Support My Blog

Monday, November 16, 2015

KACANG LUPAKAN KULIT

KACANG LUPAKAN KULIT merupakan satu peribahasa Melayu yang terkenal dan diajar semenjak bangku sekolah rendah lagi. Peribahasa lama ini membawa maksud iaitu "Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan". Apakah kaitan peribahasa ini dalam sektor pertanian dan bagaimana peribahasa ini dibina oleh bijak pandai bahasa Melayu zaman dulu?. Pada saya Kacang (Nuts) pula adalah istilah bukan-botani yang biasa digunapakai untuk menyebut biji seperti kacang tanah, kacang hijau, kacang soya, kacang putih dan banyak lagi. Tumbuhan kekacang adalah dari keluarga Fabaceae (Dulu dikenali dengan Leguminaceae) yang menghasilkan biji dalam lengai (Pods). Peribahasa Seperti Kacang Lupakan Kulit dikaitkan dengan orang yang dilupakan setelah menolongnya apabila mereka telah mendapat kesenangan. Ramai dikalangan orang besar dan orang yang berjaya dalam karier atau perniagaan lupa kepada orang yang telah membantu sebelum mereka berjaya. Ini mungkin berlaku disebabkan sikap lupakan diri seperti peribahasa kacang lupakan kulit. Kacang tanah atau kacang-kacangan lain lazimnya dijual setelah dikeluarkan daripada lengainya (pod) dan dijual dalam bentuk 'loose'. Ia akan dimasak untuk pelbagai jenis makanan dan lazimnya memang orang tidak tahu kulitnya berada dimana. Kulit kacang tanah tersebut mungkin berada beratus malahan beribu-ribu kilometer daripada biji kacang tanah dibeli. Ini kerana Malaysia adalah negara pengimport tegar kacang tanah, kacang soya dan kacang hijau serta kacang putih serta semua jenis bijirin kekacang. Artikel malam Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai info teknikal tanaman kacang tanah dan ifo lain berkaitan untuk bacaan dan rujukkan.


KACANG TANAH (Arachis hypogaea) merupakan tanaman singkat masa yang ssemakin kurang dijalankan oleh petani di Malaysia. Keluasan tanaman ini mengikut laporan ststistik Jabatan Pertanian sekitar 80-100 hektar setahun kerana banyak kawasan penanaman kacang tanah tradisional telah menukar tanaman mereka kepada tanaman jagung manis dan sayur-sayuran daun. Tanaman kacang tanah sesuai dijadikan tanaman selingan (crop rotation) iaitu satu kali dalam satu tahun disesetengah kawasan untuk mencegah serangga perosak, penyakit dan meningkatkan kesuburan tanah. Bagi kawasan tanah sawah atau kawasan tanaman tembakau, ia digunakan sebagai tanaman gantian yang popular di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Di Perak dan Kedah pula penanaman kacang tanag dilakukan pada musim kering dimana tahap keperluan air kacang tanah bergantung pada air hujan. Kadar hujan sekitar 100 -150 mm sebulan mencukupi pada peringkat awal penanaman sementara kadar sebanyak 50 -100 mm sebulan pada peringkat reproduktif. Penanaman kacang tanah dengan jarak tanam 40cm x 15 cm atau 40cm x 10 cm dengan benih satu biji setiap lubang sehingga kepadatan tanaman sekitar 250,000 sehektar. Penanaman juga dapat dilakukan secara baris ganda (50 cm x 30 cm) x 15 cm juga dengan kadar satu biji benih selubang. Cara menanam dengan menugal sedalam 3-5 cm dengan kayu tajam dimana kemudian lubang tanam ditutup dengan tanah. Pembajaan kacang tanah pada umumnya boleh gunakan kadar baja iaitu sebanyak 50 kg Urea, 50 Kg SP 36 dan 50 Kg KCL serta 125 gram baja bio (rhizonut) dan baja organik dengan kadar secukupnya. Semasa memberi baja ia boleh ditabur disekiling pokok atau diantara barisan tanaman. bagi jenis tanah masam atau pH tanahnya rendah maka perlu diberikan kapor dolomite sebanyak 300 - 500 kg/ha dengan cara ditaburkan merata pada saat penjagaan tanah akhir. Anda boleh baca artikel mengenai kacang tanah (Sila klik disini) dan (Sila klik disini).


