KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, November 22, 2015

KERBAU BAWA LUMPUR SEMUA TERPALIT


Peribahasa lama SEEKOR KERBAU MEMBAWA LUMPUR, SEMUANYA TERPALIT agak jarang didengar atau jarang digunakan masa kini. Ia memberi maksud sebagai "Seorang yang berbuat salah, semuanya terbawa-bawa".  Ini adalah satu peribahasa yang amat bermakna bagi sesebuah negara, masyarakat atau kelompok dan ianya perlu sentiasa diberikan perhatian oleh semua pihak. Kesalahan yang mungkin dilakukan oleh individu atau seklompok kumpulan kecil jika didapati bersalah akan menyebabkan kumpulan atau golongan tersebut dituduh sama. Terkini adalah kes Pengeboman Di Stadium Bolasepak Di Paris, France pada November 2015 dimana kumpulan IS dituduh melakukannya begitu juga Peristiwa 911 kapalterbang melanggar Bangunan Twin Tower di New York sehingga runtuh. Akibatnya adalah umat Islam diseluruh dunia menerima kesusahan dari apa yang dilakukan oleh pengganas dalam isu ini. Kesan dari serangan 911 bukan sahaja kita melihat Negara Iraq telah diserang dan ditawan malahan jutaan umat Islam (dan orang awam) telah dibunuh tanpa bukti walau pun mereka tidak bersalah. Begitulah bahaya jika melakukan kesalahan diperingkat dunia, negara, kampung atau dalam masyarakat itu sendiri. Apa pun bukan itu yang saya hendak bincangkan dalam artikel ini tetapi mengenai industri ternakan kerbau dan maklumat mengenai haiwan kerbau itu sendiri. In kerana peribahasa lama in menggunakan haiwan kerbau sebagai objek pembayang yang penting. Kerbau memang haiwan yang jarang dibincangkan berbanding dengan lembu dan kambing. Ini kerana kerbau (water buffalo) amat kurang populasinya berbanding dengan lembu dan kambing. Kerbau pernah dijadikan haiwan penting dalam Majlis Adat Istiadat Melayu dan Minangkabau dimana ia akan mengukur kekayaan seseorang. Pernah dahulu maskahwin untuk menikah juga menggunakan kerbau. Artikel subuh Jumaat ini saya menulis dlam "Anim Agro Technology" mengenai satu peribahasa berkaitan haiwan kerbau dan info mengenai kerbau untuk rujukkan anda.


Rekod daripada Kementerian Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menunjukkan terdapat seramai 43,310 penternak Lembu dan 3,925 penternak Kerbau yang terlibat dalam industri ini sama ada berskala besar, sederhana dan juga yang berskala kecil. Penternak kambing dan bebiri pula direkodkan adalah sebanyak 25,509 orang sementara penternak Ayam seramai 76,925 orang, penternak itik seramai 8,779 orang dan penternak babi seramai 887 orang. Pada keseluruhannya negeri Kelantan merupakan negeri paling ramai bilangan penternak lembu iaitu seramai 26,186 orang tetapi kebanyakannya adalah penternak yang berskala kecil-kecilan mempunya kurang dari 5 ekor lembu diikuti dengan Negeri Terengganu seramai 5,283 orang. Negeri Johor merupakan negeri paling banyak menyumbang sektor ternakan negara terutama dalam Industri Ternakan Ayam (Lebih 60 juta ekor setahun), Ternakan Kambing (70,000 ekor/ tahun) serta jumlah sembelihan lembu dan kambing di Malaysia. Kini terdapat sebanyak 130,090 ekor Kerbau direkodkan dalam negara kita pada tahun 2010 dengan sebanyak 9,130 ekor kerbau disembelih. Sabah mempunyai bilangan kerbau terbanyak iaitu 44,133 ekor diikuti dengan Pahang (17,533 ekor) dan Perak (16,951 ekor). Jumlah pengeluaran daging segar tempatan direkodkan sebanyak 46,510 metrik tan pada tahun 2010 yang bernilai RM 819.6 juta pada tahun 2010 berbanding cuma sebanyak RM 535.4 juta pada tahun 2005. Penggunaan daging oleh penduduk Malaysia sebanyak 162,360 mt sedangkan bekalan dalam negara cuma 46,510 mt setahun. Saya kira perbezaan ini iaitu sebanyak 115,850 mt daging lembu/ kerbau perlu diimpot. Anda boleh baca artikel mengenai kerbau (Sila klik disini) dan (Sila klik disini). Ternakan kerbau memerlukan komitment tinggi kerana agak sukar untuk memulakan aktiviti ini kerana sukar dapat induk dan bekalan kerbau.


