KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, December 9, 2012

PENTERNAKAN LEBAH MADU (1)

PENTERNAKAN LEBAH MADU (Bee Keeping) merupakan satu aktiviti pertanian berkaitan dunia perlebahan yang dianggap penting. Dalam bahasa sains, aktiviti ini dipanggil juga sebagai Apiculture iaitu penternakan lebah madu secara moden menggunakan haif untuk mendapatkan Madu dan prodk lain seperti Lilin Lebah, Propolis, Royal Jelly dan Debunga. Paling penting aktiviti penternakan lebah adalah untuk proses pendebungaan terutamanya buahbuahan dan tanaman makanan yang lain. Kawasan dimana aktiviti memelihara lebah di panggil sebagai APIARI. Di Malaysia kita tidak mempunyai banyak kawasan apiari kerana aktiviti menternak lebah madu di negara kita pada tahap rendah berbanding dengan negara lain seperti di China, Argentina dan Turki. Daripada wikepedia melaporkan China adalah pengeluar madu lebah terbanyak (300,000 mt/tahun) diikuti dengan Argentina (93,000 mt/tahun) dan Turki (sebanyak 82 mt/tahun). Negara lain yang banyak menternak lebah madu seperti Ukraine, Russia, Canada, India, Ethiopia dan juga Sepanyol. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam 'Anim Agro Technology' mengenai industri perlebahan dan teknologi perlebahan untuk bacaan anda.


Menternak Lebah Madu merupakan aktiviti yang perlukan keberanian, kemahiran, teknologi dan baka yang produktif. Penternakann lebah madu melibat beberapa spesis lebah liar yang telah di pilih bakanya untuk diternak menggunakan kaedah moden. Beberapa jenis lebah yang sesuai untuk diternak adalah seperti Lebah Madu (Apis spp) dari pelbagai sub spesis. Di Malaysia spesis Lebah Keran (Apis cerana), Lebah Madu Impot (Apis melifera) dan Lebah Tualang (Apis dorsata) merupakan kumpulan lebah yang didapati menghasilkan madu. bagaimana pun Lebah Tualang tidak boleh diternk dan kutipan madu dijalankan untuk lebah liar dari pokok tualang. Satu lagi serangga yang menghasilkan madu di negara kita adalah Kelulut (Trigona spp) iaitu serangga kecil yang tidak menyengat. Ternakan kelulut kini menjadi satu trend kerana harga madu kelulut mencapai RM 30.00 - RM 50.00 satu botol. 


Lebah madu mempunyai 3 kasta iaitu Ratu Lebah (Queen Bee), Lebah Pekerja (Workers Bee) dan juga Lebah Jantan (Drones). Ketiga-tiga kasta lebah tersebut mempunyai fungsi berlainan dimana ratu lebah untuk menghasilkan telur iaitu hanya terdapat satu (1) ekor pada satu koloni. Lebah pekerja merupakan kasta paling banyak dalam koloni yang berfungsi untuk mencari makanan, mengawal koloni, memberi makanan kepada larva dan lain-lain. Lebah jantan hanya berfungsi untuk tujuan pembiakan sahaja. Bilangan koloni yang besar menunjukkan cukup makanan dan penjagaan yang baik dan mampu menghasilkan madu serta by produk yang banyak. Jika bilangan koloni kecil, ini bermakna berlaku serangan penyakit, kekurangan makanan, serangan musoh dan perosak dan pengurusan kurang bail. Sebanyak 30,000 - 50,000 ekor lebah dalam satu koloni dianggap sesuai untuk dikomersilkan.


Lebah Liar menghasilkan madu pada sarang atau koloni secara semulajadi pada pokok, batang kayu berlubang atau didalam bangunan seperti pondok atau rumah. Sejak zaman purba lagi manusia telah mengenali peranan lebah madu dalam kehidupan dengan mengambil madunya untuk dijadikan sumber makanan berkhasiat malahan dijadikan ubat. Pada masa ini lebah madu diternak menggunakan HAIF (Bee Hive) yang diperbuat daripada bahan kayu atau lain-lain jenis bahan. Haif ini mengandungi lapisan-lapisan kayu untuk pembentukkan kom lebah didalamnya. Banyaknya lapisan kom akan disesuaikan mengikut koloni lebah yang boleh dibuat untuk beberapa tingkat dengan satu pintu keluar masuk. Haif lebah ini boleh disusun dilokasi dimana banyak sumber makanan lebah untuk dikutip seperti sumber Nektar dan juga Debunga. Pintu haif lebah selalunya boleh ditutup untuk tujuan pengurusan dan perpindahan haif kekawasan lain.
BERSAMBUNG....Part 2


Kursus lebah madu di Muar, Johor yang saya jalankan.
MENTERNAK LEBAH MADU... SERONOKNYA...
HASILKAN MADU... MEMANG MANIS RASANYA...
SENGATAN LEBAH .... MEMANG BAIK KESANNYA...
PERLUKAN KEMAHIRAN.. KURSUS IKUTINYA...

By,
M Anem
Sungai Balang, Muar,
Johor, Malaysia.
(15 Muharram 1434H)





     

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...