Laos, Indonesia, Vietnam dan banyak kawasan tropika lain. Pokok ini adalah dipercayai berasal atau native di Afrika dan menjadi pokok kebangsaan bagi negara Cambodia. Pokok ini juga dikenali sebagai 'Sugar Palm', Palmyra Palm, African Fan Palm, Lontar Palm, Borasus Palm, Doub Palm, Ron Palm, Tala Palm, Tal-palm, Toddy Palm, Wine Palm (English), Taad (Hindi), Tnaot (Khmer), Lontar (Indonesia), Siwalan (Jawa) dan Toon Taan (Thai). Di Malaysia buah tal lebih dikenali sebagai Kelapa Laut Afrika kerana sejenis ubat batuk berjenama popular iaitu 'UBAT BATUK KELAPA LAUT AFRIKA' semenjak dulu.   Pokok Tal merupakan sejenis tumbuhan mempunyai satu batang yang tumbuh menegak tanpa cabang setinggi 10-25 meter. Pokok dari kumpulan Palmae ini mempunyai batang berbentuk selinder (cylindrical) berukuran garispusat 20-60 cm bergantung kepada kesuburan pokok , jenis tanah dan kaedah pengurusan (Lihat foto sebelah). Batangnya mempunyai duri-duri tajam berwarna hitam tidak tersusun dimana batang muda berwarna kuning kehijauan dan batang matang akan bertukar warna kuning coklat kehitaman dan mempunyai lapisan kulit keras. Pokok ini tidak mempunyai akar tunjang sebaliknya hanya akar lateral sahaja dipangkal pokok. Daun pokok tal mempunyai bentuk kipas berwarna hijau dengan sebanyak 20-45 helai daun sepokok. Bentuk daun yang unik ini menyebabkan pokok ini sesuai untuk dijadikan sebagai pokok hiasan di beberapa negara dengan menanamnya di tepi jalan seperti di Kemboja. Bunganya terbit dalam satu tangkai yang mempunyai banyak dengan bunga betina tidak bercabang sementara bunga jantan banyak serta bercabang-cabang. Bungannya berwarna putih dan bertompok yang keluar pada celah-celah pelepah. Buah Tal berbentuk agak bulat dengan warna ungu kehitaman yang saya agak berukuran 7-10 cm garispusat. Dalam buah ada lapisan tempurung lembut dimana isinya berwarna jernih seperti 'jelly' yang lembut dan enak dimakan ketika muda. Isi yang telah matang agak keras juga. Artikel tengahari ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pokok buah tal atau kelapa laut Afrika yang perlu agari ianya diketengahkan untuk bahan bacan dan rujukkan.


Pokok Tal tumbuh dikawasan tanah yang mempunyai cuaca kering dan panas serta tahan kepada kemarau. Pokok ini boleh tumbuh dari tanah datar rendah sehingga ketinggian 800 meter dari paras laut dengan keperluan hujan serendah 500 mm setahun. Pokok Tal yang tumbuh liar di Perlis dan Kedah itu banyak di kawasan tanah lapang ditepi sawah dan belukar. Pembiakan dan penanaman pokok tal menggunakan biji benih iaitu sama seperti buah kelapa dan kelapa sawit. Lazimnya biji tal matang yang jatuh di bahagian pangkal pokok akan tumbuh sendiri dikeliling pokok asal dan boleh diambil untuk dijadikan sebagai benih. Laporan daripada Jabatan Pertanian juga menunjukkan penanaman pokok tal secara komersial belum dilaporkan lagi di Malaysia. Keluasan tanaman tal yang mungkin ada di Malaysia dan seluruh dunia juga belum ada data rasmi. Bagaimana pun di Indonesia ada dilaporkan ada terdapat seluas 15,000 hektar disekitar Pulau Jawa, Madura, Irian Jaya Timur dan Sulawesi. Pokok Tal menghasilkan buah tal segar dan didakwa sesuai digunakan sebagai ubat batuk di Malaysia. Kegunaan buah tal adalah untuk dijadikan sumber nira yang berkualiti dimana disesetengah negara air nira akan ditapaikan untuk menjadi air todi (Banyak di India). Air nira yang manis ini apabila ditapaikan mengandungi 5-6% alkohol dan jika di proses seterusnya mampu menjadi ethanol (Arak) yang memabukkan dan juga menjadi cuka makan. Air Kelapa Laut Afrika di Malaysia merupakan satu produk minuman sangat popular dimana ianya telah di komersilkan dengan dijual digerai-gerai di tepi jalan. Air Kelapa Laut Afrika kebanyakkannya dijual dengan menggunakan mangkuk atau gelas dengan air batu yang sejuk. Wow, enaknya ketika kita sangat minum semasa kehausan!....Harganya RM 1.50 - RM 2.50 satu cawan bergantung kepada saiz cawan dan lokasi jualan di Jalan Bendahara, Melaka. Lazimnya penjual akan meletakkan satu tandan buah kelapa laut Afrika di hadapan sebagai satu tarikan pembeli.


