Support My Blog

Tuesday, March 11, 2014

KOMPONEN PAM AIR

PAM AIR (Water pump) merupakan sejenis mesin yang digunakan dalam banyak industri termasuk industri pertanian. Kegunaan pam air dalam kilang industri pembuatan, syarikat bekalan air, industri minyak dan gas, industri pengangkutan dan perumahan memang signifikan. Sektor pertanian yang menjadi nadi kepada bekalan makan juga amat bergantung kepada pam air untuk menyediakan air yang mencukupi bagi tanaman terus hidup subur mengeluarkan hasil makanan. Industri pam air juga dikira amat besar diseluruh dunia kerana ia dikira sebagai satu keperluan dalam kemajuan sesuatu negara. Selain daripada membeli pam air baru, lazimnya petani juga perlu membuat penyelenggaraan pam air mengikut jadual. Pam biasanya digunakan bagi meningkatkan lagi tekanan sistem supaya bendalir bagi sistem tersebut dapat dipindahkan ke satu bahagian yang lain. Sebagai contoh keperluan untuk kita pindahkan air dari perigi ke paras mukabumi, dari sungai ke rumah kediaman dan dari lombong dipam kekawasan kebun pertanian atau kolam tangki simpanan. Fungsi utama pam hanya digunakan bagi menghantar bekalan bendalir dari satu kawasan yang rendah ke mana-mana kawasan yang lebih tinggi. Ini amat berbeza jika penghantaran air dari kawasan tinggi ke kawasan yang lebih rendah memng tidak perlu gunakan pam air kerana air akan disebarkan melalui tekanan graviti sahaja. Artikel tengahari Ahad ini saya akan menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknikal komponen pam air dan fungsinya berdasarkan bahan ceramah ketika berceramah kursus tidak berapa lama dahulu untuk rujukkan anda.


Pam Air adalah merupakan suatu peranti mekanikal yang digunakan untuk menambahkan tenaga cecair supaya bergerak daripada satu lokasi kelokasi lain. Bendalir ini akan dialirkan melalui penyedut (suction) dan dipam kelokasi lain melalui penyalur sama ada jenis logam atau pun jenis lembut seperti PVC atau getah. Pam biasanya dijalankan oleh dua punca yang asas iaitu biasa diistilahkan sebagai Pacuan enjin dan Pacuan terus (Motor Elektrik Gabungan Terus). Dari segi fungsi, pam air digunakan untuk memindahkan cecair dari paras yang rendah ke paras yang lebih tinggi. Ia juga boleh menggerakkan cecair dari kawasan yang mempunyai tekanan yang rendah ke kawasan yang mempunyai tekanan yang tinggi. Fungsi ketiga adalah membolehkan lebih banyak cecair yang boleh digerakkan olehnya dalam satu jangkamasa yang ditentukan dan ia bergantung kepada kadar alir yang dikehendaki.


Pam Air merupakan mesin mempunyai banyak komponen penting untuk ia berfungsi. Bagi menghasilkan kecekapan yang baik, adalah penting bagi kita untuk mempastikan komponennya berada dalam keadaan yang elok. Jadi untuk itu, kita perlu mengenali secara lebih dekat lagi akan nama dan juga kendalian komponen-komponen. Secara umumnya komponen pam air terdiri daripada PERUMAH, IMPELLER dan SEAL BOX (Stuffing). Sila rujuk rajah sebelah dimana kedudukkan ke semua komponen pam air. PERUMAH (casing) terdiri daripada impeller yang mana impeller ini akan bertindak dengan memindahkan cecair ke dalam perumah. Lazimnya turus naik dan pemindahan cecair berlaku pada saluran keluar. Arah aliran cecair bergantung kepada reka bentuk sesebuah perumah yang di sesuaikan. Terdapat beberapa jenis perumah seperti Perumah membulat (circular casing) yang mempunyai ruang impeller yang seragam. Selain itu ada juga Perumah volute (volute casing) dimana dinding berbentuk spiral menyebabkan ruang diantara impeller dan perumah semakin membesar. Dalam saya memahami aspek ini lebih faham apabila melihat dan membuka sendirii pam air tersebut.


IMPELLER merupakan satu cekera nipis yang mempunyai bilah-bilah logam yang besar dan merupakan bahagian yang paling penting dalam sebuah pam. Komponen ini adalah yang akan berputar mengikut arah putaran jam (pandangan dari arah rotor). Kuasa memutarkan impeller datang daripada injin yang disambung melalui pelbagai sistem. Bilahnya berbentuk melengkung ke belakang berfungsi untuk menolak cecair keluar daripada pam pada kadar yang telah disetkan. Sekiranya impeller bergerak pada putaran lawan arah jam selalunya kepingan bilah akan mudah tertanggal dan pam tidak berfungsi dengan baik. Terdapat beberapa jenis impeller yang biasa dijumpai iaitu untuk pam air iaitu (a) Shourded Impeller, (b) Impeller separa terbuka, (c) Impeller terbuka dan (d) Impeller terusan. Kecekapan dan penggunaan bagi kesemua jenis impeler ini bergantung kepada keperluan pam tersebut digunakan. 

Komponen pam seterusnya adalah STUFFING atau SEAL BOX iaitu sebuah ruang berbentuk silinder yang selalunya mengelilingi aci di dalam perumah pam. Lazimnya terdapat dua jenis seal box yang digunakan iaitu 'Packing seal' dan 'Mechanical seal'. Model Packing Seal direka dimana ia mengelilingi aci bagi mengurangkan kebocoran cecair daripada pam. Hanya sedikit cecair dibenarkan masuk di antara packing ring di aci untuk bertindak sebagai pelincir. Ini dilakukan dengan cara melaras atau mengetatkan packing gland nut. Terdapat juga lantern ring. Ia bertindak dan berfungsi sebagai penapis bahan-bahan berbahaya yang boleh mengakis seperti asid daripada memasuki ke komponen-komponen pam yang lain. Jenis kedua iaitu Jenis Mechanical Seal dimana terdapat dua jenis iaitu seal bahagian tetap dan seal bahagian berputar. Kedua-dua permukaan seal ring diperbuat daripada bahan anti geseran. Seal ring tetap diperbuat daripada bahan karbon dan seal ring berputar diperbuat daripada bahan logam khas. Mechanical seal bertindak mengasingkan bahan mengkakis dan menghakis. Begitulah beberapa komponen asas pam air untuk bacaan dan rujukkan anda semua. Wasallam!.


KOMPONEN PAM... SUSAH INGATNYA...
PERUMAH .... ITU BAHAGIAN LUARNYA...
IMPELLER... ITU BILAH PUTARANNYA...
SEAL BOX.... IA RUANG SELINDERNYA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Room 1015, Hotel Katerina,
Jalan Zabedah, Batu Pahat,
Johor, Malaysia.
(10 Jamadilawal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...