KLIK SAYA SOKONG BLOG

Saturday, July 12, 2014

LEBAH MADU - PERALATAN PERLU (Part 1)

MENTERNAK LEBAH MADU (Bee Keeping) memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran khusus sama seperti kita hendak berkecimpong dalam industri pertanian yang lain. Di negara kita perusahaan menternak lebah madu kurang hebat jika dibandingkan dengan beberapa negara jiran yang mampu mengekspot produk berasaskan lebah madu keluar negara. Antaranya adalah negara Vietnam dan China yang mampu menghasilkan madu lebah dan produk kesihatan berasaskan lebah madu. Pada masa ini aktiviti menternak lebah madu di Malaysia hanya melibatkan sekitar 100-150 orang pengusaha dengan jumlah haif sekitar 2,500 - 3,500 buah sahaja yang masih aktif. Ia amat berbeza dengan industri ternakan burung walit yang tumbuh bagaikan cendawan diseluruh negara. Antara kawasan tradisional penternakan lebah madu adalah di kawasan kebun kelapa, kebun buah-buahan (terutama kebun belimbing), kawasan ladng nenas dan paling ketara dalam kawasan pokok hutan gelam. Selain daripada Leban Keran (Apis cerana) yang sering diternak saya dapati jenis Lebah Impot (Apis melllifera) dan Kelulut (Trigona spp) merupakan jenis yang paling lazim diusahakan. Setiap penternak lebah perlu mendapatkan kelengkapan asas dalam aktiviti untuk menternak lebah. Artikel subuh Isnin 2 Ramadan 1435 ini saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai peralatan yang perlu ada oleh pengusaha lebah madu untuk bacaan.

1. PENGASAP (Stainless Steel Smoker)
Pengasap merupakan satu alatan penting dalam menguruskan koloni lebah madu. Ia merupakan alat yang mempunyai bahagian pengepam dan bekas seperti corong daripada metal untuk diisikan dengan bahan bakar bagi menghasilkan asap (Sila lihat foto disebelah). Media bakar seperti kayu, kertas, sabut, gabus akan dibakar dalam bekas metal dan asap akan dihalakan kepada koloni lebah pada haif. Asap ini sebenarnya akan memutuskan perhubungan antara lebah dan mengurangkan aktiviti pergerakan lebah tersebut untuk kita membuat penyelenggaraan. Sebenarnya kita boleh buat sendiri pengasap ini kecuali ada kemampuan untuk membelinya. Kalau anda mendekati dan membuka haif lebah tanpa diasap dulu ianya akan menyebabkan lebah menyengat dengan aktif. Jika tidak diamalkan selalu pengasap boleh menyebabkan koloni lebah akan menjadi 'lebih garang' dan menyukarkan aktiviti menguruskan koloni lebah pada haif. Kajian penulis mendapati harga runcit tepatan pengasap sekitar RM 20.00 - RM 30.00 satu unit bergantung kepada kualiti dan jumlah dibeli. Lazimnya pengasap boleh di gunakan untuk jangkamasa selama 5 tahun.

2. PAKAIAN KESELAMATAN (Bee Suit)
Pakaian Keselamatan Penternak Lebah merupakan satu jenis pakaian yang direka khusus untuk kegunaan ketika kerja-kerja menyelenggara haif lebah. Pakaian ini dipakai untuk melindungi kita daripada disengat oleh lebah madu terutama ketika mengutip madu, mengganti ratu, menyusun kom dalam haif dan sebagainya. Pakaian ini diperbuat dari bahan kulit atau plastik atau serupa dengannya agar sengatan lebah tida mampu menembusinya. Kita di Malaysia jarang menggunakan pakaian ini keran cuaca panas dan lembab menyebabkan keadaan kurang selesa tidak seperti dinegara 4 musim.  Bee Suit yang ada dijual dipasaran berharga sekitar RM 150 - RM 200 sepasang bergantung kepada kualiti (Harga 2nd hand mungkin lebih murah). Perlu diingat kalau setakat seekor dua Apis cerana atau Apis melifera yang menyengat masih boleh bertahan lagi tetapi kalau banyak, mahu masuk hospital nanti. Pakaian ini direkabentuk agar pemakainya selamat daripada sengatan dan perlu awas yang lebah mampu merayap dan masuk celah-celah baju jika tidak rapat. Mereka yang ada 'Bau Badan' khusus dan disukai lebah menyebabkan lebah suka menyerang. Pakaian sut ini yang berwarna cerah lazimnya lebih selamat daripada pakaian berwarna gelap dan kuat dimana lebah akan nampak jelas untuk menjadi sasaran.  jagalah keselamatan kita ketika menguruskan haof lebah dengan memakai pakaian sut ini untuk jangkamasa panjang. Walau pun cuaca di Malaysia panas, tidak mengapa memakainya asalkan kita terselamat dari ancaman sengatan.

3. TOPI DAN VEIL (Old-style hat and veil)
TOPI dan VEIL merupakan satu peralatan PALING PENTING dipakai untuk semua penternak lebah. Janganlah anda cuba berlagak seperti HERO dalam filem tanpa memakai alatan ini ketika mendekati koloni haif lebah. Ini kerana lebah boleh menyerng anda tanpa sebarang notis dan belas kasihan!. Penalaman saya dalam melibatkan diri dalam penternakan lebah dulu paling tidak boleh lupa adalah bila lebah keran sudah 'jap' dekat dengan mata dan satu lagi pada bibir. Jawapnya muka kita akan menjadi 'kurang hansem' disebabkan mata dan bibir yang membengkak dan amat meniksakan. Bahagian kepala dan leher merupakan sasaran utama serangan lebah madu kera ia amat sensitif dan kalau tidak dapat bahagian itu baru lebah menyengat tangan dan bahagian badan. Veil adalah kain kasa yang dijahit dan disarungkan pada topi khas (Sila lihat foto diatas). Pastikan jahitan kemas dan tidak ada luang untuk lebah merayap dan masuk kedalam muka kita..Nahas nanti. Kita boleh membuat sendiri veil ini dan kalau hendak beli harganya sekitar RM 12.00 - RM 15.00 satu unit buatan tempatan.  Bersambung pada Part 2. Wasallam!.
MENTENAK LEBAH...ADA CARA...
ADA ALATAN... MESTI KENA ADA...
BUAT SENDIRI... BELI SAHAJA...
LINDUNGI DIRI.. MENSTI DIUTAMA...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Projek Lebah Madu Sawata,
kg Bukit Katil, Bandar Melaka,
Melaka, Malaysia.
(4 Ramadan 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...