Peribahasa lama TIADA ROTAN, AKAR PUN BERGUNA merupakan satu peribahasa yang sinonim dengan kehidupan masyarakat kita sejak dahulu. Peribahasa ini memberi makna atau maksud "Bila tidak ada barang yang baik, yang buruk pun berguna pula". Pembayang ini amat sesuai diambil oleh bijak pandai bahasa kita kerana mereka amat teliti dengan bagaimana hendak mengusahakan sesuatu itu agar maksud dicapai. Orang yang sering masuk hutan atau belukar untuk mencari kayu atau hasil hutan sering gunakan rotan untuk mengikat hasil seperti kayu ubatan, pucuk herba, buah-buahan hutan dan sebagainya. Bagaimana pun agak sukar kadang-kadang untuk menemui tumbuhan rotan yang sesuai untuk mengikat kayu kerana rotan hanya tumbuh dikawasan tertentu sahaja. Lazimnya batang rotan kecil amat sesuai dijadikan pengikat kerana ia mudah dilentur dan amat kuat dijadikan bahan pengikat. Jika tidak menjumpai rotan, lazimnya mereka akan mencari beberapa jenis akar kayu yang sesuai untuk dipotong dan dijadikan tali pengikat walau pun kualitinya tidak sama. Walau pun kebanyakan akar kayu tidak berapa kuat dan pendek ukurannya tetapi ia masih berfungsi juga untuk tujuan mengikat. Antara jenis akar atau batang yang boleh digunakan seperti tuba, akar kayu ara dan sebagainya. Apa pun artikel dalam "Anim Agro Technology" kali ini membincangkan tanaman dan tumbuhan rotan yang dikiaskan dalam peribahasa ini secara ilmiah.
ROTAN (Calamus spp) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Palma dari suku Calameae yang mempunyai 17 genus dan sekitar 611 spesies. Tumbuhan ini ada dalam hutan malar hijau kawasan tropika termasuk di Malaysia dan digunakan dalam industri perabut, hiasan serta lain-lain kegunaan. Rotan di Malaysia juga sering dikaitkan dengan kegunaannya untuk ‘SEBATAN’ atau ‘Canning’ bagi banduan-banduan yang menjalani hukuman sebatan. Genus rotan yang didapati adalah seperti Calamus; Calospatha; Ceratolobus; Daemonorops; Eremospatha; Eugeissonia; Korthalsia; Laccosperma; Metroxylon; Myrialepis; Oncocalamus; Pigafetta; Plectocomia; Plectomiopsis; Raphia; Zalacca; Zalacella. Rotan jenis Metroxylon pula sebenarnya masih satu genus dengan rotan tetapi ia adalah pokok sagu. Sementara rotan jenis Zalacca masih satu genus dengan salak. Daripada 611 spesies rotan yang ada didunia dilaporkan paling banyak terdapat di Indonesia iaitu sebanyak 246 spesies dimana di Malaysia (205), di Filipina (84), di Brunei (81), di Thailand (69), di India (60), di China (57), Papua New Guinea (42), Laos (29), Myanmar (27), Vietnam (21), Singapura (18), Cameroon (17), Equator Guinea (12), Bangladesh dan Nigeria 11, Sri Lanka 10, Australia 9, Angola 8, Bhutan, Ghana dan Zaire 7, beberapa negara di Afrika, Asia dan Asia Pasifik 5. Dari 205 spesies rotan yang ada di Malaysia didapati beberapa diantaranya merupakan rotan komersial yang kualitinya sangat baik. Antaranya saya sering dengar Rotan Manau (Calamus manan), Rotan Lilin (Calamus javensis), Rotan Irit (Calamus trachycoleus), Rotan Jernang Besar (Daemonorops draco) dan juga Rotan Manis (Daemonorops melanochaeta). Rotan Manis mungkin mendapat nama kerana spesis ini mempunyai umbut (rebung) yang manis dan enak dimasak sebagai sayur. Spesis batang rotan massif pula didapati berongga sama seperti buluh dan ianya banyak menyimpan air. Dalam hutan rimba kita boleh juga memenafaatkan rotan manis ini dengan pucuknya dipotong dan bahagian pangkalnya juga dipotong maka dari akar akan keluar air yang segar untuk diminum. Semasa saya masuk hutan Endau di Mersing pada 1999, saya telah diberitahu oleh Tok Batin Sangka a/k Cuka dan mendapati selain rasanya yang segar, air rotan ini juga mengandungi banyak kandungan zat yang menyihatkan dan menghilangkan kehausan. Batang rotan merupakan komoditi penting yang bernilai dipasaran tempatan dan antarabangsa.
