Support My Blog

Monday, November 2, 2015

TIP TANAMAN KOPI (Part 2)

TANAMAN KOPI (Coffea spp.) di negara ini banyak terdapat di kawasan pantai Barat Semenanjung Malaysia dan juga Malaysia Timur. Tanaman ini merupakan tanaman yang penting di kalangan pekebun kecil. Ianya diusahakan secara tanaman tunggal atau secara selingan di kawasan kelapa atau buah-buahan yang sedia ada. Pada masa ini kopi jenis Liberica (Coffea liberica Bill ex Hiem) sesuai ditanam di Semenanjung Malaysia. Negeri pengeluar utama jenis kopi di negara ini ialah Johor dan Sabah. Terdapat seluas 3,714 hektar tanaman kopi di Malaysia dimana 1,112 hektar adalah di Negeri Johor dan seluas 2,216 hektar di Sabah (Sumber: Bahagian PTIF, Jabatan Pertanian Malaysia). Penelitian penulis mendapati kopi jenis Robusta pernah ditanam sedikit di Utara Semenanjung Malaysia tetapi agak luas ditanam di Sabah dan ada sedikit di Sarawak. Malaysia mampu mengeluarkan biji kopi mentah sekitar kurang dari 3% untuk keperluan tempatan manakala sebanyak 97% biji kopi mentah adalah diimport dari luar. Sebanyak 97,500 mt - 100,000 mt biji kopi mentah diimport setiap tahun untuk kegunaan kilang kopi tempatan dan seterusnya produk kopi tersebut untuk kegunaan tempatan dan juga dieksport. Seramai 96 buah pengilang kopi diberi kelulusan oleh Kementerian Pertanian untuk mengimport biji kopi mentah semasa artikel diitulis (Sumber: Laporan Tahunan Agromakanan MOA). Pengimport mempunyai kilang kopi untuk memproses biji kopi mentah kepada produk akhir berasaskan kopi terutama Kopi-dalam-satu (3-in-one) dan instant coffee. Malaysia juga merupakan pengeksport produk berasaskan kopi dengan jumlah nilai eksport melebihi RM1.2 billion pada tahun 2014. Kekurangan bekalan dan juga trend fasa kebergantungan import kopi menunjukkan industri untuk penanaman semula kopi di negara kita perlu digalakkan semula. Aktiviti penanaman dan pengeluaran kopi mentah di Malaysia menurun dengan amat signifikan daripada 16,000 hektar pada tahun 1990'an kepada hanya 3,714 hektar pada tahun 2015 (25 tahun). Banyak pendekatan perlu dilakukan untuk menarik minat petani dan usahawan menanam semula kopi. Antaranya seperti penanaman kopi secara intergrasi dengan kelapa atau buah-buahan dan memperkenalkan varieti baru yang produktif. Apa pun kali ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" beberapa tips dan informasi mengenai penanaman kopi.


Penyediaan kawasan untuk tanaman kopi sama seperti untuk menyediakan tanaman kekal yang lain seperti buah-buahan dan koko. Kawasan ladang yang hendak ditanam dengan tanaman kopi hendaklah dibersihkan dahulu daripada semak samun dan pastikan mempunyai saliran yang baik bagi kawasan tanah rendah. Pokok kopi tidak tahan dengan akrnya tenggalam akibat paras air naik semasa musim hujan. Keperluan Pokok Pelindung untuk tanaman kopi adalah diperlukan mengikut peringkat pertumbuhan atau kaedah penanaman. Ada kopi yang sesuai ditanam sebagai tanaman tunggal (monokrop) dan ada yang ditanam sebagai tanaman selingan (intercropped). Kopi Jenis Robusta atau polihibrid Robusta memerlukan pokok naungan dari jenis Gliricidia sp., Leucaniea sp. atau Erythrina sp. boleh ditanam dengan jarak pada 6m x 6m, iaitu satu pokok naungan bagi setiap empat pokok kopi. Jarak ini dikira sesuai bagi keperluan cahaya matahari untuk penanaman komersil. Penanaman kopi jenis Liberica atau polihibrid boleh dibuat tanpa menggunakan pokok lindungan. Penanaman kopi dibawah kelapa dan dusun buah-buahan juga mempunyai sistem yang disesuaikan dengan jarak tanaman. Kawasan kelapa yang ditanam dengan kelapa pandan atau kelapa matag sedia ada juga boleh ditanam dengan kopi sebagai tanaman selingan (Sila lihat foto disebelah). Tinjauan penulis mendapati kelapa matag yang ditanam dengan kopi amat sesuai dimana kelapa tersebut dipetik sebagai kelapa muda.


