Support My Blog

Wednesday, November 18, 2015

BIDUK LALU, KIAMBANG BERTAUT

BIDUK LALU, KIAMBANG BERTAUT merupakan satu peribahasa lama yang diajar disekolah sejak dahulu kala. Peribahasa ini membawa erti atau maksud sebagai "Perselisihan faham antara dua pihak (biasanya saudara-mara) yang akhirnya berbaik semula". Peribahasa ini sering digunakan dalam masyarakat kita kerana ianya memang berkait dalam kehidupan masyarakat kita. Memang bijak pandai orang dahulu teliti dengan persekitaran dimana mereka tinggal dikawasan kolam, tasek, sungai, danau dimana apabila banyak pokok kiambang tumbuh dan perahu mereka lalu, kiambang akan terbelah dua dan kemudian akan bercantum semula atau bertaut semula (Sila lihat foto diatas). Semasa lawatan saya ke Bangkok beberapa tahun lepas saya telah dapat mengikuti lawatan melalui beberapa terusan dan laluan air dengan bot pelancong dan melihat kiambang bertaut semula selepas dilalui oleh bot pelancong. Ini menjadi daya tarikan dimana pokok kiambang tidak pula rosak atau mati walau dilalui oleh berpuluh malah ratusan bot setiap hari. Begitu erat dan rapatnya tumbuhan kiambang ini yang terapong-apong diatas air walau dibelah oleh bot. Kiasan ini memberi maksud mendalam dalam mengeratkan tali silaturahim dikalangan saudara mara atau adikberadek kerana perselisihan yang berlaku dalam keluarga mesti diakhiri dengan berbaik semula. Perhubungan darah keluarga sememangnya perlu dikukuhkan bagai tautan kiambang diair. Adalah menjadi kerugian jika sebarang kes perbalahan berpanjangan keluarga dan tidak akan dapat menyelesaikan masaalah. Ahli keluarga yang akan datang membantu jika berlaku kesusahan, hadir dalam majlis kenduri dan sebagainya. Dalam sektor pertanian tumbuhan kiambang bukanlah sejenis tumbuhan bernilai ekonomi penting malahan ia dianggap sebagai 'rumpai' yang perlu dihapuskan dikawasan taliair dan disawah padi. Selain ia memenuhi ruang, kiambang akan bersaing dengan ianya menyerap nutrien dalam air dan cahaya matahari. Artikel petang Selasa sempena Cuti Deepavali 2015 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengaitkan peribahasa Biduk Lalu, Kiambang  Bertaut dalam aspek pertanian dan perbincangan saintifik.


Biduk adalah nama lain bagi perahu atau sampan atau bot kecil yang digunakan sebagai pengangkutan air (Sila lihat foto diatas). Bagaimana pun biduk ini adalah sampan kecil yang sering menggunakan dayung untuk mengerakkannya. Pada masa ini penggunaan biduk hanya oleh mereka yang tinggal berhampiran sungai atau taliair dikawasan sawah padi. Biduk tradisional lazimnya diperbuat daripada kayu atau papan yang disambung dan digamkan dengan kerangka yang kukuh. Lazimnya ia akan dicat untuk memberikan ketahanan lama. Biduk digunakan untuk melalui sungai kecil atau tasek yang arusnya tidak kuat. Apabila biduk melalui kawasan banyak kiambang maka kiambang akan terbelah dua dan dengan mudah biduk melaluinya. Pada masa ini penggunaan biduk telah ada yang dipasang dengan injin sangkut menggunakan minyak petrol untuk mengerakannya dengan lebih laju. Biduk atau perahu moden juga kini telah menggunakan bahan buatan daripada fiberglass yang tahan dan ringan. Ia mudah dibeli dan dibawa kemana-mana terutama untuk tujuan memancing oleh mereka kaki pancing. 


