Support My Blog

Tuesday, March 24, 2026

BUNGA MATAHARI - FAKTA MENARIK


BUNGA MATAHARI
(Helianthus annuus) atau 'Sunflower' adalah tumbuhan semusim yang terkenal dengan bunga besar berwarna kuning cerah, berasal dari Amerika dan tergolong dalam keluarga Asteraceae. Bunga ini unik kerana ada sifat heliotropisme (suati keadaan bagaimana anak pokok dan bunganya boleh berpusing mengikut arah matahari) dimana bijinya kerap dijadikan makanan 'Kuaci' atau diproses menjadi minyak masak yang kaya dengan vitamin E. Bunga Matahari agak unik nerbanding kebanyakan bunga lain sebab aspek bentuk dan warnanya yang mempunyai kelopak kuning terang dengan pusat ditengahnya berwarna coklat atau kehitaman yang terdiri daripada ribuan bunga-bunga kecil (floret) dimata setiap floret ini mempunyai biji berwarna gelap. Pokok bunga matahari ini mudah di tanam di Malaysia dan negara beriklim tropika (cari varieti sesuai dengan cuaca tropika) tetapi meluas di tanam di negara temperate. Pokoknya boleh mencapai tahap ketinggian yang sangat tinggi dimana dilaporkan ada yang boleh mencapai lebih 3 meter. Penulis blog memang ada membuat tinjauan ladang bunga matahari ketika berada di luar negara yang sangat luas sepeti di China, Korea Selatan, Netherland, Germany dan beberapa negara lain. Kesemua bunga ini mempunyai Sifat Pergerakan (Heliotropisme) yang unik bila kepala bunga muda akan mengikuti pergerakan oleh matahari dari timur ke barat sepanjang hari bermakna kalau pagi ia menghadap ketimur, tengahari menghala ke atas dan waktu petang ia menghadap ke barat. Selain ia kelihatan cantik ketika bunganya mekar sama ada sepokok atau satu ladang luas ia mampu menarik ramai pelancong untuk ambil foto. Apa pun dari segi kegunaan dalam undustri dimana biji bunga matahari yang matang akan di proses untuk ianya menghasilkan minyak masak berkualiti tinggi, makanan kuaci sebagai cemilan dan digunakan dalam industri makanan. Dalam aspek budaya dimana bunga matahari mempunyai satu simbolik yang melambangkan kehangatan, kebahagiaan, kesetiaan dan harapan. Penanaman bunga matahari memang ia memerlukan kawasan yang mendapat sinar matahari yang cukup dan tidak sesuai ditanam di kawasan bertakung air atau kawasan tanah kurang subur. Dalam sesetengah negara dimana bunga matahari ini sering ditanam di taman atau dijadikan bunga potong kerana kecantikannya. Artikel pada petang 30 Ramadan ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya kupas membincangkan beberapa fakta menarik tentang bunga matahari untuk rujukkan semua.
 