Batang pokok tal yang matang adalah keras dan di Indonesia ianya digunakan sebagai jambatan atau di potong-potong untuk dijadikan jambatan melintasi parit dan anak sungai. Batang pokok tal adalah tahan selama dimana beberapa tahun dan tidak mudah reput. Kajian mendapati bahagian atas batang dekat dengan pucuk mengandungi umbut yang lembut dan enak dimakan mentah atau di buat sayur. Saya pernah menebang pokok tal di Hutan Puchong, Selangor tahun 1988 ketika menjalani kursus 'jungle survival training' dan hanya makan umbut pokok tal selama 3 hari (Tiada bekalan makanan diberikan dalam kursus ini). Zaman dahulu ada daun pokok tal mempunyai bentuk yang sangat cantik dan pernah digunakan sebagai kertas tulis zaman dahulu ketika kertas belum ujud lagi. Kini daun tal diawetkan boleh digunakan sebagai atap atau produk hiasan dinding dimana ia tahan sehingga 2 tahun sebagai atap rumah. Penanaman pokok buah tal merupakan satu kemungkinan jika hendak dimajukan kerana analisa ekonomi bagi tanaman ini kurang memberangsangkan. Di Malaysia tanaman ini popular untuk dijadikan tanaman hiasan atau ornamental sahaja dikawasan perbandaran atau muzeum pertanian untuk tujuan pendidikan. Walau pun permintaan untuk minuman segar akan terus meningkat tetapi dengan pokok yang tumbuh liar sedia ada mungkin mencukupi. Mungkin akan ada usahawan yang berminat menanam pokok tal secara komersil dikawasan tanah terbiar dengan pengurusan yang baik. Kini belum ada Pakej Teknologi Tanaman Buah Tal di ujudkan dari segi penanaman, pembajaan, pengurusan penyakit dan perosak serta teknik pemasaran. Pokok Tal masih jauh lagi untuk dikomersilkan di negara kita tetapi ia masih lagi merupakan tanaman penting dibeberapa negara. 


Menarik fakta dalam nstp.com bertajuk 'Buah Thai laris di bulan puasa' menurut dakwaan seorang peniaga di Tumpat Kelantan yang popular terutama ketika bulan Ramadan. Bagi peniaga, Arizah Taib menjual buah kelapa laut atau dikenali sebagai buah Thai yang dijual pada harga RM7 di Pasar Wakaf Bharu, Tumpat adalah lumrah baginya. Apa pun fakta akan keenakan buah kelapa laut atau dikenali sebagai buah Thai dalam kalangan masyarakat tempatan yang dimakan bersama air gula Melaka dimasak bersama daun pandan menjadi pilihan ramai terutama di bulan puasa. Isinya yang lembut seakan isi kelapa muda juga boleh dicampur bersama buah kabung bagi menghasilkan minuman. Dalam kes lain dimana ada penjual di Pasar Wakaf Bharu dkenali sebagai Hanapi Ismail berkata setiap hari dia menjual kira-kira 50 bungkus buah kelapa laut yang diambil daripada bekalan oleh pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong. Buah tal ini agak sukar ditemui di sini dan hanya di beberapa tempat saja pokoknya tumbuh, jadi untuk jualan pada Ramadan ini pemborong terpaksa membelinya di negara jiran Thailand. Setiap bungkus dijual RM7 dan sangat laris di bulan puasa kerana pembeli ingin mempelbagaikan juadah minuman untuk berbuka puasa. Dia dakwa setiap hari akan ke RTC untuk mendapatkan bekalan buah itu kerana tidak boleh disimpan melebihi tempoh dua hari. Buah ini jika tidak disimpan dalam peti sejuk akan menjadi kuning kemerahan dan dianggap rosak serta tidak boleh dimakan, Pengusaha lain bernama Wan Ahmad dakwa biasanya air buah ini akan dicampurkan dengan beberapa bahan lain termasuk buah kabung dan biji selasih. Dia suka rasa isinya yang lemak dan lembut. Walaupun pelbagai jenis minuman dijual sekarang, ramai masih memilih air buah Thai kerana rasanya lebih asli, selain keenakan isinya sama seperti kelapa muda. 
Semuga artikel ini memberi info berguna kepada semua pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!.
POKOK BUAH TAL... JENIA KELAPA...
POKOK BERDURI....TEGAJ SAHAJA...
BUAH BULAT...ISINYA ADA HARGA..
KHASIAT UTAMA...UBAT BATUK DIA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Jalan Istana, Bukit Beruang,
Bandar Melaka Bersejarah,
Melaka, 
Malaysia.
(4 Rejab 1437H)
Dikemaskini pad1 19 RabiulAkhir 1447H.
Posted from:
Room 1013, Hotel Novotel, 
Taiping, Perak. 
From Kota Bharu today.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...