KLIK SAYA SOKONG BLOG

Wednesday, July 23, 2014

SISTEM AKAR TUMBUHAN

AKAR (Roots) merupakan satu komponen penting pada semua jenis tumbuh-tumbunan. Kedudukan akar tumbuhan kebanyakannya berada didalam tanah. Selain daripada bahagian akar, tumbuh-tumbuhan mempunyai komponen Daun, Batang, Bunga dan Buah. Dalam peribahasa Melayu pun banyak perkataan berkaitan akar telah digunakan seperti 'Tiada rotan, akar pun berguna' dan 'Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya'. Kita tidak nampak bagaimana struktur akar didalam tanah tidak seperti struktur daun, batang , buah dan bunga yang kita boleh lihat dan sentuh dengan mudah. Para ahli pertanian perlu menggali kedalam tanah untuk melihat kemungkinan kerosakan akar apabila diserang oleh perosak dan membuat pemeriksaan seterusnya di makmal. Adakah kita semua faham akan sistem akar dan fungsinya kepada tumbuh-tumbuhan?. Adakah kita telah mahir untuk kenal jenis-jenis akar pada tumbuh-tumbuhan?. Bagaiman akar berfungsi sebagai satu sistem pengakaran dengan berkesan?. Artikel subuh Sabtu ini sambil merenung aliran Sungai Mersing yang lesu dari tingkap Hotel TImotel, saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sistem akar tumbuhan untuk dikongsi bersama dengan pembaca blog ini bagi menambahkan ilmu.


Akar tumbuhan mempunyai banyak fungsi terhadap tumbuh-tumbuhan. Terdapat 5 fungsi utama akar dan 3 fungsi kegunaan yang saya belajar semasa diuniversiti dulu. Pertama sekali ialah fungsi akar tumbuhan sebagai menyokong dan memperkukuhkan pokok pada lokasi diatas tanah. Akar berada didalam tanah dan memanjang jauh kedalam tanah serta melebar untuk mempastikan bahagian atas pokok tidak tumbang terutamanya apabila ditiup angin. Kekuatan bahagian akar menyebabkan pokok hutan setinggi lebih 100 meter kukuh diatas tanah selama beratus-ratus tahun. Akar kayu ini mencengkam dan berlingkar-lingkar sehingga jauh kedalam tanah. Akar tumbuhan juga berfungsi sebagai organ untuk menyerap air dan nutrien dalam tanah untuk dihantar ke bahagian atas tumbuh-tumbuhan. Fungsi ketiga akar adalah untuk menyalurkan dan mengangkut bahan nutrien serta air untuk dihantar kebahagian-bahagian yang diperlukan. Akar juga berfungsi sebagai organ pernafasan (respiration) bagi tumbuh-tumbuhan tertentu seperti pokok bakau. Fungsi kelima akar adalah sebagai tempat untuk  penyimpanan (storage) bahan-bahan makanan seperti umbisi iaitu Ubi Kayu, Keladi, Karot dan sebagainya. Akar tumbuhan juga merupakan bahan untuk makanan bagi manusia dan haiwan yang popular seperti Kentang. Selain itu peranan akar sebagai struktur mengawal hakisan tanah merupakan sesuatu perkara penting terutama ketika dibuat aktiviti pemotongan tanah. Akhir sekali akar adalah bahagian yang sesuai digunakan sebagai bahan untuk pembiakan tanaman (plants propogation)


Jenis akar tumbuhan secara umumnya boleh dibahagikan kepada kepada dua (2) iaitu Akar Tunjang dan Akar Serabut. Akar Tunjang merupakan bahagian akar yang tumbuh dari pangkal pokok terus masuk kedalam tanah bagi menyokong pokok serta mempunyai banyak cabangan akar. Akar tunjang adalah komponen utama daripada bahagian pokok dalam tanah yang mengukuhkan kedudukan batang dan daun pokok dibahagian atas tanah. Panjang dan saiz akar tunjang bergantung kepada rupabentuk dan kanopi pokok. Sesetengah pokok hutan dan berzaiz besar mempunyai akar tunjang yang dalam masuk kedalam tanah sehingga berpuluh meter.  Akar ini membantu pokok daripada tumbang apabila ditiup angin dan lazimnya tidak akan tercabut atau terangkat kepada pokok besar. Bagi tanaman jangkapendek, saiz dan panjang akar tunjang lazimnya sekitar 60 cm seperti pada pokok cili, terung dan bendi. Akar ini masih beruoaya menyokong pokok yang berbuah lebat dan berat agar tidak tumbang dengan mudah. Akar tunjang lazimnya mempunyai banyak cabang yang mana dihujungnya terdapat akar rambut atau akar serabut.


Akar Serabut merupakan jenis akar yang halus dan terdapat pada perdu pokok atau pada hujung akar tunjang dan cabangnya. Akar pada pokok keluarga Arecaceae atau Palmae memang lazim mempunyai jenis akar serabut yang kukuh pada perdunya seperti pokok kelapa sawit dan pokok kelapa. Akarnya keluar daripada perdu bahagian bawah pokok dan membentuk gumpalan yang kukuh dan kuat dalam tanah (Sila lihat foto sebelah). Pokok kelapa sawit yang ditanam ditanah gambut lazimnya akan tumbang apabila pokok meningkat tinggi kerana akar serabut yang ada diperdu pokok tidak dapat diikat oleh tanah gambut tang teksturnya peroi dan lemah. Akar rumput daripada keluarga Graminae juga jenis akar serabut yang juga keluar diperdu rumput dan mampu menyerap makanan terus. Peranan akar serabut pada keliling akar tunjang adalah untuk menyerap air dan unsur makanan dalam tanah. Ia akan menghantar semua sumber makanan ini kebahagian atas pokok untuk proses fotosintesis. Akar merupakan komponen yang penting dalam tumbuhan selain daripada batang,m daun, bunga dan buah.


Akar tumbuhan yang berjenis saiz dan rupabentuk ini juga terjejas dengan pelbagai keadaan persekitaran. Tanah yang subur lazimnya mempunyai komposisi air, udara dan ruangan bagi membenarkan tisu akar melakukan aktiviti menyerap makanan. Bagaimana pun sesetengah akar tumbuhan akan mudah rosak jika terendam dalam air dalam masa singkat kerana tiada oksijen. Akar pokok nangka dan cempedak lazimnya akan cepat busuk dan rosak jika kawasan tanaman tersbut ditenggelami air akibat banjir (Sila lihat foto sebelah). Ia berbeza dengan beberapa jenis buah-buahan tempatan seperti mangga yang lebih tahan sedikit. Dalam keadaan yang terlalu kering boleh menyebabkan akar tumbuhan terutamanya akar serabut akan kering, putus dan rosak menyebabkan pokok boleh menjadi layu. Akar juga sering diserang kulat seperti Penyakit Reput Akar yang juga boleh menyebabkan pokok mati. Sebenarnya akar akan menentukan kesuburan tumbuhan dikawasan penanaman kerana akar yang sempurna akan memberikan hasil tuaian yang baik' Wasallam!.
AKAR TUMBUHAN... DALAM TANAH ADANYA...
ADA YANG DALAM... TEGAKAN POKOKNYA...
AKAR SERABUT... BANYAK JUMLAHNYA...
AKAR UDARA... MACAMANA CERITANYA...

By,
M Anem
Room 119, Timotel Hotel,
850, Jalan Endau,
Mersing, Johor,
Malaysia
(20 RabiulAwal 1434H)    

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...