 
Dilaporkan ada terdapat pelbagai jenis bunga matahari yang dikategorikan mengikut saiz, warna dan kegunaannya. Secara amnya dimana apa yang penulis blog tahu yang ia boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu Pertama Jenis Bunga Matahari Gergasi (Giant Sunflowers) dimana jenis ini ia pokoknya sangat tinggi dan mempunyai kepala bunga yang besar. Selalunya jenis ini ia sesuai untuk pengeluaran biji benih (kuaci) sebab saiz bijinya besar dan puas di makan. Antara varieti popular adalah 'Mammoth Russian' dimana ia boleh mencapai ketinggian sehingga 12-14 kaki dengan bunga yang sangat lebar. Jenis 'American Giant' pula ia adalah salah satu jenis tertinggi yang sering digunakan dalam pertandingan menanam bunga matahari dan ketiga adalah jenis 'Titan' yang mana ia mempunyai kepala bunga yang sangat berat dan besar serta ia sering digunakan untuk hasil biji benih yang banyak secara komersil. Kedua adalah Jenis Kerdil (Dwarf Sunflowers) dimana jenis ini sesuai ditanam dalam pasu atau ruang taman yang kecil kerana saiznya yang kompak sesuai di kawasan yang sempit. ANtara varieti popular seperti '
Teddy Bear' yang mempunyai kelopak bunganya 'double dan ia gebu dan kelihatan seperti beruang mainan dan dilaporkan ia mempunyai ketinggiannya hanya sekitar 1-2 kaki sahaja. Varieti 'Big Smile' pula ia sangat popular untuk diletakkan didalam pasu kecil dengan kelopak kuning terang dan pusat gelap. Varieti 'Sunspot' pula walaupun pokoknya pendek atau sekitar 2 kaki tinggi tetapi ia mempunyai kepala bunga yang agak besar (diameter sehingga 10 inci). Ketiga adalah Bunga Matahari Jenis Berwarna dan Jenis Unik dimana dilaporkan memang tidak semua bunga matahari berwarna kuning cerah akan tetapi kini sudah ada bunga matahariyang berwarna merah, jingga atau coklat hasil kajian biakbaka yang di jalankan oleh saintis. Varieti 'Moulin Rouge' sebagai contoh ia mempunyai warna merah gelap yang sangat elegan dan selalunya tidak mempunyai debunga (pollen-free). Dalam pada itu varieti 'Strawberry Blonde' ia mempunyai campuran warna merah jambu lembut dan kuning berkrim sementara varieti 'Velvet Queen' ia menampilkan warna burgundy atau coklat kemerahan dengan pusat yang gelap. Berbalik kepada bunga matahari di Malaysia yang ada jenis tempatan dan jenis komersil antaranya adalah 'Jenis Holland' yang mana ia sering digunakan sebagai bunga potong kerana kelopaknya yang lebih bulat dan ketahanan yang lebih lama (3-4 hari dalam suhu bilik).  Ada juga 'Jenis Lokal' yang biasanya lebih tahan lasak terhadap cuaca panas di Malaysia tetapi mempunyai bentuk kelopak yang berbeza berbanding jenis hibrid import. Memang ada terdapat lebih 70 spesies bunga matahari yang dikelaskan mengikut saiz, warna, dan kegunaan, merangkumi jenis gergasi setinggi 14 kaki hingga jenis kerdil dalam pasu. Jenis popular termasuk Teddy Bear yang berbulu lembut, Holland yang bunganya bulat dan varieti warna merah atau ungu. Ia terbahagi kepada jenis lidah (untuk tujuan bunga hiasan) dan jenis tabung (untuk di jadikan benih atau makanan kuaci).


Mereka yang berminat menanam bunga matahari bermula dengan menyemai biji benih (rendam semalaman) dalam tanah kompos, pindahkan ke pasu besar ( ukuran lebih 25cm garidpusat) selepas 3 minggu dimana perlu di pastikan ia mendapat cahaya matahari penuh. Perlu di siram 1-2 kali sehari dan diberikan jenis baja NPK dan baja organik setiap minggu. Sebaiknya boleh menggunakan kayu sokongan yang kukuh untuk elakkan pokok tumbang apabil aia mencapai pokok tinggi dengan bunga mula mekar dalam 70-90 hari selepas menanam. Langkap pertama adalah Proses Penyediaan Benih dan Semaian dimana perlu dapatkan varieti sesuai dengan iklim tropika dan ia direndam biji benih dalam air suam selama 1-2 jam atau semalaman untuk 'break dormancy' atau untuk mempercepatkan proses percambahan. Media semaian sebaiknya menggunakan tanah campuran atau tanah kompos yang gembur. Cara menanam benih benih yang cukup saiznya dan dicucuk dengan bahagian akarnya menghala ke bawah sedalam 1-2 cm. Letakkan polibeg semaian dilokasi yang mendapat cahaya matahari pagi secukupnya. Menyemai biji benih ini biasanya tumbuh dalam 2-6 hari. Seterusnya adalah mengalihkan atau pindahkan anakbenih ke pasu atau ke tanah bila anak benih apabila berumur 3 minggu atau mempunyai 2-4 helai daun diman jika menanam di tanah mesti jarakkan 30-45 cm antara pokok. Jika dalam pasu sesuai gunakan pasu berdiameter minimum 25 cm atau lebih besar (5-10 gelen untuk jenis tinggi). Amalan agronomi tanaman bunga matahari dimana kedudukan pokok mesti mendapat cahaya matahari penuh selama 6-8 jam dalam sehari. Penyiraman dibuat 1-2 kali sehari (pagi dan petang) terutamanya jika cuaca panas dan tak perlu siram semasa hujan. Pastikan tanah lembap tetapi tidak menakung air. Pembajaan dengan gunakan baja organik cair atau baja NPK (15:15:15) setiap 1-2 minggu sekali untuk menyokong pertumbuhan subur. Pasang kayu sokongan seperti gunakan jenis batang buluh atau kayu sokongan lain apabila pokok mula meninggi untuk mengelakkan tumbang. Selalunya bunga mula mekar selepas 70 hingga 90 hari bergantung kepada jenis varieti dan amalan agronomi. Bagi tujuan untuk ambil bijinya perlu menggu sehingga bahagian belakang bunga berwarna coklat dan daun mengering. Apa pun untuk dapat kaedah pertumbuhan berterusan disyorkan agar menyemai benih baru setiap 2-3 minggu jadi pokok di kebun akan sentiasa ada dalam semua peringkat umur.


