DAUN TURI (Sesbania grandiflora syn Aeschynomene grandiflora) adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga FABACEAE atau dulu dalam keluarga Kekacang yang tumbuh liar di Malaysia. Tumbuhan ini sesuai hidup dengan subur dikawasan kebun atau rumah dan digunakan paling popular iaitu bahagian pucuknya untuk dimasak 'Sayur Turi Masak Lemak' yang dicampur dengan labu manis. Penulis dapati pokok turi terdapat diseluruh kawasan tropika yang lembab dari Asia Tenggara, Afrika sehingga Amerika Tengah dan Australia Utara. Nama-nama lain bagi tumbuhan ini adalah seperti Kembang turi, turi, gallito, walking stick, agati, hummingbird tree, scarlet wisteria tree, Corkwood tree, Agati à grandes fleurs, Shiro gochou, Daun turi, Kacang turi, Agasto, Sesbãnia, Scarlet wisteria tree, Swamp pea, Vegetable hummingbird dan West Indian pea. Penulis menganggarkan terdapat seluas sekitar 150 hektar CHE tanaman turi di Malaysia pada tahun 2016. Kebanyakan pokok turi ditanam sebagai tanaman selingan atau hiasan di kawasan rumah atau di tepi jalan. Pokok Turi adalah satu jenis tumbuhan yang dipercayai natif dari Indonesia, India dan Asia Tenggara lain. Tumbuhan renek yang bercabang ini mampu mencapai ketinggian sehingga 8-15 meter dengan umur atau jangkahayat umur selama 20 tahun. Daunnya berwarna hijau dengan susunan bersilang merupakan daun kompoun yang berbentuk 'pinnate'. Saiz daun adalah sekitar 2 cm lebar dengan panjang kira-kira 3-4 cm dimana daun muda agak kekuningan. Batangnya berkayu dengan ukurlilit batang 30-50 cm mempunyai kulit dan bercabang. Akar pokok turi ada akar tunjang dimana terdapat bintil-bintil akar (Root nodules) seperti jenis pokok keluarga kekacang yang lain. Bunganya sama ada berwarna putih atau ungu atau kemerahan berukuran 5-10 cm panjang berbentuk kacang pea. Bunga yang belum terbuka berukuran 3 cm. Buah turi adalah pod kekacang berwarna hijau dengan 30 - 50 cm panjang dan 8 mm lebar yang leper dengan membengkak pada kawasan berbiji. Biji pokok turi adalah berbentuk kacang pea yang hijau ketika muda dan coklat merah apabila cukup matang. Saiz bijibenih 3.5 mm garispusat dengan purata berat 1 gram setiap biji. Artikel subuh ini saya menulis lagi dalam "Anim Agro Technology" mengenai daun turi sebagai sejenis sayuran yang masih ditanam dan dihidangkan direstoren dan dirumah sebagai makanan yang diminati.
Pokok Turi sesuai tumbuh dikawasan yang panas dan lembap (Sila lihat foto disebelah). Pokok turi agak tahan ditanam dikawasan yang mudah banjir dimana akarnya akan membentuk sistem ketahanannya tersendiri jika tenggelam dalam air. Ketahanan pokok turi dalam cuaca kemarau yang panjang juga menyebabkan pokok ini mampu bertahan sehingga 9 bulan pada cuaca kering. Bagaimana pun satu kelemahan pokok turi adalah dahannya yang mudah patah apabila ditiup angin kencang. Pokok turi didepan rumah penulis di Muar, Johor telah hidup lebih 15 tahun diatas tanah gambut dimana ketinggiannya cuma 4 meter sahaja. Pokok ini selalu dipetik daun pucuknya dan dibuat cantasan untuk dimasak oleh keluarga atau orang kampong yang datang minta. Saya fikir pokok turi ini adalah jenis organik kerana tidak pernah dibubuh racun dan hanya gunakan bahan baja organik sahaja. Penanaman pokok turi sangat mudah dengan menggunakan biji dan ada juga yang menggunakan keratan batang. Pokok boleh menghasilkan buah 9 bulan selepas ditanam dimana bunganya akan didebungakan oleh sejenis burung yang dipanggil 'Humming Bird' dibanyak negara tetapi dinegara kita oleh serangga lain atau burung