Support My Blog

Wednesday, August 6, 2014

PUCUK PUTAT

PUCUK PUTAT (Barringtonia racemosa) merupakan sejani ulam tempatan yang juga dikenali sebagai 'Putat Kampong' dari keluarga Lecythidaceae. Pokok putat merupakan tumbuhan yang biasa dijumpai tumbuh dikawasan tepi sungai atau berhampiran dengan kawasan yang berpaya. Saya terfikir bagaimana orang dulu memberikan nama 'PUTAT' kepada tumbuhan ini. Anda mungkin boleh terangkan asal usulnya. Ia merupakan sejenis pokok yang bersaiz sederhana dan boleh mencapai ketinggian sehingga lebih dari 20 meter. Dalam pemerhatian saya, pokok putat sering di jumpai tumbuh dikawasan tropika terutama di Asia Tenggara dan kepulauan pasifik yang berhampiran adalah tumbuh liar dan semulajadi. Terdapat dua jenis putat yang selalunya dijadikan ulam oleh masyarakat Melayu sejak dulu iaitu Putat Hijau dan Putat Merah. Kedua spesis ini mudah dibezakan iaitu dengan melihat pucuk putat itu sendiri yang mana jika pucuk tersebut berwarna hijau ia dikenali sebagai pucuk putat hijau dan sebaliknya jika ia berwarna merah. Apa yang saya lihat, selain dari bahagian pucuk daunnya, buah putat juga boleh dijadikan ulam. Pemerhatian juga mendapati terdapat beberapa spesis putat lain yang yang dipanggil sebagai Putat Laut (Barringtonia asiatic) yang mana seperti namanya, putat laut biasa dijumpai tumbuh berhampiran dengan kawasan pesisir pantai kita. Daunnya juga agak berbeza dengan daun putat paya dimana warna daunnya hijau gelap yang berkilat. Bentuk buahnya juga berbeza dengan putat kampong. Walaupun habitat asalnya berhampiran dengan laut ia juga boleh ditanam dalam medium yang lain. Artikel petang Ahad ini saya menulis mengenai pucuk putat dalam "Anim Agro Technology" mengenai pucuk putat untuk dijadikan bahan bacaan dan rujukkan anda.

Pokok putat biasanya ditemui tumbuh di lembah-lembah, tepi sungai dan juga dikawasan tanah lembap. Ketinggian pokok putat mencapai sehingga 20 meter jika tidak dibuang pucuknya. Daun putat berbentuk bujur, panjang dan tebal dengan bahagian tepi bergerigi kecil. Daun muda di bahagian pucuk berwarna merah keunguan atau kekal hijau (Bergantung kepada spesis) dan apabila matang daunnya berubah menjadi hijau tua. Bunga putat mempunyai empat kelopak dan kudupnya berwarna merah keunguan atau putih mengikut jenis putat itu. Pokok putat boleh berbuah sepanjang tahun dan buahnya yang muda boleh dimakan sebagai ulam dan mempunyai rasa agak masam. Pucuk putat lembut dan biasanya dibuat ulaman, kerabu atau sebagai ulaman didalam laksa. Pucuk putat yang tumbuh di tebing sungai digunakan sebagai syampu pada zaman dahulu kerana ia akan menghasilkan buih apabila diramas bersama air. Buahnya mempunyai rasa kelat dan perlu dikopek kemudian dihiris sebelum dimakan sebagai ulam. Buah putat juga boleh digunakan untuk mencegah kegatalan kulit dan mengubati beberapa jenis penyakit kulit. Pucuknya yang dimakan sebagai ulam adalah baik untuk kesihatan kulit, dan melancarkan perjalanan darah. Putat adalah herba yang sesuai diamalkan untuk awet muda. Buahnya yang diparut dan dijadikan jus ataupun ditampalkan pada bahagian muka boleh melicinkan kulit. Akar putat yang direbus, diminum air rebusannya dipercayai boleh mengurangkan keputihan dan boleh menyejukkan badan kerana ia mengandungi bahan Saponin. Daun putat yang ditumbuk bersama-sama beras, disapu pada bahagian yang terkena cacar air akan boleh mempercepatkan tempoh matang cacar air dan mencegah ia merebak ke seluruh badan. Kulit pokok putat yang telah dikeringkan dan dibakar kemudian asap yang terhasil boleh disedut pesakit resdung dapat mengubati resdung yang dialami.

Mengikut maklumat yang diperolehi, pokok putat boleh diproses sebagai ubat cacar air, gatal dan resdung. Berbeza dengan ubat-ubatan farmasi yang mana setiap jenis selalunya hanya digunakan untuk mengubati penyakit tertentu, kebanyakan pokok-pokok herba boleh menjadi penawar kepada banyak penyakit. Cara penggunaan atau perubatan menggunakan pokok-pokok herba boleh disesuaikan mengikut keperluan dan keserasian pesakit serta jenis-jenis penyakit yang dihidapi. Misalnya pokok putat mempunyai kelebihan kerana pucuk, daun matang, buah dan kulit batangnya masing-masing ada khasiat tersendiri (Sila lihat buah putat disebelah). Pucuknya boleh menjaga dan memulihara kulit, buahnya untuk menyembuhkan atau mengurangkan gatal-gatal manakala daunnya untuk mengubati cacar air dan kulit batangnya pula bagi mengurangkan komplikasi resdung. 

Terdapat jenis pokok Putat Kampong atau pun nama saintifiknya Barringtonia racemosa agak sukar ditemui kecuali di lembah-lembah, tepi sungai dan kawasan tanah lembap. Ulam pucuk putat (Sila lihat foto disebelah) didakwa memang mampu untuk memulihara kulit daripada penyakit gatal mengikut kajian oleh saintis di UPM. Buah Putat pula yang mempunyai rasa kelat perlu dikopek dan dihiris-hiris sebelum dimakan begitu saja atau dibuat sambal. Buah putat ini juga didakwa mampu mencegah serangan gatal-gatal di samping boleh mengubati beberapa penyakit kulit lain. Bagi mendapatkan khasiat daun putat, ambil lima atau enam keping daun putat dan ia kemudian perlu ditumbuk bersama-sama beras terlebih dahulu sebelum disapu pada bahagian yang terkena cacar air. Cara ini perlu diamalkan beberapa kali setiap hari bagi mempercepatkan tempoh matang atau `masak’ cacar air di samping mengelakkan ia merebak ke seluruh badan dan ahli keluarga yang lain. Sementara itu kulit batang putat perlu dikopek dalam ukuran sebesar kotak rokok dan kemudian dijemur sehingga kering sebelum dibakar. Kulit pokok ini perlu dibakar sedikit demi sedikit dan pesakit resdung kemudian bolehlah menyedut asap daripada kulit putat yang dibakar itu sehingga mereka merasakan hendak terbersin. Dengan menyedut asap daripada kulit putat untuk beberapa ketika maka pesakit resdung akan merasakan air lendir keluar dari hidung mereka. Begitulah antara beberapa khasiat daripada pokok putat yang mungkin kita kurang mengetahuinya dan kalau ada dijual boleh kita beli untuk dijadikan ulam. Wasallam!.

PUCUK PUTAT... ULAM HERBA...
PUTAT MERAH...HIJAU PUN ADA...
TUMBUH LIAR....DIMANA SAHAJA...
BANYAK KHASIAT...ENAK JUGA...

By,
M Anem
Senior Agronomist
Penempatan Kg Sg Miang, 
Pekan,
Pahang, 
Malaysia.
(17 JamadilAkhir 1434H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...