Support My Blog

Tuesday, November 24, 2015

ALAH SAMBUNG, MENANG SORAK


ALAH SABUNG, MENANG SORAK merupakan satu peribahasa lama yang kini agak kurang digunakan dalam percakapan harian atau dalam media cetak. Peribahasa yang dicipta oleh bijak pandai Melayu ini memberi maksud sebagai "Harta benda habis tetapi faedahnya tidak didapati". Dalam penulis mencari contoh ayat daripada buku teks, terjumpa satu contoh ayat yang digunakan seperti berikut "Perbuatan Pak Leman itu alah sabung, menang sorak kerana wangnya banyak habis tetapi cita-citanya untuk menjadi pemimpin di kampung itu tidak berjaya". Ayat ini memberi erti bagaimana Pak Leman yang bercita-cita tinggi untuk menjadi ketua dikampongnya sanggup mengeluarkan wang, tenaga dan masa tetapi akhirnya orang lain  yang mungkin lebih berwibawa dipilih oleh masyarakat kampong. Perkara seperti ini memang lazim berlaku  dalam masyarakat terutama dikalangan ahli-ahli politik yang berebut-rebut bertanding untuk menjadi pemimpin. Dalam peribahasa ini objek yang digunakan adalah 'AYAM SABUNG' atau ayam jantan atau dalam bahasa Inggeris sebagai 'Fighting Cock' dan bukannya haiwan lain seperti itek, kucing, kambing atau lembu. Mungkin mereka meneliti perilaku ayam sabung yang kadang-kadang akan berlaga sesama komuniti mereka dengan mengeluarkan bunyi yang bising. Memang benar kalau melihat ayam bersabung ia menghasilkan bunyi amat kuat disamakan dengan 'bersorak' dalam peribahasa ini. Ayam jantan tersebut mungkin bertarung untuk mendapatkan sesuaitu dan menunjukkan kejantanan mereka. Bagaimana pun akhirnya ayam jantan tersebut akan ditangkap oleh pemiliknya dan disembelih untuk dijadikan lauk ayam kampong yang enak dan lazat. Kalau difikir memang tidak perlu ayam tersebut bersabung selalu kerana tiada faedah yang akan diperolehi dalam kelompok ayam. Apa pun artikel ini menumpukan secara teknikal mengenai ayam sebagai satu info yang boleh digunakan bagi mengukuhkan bagi peribahasa ini. Artikel subuh pagi Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" satu kupasan mengenai peribahasa Alah sabung, menang sorak secara teknikal untuk bahan rujukkan dan bacaan semua.


