Support My Blog

Wednesday, January 15, 2020

KARAS - AMALAN AGRONOMI

POKOK KARAS atau GAHARU merupakan sejenis pokok yang tergolong di bawah genera Aquilaria dalam famili Thymelaeaceae. Terdapat sebanyak 25 spesies pokok Karas yang telah dilaporkan di seluruh dunia. Penulis blog yang meujuk kepada 'Buku Panduan Menanam Karas' oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mendapati terdapat beberapa spesies pokok ini didapati tumbuh di Malaysia, Bangladesh, Bhutan, India, Myanmar, Filipina dan Thailand. Bagaimana pun sebelum artikel ini saya telah menulis mengenai pokok karas dan gaharu didalam blog sama melebihi 5 artikel yang boleh dibaca (Sila klik disini)(Sila Klik Disini)(Sila Klik Disini) dan beberapa siri lagi. Dari segi fisiologi apa yang pernah saya laporkan dimana  pokok ini boleh tumbuh sehingga 6m - 20m tinggi dengan mempunyai susunan daunnya berselang-seli dan ia juga mempunyai garis tepi yang penuh serta hujung daun yang pendek dan menirus. Jika diteliti dimana pada kebiasaannya saiz daun adalah 6cm - 8cm panjang dan 3cm - 3.5cm lebar. Bunga pokok Karas berwarna hijau kuning dan dihasilkan dalam kudupnya manakala buahnya adalah sebiji kapsul berkayu sepanjang 2.5cm - 3cm. Pokok Karas hidup di hutan semula jadi dan mengeluarkan gaharu pada usia 20 - 45 tahun bergantung kepada ketahanan pokok dan tindakbalas terhadap kecederaan pokok. Pokok Karas merupakan salah satu spesies di bawah CITES, Appendix II iaitu spesies yang terancam. Di Malaysia dilporkan memang telah dikenalpasti iaitu terdapat 11 spesies pokok ini yang dilaporkan mampu mengeluarkan gaharu. Di Semenanjung Malaysia terdapat 5 spesies iaitu Aquilaria malaccensis, Aquilaria hirta, Aquilaria beccariana, Aquilaria rostrata dan Aquilaria microcarpa yang didapati tumbuh di kawasan tanah pamah hingga kepada  kawasan berketinggian 750m dari aras muka laut. Artikel subuh ini didalam blog "Anim Agro Technology" marilah kenali beberapa spesis pokok karas dan juga bagaimana menyediakan anak benih semaian untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda semua.


Penanaman pokok karas memerlukan penjagaan semenjak mula tanam sehingga aktiviti menuai. Kawalan rumpai perlu dilakukan kerana rumput yang tumbuh disekeliling pokok karas akan bei kesan dan menyebabkan pokok terjejas. Pokok karas yang ditanam akan dibersih dan digemburkan dari sebarang gangguan pokok-pokok lain dalam lingkungan 50cm dari pokok tersebut sebanyak dua (2) kali setahun sehingga umur pokok mencapai lima (5) tahun. Pemangkasan dibuat dengan membuang dahan-dahan yang tidak diperlukan. Kaedah pemangkasan seperti boleh dilakukan dengan semua dahan dan cabang kurang daripada 1.5cm diameter pada bahagian pangkal hendaklah dipangkas menggunakan secatuer, manakala semua cabang dan dahan yang melebihi 1.5cm hendaklah dipangkas menggunakan gergaji memangkas. Sebaiknya muka keratan hendaklah dibersihkan dan luka bekas keratan hendaklah disapu dengan ubat kimia untuk mencegah kulat. Kerja-kerja membaja adalah satu proses merangsang pertumbuhan anak pokok di peringkat awal. Pembajaan kali kedua dan seterusnya dilakukan dua (2) kali setahun sama ada dengan menggunakan baja buatan atau baja kompos. Pemeriksaan karas sepanjang masa diperlukan bagi mempastikan ia akan tumbu subur dan mampu memberikan pulangan baik.


Pokok Karas juga menghadapi masaalah serangan perosak dan penyakit. Serangan oleh makhluk perosak kebiasaannya menyerang daun, batang, dahan dan akar. Selain itu akan berlaku persaingan pokok musuh dan faktor-faktor persekitaran juga memberi kesan kepada pertumbuhan pokok Karas. Penyakit dan perosak serta persaingan dan faktor persekitaran boleh dikawal dengan berbagai-bagai cara seperti menggunakan bahan tanaman yang tahan kepada serangan penyakit atau perosak, menggunakan kawalan biologi atau menggunakan racun kimia dan sebagainya. Di samping itu, pemeriksaan dan pemantauan yang kerap dan sistematik perlu dilakukan untuk memastikan jangkitan penyakit, serangan serangga perosak serta persaingan dan faktor persekitaran boleh dikawal pada peringkat awal. Antara jenis perosak yang menyerang seperti Ulat Makan Daun (Heortia vitessoides) yang merupakan serangan utama kepada pokok Karas. Tahap kerosakan adalah disebabkan oleh serangan larva secara berkumpulan. Serangan yang serius akan menyebabkan keseluruhan pokok tidak berdaun dan seterusnya boleh mengganggu tumbesaran pokok tersebut. Racun serangga yang berkesan untuk mengawal serangga ini adalah racun yang mengandungi bahan aktif Cypermethrin (5.5 % w/w).


