Support My Blog

Thursday, August 21, 2014

TANAM BULOH - SATU POTENSI (Part 6)

BULUH ANDUNG (Gigantochloa pseudoarundinacea L) merupakan satu usaha yang berpotensi untuk dilakukan oleh penduduk kampong yang mempunyai kawasan sesuai. Usaha untuk menanam pokok buloh iaitu tanaman dari keluarga Poaceae untuk penghasilan rebung buloh agak kurang diperkatakan kerana pokok buloh dikatakan jenis rumpai yang agak sukar untuk dimusnahkan apabila ia telah hidup subur dan membiak disuatu kawasan. Bagaimana pun kini telah ada usaha menanam buluh rebung madu (atau padu) yang bersaiz kecil rumpunnya untuk ditanam secara komersil yang banyak di usahakan diutara Semenanjung Malaysia (Sila baca artikel saya sebelum ini - Sila klik disini). Pokok Buloh mempunyai banyak jenis dimana ia dikatakan ada 70 genera dan lebih dari 1,000 spesis daripada yang jenis renek untuk tanaman hiasan sehingga pokok buloh yang besar didalam hutan belantara. Kebanyakan pokok buluh digunakan dalam industri pembuatan perabot, bahan lantai rumah, kayu pagar, anyaman buloh, bahan api, bakul sayur, bahan arang dan banyak lagi. Rebung buluh satu-satunya bahagian yang keluar dari pangkal pokok pada dipermukaan tanah untuk ia membiak dan isinya masih lembut lagi. Kekerapan menuai rebung buloh membolehkan lebih banyak anak (rebung) akan dikeluarkan diperdu pokok buloh. Persoalannya adalah industri menanam buloh ini mempunyai potensi baik sebagai satu lagi jenis komoditi yang menguntungkan?. Dalam saya membuat tinjauan dalam website mendapati belum ada kertaskerja untuk menanam buloh rebung dan agak sukar juga mendapatkan 'cashflow' tanaman buloh di Malaysia. Terdapat beberapa jenis buluh di Malaysia yang paling banyak digunakan dan juga memiliki nilai ekonomi yang tinggi di pasaran. Buloh tersebut adalah setelah saya buat rujukan adalah seperti jenis Buluh Duri (Bambusa bambos L), Buluh Betung Hitam (Gigantochloa atroviolacea), Buluh Minyak (Bambusa vulgaris), Buluh Betong (Dendrocalamus asper), Buluh Tali (Gigantochloa apus), Buluh Batu (Dendrocalamus strictus) dan Buloh Andong (Gigantochloa pseudoarundinacea).   Artikel malam Jumaat ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai teknologi dan potensi tanaman Buloh Andong sebagai satu usaha saya untuk menambah lagi koleksi artikel berkaitan teknologi pertanian untuk anda.


Jenis Buluh Andung (Gigantochloa pseudoarundinacea) memang jenis buluh yang agak kurang dikenali di Malaysia jika hendak dibanding dengan Indonesia.  Buluh ini adlah jenis buluh yang tumbuh menegak dalam rumpun dimana dalam keadaan semulajadi ia akan mampu mencecah ketinggian antara 7m - 30 m. Batang buluh andong mempunyai batang yang berbulu tebal. Analisa ketebalan isi buluh ini sekitar 2 cm dengan ketebalan pada ruas adalah sekitar 5 -13 cm. Sementara itu jarak antara ruas buloh ini sekitar 40- 45 cm. Buluh ini mempunyai warna batang saka ada hijau atau warna kehijau-kuningan atau hijau muda. Antara tempat pertumbuhan sesuai buluh andong adalah pada tanah liat berpasir atau tanah berpasir dengan ketinggian hingga 1,200 m di atas permukaan laut. Sebaiknya kawasan ini menerima jumlah hujan sebanyak 2,350 - 4,200 mm setahun dan suhu persekitaran antara 20 - 32 Celcius dengan kadar kelembaban relatif sekitar 70%. Kawasan penanaman buloh sebaiknya menerima cahaya matahari yang banyak. Buluh merupakan jenis tanaman yang perlukan air yang banyak dan bahan humus atau baja organik untuk menjadikan ia subur dan cepat matang.


Buloh andung untuk ditanam menggunakan menggunakan bijibenih yang disemai atau menggunakan keratan rizom. Lazimnya jarak tanaman 8 meter x 8 meter. Pemberian baja organik atau pun baja kompos pada awal penanaman sangat berguna sekali bagi peningkatan pertumbuhan. Adalah digalakan agar aktiviti untuk dilakukan pembersihan rumpai dilakukan dan juga aktiviti penggemburan tanah. Bekalan air yang mencukupi mampu mempercepatkan kadar proses pertumbuhan. Pembersihan dipangkal perdu dan juga membuang rumpun tua menggalakkan pertumbuhan batang baru. Hasil buluh andong boleh dituai bila pokok berumur 3 tahun dengan memotong batang buluh yang sesuai. Kerja memotong dilakukan pada paras tanah dan sebaiknya waktu menuai paling sesuai adalah pada musim kering. Terdapat petua dimana bagi mempercepatkan lagi regenerasi batang baru disyorkan agar menggali lubang bekas tuaian dan ditutup dengan plastik. Kadar penghasilan buluh daripada sebanyak 275 rumpun sehektar mampu mencapai sebanyak 1,650 batang/ha atau kadar 6 batang/rumpun. Kegunaan buluh ini adalah untuk dijadikan bahan bangunan seperti rumah, peralatan muzik, pencungkil gigi, lidi sate, bekas nasi atau makanan dan sebagainya. Penulis mendapati hasil rebung buloh ini enak dijadikan sayuran. Semuga artikel ini boleh menjadi bahan rujukan anda. Wasallam!.




MENANAM BULUH... ADA CARA...
PILIH JENIS... KEGUNAAN APA...
BULUH ANDUNG.. SAYA CERITA...
DAPAT ILMU... KONGSI BERSAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Kg Parit Bengkok,
Gerisek, Ledang,
Johor, Malaysia.
(16 Syawal 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...