KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, December 19, 2012

PASAR MALAM

PASAR MALAM adalah aktiviti perniagaan yang dijalankan  secara bazaar atau pasar yang dijalankan pada waktu petang sehingga malam. Pasar Malam menggabungkan dua patah perkataan iaitu 'Pasar' dan 'Malam' iaitu bermaksud pasar yang diadakan pada malam hari. Pasar Malam juga saya dapati memberikan makna aktiviti perniagaan melibatkan 'peniaga jalanan' dan pembeli tempatan di lokasi yang terbuka tanpa struktur yang tetap. Nama pasar malam ini hanya terdapat di tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan juga Singapura. Saya tidak pasti sama ada pasar malam juga ada di Brunei. Lokasi pasar malam ini tidak menentu tetapi kebanyakannya dikawasan tanah lapang di Bandar, Pinggir Bandar, dikawasan Perumahan, di Tapak Majlis Daerah dan sebagainya. Kegiatan Pasar Malam merupakan satu budaya di negara kita yang memberikan ruang perniagaan antara penjual dan pembeli secara tradisional. Artikel subuh Jumaat sambil menghadap jalan besar Gua Musang ke Kuala Lumpur dari bilik hotel, saya menulis dalam ' Anim Agro Technology' mengenai Pasar Malam selepas berbelanja di Pasar Malam Gua Musang dekat Hospital Gua Musang malam tadi.


Perniagaan di pasar malam menjual pelbagai keperluan harian pembeli daripada produk makanan, pakaian, ikan, sayuran, buah-buahan, daging lembu/ayam, elektronik, ubat-ubatan, buku, alat permainan , perkakasan dapur serta pelbagai produk tempatan yang lain. Kebanyakan peniaga pasar malam kini merupakan peniaga tetap walau pu ada peniaga bermusim atau peniaga 'part-time' menjalankan aktiviti ini. Mereka menggunakan kenderaan van untuk membawa barangan perniagaan kelokasi-lokasi pasar malam setiap malam dengan jadual yang mereka tahu. Diantara peniaga yang tetap menjual setiap malam seperti yang menjual barang keperluan dapur (bawang, bilis, ikan kering, cili kering, ikan bilis, telur dsb), peniaga pakaian, peniaga ayam dan ikan serta peniaga sayur-sayuran. 


Seawal jam 2.00 petang mereka akan menyediakan khemah sementara ditapak yang dikhaskan untuk mereka (lazimnya tapak ini tetap setiap masa). Khemah ini dari kanvas yang di pacak bergantung kepada saiz perniagaan. Peniaga pakaian dan barangan asas dapur lazimnya memerlukan kanvas yang besar untuk melindungi barangan daripada panas dan hujan. Khemah-khemah kecil jenis 'mudah lipat' juga banyak digunakan untuk saiz perniagaan yang bersaiz sederhana atau kecil. Terdapat lokasi dimana nombor-nombor tapak ditandakan oleh pengurusan pasar malam. Pada malam hari lazimnya generator digunakan untuk membekalkan kuasa eletrik. Generator ini dibawa sendiri oleh peniaga atau kadang-kadang ada juga pihak pengurusan menyediakan perkhidmatan bekalan eletrik.


Pengurusan Pasar Malam dijalankan oleh beberapa pihak sama ada oleh JKKK, Persatuan Penduduk, Persatuan Taman Perumahan atau pun mana-mana badan pengurusan pasar malam yang dibentuk. Mereka akan mengutip bayaran daripada peniaga bergantung kepada saiz perniagaan dari tapak yang digunakan. Bayaran minima ini hanya cukup untuk menguruskan kos pembersihan sampah sarap selepas habis waktu perniagaan. Kerja pembersihan ini dijalankan sebaik sahaja peniaga habis berniaga dan dijalankan dengan segera untuk menentukan tidak berlaku pencemaran. Pengurusan ini juga akan menentukan tidak berlaku perselisihan atau perebutan tapak perniagaan dikalangan mereka yang telah lama berniaga dan yang baru berniaga.


Diantara peranan Pihak Berkuasa Tempatan adalah untuk mempastikan semua peniaga mempunyai lesen yang sah. Pegawai Penguatkuasa ini akan membuat pemantauan dan juga aktiviti penguatkuasaan di tapak pasar malam. Semua peniaga pasar malam juga mesti menjalani pemeriksaan kesihatan dengan kementerian kesihatan terutama mereka yang menjual produk makanan. Ini penting untuk mengelakkan berlakunya penyakit berjangkit dan keracunan makanan daripada produk makanan yang dijual. Kerjasama pihak berkuasa seperti polis, JPJ, RELA dan JKKK juga diperlukan dikawasan tapak pasar malam yang sibuk dengan lalulintas dan juga mengawak masaalah parking pengunjung pasar malam.


Berapa banyakkah bilangan pasar malam yang ada di Malaysia?. Berapakah jumlah peniaga pasar malam?. Berapa jumlah nilai perniagaan pasar malam setiap bulan?. Tentu banyak jumlahnya. Beberapa agensi kerajaan sentiasa membuat pemantauan akan perkara ini. Apa yang pasti saya dapati Pasar Malam menghidupkan satu budaya di negara kita sebagai satu pertemuan antara penjual dan pembeli yang terkawal dan sangat berkesan. Walau pun kini terdapat banyak pilihan seperti Pasar Basah, Kedai Runcit, Supermarket dan Hypermarket, keujudan pasar malam akan terus signifikan di Malaysia selagi budaya pasar malam terus diterima oleh orang ramai. Keujudan pasar malam menjana ekonomi negara dan merupakan satu identiti yang perlu diperkukuhkan dari semasa kesemasa.
Wassalam!     

PASAR MALAM... MERIAH SEKALI...
DIBUAT SELALU... TIDAK PERNAH SEPI...
ADA YANG BESAR... PENGUNJUNG RAMAI...
PENGURUSAN BAIK... ADA JAMINAN KUALITI...

By,
M Anem
Pasar Malam Bandar Gua Musang,
Jajahan Gua Musang,
Kelantan, Malaysia.
(3 Muharram 1434H)   

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...