Bunga matahari bukan sahaja cantik sebagai hiasan malah dilaporkan yang setiap bahagiannya mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan dan kecantikan. Pertama Bahagian Biji Bunga Matahari atau di panggil sebagai 'Kuaci' dimana ia merupakan hasil atau bahagian yang paling popular untuk dimakan kerana kaya dengan nutrisi seperti Vitamin E, lemak sihat dan serat. Mudah untuk membeli kuaci dimna sahaja premis di Malaysia sama ada membei dikedai runcit, pasaraya atau secara on-line sahaja. Kuaci di laporkan ia baik untuk Kesihatan Jantung sebab kandungan asid lemak tidak tepu dan arginin membantu melebarkan pembuluh darah serta mengawal paras kolesterol. Ia juga sebagai bahan Anti-radang dimana sifat anti-inflamasi yang boleh membantu mengurangkan gejala penyakit seperti asma dan sakit sendi. Kuaci membantu kesihatan kulit dengan kandungan vitamin E yang tinggi bertindak sebagai bahan antioksidan untuk melindungi kulit daripada kerosakan sinaran UV dan penuaan awal. Kuaci juga akan meningkatkan sistem imuniti sebab kandungan selenium (Se) dan zink (Zn) akan membantu menguatkan sistem pertahanan badan. Hasil kedua adalah Minyak Bunga Matahari iaitu merupakan ekstrak minyak daripada bijinya sering digunakan dalam pelbagai industri dan masakan. Ia menjadi sebagai alternatif minyak masak yang lebih sihat kerana rendah lemak tepu di seluruh dunia. Seterusnya adalah menghasilkan Produk Kecantikan dimana ia digunakan dalam losyen dan serum kerana kemampuannya untuk melembapkan kulit tanpa menyumbat liang pori. Dalam sektor pertanian bunga matahari dilaporkan ia mampu menyerap logam berat dan bahan toksik daripada tanah, menjadikannya agen pembersih tanah yang semulajadi. Ia juga selalu di jadikan sebgabau sumber bagi makanan ternakan dari sisa batang dan daunnya boleh dijadikan makanan untuk haiwan ternakan. Dalam kategori Perawatan Tradisional dilaporknabn bahagian akar dan daun juga digunakan dimana akarnya ada ia digunakan untuk merawat jangkitan saluran kencing atau masalah pernafasan. Bahagian bunga atau kelopak bunga di rebus dan air rebusan kelopak bunga kadangkala digunakan untuk membantu mengurangkan sakit tekak atau demam. Walaupun berkhasiat, pengambilan kuaci yang diproses dengan garam berlebihan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi dan perlu pilih varian asli (original) untuk manfaat terbaik. Dalam usaha untuk cuba mengawal diabetes serta mengawal berat badan dimna bahan serat dan protein dalam kuaci melambatkan pengosongan lambung dan menjaga gula darah. Bunga matahari juga merupakan tanaman hiasan yang popular dan menarik serangga pendebunga seperti lebah madu. 
Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada semua para pembaca blog anim agro technology kali ini. Wasallam!!!..
BUNGA MATAHARI...RAMAI SUKA...
SIAPA TANAM... DIA BERGEMBIRA...
BIJINYA BERGUNA...BERKHASIAT DIA...
BACA ARTIKEL...FAHAM FAKTANYA..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Balai Panjang Murni,
Bandar Melaka,
Melaka,
Malaysia.
(29 Ramadan 1447H).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...