Support My Blog

Friday, January 17, 2020

INDUSTRI KELAPA - STATUS MALAYSIA

TANAMAN KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tumbuhan yang sesuai ditanam di kawasan bersuhu panas dan lembap. Buahnya tidak bermusim dan boleh didapati sepanjang tahun dimana kelapa adalah kaya dengan lemak berguna dan pelbagai unsur penting kepada manusia seperti antioksidan dan juga antibodi penting. Di Malaysia tanaman kelapa adalah tanaman yang ke 4 terpenting diusahakan selepas Kelapa Sawit, Getah dan Padi dengan jumlah keluasan sebanyak 81,585 hektar pada tahun 2018 (Sumber: Booklet Statistik Tanaman, Jabatan Pertanian Malaysia 2018). Daripada jumlah tersebut seluas 76,612 hektar diusahakan oleh pekebun kecil dan 4,973 oleh estet swasta. Pada tahun tersebut sebanyak 538,685 metrik tn kelapa dihasilkan dengan nilai pengeluaran sebanyak RM603.32 juta. Kekurangan buah kelapa di Malaysia ditampong dengan pengimportan bijii kelapa tua daripada Indonesia sekitar RM150 - 200 juta biji setahun. Kelapa hanya ditanam secara komersil dibeberapa kawasan tumpuan seperti di Johor, Selangor dan Perak. Ladang-ladang dan juga kebun utama terdapat di kawasan Bagan Datok dan Hutan Melintang, Perak. Industri kelapa masih memainkan peranan penting dalam perdagangan negara. Sebahagian besar daripada varieti yang ditanam adalah daripada jenis tradisional seperti varietii Malayan Tall (CN1) iaitu kadar sebanyak 92% walau pun kini bakinya adalah daripada jenis hibrid komersil seperti MATAG (5%), Pandan (2%) dan MAWA (1%). Kerajaan amat menggalakkan penanaman kelapa bagi memenuhi akan keperluan dan permintaan yang semakin meningkat dalam penggunaan masakan, kuih muih, minuman, aktiviti pelancongan dan lain-lain. Pada tahun 2018, Malaysia telah mengeksport kelapa dan produk kelapa bernilai lebih daripada RM75 juta manakala import kelapa dan produk kelapa bernilai RM60 juta. Sebahagian besar daripada eksport terdiri daripada minyak kelapa dan produk-produk kelapa seperti karbon teraktif, kelapa parut kering dan santan/serbuk santan manakala import utama terdiri daripada minyak kelapa, karbon teraktif, kopra dan kelapa segar. Kepentingan kelapa juga semakin menyerlah dengan penemuan dan penghasilan produk-produk baru seperti Minyak Kelapa Dara atau Virgin Coconut Oil (VCO). Artikel malam ini dalam blog "Anim Agro Technology" saya menulis mengenai industri kelapa status di Malaysia yang boleh dijadikan bahan rujukkan anda semua.

Sejarah pembangunan tanaman kelapa di Malaysia telah dilakukan oleh Jabatan Pertanian semenjak berpuloh tahun dahulu dengan perlaksanaan Projek Rancangan Pembangunan Semula Kawasasn Kelapa (RPSKK) yang sangat aktif pada tahun 1960'an sehingga ditamatkan tahun 1980. Bagaimana pun tiada projek khusus penanaman kelapa pada tahun 1980 sehingga tahun 2010 kerana kelapa dianggap kurang ekonomik dan memberikan pulangan rendah dibawah paras kemiskinan masa itu. Kawasan tanaman kelapa telah bertukar kepada tanaman Kelapa Sawit kerana ia mendapat pasaran baik, mudah dijaga, harga pasaran dikawal, mudah dijaga, bantuan yang signifikan dan pendapatan lebih baik kepada pekebun kecil dan estet. Pokok kelapa yang ada masa kini ditanam dari kelapa Malayan Tall yang telah tua dan kurang produktif kerana kurang penjagaan. Dahulu dilaporkan dimana Jabatan Pertanian melaksanakan projek tanaman kelapa melalui Projek Kelompok Kelapa. Kaedah ini merupakan pendekatan pembangunan pertanian yang telah dilaksanakan dengan bjektif utama projek ini adalah untuk mengoptimumkan penggunaan sumber bagi meningkatkan pengeluaran ladang dan seterusnya meningkatkan lagi akan pendapatan petani. Bagaimana pun selepas 2010 telah diujudkan smeua program penanaman kelapa bagi tujuan menyahut seruan kerajaan apabila pengeluaran kelapa negara tidak mencukupi. Kini telah banyak negeri-negeri memulakan penanaman kelapa terutama penanaman kelapa jenis hibrid seperti MATAG (CN13, CN14, CN15) yang mana benihnya dikawal oleh Jabatan Pertannian. Salah satu contoh projek tersebut ialah Projek Kelompok Kelapa Kampung Batu Puteh, Marang, Terengganu yang saya telah melawatnya (Sila lihat foto diatas sekali). Projek kelompok ini mula diusahakan sejak tahun 2005 yang mana tanah asalnya merupakan tanah terbiar dan dimajukan di bawah kelolaan Jabatan Pertanian Daerah Marang. Kawasan ini mula bertanam pada tahun 2006 dengan keluasan 8.8 hektar meliputi varieti Pandan seluas 0.8 hektar dan varieti MATAG seluas 8.0 hektar. Bagaimana pun terkini tanaman kelapa dikampong ini dicampurkan dengan Kelapa Pandan dan juga Kelapa Renek lain. 

