KLIK SAYA SOKONG BLOG

Thursday, December 20, 2012

PISANG : VARIETI DI MALAYSIA (Part 1)

PISANG (Musa spp) merupakan tanaman yang popular di Malaysia dan ditanam secara komersil dan skala kecil-kecilan dikeliling rumah. Banyak spesis pisang yang ada di negara kita tetapi hanya sebahagian sahaja yang di tanam secara komersil untuk tujuan makanan. Terdapat banyak juga jenis keluarga tanaman pisang yang ditanam sebagai Pokok Hiasan (Ornamental) dikeliling rumah, di taman bunga dan juga dikawasan kompleks bangunan pejabat atau kompleks membeli belah. Pisang Cavendish merupakan varieti pisang makan segar  yang paling popular diseluruh dunia. Pisang ini diminati oleh semua gulongan masyrakat sama ada orang kaya, orang miskin, dewasa, kanak-kanak dan sebagainya. Pisang mengandungi zat permakanan yang baik dan banyak memberikan tenaga kepada mereka yang perlukannya. Kali ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai beberapa varieti pisang yang popular di Malaysia sama ada anda tahu atau tidak.  


Pisang Abu.
1.    PISANG ABU
Pisang Abu ini mempunyai warna kulit hijau ketika muda dan akan menjadi  kuning apabila masak. Pisang ini dari jenis sederhana kecil dengan kulit tebal dan ada ketak. Pisang ini sesuai dimakan segar, di goreng atau dibuat kueh tradisional. Cara makan pisang goreng ini paling enak dengan dicecah kepada sambal kicap. Pisang Abu banyak ditanam di Johor, Perak dan Selangor terutama dikawasan tanah gambut keliling rumah untuk kegunaan sendiri. Pisang ini juga dikategorikan sebagai kurang popular dan agak sukar untuk kita membelinya dipasar. Nama pisang ini saya fikir mungkin dulu ianya banyak di tanam oleh 'Pak Abu'. Pak Abu merupakan orang yang dipercayai mempopularkan pisang ini sehingga peraih yang membuat belian menamakan pisang tersebut sebagai varieti 'Pisang Abu'. Pisang ini belum lagi didaftarkan didalam Senarai Varieti Kebangsaan (National Variety Listing) di Jabatan Pertanian.


Pisang Abu Keling di pokok.
2.    PISANG ABU KELING
Pisang Abu Keling hampir menyerupai Pisang Abu ketika muda di pokok dengan warna kulit hijau. Bentuk buah agak berketak dan agak lebih besar sedikit dari Pisang Abu. Pisang ini juga sesuai digunakan untuk di goreng, dibuat kueh atau dimakan segar oleh  kepada mereka yang menyukainya. Pisang ini juga kurang popular ditanam atau tidak dikomersilkan dan ditanam sebagai selingan. Nama pisang ini dipercayai disebabkan Pak Abu yang banyak menanam pisang ini rupa-rupanya adalah Keling (India). Oleh kerana hanya dia yang suka mengambil akan pokok tersebut, maka pokok pisang bersama buahnya dipotong untuk di letak dipintu masuk rumah atau kuil untuk upacara keagamaan. Satu lagi kemungkinan asal usul nama pisang ini adalah kerana rumpun pisang ini apabila diberikan baja 'Abu - ashes' , maka anak sulur akan keluar dengan banyaknya di sekeliling rumpun pokok induk. Maka dengan itu ianya di panggil sebagai 'Pisang Abu Keling'.



3.    PISANG AWAK
Pisang Awak merupakan jenis pisang yang selalunya ada biji berwarna hitam. Biji pisang ini agak keras dan kita akan terganggu ketika makan pisang ini bila tergigit biji. Pisang ini bersaiz kecil dan mempunyai kulit hijau ketika muda dan akan menjadi kuning kehijauan apabila masak. Pisang awak mempunyai rasa kelat (Orang Jawa Muar kata 'seppet') dan kurang sesuai untuk dimakan segar terutama yang belum cukup masak. Pisang ini lazimnya digoreng sebelum dimakan atau dijual digerai tepi jalan. Agak pelik juga orang Johor kalau makan pisang goreng, mesti di cecah dengan sambal kicap. Pisang ini saya percaya mendapat nama disebabkan oleh keujudan biji hitam didalamnya, maka pemilik pokok pisang kata disebabkan biji itu dia kata 'Awak' yang punya!. Kisah lain yangsaya dengar adalah dari perkampongan Orang Asli di Mersing yang mengatakan pisang jenis ini sering ada haiwan jenis 'Biawak' dikawasan pokoknya lalu dinamakan ia sebagai 'Pisang Awak'.


4.    PISANG BERANGAN
Pisang Berangan adalah varieti pisang yang sangat popular di tanam di Malaysia sama ada dari segi penanaman, penjualan dan juga penggunaan. Pisang Berangan luas ditanam diseluruh negara kerana mendapat permintaan dengan harga baik. Pisang berangan bersaiz besar dan amat sesuai untuk dimakan segar. Kulitnya berwarna hijau ketika muda dan menjadi kuning emas apabila masak. Isinya lembut dengan rasa amat manis dan mempunyai aroma yang sedap. Pisang ini setanding dengan pisang Cavendish dimana dikatakan mempunyai kualiti untuk pasaran ekspot. Satu tandan pisang berangan boleh dijual dengan harga memuaskan sehingga senang-senang lebih dari RM 20.00 setandan. Asal usul nama pisang berangan masih kabur lagi sebab saya masih berangan-angan untuk mencari asal usul namanya! Jadi namakan sahaja 'Pisang Berangan'.


5.    PISANG BENGGALA
Pisang Benggala atau Pisang Galla merupakan sejenis varieti pisang yang kurang popular. Pisang ini mempunyai saiz sederhana kecil dan mempunyai kulit berwarna hijau masa muda akan bertukar kuning kehijauan apabila masak. Pisang Benggala mempunyai kulit yang tebal dan isi berwarna putih krim kekuningan. Semasa saya bertugas di Mersing hujung tahun 1990'an dulu,  saya kenal akan pokok pisang benggala yang di tanam di kawasan Endau dimana daunnya sangat sesuai untuk digunakan sebagai pembalut makanan berasaskan ikan iaitu 'SATAR'. Daun pisang ini adalah agak tebal dan tahan kepada api ketika proses membakar satar. Satar juga merupakan makanan yang mengandungi isi ikan, kelapa, garam gula dan cili padi dijual 3 ketul pada harga RM 2.00 sahaja. Pisang ini diberi nama 'benggala' mungkin akibat pisangnya yang bengkok (Beng) dan warnanya yang tidak 'galak' (Galla). Wallahualam!

Terdapat banyak varieti pisang yang ada di Malaysia. Antara yang saya tidak sebut seperti Pisang Tanduk, Pisang Lang, Pisang Kabu, Pisang kapok, Pisang Kampong, Pisang Susu, Pisang Mega, pisang Masak Hijau, Pisang Lemak Manis, Pisang Raja, Pisang Emas, Pisang Kapas dan sebagainya. Semuga anda akan membaca siri varieti pisang dalam part 2, Part 3 dan Part 4 berikutnya. 



Satar sesuai menggunakan daun pisang benggala.
PISANG ABU... RAMAI MENYUKAINYA....
KALAU DI GORENG... ALAMAK SEDAPNYA...
PISANG AWAK... ADA BIJI DALAMNYA...
PISANG BERANGAN ... POPULAR NAMANYA...

By,

M Anem
Kg Parit Bengkok,
Gersik, Ledang,
Johor, Malaysia.
(11 Muharram 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...