Penanaman Rotan Manau (Calamus manan) dan beberapa spesis rotan lain boleh menggunakan bahan tanaman Anak Sulur (tunas pangkal batang) tetapi cara penanaman rotan menggunakan benih dari BIJI BENIH adalah lebih mudah. Buah rotan adalah hampir serupa dengan Buah Salak cuma bentuknya agak bulat. Kulit buah rotan juga mempunyai sisik. Seperti halnya tumbuhan dari keluarga palmae, didapati buah rotan berada dalam tandan dan seludang dimana saiz buah bergantung dari saiz ukurlilit batang batang rotan. Daripada pemerhatian saya mendapati ada yang sebesar bola ping-pong dan yang kecil bersaiz kurang dari 1 cm ukurlilit. Buah rotan biasanya mempunyai biji tunggal dengan daging buah yang tipis dan rasanya sangat kelat. Walau pun begitu didapati binatang hutan banyak yang makan buah rotan yang makan dengan menelan bersama bijinya dan proses ini membantu menyebarluasan spesies rotan secara lebih efektif. Buah rotan yang akan digunakan sebagai benih perlu dipilih dari yang benar-benar sudah cukup tua. Buah ini perlu dipisahkan dari kulit serta daging buahnya yang sangat tipis itu dengan cara mengupas (pulping). Caranya ialah dengan buah rotan diletak dalam keranjang yang kuat kemudian ditumbuk dengan alu kayu atau penumbuk yang berat. Kerja ini perlu dibuat dengan teliti dan pelahan2 agar kulit dan daging buah terkelupas tetapi bijinya tidak pecah. Buah yang telah dikupas kulit ini perlu ditapaikan dulu dengan cara dibiarkan dalam satu longgokan selama 24 jam. Setelah itu biji dicuci bersih dengan air yang mengalir. Pada waktu mencuci ini biji rotan boleh di pijak dengan kaki yang pakai kasut getah atau kasut but yang bersih.
Pokok Rotan mempunyai masaalah serangan beberapa serangga perosak diantaranya seperti Ulat Makan Daun (Lepidoptera spp), Kumbang Makan Batang (Cerambycidae spp), Serangan Antraknos oleh Kulat (Collectotricum spp; Fusarium spp, Culvularia spp., Cercospora spp) dan sebagainya pada bahagian daun muda dan pucuk. Terdapat laporan berlaku serangan patah tengkuk oleh Kulat Perosak Pokok (Rhizoctonia solani) pada pokok rotan yang perlu dikawal dengan racuk kulat dan sebagainya. Cara menuai pokok rotan juga perlu cekap kerana duri rotan merbahaya jika tercucuk pada tubuh kita. Kajian dari beberapa buku menunjukkan pokok rotan yang telah berumur 15 tahun keatas mempunyai kualiti rotan yang baik untuk dituai. Bagaimana pun pokok rotan yang bermur 7-10 tahun akan dituai awal kerana ianya sudah dikira matang. Tanda-tanda batang rotan sudah matang adalah jika didapati batang rotan (Cane) sudah tidak ditutupi pelepah (Licin) sepanjang 12-15 meter panjang. Warna batang rotan lazimnya hijau kekuningan atau telah menjadi warna kuning terang dan keras serta padu. Cara menuai rotan dengan memotong pangkal perdu rotan dan kemudian ditarik serta dibersihkan dari duri, pelepah dan seludang. Bagi rotan saiz kecil ianya di gulong-gulong atau dilipat beberapa kali untuk dibawa keluar. Rotan yang bersaiz atau diameter besar dan kasar di potong sepanjang 3-4 meter dan diikat untuk dibawa keluar. Anda boleh baca tulisan saya mengenai ritan (Sila klik disini) dan (Sila Klik disini). Semuga artikel ini memberi indo berguna kepada anda. Wasallam!
TIADA ROTAN... AKAR BERGUNA...
MENANAM ROTAN... SATU USAHA...
HARGA ROTAN... MAHAL MENGGILA...
BACA ARTIKEL...ASAL PERIBAHASA...
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Putrajaya.
(12 Safar 1437H)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.