KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, December 2, 2012

MUSANG

MUSANG merupakan sejenis haiwan liar yang terdapat di Malaysia dan merupakan salah satu daripada haiwan yang dianggap sebagai musuh dalam bidang pertanian. Musang adalah haiwan berdarah panas, beranak, mempunyai bulu, menjaga anak dan pemalu dari keluarga Viverridae yang mempunyai lebih daripada 10 spesis. Salah satu jenis musang yang biasa saya jumpa dulu adalah jenis MUSANG AKAR (Arctogalidia trivirgata) yang suka makan buah-buahan dan ayam dalam reban dikawasan kebun belakang rumah. Jenis-jenis lain musang seperti Musang Air, Lingsang, Binturung, Musang Tengalong dan Musang Luwak. Musang yang aktif pada waktu malam mempunyai kemampuan memburu ternakan ayam dan merosakan buah-buahan dikebun. Didalam sektor pertanian, musang dianggap sebagai musuh tetapi kadar kerosakan oleh musang tidak serius sangat jika jumlah populasinya sedikit. Artikel subuh Jumaat ini saya menulis dalam blog 'Anim Agro Technology' mengenai haiwan musang untuk bacaan umum berkaitan dengan pertanian dan habitatnya berdasarkan pengalaman dan membuat rujukan.


Musang Akar mempunyai badan lebih besar sedikit daripada kucing dengan ada bulu berwarna hitam. Saiz musang ini diantara 60 - 80 cm panjang (tidak masuk panjang ekor) dengan anggaran berat badan sekitar 3 - 6 kg sahaja. Musang ini mempunyai bau busuk dan ada 2 pasang kaki yang mana setiap kaki mempunyai kuku tajam yang membolehkan ianya memanjat pokok dengan mudah diatas dahan pokok dengan cepat (Lihat foto sebelah). Kehebatannya bergerak dipokok menyebabkan ia mampu makan buah-buahan diatas pokok dengan mudah. Pada malam hari musang mudah dilihat apabila kita suluh dengan lampu suluh dan matanya akan memberikan refleksi dengan terang. Musang ini merupakan haiwan yang dilindungi di bawah Perhilitan dan tidak dibenarkan memburunya tanpa lesen yang sah. Lazimnya musang akan tidur pada waktu siang hari.


Musang yang berada dikampong saya pada masa dulu paling suka datang pada malam hari untuk memburu ayam didalam reban. Lazimnya pada waktu tengah malam ayam didalam reban akan membuat bising apabila musang datang dan kita sudah tahu ada gangguan. Jika berbunyi berterusan maka memang ada haiwan sama ada musang, ular atau lain-lain. Musang akan menangkap ayam dan membawa lari untuk memakannya. Musang akan datang lagi beberapa kali dan perlu di kawal sama ada dipasang perangkap atau di tembak dengan senapang sekitar tahun 1970'an yang saya ingat. Buah-buahan juga jadi makanan musang seperti buah pitaya, mangga, nenas dan sebagainya (Lihat foto buah pitaya dimakan musang disebelah). Musang lazimnya makan buah yang telah masak dan ini akan merosakannya. Bagaimana pun kadar kerosakan ini tidak serius jika bilangan musang disekitar kebun sedikit sahaja. Apa yang saya tahu, di Indonesia kini telah popular dengan satu jenama kopi iaitu 'Kopi Tahi Musang' yang katanya mempunyai kualiti premium dipasaran antarabangsa. Pernahkan anda minum kopi premium ini?


Musang boleh dikawal dengan membuat perangkap sebagai satu kaedah kawalan. Perangkap musang seperti perangkap haiwan lain seperti ini boleh disediakan menggunakan dawai BRC atau Dawai Mata Punai yang dibuat 4 segi (Ukuran ikut modal). Dawai BRC ini di jadikan kotak dengan satu pintu yang dipasang spring yang disambung dengan umpan. Apabila musang masuk didalam perangkap, maka pintu akan tertutup dan terkunci dimana musang didalamnya tidak boleh keluar. Umpan paling mudah adalah menggunakan buah pisang masak, nangka atau buah-buahan lain yang masak dan berbau. Apa hendak kita buat kalau musang telah masuk perangkap?. Ini rasanya penulis tidak boleh hendak komen. Kalau hendak sembelih atau di  goreng dibuat lauk, rasanya belum ada orang kita sanggup  melakukannya, dan kalau hendak di pelihara dijadikan haiwan peliharaan, mungkin ada juga kemungkinan. Musang juga merupakan haiwan perosak tanaman dan mengganggu ternakan peliharan kita yang jarang-jarang diperkatakan masa kini. Mungkin populasi musang pun telah berkurangan akibat permodenan dimana kita bagaimana pun boleh bawa anak cucu melihat musang di Zoo sahaja. Wasallam.

NAMANYA MUSANG....ADA KEROSAKANNYA....
MAKAN BUAH-BUAHAN... BUSUK JADINYA...
BERBAU BUSUK ....MALAM MASA AKTIFNYA...
DIPASANG PERANGKAP... SENANG BUATNYA...

By,
M Anem
Baru balik dari Gua Musang, 
Kelantan,
Malaysia.
(17 Muharam 1434H)
    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...