KLIK SAYA SOKONG BLOG

Tuesday, December 4, 2012

SAYUR DAUN MERANTI

SAYUR DAUN MERANTI (Solanum nigrum var patch) merupakan sejenis sayuran diambil daripada tumbuhan liar daripada keluarga Solanaceae yang kurang dikenali. Orang kampong saya memanggilnya sebagai Sayur Meranti, Sayur Ranti dan Sayur Pahit. Tumbuhan ini lebih dianggap sebagai rumpai dikawasan kebun kerana ia tumbuh sendiri terutama selepas aktiviti menebang pokok getah dan tanah terdedah kepada cahaya matahari. Ramai generasi baru kurang kenal apa lagi suka makan sayur meranti ini kerana ia memang semulajadi 'PAHIT'. Sayur daun meranti kadang-kadang ada dijual di pasar malam atau mana-mana pasar tradisional. Memang sukar untuk mebdapatkan bekalan sayur daun meranti kerana permintaannya juga kurang. Saya belum jumpa lagi satu kebun tanaman sayur daun meranti secara komersil di Malaysia, tetapi jika ada pun ia tumbuh sendiri di dalam kawasan kebun. Artikel subuh Selasa ini saya menulis mengenai sayur daun meranti dalam 'Anim Agro Technology' selepas balik kampong di Gersik, Ledang, Johor untuk bacaan anda.


Tumbuhan sayur daun meranti adalah tumbuhan renek setinggi 30 cm - 120 cm dengan dahan yang lembut dan daun berwarna hijau gelap. Ada beberapa rujukkan menyatakan terdapat dua jenis daun meranti iaitu Daun Meranti Gajah dan Daun Meranti Biasa dimana pada artikel ini saya hanya merujuk kepada daun meranti biasa sahaja. Daun pokok meranti adalah berbentuk ovat dan mempunyai ukuran diantara 4 - 6 cm panjang dan 2.0 - 3 cm lebar dengan susunan bersilang. Warna daun adalah hijau kegelapan pada daun yang cukup matang. Bunga sayur meranti lazimnya mempunyai kelopak berwarna putih atau kehijauan dengan bahagian tengahnya kekuningan. Ukuran bunganya juga kecil sekitar 5 - 8 mm sahaja dan menghasilkan buah berbentuk beri yang kecil berwarna hijau. Bahagian yang digunakan untuk dijadikan sayur daun meranti adalah bahagian daun yang masih lembut dan dipetik dengan tangan. Ada laporan yang menyatakan sebenarnya sayur daun meranti mempunyai kadar toksik yang tinggi. Kaedah masak dikatakan mampu mengurangkan kandungan toksik dan pahit pada sayur daun meranti.


Daun meranti yang dipetik dari kebun perlu dibersihkan dahulu sebelum dicelur atau di rebus dengan air panas bertujuan untuk mengurangkan rasa pahit. Walau pun ramai juga orang yang suka masukkan terus daun sayur meranti untuk dijadikan sayuran. Paling popular menu masakan sayur ini adalah di masak Sayur Meranti Masak Lemak (Lemak Biasa atau Cili Api), tetapi saya suka masak tumis daun meranti dengan tempe. Cara menyediakan menu ini tidak susah dan boleh dipelajari dari mana-mana buku resepi atau dalam banyak blog. Menu ini biasa dihidangkan dengan nasi putih panas-panas dan dihidang bersama ikan kering (ikan masin), sambal belacan atau Ikan Goreng. Khasiat sayur daun meranti belum banyak kajian yang dijalankan dan mungkin ada saintis yang akan mengaitkan sayur ini dengan produk kesihatan kelak.


Secekak daun meranti dari kebun.
SAYUR DAUN MERANTI...PAHIT RASANYA...
MASAK LEMAK.... IKAN MASIN LAWANNYA...
KUTIP SENDIRI... ANDA KENAL POKOKNYA?...
MAKANAN TRADISI .... KITA TERUSKANNYA...


By,
M Anem
Room 256, Hotel Selesa,
Batu 5, Jalan Pantai,
Port Dickson, Negeri Sembilan,
Malaysia.
(3 Nov 2012)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...