Kelapa Matag merupakan kelapa hibrid yang dihasilkan daripada pendebungaan silang Kelapa Rendah Malaya (Malayan Red Dwarf CN4 - MRD atau Malayan Yellow Dwarf CN5 - MYD) dan Kelapa Tagnanan (CN7, CN8, CN9). Apabila cukup dewasa maka ketinggian pokok MATAG boleh mencapai 15 meter. Daun, bunga dan buahnya berwarna samada hijau atau jingga pucat, bergantung kepada jenis pokok induk Kelapa Rendah Malaya. Hasil purata bilangan buah kelapa dan kopra adalah lebih tinggi daripada hibrid MAWA. Kelapa MATAG boleh mengeluarkan antara 25 - 30 ribu biji buah setahun sehektar. Buah kelapa yang dihasilkan sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti untuk air kelapa muda, pengeluaran santan dan juga untuk kopra. Varieti ini mempunyai ciri-ciri agronomi yang baik seperti pertumbuhan yang ‘robust’ dan ‘vigorous’ di ladang. Dengan pengurusan ladang yang baik dan hujan yang mencukupi, kelapa MATAG mula berbunga pada tahun ketiga dan proses penuaian bolehlah dilakukan pada tahun keempat. Kelapa MATAG sesuai ditanam mengikut sistem penanaman tiga segi sama atau ‘double hedge row pattern’ sekiranya pengutipan hasil dirancangkan secara 3 mekanisasi. Kepadatan optimum yang disyorkan adalah antara 178 hingga 180 pokok sehektar. Berbanding dengan kelapa MAWA, kelapa MATAG mengeluarkan buah yang lebih besar daripada MAWA walaupun isinya sama tebal. Hasil MATAG pada enam tahun pertama didapati agak rendah sedikit (61 hingga 139 biji sepokok) daripada MAWA (75 hingga 151 biji sepokok). Walau bagaimanapun, hasil kelapa MATAG meningkat mulai tahun ke tujuh dan ke atas, iaitu 153 biji sepokok dan boleh mencapai sehingga 169 biji sepokok berbanding dengan 157 biji bagi kelapa MAWA. Dari segi pengeluaran kopra pula, MATAG mengeluarkan hasil kopra yang rendah pada tahun pertama iaitu 12.1 kg hingga 36.4 kg berbanding dengan 16.4 kg hingga 33.0 kg kopra bagi kelapa MAWA. Selepas tahun ketujuh dan ke atas, hasil kopra daripada kelapa MATAG lebih tinggi, iaitu 42.2 kg berbanding 34.3 kg kopra daripada kelapa MAWA. Secara keseluruhannya, kelapa varieti MATAG memberikan hasil buah kelapa yang tinggi dalam jangka masa panjang. Saiz buah MATAG yang besar, bukan sahaja memberi kelebihan dari segi kos mengutip dan mengopek kulit, tetapi juga popular di kalangan pengguna domestik. 

