Support My Blog

Wednesday, March 19, 2014

VARIETI - KELAPA DI MALAYSIA

KELAPA (Cocos nucifera) merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Arecaceae (dulu dinamakan keluarga Palmae) yang tumbuh di Malaysia dan dianggap sebagai tanaman penting. Ia juga merupakan satu jenis tanaman atau aktiviti pertanian yang dilaksanakan oleh ramai petani tradisional di Malaysia semenjak berkurun dahulu. Sejarah tanaman kelapa bermula kebanyakannya untuk kegunaan sendiri dimana kawasan utama penanaman adalah dikawasan persisir pantai dan sebagai tanaman keliling rumah. Pada masa ini terdapat seluas 110,000 hektar kawasan tanaman kelapa di Malaysia (Perangkaan Jabatan Pertanian 2011) dengan pengeluaran sebanyak 527,422 metrik tan kelapa. Keluasan ini adalah berkurangan jika dibandingkan dengan keluasan tanaman kelapa pada tahun 2005 seluas 121,011 hektar, tahun 2007 (119,701 ha) dan menurun lagi kepada tahun 2009 (100,362 hektar). Penurunan luas kawasan penanaman kelapa kerana ramai petani tradisional telah menukarkan tanaman kelapa kepada tanaman kelapa sawit yang lebih mudah diuruskan dan menguntungkan. Beberapa estet swasta yang dahulu menanam kelapa seperti di Perak, Melaka, Sabah dan Johor juga telah menukar tanaman kelapa kepada tanaman kelapa sawit. Artikel subuh ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai beberapa varieti tanaman kelapa di Malaysia berdasarkan laporan daripada sumber rasmi dan pengalaman penulis sendiri.


Kelapa merupakan sejenis tumbuhan palma tunggal. Satu pokok terhasil daripada sebiji buah. Pokok Kelapa terbahagi kepada 2 jenis iaitu Kelapa Tinggi dan Kelapa Rendah. Secara botani, buah kelapa merupakan "buah kering" yang dikenali buah drup. Mesokarpa terdiri daripada gentian yang dikenali sebagai sabut dan terdapat tempurung (endokarpa). Tempurung keras mempunyai tiga liang percambahan yang jelas kelihatan di permukaan luar apabila sabutnya dibuang. Melalui salah satu darinya pucuk keluar apabila embrionya bercambah. Kebiasaannya, buah kelapa muda boleh diminum terus dan buah tua dijadikan santan. Jambak bunga pula boleh ditoreh bagi menghasilkan air nira untuk diminum segar atau dijadikan gula Melaka.

Jadual 1 diatas menunjukkan 16 varieti kelapa yang baru sahaja selesai proses pendaftaran oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Varieti kelapa tidak seperti varieti buah-buahan semua didaftarkan sekitar bulan Jun 2013 selepas proses untuk mendokumenkan pencirian varieti kelapa mengikut standard antarabangsa UPOV iaitu kaedah pencirian DUS (Distinctiness, Uniformity dan Stability) selesai dijalankan. Paling dominan varieti kelapa yang lama di tanam di Malaysia adalah Varieti CN1 (Kelapa Malayan Tall) yang mempunyai pokok yang tinggi dan hasilnya sederhana serta lasak. Kelapa jenis renek lazim banyak digunakan untuk pembiakbakaan dan juga tanaman hiasan (ornamental) seperti Varieti CN4 (Malayan Red Dwarf), CN5 (Malayan Yellow Darf) dan juga lain-lain varieti. Sejenis kelapa tinggi jenis kumpulan varieti Tagnanan sering digunakan sebagai bahan baka untuk menghasilkan kelapa hibrid Matag. Kelapa Tagnanan mempunyai CN7 (Tagnanan Green), CN8 (Tagnanan Orange) dan CN9 (Tagnanan Gold). Kelapa pandan yang dibawa masuk daripada Thailand didaftarkan dengan nombor rujukkan CN 6 (Kelapa Pandan) khusus untuk diambil airnya bagi diminum segar. Bagi CN10, CN11 dan CN12 dimiliki oleh kelapa dari varieti Rennel. Kelapa Matag mempunyai 3 varieti yang sesuai ditanam iaitu CN13 (Matag Green), CN14 (Matag Orange) dan CN15 (Matag Gold). Senarai terakhir dalam varieti kelapa adalah CN16 (Varieti kelapa SGG) atau kelapa yang 'mutant' di Kg Sungai Gulang-gulang, Batu Pahat Johor sebagai varieti baru. Varieti Tacunan yang popular di Sabah dan Filipina juga masih belum didaftarkan di dalam senarai diatas. Semuga artikel ini memberikan pendedahan kepada anda semua mengenai varieti pokok kelapa di Malaysia. Wasallam!



VARIETI KELAPA... 16 SEMUANYA...
ADA YANG TINGGI...RENDAH JUGA...
KELAPA MATAG... AMAT TERKENAL...
SYOR DITANAM...BENIHNYA MAHAL...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Pusat Pertanian Ulu Dusun,
Sandakan, Sabah,
Malaysia
(22 Julai 2013) 
Kemaskini pada 19 Mac  2014

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...