Support My Blog

Tuesday, August 5, 2014

BUAH ENGKALAK

BUAH ENGKLAK (Litsea garciae) adalah sejenis buah nadir yang banyak terdapat dikepulauan Borneo dan kawasan lain yang mempunyai persekitaran serupa. Pokok ini adalah tumbuhan daripada keluarga Lauraceae yang sama dengan pokok Avocado dimana ia mempunyai sekitar 200 spesis bertaburan sekitar Australia, Asia Tenggara dan sedikit terdapat di Benua Amerika Selatan. Pengalaman penulis yang bertugas di Sarawak selama dua tahun lebih dahulu (1995-1997)  berpeluang melihat pokok dan buah engklak ini yang di jual di Serian, Sibu dan banyak lokasi pekan lain. Penulis dapati buah Engkalak kini dikategorikan sebagai buah nadir kerana amat jarang ia ditanam atau dikomersilkan sebagai sejenis buah bernilai ekonomi. Pada saya apa yang unik mengenai buah engkalak ada warnanya yang Merah Jambu (Pink Color) yang memang menarik kepada sesiapa juga yang tidak pernah melihat buah ini. Memang lazimnya orang luar dan pelancong akan bertanya mengenai buah engkalak yang dipamerkan dijual dipasar tamu dengan harga jualan yang sangat murah iaitu sekitar hanya RM2.00 semangkuk dimana ia mengandungi antara 10 - 15 biji bergantung kepada saiz buah dan musim jualan. Mereka akan bertanya bagaimana hendak makan buah ini dan apakah rasanya buah unik ini dan penjual lazimnya akan menjelaskannya. Artikel kali ini saya menulis lagi sejenis buah nadir yang jarang atau tiada dijual di Semenanjung dalam "Anim Agro Technology" iaitu buah engkalak sekadar untuk menambah pengetahuan kita semua.


Pokok Engkalak adalah jenis pokok saka tumbuh menegak dengan banyak cabang dan berkayu mencecah ketinggian sekitar 10 - 15 meter. Tumbuhan ini memang boleh ditanam daripada biji yang matang tetapi lazimnya akan mengambil masa selama 4 -5 tahun untuk ia berbunga dan berbuah. Pokok ini bagaimana pun selalunya yang tumbuh liar dikawasan hutan dimana lazimnya ia mempunyai saiz pokok lebih besar dan tinggi mencecah sehingga 20 meter dengan daun pokok yang merimbun dan banyak cabang. Kalau hendak ditanam dikawasan rumah dikampong tradisional, ia akan mengambil ruang yang banyak untuk sepokok engkalak yang dewasa. Tidak seperti pokok avocado yang tidak berapa banyak daun, pokok engkalak mempunyai daun yang amat merimbun dan sering menjadi pokok teduhan yang sesuai. Pokok ini merupakan jenis pokok tropika yang mudah tumbuh di banyak jenis tanah asalkan mempunyai saliran baik dan mendapat banyak sinaran matahari. Pemerhatian dan juga temubual penulis dengan beberapa pemilik pokok engkalak semasa bertugas di Sarawak dulu mendapati ia hanya akan mula berhasil selepas 5 tahun ditanam dan berterusan selepas itu. Penghasilan buah engkalak lazimnya ada tidak bermusim tetapi kebanyakannya bermusim (Peak season) di sesetengah kawasan khususnya pada masa tertentu. 


Buah Engkalak yang masih muda adalah berwarna hijau muda dengan isi berwarna putih krim yang keras dan ia keluar daripada dahan pokok secara berangkai (Sila lihat foto disebelah). Buah berbentuk bulat dan leper itu sekali pandang macam bentuk buah manggis cuma warna dan saiznya berbeza. Ia berukuran sekitar 4 - 8 cm ukurlilit dan juga mempunyai tangkai buah melekat sepanjang 1.0-1.5 cm pada dahan pokok. Buah muda ini akan bertukar kepada warna merah jambu apabila mencapai tahap matang dan lazimnya boleh dipetik menggunakan galah panjang. Terdapat kaedah memetik buah ini dengan memetik gunakan tangan dengan panjat pokok tersebut. Buah muda yang mentah tidak boleh dimakan tetapi apabila masak ia boleh dimakan dimana telah bertukar kepada warna merah jambu atau merah kuat atau apabila bahagian isinya telah lembut. Buah ini hanya akan gugur sendiri jika masak ranum atau dibiarkan kering pada pokok. Buah mentah jika dimakan boleh tetapi rasanya adalah pahit dan macam berempah sedikit (Bitter spicy) kepada mereka yang ingin mencubanya. Cara buah ini dimakan adalah dengan mencelup atau mencelur dalam air panas suam sekitar 80 Celcius selama 5 minit bertujuan untuk melembutkan isinya. Ia akan memudahkan kita mengupas kulitnya dan sebaiknya untuk menambah keenakan dicecah dengan garam halus atau kicap pekat. Rasanya yang masam, pahit dan agak kelat digemari oleh mereka yang minat makan buah engkalak. Sudah lama saya tidak merasa buah engkalak ini selepas lebih 14 tahun balik di Semenanjung. Wasallam!.
BUAH ENGKALAK...APA DIA...
DI SIBU DULU..DAPAT MERASA...
BUAH NADIR...DIJUAL JUGA...
DAPAT PELUANG...KENA CUBA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Awam Bandar Sibu,
Sibu, Sarawak,
Malaysia.
(13 Ramadan 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...