Ayam merupakan satu jenis haiwan yang amat dekat dengan manusia. Ternakan ayam meliputi pelbagai kategori iaitu untuk AYAM PEDAGING, AYAM PENELUR, AYAM KAMPONG, AYAM PEMBIAK BAKA, ITEK dan juga termasuk ternakan BURONG PUYOH. Industri Ternakan Ayam merupakan industri yang besar dijalankan di Malaysia dengan sebanyak 225,789,620 ekor di ternak pada tahun 2010 (Sumber: Laporan Agro Makanan, MOA). Sebagai perbandingan jumlah ternakan ayam ini cuma sebanyak 174.7 juta pada tahun 2005 telah meningkat kepada 179.2 juta ekor (2006), 188.83 juta ekor (2007), 192.69 juta ekor (2008) dan sebanyak 208.33 juta ekor pada tahun 2009. Ternakan itek pula mencatitkan populasi sebanyak 7,927,860 ekor pada tahun 2010. Kajian saya mendapati tahap jumlah pengeluaran daging ayam tempatan adalah sebanyak 1,295 ,000 metrik tan yang bernilai sebanyak RM 5.776 billion. Penggunaan daging ayam tempatan adalah sebanyak 1,103,000 metrik tan setahun. Daging ayam merupakan jenis daging putih yang banyak diambil oleh rakyat Malaysia seharian. Kita adan jumpa daging ayam di restoran semaa sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam sehingga makan lewat malam (supper). Ia dimasak menjadi sate ayam, kari ayam, ayam percik, ayam golek, ayam goreng, ayam ungkep, ayam kicap, ayam Uncle John dan banyak resepi lagi ianya dihidangkan.Negeri Johor merupakan peneraju utama ternakan ayam di Malaysia dengan bilangan ayam sebanyak 60.097 juta ekor diternak pada tahun 2010 diikuti dengan Sarawak (312.604 juta ekor), Perak (31.988 juta ekor), Melaka (18.899 juta ekor), Kelantan (17.140 juta ekor), Pulau Pinang (14.218 juta ekor), Negeri Sembilan (13.116 juta ekor) dan Selangor (12.634 juta ekor). Negeri lain memelihara kurang dari 10 juta ekor pada tahun 2010 iaitu Pahang (9.042 juta ekor), Sabah (5.586 juta ekor), Terengganu (4.621 juta ekor), Kedah (2.968 juta ekor) dan Perlis (2.881 juta ekor). Tidak ada laporan mengenai ternakan ayam di Wilayah Persekutuan. Ayam yang diternak di Johor adalah untuk kegunaan domestik dan sebahagian ekspot ke Singapura. Ladang-ladang Ayam di Johor juga menyumbangkan keujudan banyak lalat dikawasan kampong saya di Gersik yang semenjak adanya ladang ayam telah menjadi ancaman ketika hendak makan. Keadaan selalu akan bertambah teruk jika mengadakan majlis kenduri kendara maka lalat dulu lha yang menjamah makanan!.


AYAM KAMPONG? Mana nak beli atau nak pelihara kalau tinggal di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Jawabnya kena cari pasar borong yang berhampiran. Harganya...memang mahal sekitar RM 15.00/kg dan seekor mencapai lebih RM 20.00 atau RM 25.00. Itu pun kalau ada stok digerai jualan ayam kampong, akan tetapi kenapa ayam kampong mahal?...Dulu memang saya duduk kampong dan puas makan ayam kampong sejak kecil lagi kerana terdapat banyak ekor ayam kampong berkeliaran dikawasan rumah begitu juga dengan ternakan kambing kampong yang masuk reban setiap petang. Rasanya ayam kampong menjadi hidangan istimewa zaman dulu ketika duduk kampong kerana tidak selalu kita dapat makan daging ayam tidak macam hari ini mudah sahaja untuk membeli ayam daging atau orang kampong panggil 'ayam karen'.Apakah istimewanya AYAM KAMPONG berbanding dengan AYAM DAGING MODEN?... Memang banyak bezanya dari kaedah penternakan, cara memberi makan, jenis ayam dan juga harganya. Ayam kampong ada banyak jenis yang boleh diternak dari jenis tempatan sehingga jenis moden (Diimpot - seperti Perancis, Siam, Vietnam dan banyak gelaran lagi). Boleh dikatakan ayam kampong adalah jenis ayam organik kerana makan apa sahaja serta bebas dan bergerak liar dikawasan rumah dan kebun. Mereka memakan apa sahaja yang ada diatas tanah seperti serangga, daun, tanah, sisa makanan, buah-buahan yang gugur dan juga benda tu...lepas kita melepas (dulu dikawasan kebun je). Ayam kampong pandai mengkais-kais tanah untuk 'exercise' dan cari makan. Ayam kampong tidak memerlukan penjagaan yang rumit kerana kita hanya menyediakan reban ayam yang mudah sahaja daripada kayu dan bumbung dan lantai serta tangga untuk ayam naik sendiri. Pastikan reban mempunyai ruangan yang cukup dimana seekor ayam perlukan 1 kaki persegi dan kalau ada 10 ekor sediakan 10 kaki persegi. Dulu saya tidak buat macam itu memadai dengan buat beberapa tingkat kayu dalam reban kecil dan tinggi dimana ayam akan bertenggek diatas palang-palang kayu yang disediakan.