KERBAU (Bubalus bubalis) ialah binatang yang termasuk keluarga keluarga Bovidae yang mana sekitar 95% keujudannya adalah di kawasan Asia termasuk di Malaysia. Kerbau liar (Water buffalo) masih dapat ditemui di Malaysia ,Pakistan, India, Bangladesh, Nepal, Bhutan,Vietnam, China, Filipina, Taiwan, Indonesia dan Thailand. K Kerbau adalah binatang yang sukakan tempat berlumpur dan berair seperti kawasan sawah dan paya untuk mereka berkubang. Kerbau di Malaysia dan Indonesia serta negara jiran lain sejak zaman dahulu digunakan didalam aktiviti membajak sawah padi atau menenggala tanah. Alat tenggala akan diikat pada badan kerbau yang menariknya dengan gagah. Bagaimana pun teknologi ini telah ditukar dengan penggunaan jentera bajak sawah yang lebih cekap, cepat dan hasil menyedia kawasan sawah dengan lebih baik. Bagaimana nasib kerbau selepas era membajak sawah amat terkesan apabila populasi kerbau di negara kita terus berkurangan dengan ketara sekali. Daripada rujukkan saya dengan laporan statistik Kementerian Pertanian, hanya sebanyak 2,468 ekor kerbau yang didaftarkan dengan Jabatan Veterinar semasa laporan ditulis di Semenanjung Malaysia. Sebahagian kerbau liar kini berkurangan dimana masa akan datang tidak akan ada lagi populasi kerbau liar yang dapat ditemui. 


Seekor kerbau jinak dewasa dapat memiliki berat sekitar 300 -  600 kg tetapi kerbau liar betina dapat mencapai berat hingga 800 kg dan kerbau liar jantan dapat mencapai berat hingga 1,200 kg. Berat purata kerbau jantan adalah 900 kg dengan tinggi purata di bahagian bahu kerbau ialah 1.7 m. Salah satu ciri yang membezakan kerbau liar dengan kerbau jinak adalah kerbau jinak memiliki perut yang bulat dan kerbau liar tidak bulat. Kerbau adalah dari jenis Bubalus bubalis dengan tiga subspesies iaitu Kerbau Sungai (Bubalus bubalis bubalis) yang berasal dari Asia Selatan, Kerbau Rawa (Bubalus bubalis carabanesis) yang berasal dari Asia Tenggara dan Kerbau Liar (Bubalus bubalis arnee). Kini saya amat jarang dapat makan daging kerbau tidak seperti ketika bertugas di Melaka sekitar awal 1980'an dimana ketika menghadiri beberapa majlis kenduri perkahwinan di sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah. Lazimnya mereka sering hidangkan daging kerbau. Daging kerbau mempunyai tekstur hampir sama dengan daging lembu cuma berbeza sedikit dari segi warna daging, tahap kelembutan dan juga tekstur ira daging yang kasar sedikit. 
Semuga artikel ini mampu memberi info berguna kepada pembaca semua. Ingatlahlah Seekor Kerbau Membawa Lumpur, Semuanya Terpalit. Wasallam!.
SEEKOR KERBAU...LUMPUR DIBAWA...
BERKUMPUL... TERPALIT SEMUANYA...
ELAKAN BERLAKU... DIMASYARAKAT KITA...
HIDUP AMAN... DAN BAHAGIA SEMUA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1924, Hotel New York,
Johor Bahru, Johor,
Malaysia. 
(8 afar 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...