KLIK SAYA SOKONG BLOG

Sunday, March 2, 2014

SERAI - EKSTRAK BUNGA SERAI

SERAI (Cymbopogon spp) merupakan sejenis tanaman renek (herbs) dari keluarga Poaceae (Dulu Graminanae) sama dengan keluarga jenis tumbuhan rumput. Serai dipercayai mempunyai sebanyak 37 jenis tetapi di Malaysia terdapat 2 jenis serai yang dikomerssilkan dan banyak ditanam iaitu Cymbopogon citratus dan juga Cymbopogon flexus. Dalam bahasa Inggeris serai di panggil 'Lemon Grass' atau kalau di melayukan jadi Rumput Limau atau Oil Grass. Jenis popular iaitu Cymbopogon citratus merupakan jenis yang banyak di tanam di Malaysia sementara Cymbpogon flexus banyak di tanam di negara India. Penulis pernah terlibat dengan projek tanaman serai ketika bertugas di MIADP Melaka sekitar tahun 1990'an , di Endau Mersing, di Daerah Segamat dan di Daerah Muar, Johor. Serai banyak dijadikan tanaman cepat berhasil dan kurang berisiko kecuali harga pasaran yang saya dapati tidak menentu. Tanaman serai banyak di usahakan secara kecil-kecilan dan juga komersial. Keluasan tanaman serai di Malaysia lingkungan 240-300 hektar setiap tahun terutama di Negeri Johor, Selangor, Perak, Kelantan dan Negeri Sembilan. Diluar negara, serai banyak di tanam seperti di India, China, Guatamala dan Brazil untuk kegunaan domestik dan eksspot bagi penghasilan minyak pati serai. Laporan ststistik FAO ada menunjukkan anggaran pengeluaran minyak pati serai dunia meningkat dari 310 mt setahun pada awal 1980'an kepada lebih 520 mt setahun pada tahun 2005. Minyak pati ini digunakan dalam pelbagai industri sampingan seperti Kosmetik, Makanan, Kimia dan minyak wangi. Penanaman serai di Malaysia hampir kesemuanya adalah untuk kegunaan segar sahaja sebagai perasa dalam masakkan. Terdapat beberapa usahawan IKS kecil-kecilan ada membuat minyak serai di Johor, Selangor dan Negeri Sembilan. Artikel malam ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi percambahan bunga serai hasil penyelidikan di UKM untuk dikongsi dengan pembaca daripada laporan Metro.

Mungkin pati minyak dari bunga serai tidak mudah didapati seperti mendaptkan ekstrak dari daun serai sebagai bahan mentah. Kini bukan mudah menemui 'serai makan' berbunga di negara kita terutama bagi serai makan spesies Cymbopogan citratus. Pertama kali melawat ladang kajian serai diusahakan dua penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hati penulis seperti tidak percaya. Ini kerana perihal serai berbunga sering dikaitkan dengan alam mistik dan ia tidak asing dalam kehidupan masyarakat Melayu. Serai berbunga juga sering dikaitkan dengan batu serai dan hanya mereka yang arif mengenai ilmu mistik dapat mengeluarkan bahan berharga itu daripada perdunya. Batu serai biasanya diperoleh daripada pokok serai kampung berbunga dengan bentuk fizikalnya seperti bunga padi. Kini, penghasilan bunga serai lebih mudah menggunakan teknologi terkini dengan menggunakan radiasi sinar gamma. Serai dihasilkan juga unik dengan kemunculan batang serai seperti batang tebu. Mungkin nampak pelik, tetapi serai memang mengeluarkan ruas batang yang terhasil akibat pertukaran gen melalui proses mutasi.

Kajian penyelidik UKM itu menghasilkan serai makan berbunga yang pertama seumpamanya di dunia bagi menghasilkan ekstrak pati minyak bunga serai. Dua penyelidik itu ialah Dr Ahmed Mahir Mokhtar Bakri dan Sharifah Nur Rahimah Syed Alias. Dikenali Inovasi Mutasi Serai, projek itu mengharumkan nama UKM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kerana mereka memperolehi pingat emas pada Pameran Penyelidikan dan Inovasi (INNOVA) di Brusel, Belgium, 2009. Selain itu, satu lagi pingat perak diraih sempena Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA 2009) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Universiti Malaya (UM). Bukan saja menghasilkan serai, tetapi bunga pada setiap rumpunnya bercambah menjadi ruas yang baru. Serai makan turut dikenali sebagai ‘rumput aromatik’ berasal dari famili ‘Poaceae’. Ia boleh hidup subur dalam cuaca panas. Mempunyai ketinggian sekitar dua hingga empat meter, serai makan terbahagi kepada dua jenis iaitu West Indian Lemongrass dan sejenis lagi East Indian Lemongrass (Cymbopogon flexuosus)West Indian Lemongrass adalah jenis serai makan yang terdapat di Malaysia dan digunakan dalam rawatan tradisional selain bahan utama dalam masakan.

