Support My Blog

Thursday, March 6, 2014

MANGGIS - KAWALAN PEROSAK

MANGGIS (Garcinia mangostana L) merupakan sejenis buah-buahan tempatan dari keluarga Clusiaceae yang dipercayai berasal dari negara iaitu Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan sebagainya. Buah manggis mempunyai kulit berwarna merah kehitaman tetapi isinya berwarna putih dan ianya juga di gelar sebagai "Permaisuri Segala Buah". Di Malaysia tanaman manggis diusahakan secara tradisional semenjak dahulu dan ditanam bercampur dengan durian, rambutan, duku dan pokok dusun lain. Jabatan Pertanian merekodkan seluas 7,414 hektar (2006) kawasan tanaman manggis di Malayisa dengan pengeluaran 28,900 metrik telah menurun kepada seluas 7,390 hektar pada tahun 2012 dengan pengeluaran sebanyak 28,350 metrik tan. Negeri Perak, Selangor dan Johor merupakan negeri yang banyak menanam pokok manggis selain daripada Pahang. Daerah Batang Padang di Perak menanam paling luas tanaman manggis (340 ha) diikuti Daerah Hulu langat Selangor (300 ha) dan Daerah Segamat , Johor (288 ha). Di Pahang terdapat jenis manggis yang di panggil 'MESTA". Artikel petang Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai pengurusan perosak tanaman manggis yang jarang-jarang diperkatakan oleh ramai petani dan orang ramai.

Pokok manggis adalah dari tumbuhan saka yang mampu mencapai ketinggian sehingga 
7-25 meter dan mempunyai batang kayu yang keras. Pokok manggis adalah dari jenis pokok yang lambat tumbuh dan berbanding dengan tumbuhan lain seperti durian, rambutan, jambu batu dan sebagainya. Anak benih yang telah ditanam tumbuh sangat perlahan iaitu pada kadar beberapa centimeter sahaja dalam satu bulan. Daun manggis berwarna hijau gelap dan tebal. Dahannya dari kayu keras dan mengeluarkan bunga di hujung atau di bahagian pucuk. Bunga manggis berwarna putih hijau dan terletak di hujung tunas. Akar tunjang pokok manggis agak kuat dan kukuh. Buah manggis berwarna hijau ketika muda dan bertukar kepada ungu coklat gelap apabila sudah masak. Buah manggis mempunyai 4-5 kelopak berwarna hijau dibahagian atas dan kelopak kecil dibahagian bawah buah. Isi buah manggis berwarna putih dan berbiji. Kulit manggis adalah tebal lingkungan 0.5-1.0 cm dan mengeluarkan cecair ungu bila di perah. Biji manggis berwarna coklat dan lembut.

Serangga perosak bukan masaalah utama yang menyerang tanaman manggis. Pokok manggis mempunyai batang yang keras dan jarang diserang oleh serangga selain daripada getah yang ada pada manggis tidak disukai oleh serangga. Bagaimana pun hanya dua jenis serangga yang didapati menyerang tanaman manggis iaitu Pelombong Daun dan Pengorek Buah. Pelombong Daun (Phyllocnictis citrella) adalah serangga dimana peringkat larva akan makan lapisan daun dengan ada tanda seperti alur berwarna keputihan (Lihat foto sebelah). Daun yang diserang menjadi berkilat seolah-olah melecur dan tepi daun kelihatan pudar dan bergulong. Larva membesar dalam daun dan akan membentuk kepompong dalam lipatan daun. Jika serangan pada tahap teruk (selalunya pada pokok muda), kawalan adalah dengan membuat semburan menggunakan racun kimia jenis racun serap (systemic) seperti Dimethoate dengan kadar kepekatan 0.1% seperti pada label.

Pengorek Buah (Curculio sp) merupakan  sejenis kumbang yang akan bertelur pada  kulit buah manggis pada peringkat pembesaran (Lihat foto kumbang dewasa disebelah). Larva akan membesar dalam buah serta hampir membuat kepompong dan memakan isi buah sehingga kebahagian biji dan juga membuat lubang sehingga kebahagian tangkai buah.  Apabila buah manggis gugur, maka larva akan masuk kedalam tanah dan mejadi kepompong dalam tanah. Ia hidup 2-6 minggu sebelum keluar menjadi serangga kumbang dewasa. Apa yang saya tahu, belum ada kaedah kawalan sesuai dengan bahan kimia kecuali dengan mengutip buah manggis yang gugur dan dimusnahkan.

Tanaman Manggis cuma merekodkan dua jenis penyakit yang mungkin menyerang. Penyakit tersebut adalah Cerana Zignoela dan Cendawan Angin. Penyakit Cerana Zignoela disebabkan oleh Kulat Zignoela garcinia yang mana akan menyerang dahan dan batang pokok manggis. Tempat diserang akan membengkak dan bercerana yang akan menyebabkan daun pada dahan tersebut akan layu dan luruh. Jika tidak dikawal pokok boleh mati. Kawalan dengan menebang dan membakar pokok yang diserang kerana ia boleh merebak kepada pokok lain. Penyakit Cendawan Angin (Corticum salmonicolor) merupakan sejenis penyakit yang menyerang dahan dan batang pokok. Bahagian yang diserang akan berwarna kemerahan samar dan seakan diselaputi bebenang. Daun pokok manggis akan menjadi layu dan gugur dan akhirnya pokok akan mati. Kulat ini sering menyerang pokok yang rimbun, rapat dan kurang sistem pengudaraan. Kawalan dengan membuat cantasan bagi meningkatkan sistem pengudaraan dan jika sesuai boleh disembur dengan sebarang racun kulat yang berasaskan Kuprum sebagai kawalan. Walau pun sebenarnya pokok manggis yang ditanam di Malaysia kebanyakannya boleh dikatakan Pokok Manggis Organik (ini kerana amat jarang diberi baja kimia mahu pun disembur racun kimia), banyak promosi perlu dijalankan seperti memohon sijil Organik Malaysia dari Jabatan Pertanian untuk mempastikan ianya lulus dijual sebagai Produk Manggis Organik. Wasallam!.



BUAH MANGGIS ...BULAT BENTUKNYA...
KAYU KERAS...KURANG PEROSAKNYA...
PENGOREK BUAH... KURANG BAHAYA...
CENDAWAN ANGIN... KAWAL SEGERA...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Pusat Pertanian Serdang,
Selangor, 
Malaysia.
(28 Jamadil Awal 1434H)


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...