Serangan oleh Ulat Ratus (Spodoptera lituraboleh berlaku selepas satu tahun penanaman pokok Karas. Serangan kepada pokok Karas akan menjadi serius jika tiada langkah pengawalan diambil pada peringkat awal. Serangan kemudian merebak dari daun ke pucuk dan buah. Larva menyerang secara berkumpulan semasa kecil dan berasingan semasa membesar. Daun muda dan pucuk dimakan sehingga tinggal urat daun sahaja. Ulat ratus ini boleh dikurangkan dengan menggunakan racun jenama Kencis seperti mana di Gambar 17 yang mengandungi bahan aktif cypermethrin yang boleh disembur pada daunnya. Serangan oleh Teritip (Aulacaspis spp.) berlaku selepas empat (4) bulan ditanam, pokok Karas akan mudah diserang oleh serangga jenis scale insect dari spesies Aulacaspis spp. Spesies ini akan menyerang batang dan daun menyebabkan daun menjadi kuning dan batang menjadi kering seperti mana yang ditunjukkan di Gambar 18. Pokok boleh mati jika tindakan cepat tidak diambil. Tindakan pencegahan yang boleh diambil adalah dengan menyembur racun yang mengandungi white oil seperti racun jenama Albarol (25ml racun ditambah dengan 5,000ml air). Serangan oleh Kepinding atau Kesing (Dysdercus sp.) kepada pokok  karas boleh dikategorikan sebagai serius. Ia tidak akan menyebabkan kematian pokok tetapi menyebabkan daun pokok Karas menjadi kerinting seperti yang ditunjukkan di Gambar 20. Pada peringkat yang serius, serangga ini boleh dikawal dengan menggunakan semburan (0.1% a.i) diazinon, sidazinon, endosulfan (0.1% a.i) dan karbaril (0.1% a.i).


Ulat Pengorek Batang (Rhytidodera simulans)  biasanya menyerang dengan menetas di dalam ranting yang agak lembut dan mengorek masuk ke dalam batang yang lebih besar. Ranting atau batang yang diserang akan mempunyai lubang dan menjadi serius apabila daun-daun dan ranting-ranting akan layu dan mati seperti yang ditunjukkan di Gambar 21. Bagi mengatasinya, ranting-ranting yang telah diserang perlu dicantas dan dimusnahkan. Kawalan dengan menggunakan bahan kimia sebagai rutin juga dapat digunakan iaitu dengan memasukkan racun Malathion ke dalam lubang dan ditutup dengan tanah liat atau plastisin. Serangan oleh Koya (Phaenococcus marlatti) menyebabkan  daun di mana daun akan menjadi kuning dan hampir layu disebabkan oleh air daripada daun yang diserap oleh spesies ini. Daun akan gugur dan sekiranya tidak dikawal dengan cepat pokok akan mati. Cara mengatasinya adalah dengan menggunakan racun penyembur seperti jenama Ancom Thiram 80. Dalam pada itu serangan Penyakit Akar Putih (Rigidoporus lignosus) akan menyebabkan pokok karas daun layu, berwarna kekuningan, gugur, akar reput dan akhirnya pokok akan mati. Biasanya pokok-pokok diserang dikawasan tanah pamah yang mempunyai sistem saliran yang tidak baik. Penyakit ini boleh diatasi dengan menggunakan racun jenama Hexaconazole, Xzole 50, Vantil, AGR hexagon boleh digunakan dengan menyiram racun pada pangkal pokok.


Masaalah lain perlu diperiksa seperti situasi persaingan dan faktor persekitaran seperti isu pH tanah yang rendah. Ini kerana tanah yang berasid antara pH 4.2 hingga 4.3 tidak sesuai untuk penanaman pokok Karas. Kerja pengapuran dengan menggunakan Ground Magnesium Limestone (GML) sebanyak 260g/pokok perlu dilakukan untuk mendapatkan pH 5.5 hingga 6.5. Kerja-kerja pengapuran dijalankan enam (6) bulan sekali bagi menambahkan unsur kalsium dan magnesium pada tanah sekiranya diperlukan. Kerja-kerja pembaikan saliran juga perlu dilakukan supaya air tidak bertakung dan tidak merendahkan pH tanah. Dalam pada itu sebaiknya dilakukan kawalan binatang ternakan dan hidupan liar kerana apabila kawasan penanaman yang berhampiran dengan ladang kelapa sawit akan menimbulkan masalah gangguan hidupan liar dan binatang ternakan. Oleh itu, pemasangan pagar atau pagar elektrik boleh digunakan bagi mengatasi masalah ini. Semak dan rumpai dihadapi selepas enam (6) bulan pokok karas ditanam. Persaingan ini akan berlaku antara pokok Karas dan pokok musuh khususnya pokok Acacia mangium yang mempunyai pertumbuhan yang cepat. Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan racun Garlon yang dicampur dengan minyak diesel menggunakan campuran 1 liter racun jenama Garlon bersama 5 liter minyak diesel (1:5) atau 1 liter racun jenama Garlon bersama 9 liter minyak diesel (1:9) dan disapu pada batang yang telah ditebas. Bagi rumpai, boleh diatasi dengan menggunakan racun-racun biasa seperti jenama Capayan. Akhirnya pada musim kemarau pokok perlu disiram gunakan tangki air bergerak juga boleh digunakan. Semuga artikel ini memberi info berguna kepada pembaca semua. Wasallam!!..
MENANAM KARAS... MACAM MUDAHNYA...
SERANGAN PEROSAK... DIKAWALNYA...
ADA PENYAKIT ...KAWALAN DISEGERA..
MAMBACA ARTIKEL... FAHAM KAEDAHNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronoomist,
Precint 11F, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
15 JamadilAwal 1441H.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...