AYAM LAGA (Fighting Cocks) pula adalah ayam yang merupakan sejenis ayam yang dipelihara khusus untuk berlaga atau bertarung bagi tujuan perlawanan ayam. Saya dapati ayam laga juga digelar sebagai Ayam sabung, Ayam laga, Ayam Bangkok, Ayam Siam atau Ayam baik (bahasa Inggeris: gamecock) adalah sejenis baka ayam. Ia digemari oleh para peminat ayam di seluruh dunia kerana mempunyai ciri-ciri untuk bersabung atau berlawan. Ayam Laga/sabung ialah ayam yang sanggup bertarung sampai mati ketika perlawanan. Di Thailand, Indonesia, Filipina dan Semenanjung Malaysia, ayam laga ini seakan-akan sama dari jenis ciri baka dan cara ia berlawan. Beberapa pemilik ayam laga di Malaysia yang pernah saya tanya telah mengatakan sesetengah baka ayam ini diimport dari Bangkok (Thailand) dan tidak mustahil ayam sabung ini seakan-akan sama. bagaimana pun bagi kawasan seperti di Sabah, Sarawak dan sesetengah tempat di Indonesia ayam sabung ini berbeza daripada ayam sabung dari Bangkok kerana saiz ayam sabung ini lebih kecil dan seakan-akan ayam katik dan ayam hutan. Terdapat juga dakwaan ayam ini juga dipercayai berasal dari Myanmar. Didalam banyak rujukkan didapati ayam ini juga dikenali sebagi 'ayam pisau' kerana apa yang sering berlaku adalah dibahagian tajinya akan dipasang dengan pisau bersaiz lebih kurang 5 inci untuk bertarung dimana ia perlu masa 4 minit sahaja untuk mengalahkan lawannya. Beberapa Ciri-Ciri penting Ayam Laga yang pelu diketahui oleh peminat ayam laga berbeza-beza mengikut keinginan pemilik(Lihat foto sebelah). Bagaimana pun saya akan senaraikan beberapa ciri penting yang perlu ada pada ayam laga. Bentuk kepala dan tulang alisnya tebal dan sebaiknya bulu ayam laga berkilat dan kaku, terutama pada bulu sayap dan ekor. Ayam laga perlu ada kaki bersisik kasar, dengan bentuk dari segi empat sampai bulat. Kepalanya berbentuk buah pinang dan diperhatikan ketika berdiri ia mempunyai bentuk badannya menegak(erected shape). Dibahagian matanya masuk ke dalam, sepet, dan jernih dengan mempunyai kulit muka yang kasar, tebal dan juga sebaiknya berwarna merah. Ia mempunyai paruh besar, kuat melengkung, beralur mulai dari lubang hidung ke arah muka dengan ada lubang hidung agak ke depan. Ia juga ada muka kelihatan bengis dan garang. Dibahagian jari kakinya panjang, kecil, kuat dan susunan jarinya mekar. Ia juga perlu pandai memukul bahagian kelemahan lawan dengan pukulan keras dan tepat. Paling utama adalah ia ada semangat tarung tinggi dan malu akalau ia tidak mahu bertarung. Lazimnya ia mempunyai tulang yang kasar dan rapat. Ciri-ciri khas yang dimiliki oleh ayam laga inilah yang membuatkan ia sangat terkenal kehebatannya di arena tarung di seluruh dunia. Tulisan ini diharap mengukuhkan info dan kaitannya dengan peribahasa Alah Sabung, Menang Sorak yang pernah kita belajar disekolah dahulu. Wasallam!.

AYAM SABUNG... MENANG SORAK...
TABUR HARTA.. TERUS BERGERAK...
HARAPKAN HASIL...TETAPI TIDAK...
JADIKAN PANDUAN... PERLU ELAK...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
Wilayah Persekutuan,
Malaysia.
(11 Safar 1437H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...