Support My Blog

Friday, March 7, 2014

POKOK KARI - KENALI DIA

POKOK KARI (Murraya koeniggi) merupakan salah satu jenis tumbuhan herba daripada keluarga Rutaceae yang tidak asing dengan masyarakat kita di Malaysia. Pokok kari merupakan sejenis pokok renek yang dipercayai natif dari India dan Sri Lanka tetapi kini mudah kita jumpa di negara kita. Belum ada maklumat rasmi mengenai keluasan tanaman ini di Malaysia kerana kebanyakan pokok daun kari ditanam sebagai tanaman disekeliling rumah termasuk ditanam dalam pasu. Daun Kari merupakan komponen terpenting dari tumbuhan ini yang digunakan sebagai ramuan dalam masakan seperti masak kari, asam pedas, tumis daging dan sebagainya. Aroma daun kari yang kuat menambahkan lagi keenakkan kari ikan, daging yang dimasak untuk dihidangkan dengan nasi atau roti canai. Kebanyakan daun kari dipetik sendiri daripada pokok yang ditanam disekeliling rumah dan ada juga yang membelinya di pasar tani, pasar malam atau pasar basah. Adalah menjadi satu keadaan luar biasa bagi penduduk kampong yang kata membeli daun kari kerana ia amat mudah ditanam dan dijaga. Daun kari juga di goreng bersama kuih maruku, kacang putih berperisa, kuih siput, gorang kacang-kacangan dan bermacam kuih tradisional lagi. Pokok kari adalah jenis tumbuhan yang tahan lasak dan boleh hidup pada tanah kurang subur serta tidak memerlukan cahaya matahari penoh. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai tumbuhan dikenali sebagai pokok daun kari untuk dijadikan sumber ilmu kepada pembaca blog ini.


Pokok Kari mampu tumbuh dengan ketinggian sehingga 6m jika dibiarkan tanpa di cantas. Bagaimana pun lazimnya kita kawal ketinggian sekitar kurang 1 meter agar mudah untuk dijaga. Batagnya adalah jenis kayu lembut ketika muda akan menjadi kayu keras apabila dewasa. Pokok ini biasa ditanam dalam pasu dan diletak dekat dengan dapur dikawasan rumah (Sila lihat foto sebelah).  Daun kari yang berwarna hijau memang mempunyai susunan bertentangan (alternate) dengan bentuk lanceolate atau epiliptik berukutan 2-3 cm panjang dan 1.0-1.5 cm lebar. Ia keluar daripada tangkai daun dengan jumlah lai daun diantara 9 - 25 helai bergantung kepada umur pokok. Warna daun muda (nahagian pucuk) berwarna hijau muda sementara warna daun tua adalah hijau gelap. Daun Kari akan dipetik segar dan amat berguna sebagai bahan rempah dalam masakan terutama masakan jenis kari. Daun kari mempunyai ciri bau yang kuat dan kalau digigit mempunyai rasa agak pahit. Daun kari jarang-jarang dimakan segar sebagai ulam. Ia boleh tahan beberapa hari (4-7 hari) selepas dipetik dan lebih lama jika disimpan dalam peti sejuk bersuhu 15 Celcius. Bagaimana pun kebanyakan kita ada menanam pokok kari sendiri dirumah.

Pokok kari yang ditanam memerlukan jenis tanah yang sesuai diletakkan dalam pasu. Benih boleh dibiak melalui biji benih daripada biji yang matang atau melalui keratan batang dan anak pokok yang tumbuh dari akarnya. Paling sesuai ia diberikan baja organik dan disiram mengikut keperluan jika ditanam dalam pasu. Penanaman pokok daun kari terus ketanah dibelakang rumah tidak selalunya tidak memerlukan penyiraman. Apa yang sering merisaukan kita adalah serangan sejenis ulat daun berwarna hijau yang memakan daun kari sehingga boleh habis (Sila lihat foto sebelah). Saya jumpa beberapa kali ulat hijau ini yang bersaiz besar dan kawalannya dengan mengutip terus dan musnahkannya. Kalau geli, ambil sahaja racun aerosol Ridsect atau Shelltox dan sembur terus kepada ulat tersebut. Pastikan anda tidak ambil daun yang telah disembur aerosol untuk dimakan beberapa hari selepas itu. Selain itu kadang-kadang ada serangan Koya, Jelaga Hitam dan Belalang pada waktu tertentu tetapi pada tahap tidaak begitu serius. Pokok ini mempunyai banyak kegunaan dalam masakan kaum India dan Melayu dimana ia digunakan dalam pelbagai jenis masakan. Pokok ini agak lasak. 

Bunga Kari adalah berbentuk bulat yang bersaiz kecil berwarna putih kekuningan dan akan menjadi merah atau kehitaman apabila cukup matang (Sila lihat foto sebelah). Buahnya kecil berwarna hijau ketika muda dan bertukar menjadi ungu setelah matang boleh digunakan sebagai biji benih dan disemai untuk penanaman. Berhubung dengan khasiat dan kegunaan pokok kari, telah banyak dibicarakan dalam beberapa buku dan lamanweb. Bahagian kulit pokok, daun dan akar pokok daun kari digunakan sebagai tonik. Di samping itu, daunnya juga berkesan dalam mengatasi masalah haid dan gonorea, menghilangkan rasa loya dan ‘morning sickness’ bagi wanita mengandung. Daun kari dan akarnya juga baik untuk peredaran darah dan boleh bertindak sebagai sedatif. Daun kari mempunyai khasiat perubatan yang tinggi dan digunakan dengan meluas dalam perubatan kaum India. Ia dijadikan tonik herba untuk menguatkan perut dan meningkatkan keupayaannya serta mengatasi masalah penghadaman. Ia juga boleh digunakan sebagai laksatif lemah untuk mengatasi masalah sembelit. Jus daunnya yang segar dicampur dengan jus limau nipis digunakan untuk mengatasi masalah loya dan pening. Jus daun kari yang dicampur dengan madu juga dapat menjadi penawar kepada cirit birit dan buasir. Air rebusan kulit pokok kari yang kering boleh merawat diabetes. Amalan memakan daunnya setiap hari selama 3 bulan dikatakan dapat mencegah kencing manis dan obesiti yang disebabkan oleh faktor genetik. Buahnya yang didihkan dengan minyak kelapa hingga kehitaman, kemudian dihancurkan digunakan untuk merawat gigitan serangga dan haiwan berbisa. Daun pokok kari yang dilumatkan dan dijadikan pes boleh digunakan untuk merawat lebam dan bengkak.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...