kelicap. Benih perlu direndam 24 jam dan disemai dalam polibeg atau pasu mengandungi media tanah campuran atau 'cocopeat'. Setelah benih berumur sebulan sesuai untuk ditanam dikebun atau kawasan rumah yang sesuai. Jarak penanaman disyorkan untuk penanaman monokrop komersial (Jika berminat) adalah 1.2 m x 1.2 m untuk memberikan kepadatan pokok yang sesuai. Berikan air dan baja asas pada peringkat awal penanaman setiap bulan sehingga matang ketika berumur 9 bulan. Kajian juga menunjukkan pertumbuhan pada tahun pertama dan kedua adalah cepat dimana mampu mencapai 5 meter selepas 9 bulan ditanam. Pertumbuhan pada tahun ketiga dan seterusnya agak perlahan. Pokok turi mempunyai masaalah serangan serangga perosak seperti ulat makan daun, ulat pemotong daun dan ulat pengorek batang. Terdapat juga ulat pengorek buah kacang dan serangan nematod (Meloidgyne spp) pada bahagian akar. Laporan penanman komersial pokok turi di India dan Indonesia menunjukkan yang pertumbuhan pokok sangat cepat dimana jika sering dicantas jangkahayat umur pokok akan jadi pendek. Kadar pertumbuhan pokok turi bergantung kepada jenis tanah, sumber air dan amalan pengurusan kultura yang dijalankan. Pertumbuhan diatas tanah berpasir cuma setinggi purata 1.8 meter selepas 9 bulan berbanding dengan setinggi 3.2 meter diatas tanah lom. Kajian menunjukkan hasil tuaian biomas pokok turi sebanyak 65.1 kg/pokok dari kawasan tebing sungai dikawasan pastura terbuka sebanyak 25.4 kg/pokok. Bahagian daun, bunga, kacang dan buah pokok turi boleh dimakan. Bahagian BUNGA merupakan paling berguna untuk dimakan sebagai salad atau sayuran. Bunga berwarna putih lebih bernilai dari bunga berwarna merah di Filipina dan jugaThailand. Bunga yang masih dalam bentuk KUDUP (Belum terbuka) dimakan mentah atau dikukus atau dimasak sebelum dimakan.
Ramai orang Malaysia tidak tahu yang daun pokok turi sangat berkhasiat untuk dijadikan makan ternakan. Daun turi boleh mula dituai 4 bulan selepas ditanam. Saya dapati daun ini kaya dengan protin (36% daripada berat kering) dan kandungan Vitamin A (9,600 IU). Pucuk daun turi sangat sedap untuk dimasak lemak dengan labu manis dan dimakan dengan nasi panas (Sila lihat foto sebelah). Daun turi yang dituai dari keliling rumah adalah mudah dilakukan dan ianya percuma sahaja dimana ia selalunya masih segar. Bagaimana pun kepada mereka yang tidak menanam pokok turi kerana tinggal di kondominum atau rumah pangsa boleh membelinya sahaja di pasar basah atau pasar malam atau pasar tani kerana daun teri dijual dengan purata harga RM 1.00 - RM2.00 satu ikat bergantung kepada kuantiti, lokaliti dan kualiti. Lazimnya daun turi yang dijual akan diikat sekitar 5-6 tangkai dalam satu ikat. Daun ini perlu diceraikan dan dibasuh bersih sebelum dimasak dengan pelbagai resepi. Antara resepi yang digemari adalah seperti Masak Lemak dengan Labu manis dan dimasak tumis. Ada juga yang gunakan daun turi ini untuk dijadikan ulam atau Urap Pedas Daun Turi. Mereka yang ada pokok turi pula boleh gunakan bahagian kayu, kulit dan batang pokok turi boleh digunakan sebagai kayu api, bahan bakar dan lain-lain kegunaan. Semuga tulisan ini memberi info berguna kepada pembaca dan follower blog Anim Agro Technology yang hampir 4,000 semuanya. Wasallam!.
POKOKNYA AKAN TINGGI ....POKOK TURI.....
DIKAWASAN RUMAH...DITANAM BERSERI....
PUCUK DIPETIK...DIMASAK LEMAK LAGI...
SEDAP DIMAKAN....KENYANG YANG PASTI....
By,
M Anem
Senior Agronomist,
Persint 11, Putrajaya,
Malaysia
Created at (30 Shawal 1432H).
Updated at 16 RabiulAkhir 1447H.