Aroma ‘lemon’ dihasilkan serai membuatkan tumbuhan itu dipelbagaikan kegunaan terutama dalam masakan seperti rendang, masak lemak cili api dan minuman teh. Sharifah Nur Rahimah berkata, biasanya lebih kurang 0.2 hing­ga 0.5 peratus pati mi­nyak serai makan diperoleh daripada daun. Melihat kepada sektor pengeksportan serai didapati negara Guatemala menguasai pasaran serai dengan pe­ngeluaran 250,000 kilogram (kg) setahun dan China dengan 100,000kg setahun. “Di antara 30 hingga 50 tan serai boleh dituai bagi setiap hektar setahun. Jumlah tuaian ini boleh memberi hasil minyak pati sebanyak 250kg. “Namun, dengan sistem irigasi dan pengurusan yang cekap, pengeluaran minyak pati boleh ditingkatkan sebanyak 500kg sehektar. Katanya, melihat kepada sifat kimia pada pati minyak serai, kebanyakan minyak pati di pasaran menggunakan ekstrak pada bahagian daun saja bagi tujuan komersial. Tetapi ada syarikat-syarikat yang mengekstrak dan mencampurkan semua bahagian serai meng­gunakan kaedah penyulingan stim. Penyulingan stim adalah satu alat untuk mengekstrak minyak serai dan dalam minyak serai mempunyai kandungan ‘citral’ dengan kandungan sehingga 85 peratus. Citral bertanggungjawab mengeluarkan bau lemon dalam serai,” katanya.

Kajian saintis Barat mendapati dengan kepekatan 44.5 mikromolar citral daun serai dan diminum bersama secawan teh setiap hari, sel kanser akan mati perlahan-lahan. Dr Ahmed Mahir Mokhtar berkata, usaha melaksanakan projek pembiakan serai terbantut berikutan tiada sesiapa yang menghasilkan bunga serai daripada jenis spesis Cymbopogan citratusWalaupun ada pusat kajian penyelidikan serai di India, tetapi kajiannya terhad. Ini kerana pokok jenis serai makan ini susah berbunga. Sehubungan itu kata­nya, jalan penyelesaian untuk menghasilkan bunga serai adalah melalui dorongan mutasi. Kajian awal katanya, serai itu mengeluarkan ‘nod’ dan ‘internodes’ (ruas panjang seperti batang tebu)“Kalau struktur dan kualiti tanah baik, enam bulan ke atas, kita boleh memperoleh hasil bunga serai. Serai akan lebih menjadi sekiranya struktur batang­nya di tanam lebih dalam atau cukup bekalan baja. Mereka membahagikan serai terbabit kepada empat bahagian iaitu bunga, daun, bahagian ruas dan serai makan untuk melihat kandungan citral.

Jika syarikat mahu mengeks­port pati minyak serai ke luar negara, keperluannya mestilah lebih 75 peratus kandu­ngan citral. Peratus penghasilan minyak pati paling tinggi ditemui dalam bunga (0.38 peratus), diikuti daun (0.26 peratus), pangkal batang (0.06 peratus) dan bahagian perte­ngahan batang serai (0.01 peratus). Serai makan yang dihasilkan dari bunga serai tidak mengandungi ‘myrcene’. Dalam pasaran, pengguna lebih menggemari serai ‘East Indian Lemongrass’ kerana tidak mengandungi myrcene. Myrcene boleh menyebab­kan pati minyak berkenaan susah untuk larut dalam alkohol iaitu ciri-ciri yang ditekankan dalam industri kosmetik dan farmaseutikal. Menurutnya, ia antara penemuan yang sangat baik me­ngenai minyak serai makan dengan kandungan citral yang mematuhi standard ISO 3217-1974. Selepas itu kami banding­kan dengan daun dan membahagikannya mengikut tahap kematangan iaitu dari daun muda, matang, daun selepas matang dan daun kering. Kami bahagikannya dan didapati daun muda mempu­nyai kandungan minyak dan citral lebih tinggi.

Kos eksrak minyak serai di negara ini tinggi disebabkan kita menggunakan diesel sebagai bahan api berbanding Indonesia menggunakan kayu api. “Jadi adalah merugikan kalau mereka yang mahu meng­ekstrak pati serai menggunakan diesel, tetapi tidak tahu bahagian mana dalam serai makan yang selalunya menghasilkan banyak pati minyak,” katanya. Penyelidikan dilakukan itu membolehkan daun muda dituai dalam jangka masa singkat, selain tidak perlu menunggu lama hingga setahun bagi mendapatkan hasil. Kajian serupa turut dilakukan ke atas bunga serai makan dengan perbandingan dilakukan mengikut bahagian pembesaran bunga berbeza. Kami telah membahagikan kepada lima bahagian, saya dapati peringkat bunga kedua, iaitu sebelum ia berkembang didapati kandungan minyaknya paling tinggi. Bila bunga sudah kembang terbuka, kandungan minyak mula berkurangan disebabkan ia mula mudah meruap serta hilang.

Bunga peringkat kedua katanya, mempunyai kandungan pati minyak dan citral paling tinggi, selain membantu dalam peningkatan hasil ekstrak minyak pati. Penyelidikan mutasi bermula pada 2007 dilakukan oleh Dr Ahmed Mahir Mokhtar. Kajian terhadap minyak berterusan dari tahun 2007 hingga 2011 dilakukan di USIM sebelum dikomersialkan pada tahun ini melalui syarikat terbitan UKM iaitu Serotech Sdn Bhd di bawah pengurusan Sharifah Nur Rahimah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu. Beliau yang kini melengkapkan pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Biotek Makanan di USIM, Nilai, Negeri Sembilan, mahu bekerjasama dengan pihak luar untuk mengkomersialkan minyak bunga serai. Jika berminat boleh hubungi kami di 03-89261238 atau menghantar e-mel kepada sharifah_nr@serotech.com.my untuk perbincangan lanjut. Wasallam!.
Sumber : METRO
Penyelidik bunga serai di UKM.
BUNGA SERAI... SUKAR JUMPA...
MELALUI KAJIAN... MUNGKIN ADA...
KAJIAN SAINTIS...TELAH DICUBA...
EKSTRAK SERAI...TINGGI HARGA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Precint 11, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(30 Rabiulakhir 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...