Kelapa Pandan (Kelapa Wangi) merupakan kelapa jenis rendah yang diperkenalkan dari Thailand pada tahun 1971. Di Thailand kelapa ini dipanggil sebagai ‘Makprow Nam Horm’ dan di peringkat antarabangsa pula ia dikenali sebagai ‘aromatic dwarf’. Antara ciri keistimewaaan kultivar kelapa wangi terdiri daripada isi dan buahnya berbau wangi pandan dan sesuai untuk diminum dan dimakan segar. Ketinggian pokok boleh mencapai enam meter dengan tandan dan buah berwarna hijau dan buahnya kecil berbentuk bulat berbiku tiga (Sila lihat foto disebelah). Penanaman kelapa pandan boleh dijalankan secara iaitu kepadatan tinggi dengan jarak tanaman 6 m x 6 m. Ia mula mengeluarkan hasil apabila mencapai umur tiga hingga empat tahun selepas ditanam di ladang. Ketika berumur tiga tahun pengeluarannya penulis blog dapati hanya 40% - 50% berbuah dan akan mencapai 100% apabila berumur empat tahun. Pokok kelapa Pandan mengeluarkan 12 - 18 jambak bunga setahun. Purata bilangan buah setandan di antara 10 - 15 biji tetapi boleh berkurangan pada musim kemarau atau jika kawasan dibanjiri air. Pada tahun ke 13 didakwa ia boleh mengeluarkan 130 - 175 biji buah kelapa muda sepokok. Dalam satu hektar (208 pokok) jumlah pengeluaran boleh mencapai 36,000 -  49,000 buah kelapa muda setahun. Kandungan air bagi sebiji ialah lebih kurang 330 ml. Anak kelapa pokok Pandan boleh dikenali melalui bau pandan pada hujung akar yang dihancurkan. Melihat tandan buah-buah kelapa muda biasanya boleh dipetik pada umur 6 - 6 ½ bulan selepas persenyawaan. Kaedah yang biasa digunakan ialah dengan melihat tandan buah serta saiz buah kecil (T-2) dan pembentukan seludang (T-3) di atas tandan buah kecil tersebut. Tandan kelapa muda yan dipetik (T-1), tandan buah kelapa kecil (T-2) dan seludang (T-3) adalah selari atau terletak di atas satu sama lain. 


Tanaman kelapa adalah tanaman serbaguna (Tree of life) dimana banyak kehunaanya dan pelbagai produk dihasilkannya. Daripada bahagian isi, air, sabut daun dan batang kelapa digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk kelapa dalam bentuk makanan atau bukan makanan. Produk kelapa ini boleh dikategorikan sebagai produk kelapa segar dan produk kelapa yang diproses. Produk kelapa segar terdiri daripada isi, air dan santan kelapa yang digunakan untuk masakan atau sebagai makanan dan minuman segar. Buah kelapa muda boleh dibuat ‘Coconut Milk Shake’ dan juga diproses untuk menjadi produk-produk yang enak yang boleh dibawa balik atau dihadiahkan kepada kaum keluarga dan rakan. Manakala produk kelapa yang boleh diproses terdiri daripada isi kelapa yang boleh diproses untuk menghasilkan minyak kelapa. Seterusnya minyak kelapa ini diproses untuk menghasilkan produk-produk komestik, farmasi dan produk-produk lain. Minyak kelapa juga digunakan untuk pengeluaran asid laurik. Isi kelapa boleh juga diproses untuk menghasilkan kopra, santan segar, santan proses, kerisek, dodol, kuih muih, nata de-coco, bahan kosmetik, sabun, ‘coco peat’, ‘coco fibre’, kraftani dan juga Minyak 5 Kelapa Dara (VCO) yang semakin meningkat permintaannya. Produk VCO yang dihasilkan telah menjadi daya penarik kepada pengunjung serta sebagai buah tangan untuk dibawa pulang. Sabut kelapa dapat digunakan untuk membuat koir dan serat kelapa. Tempurung kelapa boleh digunakan untuk menghasilkan arang teraktif, bahan bakar dalam pembuatan ubat nyamuk dan bahan hiasan dalam industri kraftangan, batang kelapa diproses menjadi kayu yang bermutu untuk kegunaan industri pembinaan dan perabot. Nira diperolehi dari mayang kelapa dan boleh diminum atau diproses menjadi gula melaka, cuka atau todi. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca anim agro technology kali ini. Wasallam!!...
AMAT PENTING....TANAMAN KELAPA...
KELAPA TINGGI... RENEK PUN ADA...
BUAH DAN POKOK...PELBAGAI GUNA...
TANAMAN POTENSI... KENA TANAMNYA...

By,
M Anem.
Senior Agronoomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(17 RabiulAkhir 1441H).
Punllished from
Bandar Satelit
Muadzam Shah, Pahang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...