Penanaman kopi di ladang mesti dilakukan mengikut Pakej Teknologi Tanaman Kopi. Lazimnya penanaman pokok kopi boleh dibuat secara tanaman tunggal (Monokrop) atau pun selingan dengan tanaman kelapa yang sedia ada (Sila lihat tanaman tunggal seperti foto disebelah di Ranau, Sabah)Bagi jenis Robusta atau Polihibrid Robusta, jarak tanaman yang lebih rapat adalah disyorkan. Kebiasaannya jenis ini ditanam pada jarak 2.5m x 2.75m dengan kepadatan 1,450 pokok sehektar untuk tanaman secara tunggal. Sistem Tanaman bagi kopi memang ada beberapa cara diantaranya adalah Sistem Tanaman Tunggal dimana pokok kopi ditanam pada jarak tanaman 3m x 3m segitiga sama dengan kepadatan sekitar 1,280 pokok sehektar. Sistem tanaman tunggal ini memerlukan kawasan yang lapang dan ianya memerlukan pokok naungan diperingkat awal penanaman. Kedua adlah dinamakan Sistem Tanaman Selingan dengan tanaman Kelapa (Cocos nucifera) dimana pokok kopi ditanam pada jarak tanaman 3m x 3m dimana dua barisan kopi ditanam di antara barisan kelapa yang mempunyai jarak 9m x 9m dengan kepadatan 790 pokok sehektar. Cara tanaman ini memerlukan penyesuaian barisan tanaman diantara pokok kelapa agar ianya dalam keadaan 'menang-menang' antara pokok kopi dengan pokok kelapa agar mudah pengurusan agronomi dilaksanakan.


Bahan Tanaman atau Benih Kopi perlu disediakan atau dibeli daripada sumber yang sah. Penyediaan benih kopi boleh dilakukan dengan menggunakan Biji Benih atau pun dengan cara pembiakan tampang (vegetative)Biji benih kopi untuk dijadikan benih hendaklah dipilih daripada buah kopi yang cukup masak daripada pokok yang mengeluarkan hasil buah kopi yang tinggi. Biji benih mula bercambah 4 - 7 minggu selepas disemai dan lebih kurang 80% percambahan akan diperolehi selepas 8 - 10 minggu. Anak benih kopi hendaklah diubah ke ladang selepas 4 - 6 bulan (Sila lihat foto disebelah). Lazimnya benih yang disediakan daripada biji akan berbuah lewat berbanding dengan benih cantuman.  Bagi Pembiakan Secara Tampang biasanya ada dua cara pembiakan tampang yang biasa digunakan dalam pembiakan kopi, iaitu cara keratan dan cara cantuman iaitu Cara keratan dan Cara Cantuman. Cara keratan adalah dimana pembiakan ini adalah sesuai untuk kopi jenis Robusta tetapi kurang sesuai untuk jenis Liberica. Tunas muda yang batangnya hijau kecoklatan dipotong dan diletakkan dalam tapak semaian berpasir lembap untuk ianya mengeluarkan akar dan tunas. Cara cantuman adalah terbaik ketika ini kerana anak benih kopi yang ditanam dalam polibeg boleh dicantum selepas berumur 6- 8 bulan lebih cepat mengeluarkan hasil. Cantuman boleh dibuat dengan menggunakan baka varieti (klon) yang mengeluarkan hasil biji kopi yang tinggi dan bermutu. Cantuman pokok kopi dibuat secara cantuman baji menggunakan bahan tunas air daripada pokok baka yang terpilih.  Seterusnya adalah aktiviti pembajaan, cantasan, kawalan rumpai dan kawalan perosak dan penyakit dalam Part 3. Wasallam!.
TANAM KOPI... PERLU DIGALAKAN...
MINUMAN KOPI...NO 2 KEDUDUKAN...
SEMAKIN KURANG...PETANI INGINKAN...
TULIS ARTIKEL...MENJADI RUJUKKAN..

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(17 Muharam 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...