Kawalan musuh dan penyakit kacang tanah dilakukan setiap masa apabila ada tanda serangan. Paling asas adalah dengan menggunakan benih dari varieti kacang tanah yang resistan atau toleran kepada serangga perosak atau pun penyakit. Apabila berlaku juga serangan perosak, mula-mula buat kawalan secara mekanikal dengan memungut dengan cara manual segala serangga perosak. Bagaimana pun jika tahap serangan kritikal, buat semburan dengan racun kimia yang sesuai. Hama utama pada kacang tanah antara lain sebagai berikut serangga Bena Kacang Tanah (Empoasca fasialin), Ulat Makan Daun (Stmopteryx subsecivella), Ulat Jengkal (Plusia chalcites) danUlat Daun (Prodenia litura) dan juga Ulat Penggulung Daun(Lamprosema indicata). Serangga ini boleh dikawal dengan racun kimia seperti endosulfan, clorfirifos, monokrotofos, metamidofos, diazinon, (seperti Thiodan, Dursban, Azodrin, Tamaron dan Basudin). Syor penggunaan racun tersebut sesuai pada umur 25,35 dan 45 HST. Penyakit utama kacang tanah adalah seperti Layu Bakteria(Pseudomonas solanacearum), Penyakit Bintik Daun (Cercospora sp.) dan Penyakit karat (Puccinia arachidis). Kawalan penyakit boleh dilakukan dengan penanaman varieti tahan atau menggunakan racun kulat seperti Benomil, Mancozeb, Carbendazim dan Clorotalonil (seperti Benlate, Dithane M-45, Baycor, Delsane, MX200, dan Daconil). Penyemburan racun kulat boleh dibuat pada umur 35-45 dan 60 HST.


KACANG HIJAU (Vigna radiata L) pada saya merupakan sejenis tanaman jenis kekacang dari keluarga Fabaceae yang mana tumbuhan ini dipercayai berasal daripada kawasan India , Pakistan dan Bangladesh. Tanaman ini mengeluarkan biji kacang hijau semenjak dulukala untuk digunakan sebagai sayuran taugeh di Malaysia dan juga di proses dijadikan tepong untuk pelbagai produk lain. Artikel mengenai Kacang Hijau pengalaman penulis di Myanmar boleh dibaca dengan (Sila klik disini). Kacang hijau juga dipanggil dengan pelbagai nama seperti Mung bean, green bean, mash bean, munggo, monggo, green gram, green soy, mong dal dan banyak nama lain lagi. Ramai dikalangan kita yang kenal akan kacang hijau yang dijual dikedai tetapi mungkin tidak pernah melihat tanamannya. Kacang Hijau adalah tumbuhan jenis renek yang ditanam untuk mendapatkan biji kacang hijau. Pokok tumbuh menegak dengan ketnggian antara 0.5 - 0.7 meter bergantung kepada varieti. Pokok mempunyai cadang atau dahan yang akan mengeluarkan bunga dan buah di hujungnya. Daun berbentuk pinnate berwarna hijau dan agak berbulu dipermukaan. Bunganya berwarna putih kekuningan dan membentuk tangkai. Buah kacang hijau berwarna hijau ketika muda dan akan menjadi coklat kehitaman apabila telah matang. Satu tangkai mengandungi antara 4-8 lengai buah . Dalam setiap lengai yang panjangnya 5-7 inci mengandungi biji-biji kacang hijau yang akan dileraikan apabila dibuka kulit lengai. Semuga artikel ini memberi info teknikal mengenai kacang tanah dan kacang hijau sesuai dengan peribahasa Seperti Kacang Lupakan Kulit untuk bahan bacaan anda. Wasallam!...
SEPERTI KACANG... KULIT DILUPAKAN...
AMBIL BIJINYA... KULIT DITINGGALKAN...
SIKAP MANUSIA... DAH KAYA SAKAN...
SOMBONG DIRI..YANG BERI BANTUAN...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Taman Cendana, Jalan Istana,
Bukit Beruang, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(4 Safar 1437H) 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...