Support My Blog

Tuesday, July 8, 2014

KERABU MANGGA

KERABU MANGGA merupakan satu resepi yang sangat popular di Malaysia apa lagi dinegara Thailand iaitu satu jenis makanan yang lazim dihidangkan bersama nasi putih. Kerabu mangga merupakan makanan yang berasaskan kepada buah mangga (Mangifera spp) segar yang memberikan rasa unik iaitu kombinasi rasa masam, masin, manis, lemak dan pedas. Penulis memang amat menyukai kerabu mangga sama ada yang dibuat sendiri dirumah atau yang dihidangkan direstoran atau dihotel-hotel. Hidangan semangkuk kerabu mangga dijual dengan harga yang berpatutan dan membuka selera kepada mereka yang menggemari masakan seperti ini yang selalunya menjadi menu penting dijual dalam Restoran Ala-Thai (Sila lihat foto diatas). Boleh dikatakan semua bangsa di Malaysia dan tanpa mengira umur memang meminati kerabu mangga yang dimakan dengan nasi putih suam panas ini pada waktu makan tengahari. Memang amat mudah untuk menyediakan kerabu mangga jika kita mempunyai kemahiran dan minat yang mendalam. Artikel petang Ahad ini sementara menunggu azan untuk berbuka puasa saya menulis dalam "Anim Agro Technology" mengenai sejenis makanan tradisional iaitu kerabu mangga yang disediakan untuk berbuka puasa sekejap lagi sebagai coretan untuk anda. 

Resepi kerabu mangga ini berbagai jenis mengikut kreativiti pembuatnya. Bergantung kepada jumlah yang hendak disediakan, buah mangga segar (sebaiknya mangga telor atau mangga cokanan atau sala) yang masih segar (Sila lihat foto sebelah). Resepi ini adalah disediakan untuk hidangan sekeluarga sekitar 5 orang makan. Bahan yang diperlukan adalah 2 - 3 biji mangga muda (mangga dipilih mengikut saiz sesuai iaitu kalau buah kecil gunakan sebanyak  3 biji dan kalau besar gunakan 2 biji). Bahan lain adalah 1 biji tomato ( Ia akan dibelah 4 dimana buah bahagian tengahnya dan hiris), 1 biji bawang besar (Perlu dimayang halus), 1 genggam kacang tanah ( Ia perlu digoreng tanpa minyak kemudian perlu dibuang kulitnya dan tumbuk kasar). Bahan seterusnya adalah 1 genggam ikan bilis (Ikan bilis perlu dibersihkan kemudian goreng hingga garing). Selain itu bahan digunakan adalah 4 biji cili padi (dihiris halus), 1 ulas bawang putih (Ia perlu dicincang halus), 1 1/2 camca besar sos ikan, 1 camca besar penuh gula, 1 biji limau nipis (Ia akan diperah jusnya). Bahan tambahan seperti beberapa helai daun salad yang telah dicuci dan toskan boleh menambahkan keenakan kerabu mangga. 

Membuat kerabu mangga pastinya bermula dengan mengupas mangga muda segar dimana kemudian rendam dalam air selama 15 minit untuk membuang getahnya. Kemudian buah tersebut ditoskan dan dihiris halus. saiz hirisan perlu mengikut kehendak pembuatnya iaitu jangan terlalu kasar atau jangan terlalu halus. Hirisan ini kemudian dimasukkan ke dalam mangkuk bersama hirisan bawang dan tomato. Gaulkan sehingga rata dan semua bahan tadi perlu diketepikan. Seterusnya kita akan satukan sos ikan, gula, bawang putih, cili padi dan jus limau nipis dalam mangkuk dan kacau sehingga rata. Seterusnya dicurah dalam mangkuk berisi mangga yang di hiris dan bahan lain sedia ada dan ia perlu digaul rata. Tambah kacang tanah dan ikan bilis, gaul lagi dan sesuaikan rasa sehingga puashati mengikut citarasa kita. Sediakan bekas yang ada alas sesuai dengan daun salad. Keluarkan kerabu mangga diatas daun salad dan tabur sedikit ikan bilis goreng dan kacang tanah yang telah diasingkan atasnya sebelum menghidang. Hidangkan segera bersama nasi dan lauk lain-lain yang disediakan diatas meja. Akhir sekali Bismillahirahmannirahim... Makan.

KERABU MANGGA..ENAK SEKALI...
BUAH SEGAR... DIJADIKAN ASASI.. 
DICAMPUR BAHAN...BERSERI...
DIHIDANGKAN... TUNGGU APA LAGI...

By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Pasar Tani Mega,
Precint 2, Putrajaya,
WP, Malaysia.
(9 Ramadan 1435H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...