Support My Blog

Friday, March 21, 2014

VARIETI - DUKU, DOKONG DAN LANGSAT

DUKU, DOKONG dan LANGSAT (Lansium domesticum) merupakan sejenis buah-buahan bermusim di Malaysia yang ditanam daripada keluarga Meliaceae. Kumpulan yang sama dengan dokong adalah seperti Duku, Langsat, Duku-Langsat dan Duku Johor. Walau pun setakat ini belum ada varieti atau klon yang disyorkan untuk penanaman tetapi beberapa klon telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian. Keluasan bagi penanaman Dokong, Duku dan Langsat di Malaysia adalah 16,130 hektar yang menghasilkan 32,400 metrik tan pada 2012 (Sumber: Laporan Statistik Jabatan Pertanian 2013). Kajian penulis menunjukkan kawasan utama penanaman pokok dokong di Malaysia adalah di Daerah Gua Musang, Kelantan (2,040 ha) diikuti dengan Daerah Kuala Krai (1,950 ha) dan Daerah Jeli, Kelantan (1,438 ha). Dokong ditanam agak luas juga dinegeri-negeri lain seperti di Terengganu, Perak, Pahang dan Johor. Bagi buah duku pula, ia banyak ditanam di Terengganu (Duku Terengganu) dan di Johor (Duku Johor). Tanaman langsat tidak banyak dilaporkan didalam penerbitan rasmi pihak berkaitan kerana jumlahnya adalah kecil. Mungkin ramai antara kita yang keliru dengan Duku-Langsat kerana tiada kepastian akan buah ini. Saya yang mengetuai pasukan pemeriksaan buah-buahan mendapati buah duku langsat hanya pada sebutan sahaja dan sepatutnya dipisahkan kepada buah duku dan buah langsat. Artikel pagi Ahad ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai senarai varieti tanaman duku, dokong dan langsat untuk tatapan pembaca berdasarkan pengalaman, pembacaan dan juga rujukan beberapa buku teknikal.


Jadual 1 diatas menunjukkan 4 jenis duku yang terdapat di Malaysia dimana hanya 1 varieti sahaja yang telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran varieti. Duku varieti DL2 (Duku Terengganu) telah didaftarkan pada tahun 1998 dan dipercayai berasal daripada Kelantan. Selain itu buah duku varieti Duku Johor, Duku Kelantan dan Duku Palembang masih belum didaftarkan oleh mana-mana pihak. Pokok duku adalah berbentuk rendang, padat dan bercabang rendah (0.3 – 1.5 m) dari aras tanah. Bentuk kanopi agak bulat bujur atau bujur melebar. Bentuk buahnya bulat, berkulit tebal dan tidak bergetah. Saiz buah duku lebih besar daripada langsat dan duku langsat, iaitu 3.5 – 5.0 cm garis pusatnya. Kulit buahnya berwarna perang atau kuning keperangan apabila masak. Isinya berjus dan kebanyakannya berasa manis, tetapi ada juga jenis yang agak masam. Saya banyak juga menulis mengenai tanaman duku sebelum ini Buah Duku (Sila klik disini) dan Duku - Cara memetik (Sila Klik disini). Buah duku dikeluarkan sekitar bulan Julai - September mengikut lokasi dan keadaan pengurusan kebun.



Jadual 2 diatas menunjukkan 6 jenis dokong yang terdapat di Malaysia dimana hanya 3 varieti sahaja yang telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran varieti. Duku varieti DO1 (Dokong Tempatan), DO2 (Dokong Kering) daqn DO3 (Kongkosan) telah didaftarkan pada tahun 1989 dan 1992 dipercayai berasal daripada Pahang, Thailand dan Selangor. Selain itu buah dokkong varieti Dokong Air dan Dokong Biji Butir masih belum didaftarkan oleh mana-mana pihak.  Dokong yang dipercayai berasal dari Thailand dan kini banyak terdapat di beberapa negeri seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ciri-ciri buah dokong adalah dari ciri pertengahan iaitu di antara duku dan langsat. Walau bagaimanapun, buah dokong mempunyai rasa yang lebih enak dan lebih manis dibandingkan dengan langsat dan duku. Duku mempunyai isi yang agak kering manakala dokong mempunyai isi yang lebih berair. Bentuk buahnya bujur panjang, berkulit nipis dan tidak bergetah. Pokok dokong mempunyai kanopi berbentuk bujur atau lanseolat. Cabang pertamanya pada 0.5-2.0m dari aras tanah. Buahnya hampir bulat atau obovat. Warna buahnya kuning pucat apabila masak. Daunnya berbentuk elips obovat. Buah dokong berbentuk obovat dan berwarna kuning gelap apabila matang. Saya benyak menulis mengenai buah dokong sebelum ini dimana anda boleh baca pada pautan berikut iaitu Bahan Tanaman Dokong (Sila Klik disini), Agronomi Tanaman Dokong (Sila klik disini), Penuaian Hasil Dokong (Sila Klik disini) dan Dokong Chantaburi (Sila klik disini). Kesemua artikel tersebut mampu memberikan lebih mendalam mengenai buah dokong. 


Jadual 3 diatas menunjukkan 4 jenis langsat atau Duku Langsat yang terdapat di Malaysia semua varieti telah didaftarkan dalam senarai pendaftaran varieti. Duku varieti DL1 (Duku Langsat Koria) telah didaftarkan pada tahun 1989 dan DL2 (Duku Langsat Terengganu) berasal dair Selangor didaftarkan pada 1989. Selain itu buah duku langsat varieti LA8 dan LA9 pernah didaftarkan tetapi tidak ada maklumat berkaitan varieti ini. Pokok langsat atau duku langsat tumbuh menegak dengan ketinggian 9-10 meter dari aras tanah. Kanopi kecil berbanding dengan pokok duku (kanopi paling luas) dan dokong (kanopi sederhana luas). Warna daun pucat dan ketebalan lai daun yang nipis. Saiz batang lebih kecil berbanding dengan duku dan dokong. Kulit buah langsat mempunyai cecair seperti getah pada peringkat muda dan matang. Ketebalan kulit juga nipis berbanding duku dan dokong. Jambak buah mempunyai kepadatan menyerupai dokong tetapi saiz setiap biji buah adalah lebih kecil dan tangkai buah yang agak pendek. Warna buah yang masak adalah kuning yang digelar ‘kuning langsat’. Buah yang belum cukup masak mempunyai rasa yang lebih masam berbanding dengan duku dan dokong. Saya ada menulis mengenai buah langsat sebelum ini (Sila klik disini). Setiap biji langsat mempunyai isi yang agak berair dengan rasa manis setelah masak ranum (bacaan brix meter 16°-18°). Setiap buah mempunyai antara satu hingga dua biji yang amat pahit jika digigit berbanding duku dan dokong. Pada keseluruhannya hasil pengeluaran buah langsat adalah rendah berbanding dengan duku dan dokong. Selamat menanam dan makan buah-buahan tempatan dimusim buah tahun ini. Wasallam!.



VARIETI DUKU, DOKONG... DAN LANGSAT...

KURANG MAKLUMAT... PERLU KENA SIASAT..
TANAM DIMANA... VARIETI PERLU TEPAT...
MUSIM BERBUAH ... PASTI AMAT LEBAT...

By,
M Anem
Senior Agronomist,
Kg Kesang Laut,
Ledang, Johor,
Malaysia.
(16 Ramadan 1434H)
Kemaskini pada 20 March 2014

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...