Peribahasa 'Biduk lalu, kiambang bertaut' adalah peribahasa yang sinonim dengan tumbuhan air terapung yang dikenali sebagai Pistia stratiotes atau kiambang. Pokok kecil untuk tanaman air ini juga digelar ‘Floating lettuce’ iaitu salad terapung atau salad air. Tumbuhan air ini juga begitu disukai peminat seni taman kerana ciri keindahan bunga kecilnya, selain daunnya yang berbentuk kelopak bunga tersusun indah dan terapung di permukaan air. Selain keindahan dan keunikan pokok air ini, kiambang sebenarnya mudah dijaga dan sangat disukai oleh ikan untuk berteduh daripada panas sinaran matahari. Biasanya pokok ini akan membesar antara 5.1 hingga 45.7 sentimeter diameter serta tergolong sebagai tumbuhan yang sangat mesra alam dan membiak dengan menghasilkan anak pokok. Pokok ini memberi oksigen kepada air serta sangat sesuai sebagai kawalan biologi bagi mencegah pembiakan alga dalam kolam. Ini kerana ia menyerap lebihan organik yang dihasilkan lumut air. Kiambang boleh dikategorikan pokok air yang tahan lasak, namun jika mahu mengekalkan persekitaran kolam yang bersih, ia perlu juga dibersihkan bagi memastikan ia tumbuh segar. Kiambang sebenarnya sukakan teduhan jika tidak daunnya akan terbakar dan menjadi kekuningan. Bagi mengelak permukaan kolam ditutup dengan kiambang, tumbuhan ini perlu selalu dibersih dan diasingkan supaya kolam tidak menjadi sesak. Letakkan kolam atau pun pancuran air jauh daripada tempat pengumpulan air hujan. Ini kerana kiambang boleh hanyut dibawa air yang mengalir.

Bagi mengelak kiambang hanyut letakkan bakul terapung dalam kolam atau pancuran air. Bakul berkenaan boleh dibeli di nurseri bunga dan kedai peralatan kebun. Salah satu cara mudah untuk mengawal pembiakan kiambang adalah dengan meletakkan ikan dalam kolam kerana ikan biasanya makan akar pokok kiambang. Cara lain menyekat pembiakan kiambang adalah dengan meletakkan tumbuhan lain dalam kolam. Pemilik juga boleh meletakkan hiasan seperti itik tiruan, batu sungai atau model kincir angin. Paling mudah sentiasa selenggara kolam dan buang kiambang yang daunnya sudah kekuningan atau hampir layu. Seluruh bahagian pokok kiambang memang dikatakan mengandungi banyak kalium dalam bentuk kalium klorida dan kalium sulfat dan bahan pahit yang akan larut dalam air di mana ia tumbuh. Oleh itu pendarahan dalam usus dikatakan mampu terjadi jika manusia terminum air di mana kiambang tumbuh. Dalam beberapa rujukan penulis mendapat info bagaimana jika kiambang dimakan mentah, kesannya dikatakan mulut dan kerongkong akan berasa gatal dan sakit. Pokok terapong diatas air ini tidak memiliki nilai ekonomi yang tinggi kecuali sebagai sumber humus atau baja atau pun sebagai tanaman hiasan di kolam atau akuarium. Bagaimana pun kiambang juga dikatakan memiliki khasiat ubatan yang tersendiri. Untuk tujuan ubat herba, tidak semua spesies yang boleh digunakan, hanya spesies yang tercatat saha-ja yang dimaksudkan. Air rebusan daun dikatakan boleh diminum untuk merawat batuk darah, diabetes dan sifilis dan juga digunakan sebagai air mandian untuk mengurangkan masalah kembung air di perut. Namun sebelum anda mahu menggunakannya perlulah mendapatkan nasihat pengamal perubatan bagi tujuan untuk mengelakkan kemudaratan di kemudian hari. Penggunaan peribahasa ini masih signifikan pada masa ini kerana ia amat relevan dengan kehidupan masyarakat kita yang kukuh sifat kekeluargaan. Kekuatan institusi keluarga akan membolehkan masyarakat Malaysia lebih maju dimasa akan datang. Wasallam!.
BIDUK LALU... KIAMBANG BERTAUT...
DIMAKAN...SESUAIKAH DI PERUT...
PERBALAHAN KELUARGA...TAKUT...
BERDAMAI...BUANGKAN PARUT..

By,
M Anem, 
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(30 Muharam 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...